Ilmu hilang jika manusia tidak beramal

Ilmu hilang jika manusia tidak beramal

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

(Tafsir Surah al-Maidah ayat 66) Jika mereka beramal dengan apa yang diturunkan oleh Allah nescaya Dia menjamin rezeki mereka dengan menurunkan hujan, hasil bumi yang berkat kepada mereka sebagai kurniaan Allah, sebagaimana firman-Nya kepada orang-orang yang beriman yang bermaksud: “Kalaulah penduduk negeri itu beriman dan bertakwa nescaya Kami bukakan kepada mereka keberkatan yang datang dari langit dan bumi.” (Surah al-Anfal: 96)

Allah Taala beri keberkatan kepada mereka. Bagaimanapun ada perbezaan antara berkat dan kekayaan. Ada negeri yang kaya raya tetapi tidak ada keberkatan dalam pentadbiran kerajaannya.

Negeri itu kaya tetapi susah dengan banyaknya maksiat dan sebagainya dengan sebab kekayaan yang diperolehi.

Ini menandakan tidak adanya keberkatan dalam kekayaan yang diperolehi itu akibat penyalahgunaan kekayaan untuk tujuan yang bercanggah dengan ajaran Allah SWT.

Sementara perkataan berkat hanya ada dalam Islam sahaja. Dalam ilmu ekonomi Barat tidak ada perkataan berkat. Begitu juga semua sistem atau teori Barat termasuk kapitalisme, liberalisme, nasionalisme, sosialisme, komunisme, dan sebagainya tidak ada persoalan yang berkaitan dengan keberkatan. Apa yang ada ialah persoalan kekayaan, kesenangan dan kemajuan.

Berkat bermakna sekiranya kita kaya, kita menjadi baik dengan kekayaan yang diperolehi. Rezeki yang sedikit membawa kebaikan yang banyak.

Berkat yang dikurniakan oleh Allah apabila seseorang itu beriman dan bertakwa. Ini perkara yang dijanjikan oleh Allah.

Tetapi Allah Taala nyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Telah zahir keburukan di darat dan di laut hasil dari kerja yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia supaya dirasakan kepada mereka sebahagian daripada apa yang mereka kerjakan mudah-mudahan mereka kembali kepada Allah.” (Suratur Rum: 41)

Senang pada zahirnya tetapi susah pada hakikatnya. Antara lain ialah duit banyak tetapi tidak tahu bagaimanakah cara menggunakannya.

Wang yang digunakan untuk membuat sesuatu, tidak memberi faedah dan tidak mendatangkan pahala serta kebaikan daripada Allah SWT.

Ini adalah janji dari Allah untuk mengurniakan rezeki kepada orang Yahudi. Wahai orang Yahudi, wahai ahlil kitab, masuk Islamlah kamu. Kamu tegakkan Taurat dan Injil, nescaya kamu selamat.

Ramai di kalangan pendita-pendita Yahudi takut masuk Islam. Mereka menyangka Jika masuk Islam mereka akan bertukar perwatakan, yang menjadi pemimpin tidak lagi menjadi pemimpin, dan yang kaya menjadi miskin.

Mereka nampak dunia semata-mata tetapi mereka tidak nampak apakah kebaikan yang akan diperolehi di hari akhirat kelak.

Rasulullah s.a.w. menyatakan kepada orang yang beriman dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hatim bahawa suatu hari Nabi s.a.w. telah bersabda yang bermaksud; “Hampirlah ilmu itu dihilangkan oleh Allah.”

Dalam hadis yang lain diriwayatkan bahawa makna menghilangkan ilmu itu ialah dimatikan ahli-ahli ilmu (para ulama). Sementara orang Islam tidak beramal dengan ilmu.

Akibat itu ilmu menjadi hilang dan ilmu yang paling pertama hilang ialah ilmu pembahagian harta pesaka yang menjadikan tanda hampirnya kiamat, sehingga tidak ada seorang pun yang mengetahui cara pembahagian harta pusaka mengikut hukum Islam.

Ada perancangan di peringkat antarabangsa untuk menghapuskan sistem pembahagian pusaka menurut Islam kerana mendakwa kononnya Islam tidak berlaku adil terhadap lelaki dan perempuan dalam pembahagian pusaka.

Akhirnya perancangan itu akan berjaya sekiranya orang Islam tidak mempertahankan hukum Islam. Bila para ulama membisu seribu bahasa, tidak berani menegakkan yang hak, akhirnya Allah Taala menghilangkan ilmu dengan mematikan ulama.

Apabila Nabi s.a.w. mengatakan hampirlah diangkat ilmu, lalu seorang sahabat yang bernama Ziad bin Labit berkata, “wahai Rasulullah, bagaimana diangkatkan ilmu pada hal kami membaca al-Quran dan kami mengajarkannya kepada anak-anak kami.”

Dalam satu riwayat yang lain, “kami ajar kepada anak-anak kami, anak-anak kami pula mengajar kepada cucu-cucu kami, cucu-cucu kami mengajar kepada cicit-cicit kami, mana boleh diangkatkan ilmu.”

Nabi menjawab dengan sabdanya yang bermaksud; “Apakah engkau ni wahai Ibnu Labit, sesungguhnya aku berpendapat engkaulah orang yang paling faham di kalangan penduduk Madinah. Tetapi di dalam perkara ini kamu tidak memahaminya.”

“Tidakkah, Taurat dan Injil berada di tangan orang-orang Yahudi dan Nasara? Taurat dan Injil tidak boleh berbuat apa-apa kepada mereka itu kerana mereka meninggalkan perintah Allah. Allah berfirman yang bemaksud; “kalaulah sekiranya mereka itu menegakkan Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka daripada Tuhan mereka (al-Quran) nescaya mereka itu boleh makan rezeki dari atas mereka dan dari bawah kaki mereka. Di kalangan mereka itu ada golongan yang sederhana dan kebanyakan mereka itu alangkah buruknya apa yang mereka lakukan.” (Surah al-Maidah:66)

Advertisements

Pemuda PAS hantar memorandum kecam filem ‘Fitna’

Pemuda PAS hantar memorandum kecam filem ‘Fitna’

Isnin 31 Mac 2008 | 23 Rabi’ul Awal 1429 Hijrah

Dewan Pemuda PAS Pusat mengecam tindakan Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders menyiarkan filem bertajuk ‘Fitna’ secara online pada 27 Mac lalu.

ImageFilem tersebut dikatakan memberikan gambaran buruk terhadap Islam dan menghina al-Quran serta Nabi Muhammad s.a.w.

Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub melahirkan kekecewaan kerana apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Belanda itu telah mencetuskan perasaan tidak senang di kalangan umat Islam dan dikhuatiri boleh menimbulkan hubungan yang tidak baik antara umat Islam dan golongan bukan Islam seluruh dunia.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan Belanda hari ini. Memorandum tersebut diserahkan kepada Timbalan Ketua Kaunselor ImageKehormat, Luc Schillings, di Lobi bangunan The AmpWalk, Jalan Ampang, pagi tadi.

Dalam memorandum tersebut, jelas Salahudin beliau mendesak kerajaan Belanda menghentikan sebarang bentuk provokasi agar dapat mengekalkan suasana aman dan makmur di seluruh negara.

Katanya, beliau bertanggungjawab untuk menyerahkan memorandum tersebut agar menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak kerana tindakan menghina sesuatu agama itu tidak bertamadun serta tidak berbudaya.

Sementara itu, dalam pertemuan singkat sewaktu penyerahan memorandum tersebut, Luc Schillings berjanji akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap Geert Wilders di atas tindakannya menyiarkan filem tersebut.

Beliau mengharapkan dalam tempoh terdekat, kerajaan Belanda akan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang di Belanda bagi menyekat tindakan Geert Wilders, agar boleh meredakan kemarahan umat Islam.

ImageKatanya, kemarahan umat Islam akan reda sekiranya Geert Wilders menyatakan permohonan maaf kepada seluruh umat Islam terhadap tindakannya itu.

Dalam pada itu jelas Salahudin, sebagai ‘kerajaan yang sedang menunggu’ katanya, PAS sedang berusaha untuk membina hubungan yang lebih baik serta mengukuhkan hubungan diplomatik dengan negara luar.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan yang turut serta dalam penyerahan memorandum tersebut tidak menolak kemungkinan akan mengadakan demonstrasi aman sekiranya kerajaan Belanda tidak menyatakan permohonan maaf.

Beliau juga berkata langkah memboikot barangan daripada Belanda merupakan salah satu langkah memberi tekanan kepada kerajaan Belanda, termasuk menyekat sebarang hubungan ekonomi antara Malaysia dan negara tersebut.

Khutbah dari Rusila: Hindari rezeki bawa kepada azab Allah

Khutbah dari Rusila: Hindari rezeki bawa kepada azab Allah

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Marilah kita mendengar dan memahami serta beramal dengan petunjuk Allah SWT di dalam al-Quran berkaitan rezeki yang dikurniakan kepada kita di dunia ini berdasarkan Firman Allah (maksudnya): “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.” (Al-Baqarah: 172)

Yang dimaksudkan dengan memakan rezeki yang halal ialah mengambil manfaat daripada rezeki yang diberikan oleh Allah SWT, bukan sahaja dalam soal makan, minum, pakaian, tempat tinggal termasuk juga kenderaan yang digunakan.

Semua perkara yang digunakan itu mestilah diambil daripada rezeki halal dan diizinkan oleh Allah SWT. Dengan lain pengertian, bukan sahaja rezeki itu daripada bahan-bahan halal tetapi perlu memastikan daripada sumber-sumber halal dan dimanfaatkan dengan cara yang diizinkan oleh Allah SWT.

Perkara ini dijelaskan oleh sabda Rasulullah s.a.w. (maksudnya): Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: “Sabda Rasulullah s.a.w: Wahai manusia! Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia tidak menerima melainkan yang baik. Allah memerintah orang-orang yang beriman sahaja dengan apa yang diperintahkan kepada rasul-Nya. Firman Allah SWT: Wahai rasul-rasul, makanlah kamu daripada yang baik lagi halal dan beramallah kamu dengan amal yang soleh, sesungguhnya Aku amat mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Mukminun: 51).

Dan firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman, makanlah kamu yang halal yang Aku rezekikan kepada kamu. (Al-Baqarah: 172).

Kemudian Rasulullah s.a.w menceritakan seorang lelaki yang terlalu banyak musafirnya sehingga kusut masai rambutnya, berdebu pakaiannya. Lelaki itu berdoa kepada Allah: “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku, padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan sejak kecil lagi dia diberi makan dengan makanan yang haram, maka bagaimana Allah akan memperkenankan doanya?” (Riwayat Muslim)

Ini menunjukkan perkara yang halal sangat mempengaruhi kehidupan di dunia ini dan hubungan dengan Allah SWT dari kehidupan dunia sampai akhirat.

Bukan sahaja dimasukkan ke dalam syurga bagi mereka yang mengambil dan menggunakan yang halal dan dimasukkan ke dalam neraka bagi mereka yang menggunakan yang haram, bahkan mereka akan menjalani kehidupan dunia dalam keadaan yang tidak berkat serta mendapat kutukan Allah.

Yang dimaksudkan mengambil yang haram itu ialah mengambil harta dengan cara yang tidak diizin oleh Allah sama ada mencuri, merompak, menyamun, menipu, rasuah dan lain-lain lagi, termasuk mengambil harta sesama manusia dengan cara yang tidak diizinkan oleh syarak.

Itulah perkara-perkara yang haram yang dinyatakan oleh Allah SWT, bukan sahaja mengambil makanan dengan cara mencuri adalah haram di sisi Allah sepertimana meminum arak.

Maka begitu juga mengambil barang milik orang lain dengan cara yang tidak betul, termasuk juga menggunakan kenderaan dan rumah dengam sumber yang haram, termasuk juga tanah-tanah yang diambil, duit yang diambil dengan cara yang tidak halal, membahagi harta pusaka dengan cara yang tidak betul, semua yang diambil adalah haram di sisi Allah dan diberi amaran keras oleh Rasulullah s.a.w.

Amaran oleh Allah SWT kepada mereka yang memakan makanan yang haram, makanan yang diambil dengan harta yang haram, minuman yang haram atau minuman yang dibeli dengan harta yang haram, semuanya itu akan menjadi umpan api neraka dalam perut mereka.

Termasuklah mereka yang memakai pakaian dengan cara dan gaya yang haram juga akan menjadi umpan api neraka kepadanya pada hari kiamat.

Begitu juga kepada mereka yang mengambil tanah orang lain dengan cara yang haram. Ini bukannya satu perkara yang boleh dipermain-mainkan, termasuklah mereka yang cerdik pandai dan bijak, mencari rezeki secara rasuah.

Sabda Rasulullah s.a.w. (maksudnya): “Allah melaknat orang yang memberi rasuah dan orang yang menerimanya.”

Dalam hadis yang lain, sabda Rasulullah s.a.w (maksudnya): “Orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah semuanya di dalam neraka.”

Begitulah amaran yang keras daripada Nabi s.a.w. Rasuah bukan sahaja untuk mendapat sesuatu tetapi termasuklah untuk mendapat pengaruh seperti melantik pemimpin-pemimpin melalui rasuah sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Bani Izrail yang memilih pemimpin-pemimpin yang memberi rasuah kepada mereka. Maka pemimpin itu akan bersama dengan para pengikutnya di dalam neraka pada hari kiamat.

Marilah kita memahami hakikat ini dan berpegang dengan petunjuk yang ditunjukkan oleh Allah serta petunjuk yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad s.a.w. terutamanya pada zaman manusia yang mabuk dengan keduniaan, kemewahan dan kesenangan.

Mereka mengambil apa sahaja dengan tidak mengikut petunjuk daripada Allah SWT tetapi mengikut selera hawa nafsunya. Marilah kita menyelamatkan diri kita dengan agama.

Firman Allah (maksudnya): “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa padahal kamu mengetahui (salahnya). (Al-Baqarah: 188).

Saat Bertentang mata dengan DYMM Tunku Sultan Mizan

Saat Bertentang mata dengan DYMM Tunku Sultan Mizan

Lokasi : Lapangan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. ( 29 Mac 2008 )

https://i0.wp.com/www.malaysiasite.nl/images/sultan4.jpg Image

Detik jam 6.15 pagi..mata aku terjaga dek kedengaran bunyi jam handset…ringtone amat selesa didengari..lagu dari In-Team..tajuknya “Pemergianmu”..amat indah lagu ini..teringat aku pada pengorbanan Rasulullah SAW dalam perjuangan ISLAM, Agama yang diterima oleh Allah SWT…Saat kewafatan Baginda…Saat dimana Saidina Umar RA tidak dapat menerima kenyataan pemergian Kekasih Allah..dek kerana iman..Beliau rela membenarkan khabar berita ini..saat itu ingin saja aku mengerit..aku amat merinduiMu Ya Rasulullah..

“..Oh sukarnya untuk umat menerima

Bahkan payah untuk Umar mempercaya

Tetapi iman merelakan jua

Bahawa manusia ‘kan mati akhirnya..”

Berbalik pada plan aku…pukul 7 pagi..masa berkumpul…di jalan utama Pulau Serai..korang tau tak Pulau Serai tu kat mana..?Ha! mesti tak tahu ni..Pulau Serai ni kat Dungun, Terengganu..semalam ( 28/03/08) ada ceramah PAS..Presiden PAS datang tu..hehe..memang saat tu hepy sangat..sampai aku berebut2 untuk bersalam dengannya…Akhirnya dapat juga..gembira2…ahh..kelentong cerita lain pulak..maaf dehh..balik pada plan asal…

Kawan-kawan sudah ramai berkumpul..semuanya 8 orang pemuda PAS kawasan Pulau Serai ni…Kami pergi dengan naik Van..Hati aku amat riang sekali..ingin bertemu dengan lebih dekat..dari mata ke mata..Ha! korang tau tak aku nak jumpa sape ni?? Hehe..aku belum beritahu lagi kan..Suspen arr dulu…Sepanjang perjalanan aku tengok semua kenderaan berduyung-duyung pergi kearah sama aku nak pergi..paling best..ramai dari kalangan mereka memakai baju berwarna kuning..siap ada baju BERSIH lagi..tp aku tak de arr baju warna kuning…aku bantai baju warna HIJAU…hehe..kenderaan mereka pun di letak reben berwarna kuning…saat itu..dah terbayang wajah pemimpin ini..aku mengukir senyuman sendirian..terasa mereka-mereka juga mempunyai keinginan seperti aku…

Jam 8.40pagi sudah sampai di Kuala Terengganu..Wahh! kenderaan banyak giler…memang jem..macam ada pesta jee..rata2 kenderaan menpunyai reben berwarna kuning..memang sah..mereka2 ni nak pegi ke tempat sama dengan aku..kami berhenti makan pagi dulu..maklum lah bertolak awal..jadi tak sempat hendak makan…aku order nasi minyak dan air teh peng ( teh ais laa )..memang berselera aku makan..maklum lah perut lapar kan..ditambah pulak dengan sedapnya nasi minyak ni…mata aku tidak terlepas melihat kereta berduyung-duyung pegi kearah lapangan terbang..dalam hati aku..takutnya takut tak dapat parking nanti…aku sempat message ke member aku..tp sayang dia tak reply..abis kredit aku rasa..nasib baik dia reply jugak semalam..haha..

Selesai abis makan..kami mula bertolak..selang2 masa ketua kami bertanya..sape2 ada nk pegi rest room?haha..prihatin jugak bos aku ni…kami2 jawab..x perlu lagi..semua dalam keadaan baik..siap dia britahu..”untuk makluman sebarang pemintaan selepas ini tidak akan di layan”..ini bermakna kalau di kalangan kami nk pergi tandas…mmg tak boleh lah..kena tahan arr…kami semua tergelak…terasa macam dalam rombongan pulak..kami sudah berada di atas Jambatan Sultan Mahmud..saat itu aku terpandang satu masjid..memang indah masjid tu..tp sayang bukan boleh buat sembahyang pun..hanya pameran sahaja…itu lah Masjid Kristal..yang di bangga2 oleh “bekas MB Terengganu”..sape lagi kalau bukan Idris Jusoh..Teringat aku hadis Rasulullah SAW :

“satu hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sudah hampir sampai suatu masa, di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu melainkan hanya namanya, dan tidak tinggal daripada al-Quran itu melainkan hanya tulisannya sahaja. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi kosong daripada hidayah Allah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang berada di bawah naungan langit. Dari mereka berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah itu akan kembali.”Hadis riwayat al-Baihaqi daripada Sayidina Ali bin Abi Talib.

satu hadis lain, riwayat Imam Abu Daud daripada Anas Bin Malik, baginda Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: Tidak berlaku hari Qiamat sehingga umatku bermegah-megah (dengan binaan) masjid.

Memang jem di kawasan ini..maklumlah ini jalan utama untuk menuju ke jalan Lapangan Terbang Sultan Mahmud…hampir 20minit terperangkap kat situ…sambil2 menunggu lampu isyarat hijau..sempat lagi aku merakam gambar gelagat kereta dibelakang aku..memang lucu arr…satu family dia bawak..meriah sungguh…

Sesudah menghadapi waktu-waktu jem..kami selamat sampai ke lapangan terbang..saat itu..perasaan aku sungguh gembira..kalau boleh nk saje aku menjerit..betapa ramai sungguh rakyat2 terengganu yang hadir..teramat ramai..tidak kira lelaki..perempuan..siap bawak sepanduk lagi..nak saje aku britahu..”Daulat TuanKu” kuat2…hehe..aku masih waras lagi..

Van jauh kami parking dengan airport..sebab parking dekat2 dengan airport memang sudah penuh..bilangan Bas juga banyak..nasib baik ada ramai polis yang berjaga..untuk mengawal lalu lintas..tidak lah berlaku kesesakan kenderaan sangat..bukan itu sahaj..kereta2 kerabat diraja juga kelihatan..helikopter juga berlegar2 di ruangan udara..aku sangka pasti ia merakam gelagat kami..harap2 keluar lah dalam berita utama malam nanti..meski pun aku tidak mengharap..kerana aku tahu..yang keluar adalah cerita2 buruk tentang perhimpunan ini…mereka akan memutar belitkan fakta sebenar..sama juga keadaan semasa perhimpunan BERSIH pada tahun lalu…

kami terus berkumpul ditempat ramai orang…mmg ramai sangat..sepanjang jalan penuh dengan insan bernama manusia..sepanduk2 juga banyak di naikkan..antara yang tertulis..”Daulat TuanKu”, “Kami menyokong TuanKu”, siap ada pantun lagi..

Kami sabar menanti ketibaan Tuanku..cuaca pada hari itu Alhamdulillah baik..tidak panas..mendung saja..seakan-akan merahmati perjuangan kami..sambil2 menunggu..terdengar suara mereka2 yang hadir menyebut “Daulat Tuanku”..bergema di depan airport..ingat kan tuanku sudah keluar dari kawasan airport tetapi tidak..saja mereka2 ini menaikkan semangat kami…manguji kesabaran kami..kami tetap bersabar..Sesungguhnya pahala bersabar amat tinggi nilainya disisi Allah SWT..aku juga terdengar laungan “Takbir”..laungan ini kami sambut dengan “Allahu Akbar”..amat bergema laungan ini..aku pasti mereka2 ini dikalangan pejuang2 ISLAM yang menuntut kebenaran..

Sambil-sambil menunggu..ada lah sekumpulan wanita UMNO..berpakaian serba merah..paling menyedihkan..ramai dikalangan mereka mencukur bulu kening…dah lah wanita-wanita UMNO ni sudah berumar..tp masih tidak insaf2 lagi..mereka2 ni buat kecoh sikit..berlaku lah perang mulut antara kumpulan penyokong UMNO dengan penyokong BERSIH…baik jugak ada perang mulut ni..tak lah bosan sangat sambil menunggu ketibaan Tuanku..terasa terhibur pulak dengan gelagat2 mereka terutama wanita2 UMNO..gedik2 sangat..menyampah aku..bukan nk mengata..tp memang realiti…lain benor dengan wanita BERSIH..rata2 menbawa anak dan bertudung labuh..sejuk mata memandang…ini lah kelebihan pasukan BERSIH berbanding dengan pasukan UMNO yang bergaya macam “datin2”..malah mengalahkan gadis2 muda lagi…

Saat ditunggu2 telah tiba..ni satu yang aku hairan tp aku suka keadaan ini..bukan laungan “Daulat Tuanku” yang bergema..tetapi laugan “Allahu akbar”..teramat bergema laungan memuji kebesaran Allah SWT..bersyukur kerana selamatnya Tuanku Sultan Mizan sampai di bumi kelahiran tuanku..bersyukur kerana Allah merahmati perjuangan kami…bersyukur kerana Tunku amat mengambil berat tentang keharmonian rakyat2nya..Tuanku diiringi dengan kereta dan motosikal peronda..mungkin dari skuad polis diRaja Malaysia..Syukur pada Allah..doa aku dimakbulkan..Saat bertentang mata dengan Tuanku telah berlaku dengan izin Allah..saat itu..hati aku sungguh sunyi..seperti ternampak sesuatu yang baru pertama kali dilihat..Syukur Allhamdulillah dapat bertentang mata dengan ketua pemimpin ISLAM di Bumi Malaysia..sape lagi kalau bukan DYMM Sultan Mizan..Laungan Allahu akbar masih lagi kuat bergema..aku turut sama melaungkan kalimah kebesaran ini..amat aku syukuri pada Mu Ya Allah…

Setelah selesai kereta tunku melintasi kami..kami terus mengekori kereta yang dinaiki oleh Sultan Mizan..saat mata aku tidak nampak lagi kelibatan kereta Tuanku..aku terus menuju ke tempat parking..aku jugak tidak terlepas merakam beberapa gambar di sepanjang perhimpunan bersejarah ini…perhimpunan di mana “Aku dapat bertentang mata dengan Tunku Sultan Mizan”..pasti kamu akan cemburu dengan aku kan..hehe..

Terima kasih kepada pemuda-pemuda PAS Pulau Serai..memang indah sepanjang perjalanan bersama kamu..yang diketuai oleh Abang Anuar..merangkap pemuda PAS Pulau Serai..Siap berhenti makan kerepok lekor dan air jagung lagi..haha..memang sedap kerepok lekor t’ganu..

Salam..

Kamal ( nuraiman.wordpress.com)

Pemuda Pas Pulau Serai, Dungun, Terengganu

30 Mac 2008

 

lain-lain gambar :  https://nuraiman.wordpress.com/2008/04/01/gambar-sambutan-kepulangan-dymm-sultan-mizan/

Video Belanda Yang Menghina Islam

Video Belanda Yang Menghina Islam

Posted on Monday, March 31

Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders telah memulakan penayangan filem Fitna yang menghina Islam dengan memetik beberapa ayat Al-Quran dengan imej latar serangan pengganas. Video 15 minit itu disiarkan oleh liveleak.com dan disusuli kemudian penyiaran secara segmen oleh beberapa saluran televisyen Belanda.

link : http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=News&file=article&sid=8307

PAS bantah keras filem anti Islam Belanda – Presiden

PAS bantah keras filem anti Islam Belanda – Presiden

Isnin 31 Mac 2008 | 23 Rabi’ul Awal 1429 Hijrah

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan bantahan sekeras-kerasnya terhadap sebuah filem Belanda terbitan Geert Wilders bertajuk ‘Fitna’ yang jelas memberikan gambaran buruk terhadap Islam dan menghina al Quran serta Nabi Muhammad s.a.w.

Filem tersebut turut menggambarkan Islam sebagai sebuah agama yang ganas, ujarnya dalam satu kenyataan yang disampaikan melalui Setiausaha Akhbarnya, Roslan Shahir Mohd Shahir semalam.

Presiden PAS merasakan filem yang tidak bertanggungjawab ini akan mencetuskan ketegangan antara masyarakat Islam dan bukan Islam dunia dan dengan itu mengesyorkan agar ianya tidak ditayangkan lagi.

Presiden PAS turut menyeru Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), negara-negera Islam dan NGO serta badan dan petubuhan Islam lainnya mengenakan tekanan ke atas Belanda agar bertindak terhadap penerbit filem ini dan meyakinkan dunia Islam bahawa tindakan biadap seumpama ini tidak berulang lagi.

Tambahnya, PAS menghormati kebebasan berkarya, namun ia perlu ada had dan batasan, dan dalam hal filem Belanda ini ia ternyata tidak menghormati sensitiviti agama Islam dan penganutnya yang kini merupakan hampir separuh penduduk dunia.

link : http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=News&file=article&sid=8307

Bersama Dr Haron Din: Apabila hukum Allah diketepikan

Bersama Dr Haron Din: Apabila hukum Allah diketepikan

 

Soalan | Penyelewengan hukum-hukum Allah dilakukan orang-orang terdahulu seperti umat Nabi Musa a.s. dan Nabi Isa a.s. dengan mengubah agama Allah. Apakah umat Nabi Muhammad s.a.w. juga berlaku seperti itu iaitu mengubah agama Allah melalui al-Quran yang diturunkan kepada mereka, dengan mengubah hukum-hakam-Nya? Bolehkah Dato’ jelaskan sejauhmanakah ia berlaku dan apakah kesannya kepada akidah ummah. – Umar Farouk, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh

Jawapan | Al-Quranul Karim, terkawal daripada sebarang penyelewengan, pindaan dan perubahan.

Ayat-ayatnya terpelihara, kekal abadi sebagai ayat Allah tanpa penyelewengan hingga ke hari Kiamat. Ini adalah jaminan Allah, selaras dengan firman-Nya (mafhum): “…Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia, tetapi hendaklah kamu takut kepada-Ku; dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang kafir.” (Surah al-Maidah, ayat 44)

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memeliharanya dan menjaganya.” (Surah al-Hijr, ayat 9)

Dalam kedua-dua ayat ini, Allah memberi jaminan bahawa Dia akan menjaga ayat-ayat (al-Quran) daripada sebarang penyelewengan.

Tidak seperti kitab-kitab sebelum al-Quran, tiada jaminan sebelumnya daripada penyelewengan.

Oleh kerana al-Quran tidak boleh diubah atau dipinda, maka manusia kufur cuba mencari jalan untuk mengubahnya dengan pelbagai cara dan menukar-nukarkan ayatnya jika memungkinkan mereka berbuat demikian.

Sepertimana orang-orang Yahudi dahulu, apabila Allah SWT menurunkan at-Taurah kepada mereka, yang di dalamnya Allah melarang mereka menangkap ikan pada hari Sabtu.

Mereka mengikut perintah Allah dengan tidak menangkap ikan pada hari Sabtu, sebaliknya mereka menyelewengkan hukumnya dengan memasang jaring pada hari Sabtu dan mengumpulkan ikan ke dalam jaring.

Keesokan harinya (hari Ahad), barulah mereka menangkap dan membawa ke darat, ikan-ikan yang sudah terperangkap di dalam jaring sejak hari Sabtu.

Itu suatu helah jahat atau suatu penyelewengan.

Selepas itu, mereka menyelewengkan perintah Allah dalam a-Taurah sesuka hati mereka.

Riba yang diharamkan Allah, Yahudi menghalalkannya. Menipu helah mengambil harta orang secara batil (yang diharamkan), dihalalkan jika (orang tersebut) bukan daripada kalangan Yahudi.

Zina yang diharamkan Allah, dihalalkan mereka kalau bukan dengan Yahudi.

Menipu, mengkhianati yang diharamkan, dihalalkan kalau bukan dengan Yahudi.

Ada banyak lagi perkara (perlanggaran hukum) yang kaum ini lakukan.

Dalam agama Nasrani juga berlaku berbagai perbezaan di antara satu kitab dengan kitab al-Injil yang berlainan versinya, bercanggah hukum dan amalan sehingga jelas memecahbelahkan orang-orang Kristian kepada beberapa puak.

Setiap puak tersebut, hanya percaya dengan amalan mereka sahaja dan menyalahkan amalan puak yang lain.

Hal-hal yang sedemikian, tidak sangat berbeza dengan apa yang berlaku di kalangan umat Islam, khasnya yang terkini.

Bezanya, umat Islam tidak mengubah al-Quran, tidak meminda isinya dan menjaga al-Quran itu dengan baik.

Tetapi apabila mereka (umat Islam) diberi kuasa memerintah, hukum-hukum Allah digendalakan dan menggantikannya dengan hukum ciptaan manusia.

Undang-undang Allah diketepikan, manakala undang-undang manusia diketengahkan.

Hukum-hukum manusia diagung-agungkan, manakala hukum Allah diremehkan.

Contoh terdekat yang boleh kita lihat, penyelewengan hukum-hukum Allah di kalangan umat Islam, sama ada dengan cara penuh kesedaran atau kejahilan.

Dalam hal undang-undang seperti kesalahan membunuh, mencederakan, mencuri, merompak, berzina, menuduh orang lain berzina, meminum minuman yang memabukkan dan murtad, semuanya diperuntukkan di bawah hukuman undang-undang ciptaan manusia.

Malangnya tidak satu pun kesalahan-kesalahan itu dihukumkan dengan hukum yang ditetapkan Allah.

Semua kesalahan tersebut ada yang dibicarakan di mahkamah ciptaan manusia yang dinamakan Mahkamah Sivil, ada yang dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Malah Mahkamah Syariah juga tidak mensabitkan semua kesalahan tersebut dengan hukum Allah.

Seluruhnya (kesalahan jenayah) dihukum dengan undang-undang manusia, didenda dengan ringgit atau dipenjarakan atau kedua-duanya sekali.

Tidak berpandukan kepada hukum Allah dan mengenakannya dengan hukuman manusia, ini bererti ia merupakan penyelewengan kepada hukum Allah dengan meminda ketetapan Allah.

Sebagai Muslim atau pemerintah negara umat Islam yang jelas beragama Islam, sebenarnya tidak diberi pilihan kepada mereka untuk menghukum mereka, selain daripada hukum Allah.

Firman Allah (mafhumnya): “Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka…(hingga akhir ayat).” (Surah al-Maidah, ayat 49)

Perintah Allah kepada yang beriman dengan-Nya dan kitab-kitab-Nya agar melaksanakan hukum Allah berulang banyak kali dalam al-Quran.

Sebagai contoh, Surah al-Baqarah (ayat 213), Surah ali-Imran (ayat 23), Surah al-Maaidah (ayat 42, 44, 45, 47, 48 dan 49), Surah Shaad (ayat 22 dan 26), Surah an-Nuur (ayat 51) dan Surah Mumtahanah (ayat 10).

Banyak lagi ayat-ayat sedemikian, di mana Allah memberi penekanan, khususnya pemerintah agar melaksanakan hukum-hukum Allah dan jangan diselewengkan hukum tersebut.

Penyelewengan kepada hukum Allah SWT ini tidak sahaja sekadar menukarkan hukum hudud kepada hukum lain, tetapi sampai kepada peringkat menentang hukum Allah dan melaksanakan undang-undang mereka.

Riba yang diharamkan diubah kepada mengharuskannya dengan undang-undang perbankan konvensional, judi yang diharamkan dibolehkan dengan mendapat lesen, minuman yang memabukkan dibolehkan membuat perniagaannya serta dihidangkan sebagai minuman dengan permit perniagaan yang khusus.

Inilah yang Allah SWT sebutkan dalam firman-Nya (mafhumnya): “…Oleh itu siapakah yang lebih zalim lagi daripada mereka yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan berpaling daripadanya? Kami akan membalas orang-orang yang berpaling daripada ayat keterangan Kami (dengan) azab seksa yang seburuk-buruknya, disebabkan mereka sentiasa berpaling (mengingkarinya).” (Surah al-An’aam ayat 157)

Manusia tidak sepatutnya berpaling daripada hukum Allah atau meninggalkannya, sebaliknya mengambil hukum manusia, kelak mereka akan menempuh azab Allah. Wallahua’lam.