KISAH BERPISAHNYA ROH DARI JASAD

KISAH BERPISAHNYA ROH DARI JASAD

Dalam sebuah hadith daripada Aisyah r.a katanya, “Aku sedang duduk bersila di dalam rumah. Tiba-tiba Rasulullah S.A.W datang dan masuk sambil memberi salam kepadaku. Aku segera bangun kerana menghormati dan memuliakannya sebagaimana kebiasaanku di waktu baginda masuk ke dalam rumah. Nabi S.A.W bersabda, “Duduklah di tempat duduk, tidak usahlah berdiri, wahai Ummul Mukminin.” Maka Rasulullah S.A.W duduk sambil meletakkan kepalanya di pangkuanku, lalu baginda berbaring dan tertidur.

Maka aku hilangkan uban pada janggutnya, dan aku dapat 19 rambut yang sudah putih. Maka terfikirlah dalam hatiku dan aku berkata, “Sesungguhnya baginda akan meninggalkan dunia ini sebelum aku sehingga tetaplah satu umat yang ditinggalkan olehnya nabinya.” Maka aku menangis sehingga mengalir air mataku jatuh menitis pada wajah baginda.

Baginda terbangun dari tidurnya seraya bertanya, “Apakah sebabnya sehingga engkau menangis wahai Ummul Mukminin?” Masa aku ceritakan kisah tadi kepadanya, lalu Rasulullah S.A.W bertanya, “Keadaan bagaimanakah yang hebat bagi mayat?” Kataku, “Tunjukkan wahai Rasulullah!”

Rasulullah S.A.W berkata, “Engkaulah katakan!,” Jawab Aisyah r.a : “Tidak ada keadaan lebih hebat bagi mayat ketika keluarnya mayat dari rumahnya di mana anak-anaknya sama-sama bersedih hati di belakangnya. Mereka sama-sama berkata, “Aduhai ayah, aduhai ibu! Ayahnya pula mengatakan: “Aduhai anak!”

Rasulullah S.A.W bertanya lagi: “Itu juga termasuk hebat. Maka, manakah lagi yang lebih hebat daripada itu?” Jawab Aisyah r.a : “Tidak ada hal yang lebih hebat daripada mayat ketika ia diletakkan ke dalam liang lahad dan ditimbuni tanah ke atasnya. Kaum kerabat semuanya kembali. Begitu pula dengan anak-anak dan para kekasihnya semuanya kembali, mereka menyerahkan kepada Allah berserta dengan segala amal perbuatannya.”

Rasulullah S.A.W bertanya lagi, “Adakah lagi yang lebih hebat daripada itu?” Jawab Aisyah, “Hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih tahu.”

Maka bersabda Rasulullah S.A.W : “Wahai Aisyah, sesungguhnya sehebat-hebat keadaan mayat ialah ketika orang yang memandikan masuk ke rumahnya untuk memandikannya. Maka keluarlah cincin di masa remaja dari jari-jarinya dan ia melepaskan pakaian pengantin dari badannya. Bagi para pemimpin dan fuqaha, sama melepaskan serban dari kepalanya untuk dimandikan.

Di kala itu rohnya memanggil, ketika ia melihat mayat dalam keadaan telanjang dengan suara yang seluruh makhluk mendengar kecuali jin dan manusia yang tidak mendengar. Maka berkata roh, “Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah, lepaskanlah pakaianku dengan perlahan-lahan sebab di saat ini aku berehat dari kesakitan sakaratul maut.” Dan apabila air disiram maka akan berkata mayat, “Wahai orang yang memandikan akan roh Allah, janganlah engkau menyiram air dalam keadaan yang panas dan janganlah pula dalam keadaan sejuk kerana tubuhku terbakar dari sebab lepasnya roh,” Dan jika merea memandikan, maka berkata roh: “Demi Allah, wahai orang yang memandikan, janganlah engkau gosok tubuhku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh.”

Apabila telah selesai dari dimandikan dan diletakkan pada kafan serta tempat kedua telapaknya sudah diikat, maka mayat memanggil, “Wahai orang yang memandikanku, janganlah engkau kuat-kuatkan dalam mengafani kepalaku sehingga aku dapat melihat wajah anak-anakku dan kaum keluargaku sebab ini adalah penglihatan terakhirku pada mereka. Adapun pada hari ini aku dipisahkan dari mereka dan aku tidakkan dapat berjumpa lagi sehingga hari kiamat.”

Apabila mayat dikeluarkan dari rumah, maka mayat akan menyeru, “Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meninggalkan isteriku menjadi janda, maka janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim, janganlah menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari ini aku akan dikeluarkan dari rumahku dan meninggalkan segala yang kucintai dan aku tidak lagi akan kembali untuk selama-lamanya.”

Apabila mayat diletakkan ke dalam keranda, maka berkata lagi mayat, “Demi Allah, wahai jemaahku, janganlah kamu percepatkan aku sehingga aku mendengar suara ahliku, anak-anakku dan kaum keluargaku. Sesungguhnya hari ini ialah hari perpisahanku dengan mereka sehingga hari kiamat.”

Taubat: Pengertian, amalan dan kaedah di sisi Islam

Taubat: Pengertian, amalan dan kaedah di sisi Islam

Prof Madya Dr Musa Fathullah Harun

Di dalam surah Al-Nisa: 17-18, Allah SWT berfirman, maksudnya:

“Sesungguhnya penerimaan taubat di sisi Allah hanyalah bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya, dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini(sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang pedih”.

Para mufassirin berkata: Setiap orang yang menderhaka kepada Allah dinamakan jahil, dan perbuatannya dinamakan kejahilan. Ini kerana, kalaulah orang yang menderhaka itu menggunakan ilmunya tentang ganjaran dan hukuman yang akan dihadapi, tentunya ia tidak akan berani melakukan ma’siat.

Tetapi kerana ia tidak menggunakan ilmunya tersebut, maka menjadilah ia seperti tidak berilmu. Atas pertimbangan inilah maka orang yang menderhaka kepada Tuhannya dinamakan jahil, sama ada ma’siat yang dilakukannya itu diketahui sebagai ma’siat atau pun tidak diketahuinya.

Ini kerana, ia mungkin mengetahui bahawa perbuatan yang dilakukannya itu adalah ma’siat, tetapi dari sudut lain, ia dikatakan jahil kerana tidak mengetahui kadar seksaan atau kadar kesakitan yang akan dideritanya kemudian.

Mengenai firmanNya SWT yang bermaksud, “Kemudian mereka bertaubat dalam masa dekat”, mereka bersepakat bahawa yang dimaksudkan ialah sebelum hadirnya kematian, atau sebelum melihat kematian. Dengan kata-kata lain pintu taubat terbuka bagi manusia selama rohnya masih berada dalam jasadnya, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad daripada Abdullah Bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah menerima taubat hamba selama ia belum ghargharah(sakrat menjelang maut)”.

Allah SWT menamakan masa tersebut sebagai masa yang dekat, kerana:

Pertama: Kematian itu pasti datang, dan semua yang datang adalah dekat.

Kedua: Untuk mengingatkan bahawa masa umur manusia, meskipun panjang, adalah pendek, yakni dekat.

Ketiga: Manusia setiap waktu, mempunyai perasaan kemungkinan didatangi maut, dan setiap yang demikian keadaannya disifati dengan dekat.

Imam Fakhr al-Razi berpendapat bahawa yang dimaksud dengan perkataan, “dalam masa dekat” ialah bahawa ia memulai taubat itu pada masa yang tidak jauh daripada masa melakukan ma’siat agar ia tidak termasuk ke dalam golongan orang yang berketetapan hati untuk terus dalam ma’siat.

Adapun orang yang bertaubat dalam masa yang lama selepas ma’siat, dan dalam masa yang lama sebelum mati maka ia terkeluar daripada golongan orang-orang yang dikhususkan dengan kemuliaan kepastian diterima taubatnya oleh Allah SWT. Orang yang demikian termasuk dalam golongan orang-orang yang dijanjikan dengan firmanNya:

“Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka”.

Tentunya di antara dua kedudukan tersebut terdapat perbezaan yang jelas. Imam Ghazali berkata bahawa firman Allah SWT:

“Kemudian bertaubat dalam masa yang dekat”, maknanya dekat dari masa kesalahan atau perbuatan dosa, iaitu dengan menyesali ke atasnya dan menghapus kesannya dengan perbuatan yang baik yang mengiringinya sebelum bertumpuknya kotoran di atas hati, yang menjadikannya susah dihapus.

Kerana itulah Rasulullah SAW bersabda: “Ikutilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapusnya”.

Dan kerananya juga Luqman berkata kepada anaknya:

“Wahai anakku, janganlah engkau mentakhirkan taubat. Sesungguhnya mati itu datang dengan tiba-tiba(mengejut)”.

Barang siapa yang tidak segera bertaubat dengan menunda-nunda, maka ia berada di antara dua bahaya besar: salah satunya: hatinya akan tertimbus kegelapan daripada perbuatan-perbuatan ma’siat, sehingga menjadi kotoran dan tabiat yang tidak dapat dihapuskan. Kedua: ia mungkin akan disegerakan oleh penyakit atau kematian, sehingga tidak mempunyai kesempatan untuk bertindak menghapuskannya.

Syarat-syarat taubat

Bagi diterimanya taubat, mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:

Pertama: meninggalkan ma’siat dengan segera.

Kedua: niat atau azam untuk meninggalkannya atau untuk tidak mengulangi atau kembali kepadanya pada masa akan datang.

Ketiga: menyesali dalam hati ke atas perbuatannya pada masa lampau.

Keempat: penyesalannya itu disebabkan perasaan malu atau takut kepada Allah SWT, bukan kerana yang lain.

Kelima: mengembalikan setiap yang diambilnya secara zalim, atau meminta kemaafan daripada orang yang dizalimi atau disakitinya.

Ada juga yang mensyaratkan berterusannya penyesalan tersebut.

Daripada syarat-syarat tersebut, kita dapat mengambil kesimpulan bahawa:

Seorang tua yang menyatakan bertaubat daripada perbuatan-perbuatan ma’siat, tetapi ketika ditanya mengapa ia membiarkan anaknya melakukan perbuatan tersebut, ia menjawab bahawa anaknya masih muda, dan bila ia sudah tua seperti saya, insya Allah, ia akan bertaubat juga.

Orang seperti ini sebenarnya belum bertaubat, kerana daripada jawabannya tersebut, kita memahami bahawa seandai ia dikembalikan ke usia muda, maka ia akan melakukannya kembali. Begitu juga daripada jawabannya tersebut, kita juga memahami bahawa pada dirinya tidak ada penyesalan terhadap perbuatan dosa yang telah dilakukannya dahulu.

Begitu juga pernyataan taubat daripada seseorang ke atas sebarang perbuatan ma’siat yang telah dilakukanya, tetapi dalam masa yang sama ia merasa bangga bahawa dahulu ia telah melakukannya.

Seperti orang yang berkata dengan perasaan bangga. Aku dahulu jahat, aku sering minum khamar(arak), segala jenis khamar aku telah merasakannya, sering berzina dengan pelancur berbagai bangsa, dan sebagainya, tetapi sekarang aku telah bertaubat. Jika benar ia telah bertaubat, tentunya ia akan membenci perbuatan-perbuatan tersebut, merasa malu dan tidak akan mengatakannya kepada orang lain, yang dengannya tidak akan mengatakannya kepada orang lain, yang dengannya bererti ia telah menzahirkannya, iaitu suatu perbuatan yang jelas dilarang oleh Allah SWT.

Jenis-jenis taubat

Al-Tahanui, di dalam kitabnya telah menjelaskan jenis-jenis taubat sebagai berikut:

Di kalangan ulama ada yang mengatakan bahawa taubat ada dua jenis, iaitu:

Pertama: Taubat al-inabah, iaitu bahawa anda bertaubat kerana takut kepada Allah disebabkan kuasaNya ke atas diri anda.

Kedua: Taubat al-istijabah, iaitu bahawa anda bertaubat kerana perasaan malu kepada Allah disebabkan dekatNya kepada diri anda.

Abu Daqqaq berkata, Taubat terbahagi kepada tiga bahagian: pertama al-taubah, kedua Al-inabah, dan ketiga al-awbah.

Orang yang bertaubat kerana takutkan seksaan, maka ia disebut sahib al-taubah. Orang yang bertaubat kerana tamakkan pahala atau ganjaran, maka ia disebut sahib al-inabah. Dan orang yang bertaubat kerana semata-mata meraikan perintah Allah SWT tanpa perasaan takut seksaan atau tamakkan pahala atau ganjaran, maka ia disebut sahib al-awbah.

Dzu al-Nun al Misri pula berkata: Taubatnya orang awam adalah daripada dosa; taubatnya golongan khawas adalah daripada kecuaian atau kelalaian, yang oleh mereka dianggap sebagai dosa besar; dan taubatnya para nabi pula adalah daripada melihat kelemahan mereka untuk mencapai apa yang boleh dicapai oleh orang lain.

Ada juga yang mengatakan bahawa taubat merupakan sifat kebanyakan orang-orang yang beriman, sebagaimana difirmankan oleh Allah SWT di dalam surah Al-Nur:31:

“Wahai orang-orang yang beriman bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, mudah-mudahan kamu beruntung”.

Inabah merupakan sifat para Wali dan Muqarrabiin, sebagaimana difirmankan oleh Allah SWT di dalam surah Qaaf: 33: “(Iaitu) orang yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah, semasa tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Allah serta ia datang (kepada Allah) dengan hati yang tunduk ta’at”.

Awbah pula merupakan sifat para nabi dan rasul, sebagaimana difirmankan oleh Allah SWT di dalam surah Saad 44:

“Sesungguhnya Kami mendapati Nabi Ayyub itu seorang yang sabar. Ia adalah sebaik-baik hamba, sesungguhnya ia sentiasa rujuk kembali(kepada Kami dengan ibadatnya)”.

Peringkat orang-orang yang bertaubat

Mengikut pandangan Imam Ghazali, jika dilihat kepada dawam atau berterusannya taubat, orang-orang yang bertaubat itu terbahagi kepada empat peringkat:

Peringkat pertama: Orang yang bertaubat dan istiqamah dalam taubatnya hingga ke akhir hayatnya. Ia berusaha menebus segala dosanya, mencapai semua yang terluput daripadanya dan tidak kembali melakukan perbuatan-perbuatan dosa, melainkan dosa-dosa kecil yang biasanya tidak terlepas manusia daripadanya, melainkan nabi atau rasul.

Inilah yang disebut al-tawbah al-nasuh, dan jiwa orangnya layak disebut sebagai al-nafs al-mutma’innah(jiwa yang tenang), yang insya Allah, akan kembali kepada Tuhannya dalam keadaan redha dan diredhai.

Peringkat kedua: Orang yang bertaubat dan istiqamah dalam ketaatan dan meninggalkan dosa-dosa besar keseluruhannya, tetapi tidak terlepas daripada dosa-dosa yang tidak disengaja, yang merupakan ujian dalam perjalanan hidupnya tanpa sebarang keazaman untuk melakukannya.

Setiap kali ia melakukan dosa ia mencela dirinya dan menyesalinya serta memperbaharui keazaman untuk menjauhi segala sebab-sebabnya. Jiwa orangnya layak disebut sebagai al-nafs al-lawwamah(jiwa yang banyak mencela dirinya).

Peringkat ini, meskipun lebih rendah daripada peringkat pertama, tetapi termasuk peringkat yang tinggi juga, dan ia merupakan kebanyakan keadaan orang-orang yang bertaubat. Kesudahan usahanya ialah memenangkan kebaikannya ke atas keburukannya.

Sehingga menjadi beratlah timbangan kebaikan atau hasanatnya. Kepada mereka Allah SWT telah memberikan janji yang baik dengan firmanNya di dalam surah Al-Najm:32:

“Orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil(yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dima’afkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya”.

Begitu juga Allah telah memuji mereka di dalam firmanNya di dalam surah Ali Imran:135:

“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah, lalu memohon ampun akan dosa mereka, dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa selain Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”.

Peringkat ketiga: Orang yang bertaubat dan istiqamah beberapa masa, kemudian ia dikalahkan oleh syawatnya sehingga dengan sengaja ia melakukan perbuatan dosa kerana kelemahannya dalam menghadapi syahwatnya tersebut.

Tetapi, meskipun demikian, ia masih taat dan berusaha menghindari ‘dosa-dosa lain, walaupun ada keinginan dan kemampuan untuk melakukannya. Selepas melakukan dosa, ia menyesali dan berharap alangkah baiknya kalau ia tidak melakukannya. Ia berazam untuk bertaubat dan berusaha melawan syahwatnya, tetapi nafsunya terus menggoda atau memujuknya, sehingga berkali-kali dari sehari ke sehari, ia menunda taubatnya.

Keadaan orang yang seperti ini termasuk ke dalam golongan yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam surah Al-Tawbah: 102:

“Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur-adukkan amal yang baik dengan amal lain, yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”.

Orang-orang seperti ini mempunyai harapan diterima taubatnya, tetapi perbuatan menunda-nunda taubat adalah sangat berbahaya, kerana mungkin ia didatangi maut sebelum sempat bertaubat, maka buruklah akibatnya. Na’udzu BiLlahi Min Dzalika.

Peringkat Keempat: Orang yang bertaubat dan istiqamah untuk beberapa lama, tetapi kemudian kembali kepada melakukan perbuatan-perbuatan ma’siat tanpa adanya bisikan dalam hatinya untuk bertaubat dan tanpa ada perasaan menyesali perbuatannya tersebut. Bahkan ia bergelimang di dalamnya seperti bergelimangnya orang yang lalai dalam mengikuti syahwatnya.

Orang seperti ini dikhuatirkan ke atasnya kesudahan yang buruk. Masalahnya kembali kepada kehendak Allah SWT. Jika Allah SWT menyudahi hayatnya dengan keburukan, maka ia akan menderita kesengsaraan yang tidak berkesudahan di akhirat.

Jika Allah SWT menyudahi hayatnya dengan kebaikan sehingga ia mati dalam tauhid, maka ia akan menanti kebebasan daripada seksaan neraka walaupun selepas beberapa masa.

Menuntut keampunan dengan amal-amal ketaatan adalah seperti menuntut ilmu dengan kesungguhan dan mengulang-kaji atau seperti menuntut harta dengan berniaga dan merantau. Adapun menuntutnya dengan sekadar harapan tanpa sebarang amal usaha adalah seperti mencari harta karun di tanah gersang, atau seperti menuntut ilmu dari pengajaran malaikat.

Di dalam surah Al-Najm: 39-41, Allah SWT berfirman:

“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya, dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan(kepadanya, pada hari kiamat kelak); kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna”.

Muhasabah, cermin diri cara cari keredaan

Muhasabah, cermin diri cara cari keredaan

SETIAP insan yang menghuni alam ini rata-rata memiliki buku diari harian untuk mencatat peristiwa penting dan bersejarah sama ada suka mahu pun duka, pahit atau manis yang terjadi dalam detik kehidupannya.

Buku diari harian itu penting kerana ia adalah harta bernilai yang merakamkan segala catatan manis sebagai pendorong atau perangsang dalam hidupnya pada masa akan datang. Sebaliknya, peristiwa duka dan pahit bertindak sebagai peringatan supaya tidak akan berulang lagi.

Namun, ramai yang tidak menyedari setiap insan sebenarnya memiliki satu lagi buku diari harian yang berada di bawah kawalan malaikat yang ditugaskan Allah untuk mencatatkan segala perilaku dan amalan perbuatan manusia, besar mahu pun kecil, baik mahu pun jahat.

Hal ini dijelaskan melalui firman Allah yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya Kami mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedangkan (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. Ketika dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Surah al-Qaf, ayat 16-18)

Ketika mentafsirkan maksud ayat itu, al-Syeikh al-Zamakhsyari dalam kitab tafsirnya yang masyhur al-Kasysyaf menjelaskan, ayat suci itu menyingkap makna Allah bersifat maha halus ilmu-Nya yang meliputi segala sesuatu termasuk hal dibisikkan oleh jiwa manusia sekalipun, malah yang jauh lebih samar dan lebih sunyi sekalipun. Justeru, tidak ada yang lebih hampir kepada sekalian manusia melainkan Allah.

Bagaimanapun, timbul persoalan jika demikian luasnya ilmu Allah dan pengawasan-Nya kepada manusia, mengapa masih diperlukan lagi kehadiran dua malaikat yang akan memantau dan seterusnya mencatatkan segala amal perbuatan manusia?

Beri kami TV dan radio sendiri – Husam Musa

Beri kami TV dan radio sendiri – Husam Musa

Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa membidas Menteri Penerangan yang baru, Dato’ Ahmad Sabery Chk yang menyifatkan Menteri Besar Selangor sebagai tamak kuasa apabila Tan Sri Khalid Ibrahim meminta Radio Selangor FM memberikan peruntukan masa satu jam seminggu bagi memboleh beliau dan Exconya menerangkan dasar-dasar pemerintahan Kerajaan Negeri Selangor kepada rakyat negeri itu.

“Siapa yang sebenarnya tamak kuasa dan gila kuasa, Umno/BN yang setiap hari menggunakan televisyen untuk kepentingan Umno dan BN dan tidak langsung memberikan ruang untuk parti-parti pembangkang menerangkan dasar perjuangan, sebaliknya memberikan gambaran yang jahat kepada rakyat, sebenarnya BN yang gilakan kuasa dan tamakkan kuasa,” jelasnya.

Beliau yang mewakili Menter Besar Kelantan Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat berkata demikian di hadapan lebih 50,000 orang yang membanjiri Stadium Perak bagi mendengar amanat dari pimpinan Pakatan Rakyat.

BN telah menggunakan media elektrobik dan surat khabar arus perdana bagi memburuk-burukan Pakatan Rakyat, malah memutar belitkan kenyataan pimpinan Pakatan Rakyat, katanya.

“Rakyat sudah muak dengan gelagat Umno/BN, malah rakyat sudah hilang kepercayaan dengan media arus perdana yang tidak bersikap adil dalam membuat laporan, terutama sekali pada kempen pilihan raya umum ke-12 yang lalu,” ujarnya.

Menurut beliau, sudah sampai masanya Kerajaan Pakatan Rakyat mempunyai siaran televisyen dan radio sendiri bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat di kelima-lima negeri yang dikuasainya.

Jesteru, beliau meminta Kerajaan Pusat khususnya Perdana Menteri dan Menteri Penerangan memberikan lesen kepada Kerajaan Pakatan Rakyat untuk menubuhkan dan mengendalikan siaran televisyen dan radio sendiri.

“Beri kami lesen untuk kami menerbitkan siaran televisyen dan radio sendiri agar segala maklumat dapat disampaikan kepada semua rakyat di kelima-lima negeri Pakatan Rakyat sebagai tanda negara ini benar benar mengamalkan demokrasi,” jelasnya.

P/S : Kalau kerajaan BN takut untuk memberi lesen penerbitan siaran televisyen dan radio, seharusnya idea Menteri Besar Selangor sepatutnya diluluskan tanpa apa-apa pemasalahan seperti mana “bekas MB – Khir Toyol“ pernah keudara di stesen Selangor.fm..itu hak sebagai seorang Menteri Besar !!

Malangnya “mereka bertindak seperti Negara kuku besi” kerana takut tak lama lagi mereka tidak boleh lagi melancong ke luar Negara dengan mengunakan duit rakyat sekiranya “rahsia mereka terbongkar”..

KELEBIHAN AYAT KURSI

KELEBIHAN AYAT KURSI

Dari Anas bin Malik r.a. berkata, “Rasulullah S.A.W bersabda : Apabila seseorang dari umatku membaca ayat Kursi 12 kali, kemudian dia berwuduk dan mengerjakan solat subuh, nescaya Allah akan menjaganya dari kejahatan syaitan dan darjatnya sama dengan orang yang membaca seluruh al-Qur’an sebanyak tiga kali, dan pada hari kiamat ia akan diberi mahkota dari cahaya yang menyinari semua penghuni dunia.”

Berkata Anas bin Malik, “Ya Rasulullah, apakah hendak dibaca setiap hari?”

Sabda Rasulullah S.A.W, ” Tidak, cukuplah membacanya pada setiap hari Jumaat.”

Umat-umat dahulu hanya sedikit sahaja yang mempercayai rasul-rasul mereka dan itu pun apabila mereka melihat mukjizat secara langsung. Kita sebagai umat Islam tidak boleh ragu-ragu tentang apa yang diterangkan oleh Allah dan Rasul. Janganlah kita ragu-ragu tentang al-Qur’an, hadis dan sunnah Rasul kita. Janganlah kita menjadi seperti umat yang terdahulu yang mana mereka itu lebih suka banyak bertanya dan hendak melihat bukti-bukti terlebih dahulu sebelum mereka beriman.

Setiap satu yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W kepada kita adalah untuk kebaikan kita sendiri. Rasulullah S.A.W menyuruh kita mengamalkan membaca surah Kursi. Kehebatan ayat ini telah ditearngkan dalam banyak hadis. Kehebatan ayat Kursi ini adalah untuk kita juga, yakni untuk menangkis gangguan syaitan dan kuncu-kuncunya di samping itu kita diberi pahala.

Begitu juga dengan surah al-Falaq, surah Yasin dan banyak lagi ayat-ayat al-Qur’an yang mempunyai keistimewaannya. Setiap isi al-Qur’an itu mempunyai kelebihan yang tersendiri. Oleh itu kita umat Islam, janganlah ada sedikit pun keraguan tentang ayat-ayat al-Qur’an, hadis Nabi dan sunnah Baginda S.A.W. Keraguan dan was-was itu datangnya dari syaitan.

Rentetan Gambar-Gambar Sambutan Kebebasan DSAI

Rentetan Gambar-Gambar Sambutan Kebebasan DSAI

Masa kian suntuk buat UMNO. Bersiap sedialah untuk menjadi pembangkang !!!
Saudara Rocky kalau saya tak silap

Laungan Reformasi

Kalungan Bunga Dari YB Azmin kepada DSAI

Para pemimpin bersemangat mendendangkan Negaraku

YB Azmin berucap

Ucapan Tan Sri Khalid disusuli Sajak Rendra Rajawali Khusus Buat DSAI

Ucapan DSAI

DSAI menerangkan secara terperinci Agenda Pakatan Rakyat

REFORMASI !!!

Antara pejuang reformasi yang hadir

Kehadiran 20 tidak termasuk yang ‘tidak dapat masuk’

Apalah Sangat Ada Pada Bangsa

Apalah Sangat Ada Pada Bangsa


“Jika terkeliru: Rujuklah pada yang lebih berilmu.


Saban hari kita terlalu kerap sangat dihidangkan dengan tulisan- tulisan berbentuk artikal, forum bahkan melalui ucapan-ucapan dan sebagainya perihal perjuangan bangsa. Sampai ke manakah “bangsa” ini ingin diperjuangkan? kalau sekadar di dunia sahaja dan tidak boleh dibawa ke akhirat, tak guna kita kalut-kalut memperkatakannya. Tak kiralah siapakah status orang yang memperkatakannya itu.

Di sini ingin saya bertanya,”kalau saban waktu kita memperkatakan mengenai bangsa “MELAYU”, sekarang ini siapakah Melayu itu??? setahu saya, kalau kita bariskan 10 orang yang mengaku yang dia itu berbangsa Melayu, katakan Mahathir, Zainuddin Maidin, Nor Mohamed Yakcop, Kadir Sheikh Fadhil, Syed Hamid Albar, Amirsham A. Aziz, Rais Yatim dan sebagainya, apakah kalau kita tidak pernah melihat mereka ini sebelum ini kita akan mengiakan yang mereka tersebut berbangsa Melayu?. Nak cari “pure” Melayu sekarang ini dah tak ada lagi dah. Yang adanya banyak darah telah bercampur baur di dalam sebatang tubuh setiap mereka yang menggelarkan diri mereka MELAYU. Cuma kalau nak lagi menggunakan istilah MELAYU ini, pelbagai bentuk kriteria saintifik, budaya dan sebagainya telah direka-rekakan bagi menunjukkan dan mengukuhkan status MELAYU itu.

Sewajarnya, marilah sama-sama kita berjuang selari dengan apa yang telah diperintahkan oleh ALLAH S.W.T. Berjuang atas dasar yang satu iaitu ISLAM. Tak kiralah apa bangsa mereka itu. Contoh teladan dizaman pemerintahan Rasulullah s.a.w. dan hadis-hadis Baginda telah jelas terbukti buat kita semua. Juga ayat-ayat ALLAH S.W.T. sudah terang lagi bersuluh juga buat kita semua. Kecuali bagi mereka yang ingkar dengan ayat-ayat ALLAH S.W.T. dan hadis-hadis Nabi s.a.w.Kenapa masih lagi kita ingin mengingkarinya? Cukuplah berjuang atas nama BANGSA (asobiyyah). Kegiatan berpolitik yang karut marut membawa kita semua ke arah kebinasaan, kemusnahan, kehancuran dan berbagai. Dari dulu hingga sekarang tak habis-habis mempolemikkan isu ini. Sekali pilihanraya dan persidangan agung UMNO maka bergemalah isu seumpama ini. Tak jemu-jemu ke???. Hanya sekadar cakap tapi kotanya, ALLAH S.W.T saja yang lebih mengetahuinya.

Sepatutnya para pemimpin yang berkedudukan tinggi wajib memahami ini semua. Semua mereka berpendidikan tinggi-tinggi belaka. Tak ada lagi sebab untuk memberi alasan bahawa mereka ini tidak tahu. Kriteria pemilihan setiap pemimpin sudah tentu disandarkan kepada itu semua. Kalau tak ada kelayakan sudah tentu mereka ini tidak akan dilantik.

Sedarlah wahai pemimpin yang teras perjuangan mereka atas nama bangsa “MELAYU”. Marilah kita balik ke pangkal jalan, kerana asas perjuangan kalian semua telah disusun atur dengan begitu licin dan licik oleh para penjajah Yahudi/ Kristian sebelum ini yang telah menjajah kita semua hingga ratusan tahun lamanya.

Akhirnya saya ingin mengesyorkan supaya semua kita yang telah, sedang dan akan meneruskan perjuangan atas nama bangsa “MELAYU” supaya segera bertaubat dan mohonlah keampunan kepada ALLAH S.W.T.  Justeru itu marilah sama-sama kita memulakan lembaran baru dan berjuang atas dasar ISLAM. ALLAH S.W.T. sendiri memberi jaminanNya kepada para pejuang seperti ini. Semua bangsa dan agama yang ada di atas muka  bumi ini pasti dapat menerima konsep ISLAM ini kerana leluhur awal mereka dan kita semua adalah satu iaitu Nabi Allah Adam a.s. dan Siti Hawa. Cuma mereka dan mungkin kita juga telah “hilang punca” sebenar dan terbawa-bawa hingga sekarang.

Yakinlah dengan jaminan Robbuljalil. Dialah maha pencipta, Dialah maha penggubal undang-undang, Dialah maha penunjuk jalan yang lurus dan Dialah jua yang akan melaksanakan sebenar-benar pembalasan di akhirat kelak.

Wallahu a’lam.