Negara Islam…. Satu Renungan Bersama

Negara Islam…. Satu Renungan Bersama

https://i0.wp.com/www.isb.org.uk/images/islam_explained.jpg

Perbincangan tentang Negara Islam masih lagi hangat di perkatakan, seakan-akan perkara negara Islam ini sesuatu yang baru dan tidak pernah wujud sebelum daripada ini, sedangkan Negara Islam yang di asaskan oleh Rasulullah saw adalah satu kerajaan yang paling lama memerintah di atas muka bumi, lebih dari seribu tahun.

Namun pada hari ini kita memerhatikan seolah-olah perkara ini tidak pernah wujud di atas muka bumi. Sepatutnya mereka yang ingin memperkatakan perkara ini perlulah menoleh sejenak kebelakang melihat sejarah yang telah tercipta dengan tinta emas, bagaimana Kerajaan Islam itu dapat bertahan dan terus memberikan keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.

Kemungkinan perancangan golongan Kuffar untuk menggelapkan perkara ini amat berjaya, sebagaimana mereka berjaya menutup kewujudan negara Islam di Spanyol dan di Eropah, yang ada hanyalah kejayaan mereka (kuffar) mewujudkan berbagai revolusi yang di katakan membawa kepada kemajuan, Kemungkinan ilmu inilah yang dipelajari oleh sesetengah pimpinan di tanahair kita pada hari ini samada di dalam UMNO, PKR mahupun DAP, seakan mereka tidak pernah mendengar atau membaca tentang kewujudan Kerajaan Islam dahulu yang memerintah berbagai bangsa, agama dan keturunan sehingga seolah-olah mereka meragui akan keupayaan Islam memerintah Malaysia.

Begitu juga, apabila berbincang tentang negara Islam, yang menjadi sasaran adalah PAS, PAS di minta supaya berlapang dada, berfikiran terbuka, jangan fanatik, jadilah orang politik yang bijak, jangan jumud, dan berbagai-bagai lagi saranan yang di ajukan kepada PAS, tetapi apakah yang di lakukan oleh yang membuat cadangan itu kepada PAS, apakah mereka sudah mempelajari apakah itu negara Islam, apakah mereka telah membuka minda dan pemikiran mereka terhadap agama Islam, adakah merek cuba untuk melepaskan diri mereka dari kejumudan, kesempitan Sekularisma, Nasionalisma dan fahaman-fahaman lain lagi.

Bila menyebut perkara ini saya teringat akan satu aduan dari seorang sahabat yang bertugas sebagai gur j-Qaf di satu sekolah, dimana telah di taklimatkan oleh pihak Guru Besar bahawa semua guru mestilah terlibat dalam kegiatan Ko-Kurikulum di sekolah di waktu petang, dan di tekankan bahawa semua guru agama mestilah terlibat, semua mestilah memakai pakaian sukan termasuk ustazah tua, “kita mesti open-minded” kata guru besar, maka dengan arahan itu semua guru mematuhi arahan tersebut atas alasan mestilah berfikiran terbuka…..tetapi bagaimana pula dengan Kem Solat?, Kem Ibadah? Tasmi’ Quran? kenapa tidak arahan terus daripada sekolah supaya cikgu-cikgu lain turut terlibat, kenapa tidak ada arahan kepada guru-guru lain (yang beragama Islam jugak) supaya open-minded la sikit untuk menerima program-program keagamanan ini.

Berbalik kepada polimik sekarang?
adakah PAS tidak melakukan apa yang sepatutnya lagi? PAS sudah lebih daripada apa yang sepatutnya di lakukan, dan PAS pasti akan terus melakukan apa sahaja demi untuk menjayakan PR (Pakatan Rakyat) cuma kita minta orang lain cuba la buka sikit fikiran terhadap Negara Islam, bacalah sikit perkara yang berkaitan dengannya dalam buku-buku ulama’ yang muktabar, JANGAN duk terima takrif KERAJAAN ISLAM DARI UMNO

http://www.zahidyusof.blogspot.com

Advertisements

Hudud : Media beri gambaran buruk mengenai hudud – Dr Haron Din

Hudud : Media beri gambaran buruk mengenai hudud – Dr Haron Din

SOALAN: Mengapa undang-undang hudud Islam amat ditakuti dan digeruni oleh orang Islam sendiri dan orang-orang kafir, sedangkan undang-undang tersebut belum pernah dilihat, atau belum dilaksanakan di Malaysia? – SAIFUL ISLAM, Kuala Lumpur

JAWAPAN: Perlu disedari dan diamati bahawa hakikatnya undang-undang hudud Islam adalah undang-undang Allah SWT. Dia Tuhan kita, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Allah yang sedemikian sifatnya, bolehkah berlaku apabila Dia menciptakan undang-undang untuk manusia, diciptakan undang-undang yang zalim, kejam dan tidak berperikemanusiaan? Mana mungkin demikian.

Apa yang berlaku sebenarnya adalah salah faham dan salah tanggapan.

Yang pasti adalah, kerana sifat belas kasihan Allah kepada manusialah, maka diciptakan undang-undang hudud, yang amat serasi dan sesuai dengan manusia, demi kebaikan hidup manusia di dunia hingga ke akhirat.

Jangan hanya dilihat kepada hukuman itu secara prejudis atau kerana kononnya kasihan kepada penjenayah yang dihukum sedangkan mungkin kesalahannya tidak seberapa.

Islam mengajak manusia melihat kepada skop yang lebih luas iaitu misalnya, kesan kepada kesalahan mencuri atau merompak, betapa merananya mangsa yang mengumpul harta dengan titik penuhnya, tiba-tiba disamun dengan begitu mudah.

Dalam sekelip mata, segala yang diusaha dan diimpikan kesenangan dalam kehidupan hilang lenyap.

Lihat kepada penjenayah yang berleluasa sekarang berbanding dengan hukuman atau undang-undang yang ada sekarang ini, tidak pernah mengajar penjenayah menjadi insaf.

Penjenayah terus melakukan jenayah sehingga menjadikan jumlah kes jenayah terus meningkat dari semasa ke semasa, tanpa sebarang kesudahan.

Keselamatan harta benda, malah keselamatan nyawa manusia menjadi begitu mudah dinodai. Sampai bila masyarakat yang tidak berdosa akan terus menerima pada tersebut?

Penjenayah sebenarnya adalah orang yang berpenyakit sosial. Usaha mengubati penyakitnya dengan undang-undang yang ada tidak mendatangkan kesembuhan, malah penyakitnya semakin merebak.

Tidakkah terfikir orang yang waras jika ubat yang ada gagal menyembuhkan, mengapa tidak diiktiharkan ubat yang baru?

Ada atau tidak ubat lain yang boleh menyembuhkan penyakit jenayah? Jawapannya sudah tentu ada.

Ubat itu ialah undang-undang hudud Islam. Ada pun yang menyebabkan masyarakat umum takut, ngeri dan menentang huduh tersebut, bukan kerana sifat undang-undang itu.

Contohnya undang-undang yang dilaksanakan di Malaysia sekarang ini ke atas perogol, perompak dan sebagainya. Penjenayah akan dikenakan hukuman sebatan, memang ia mengerikan dan amat dahsyat sehingga meninggalkan parut besar yang cukup mengerikan. Ada yang dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Bukankah ini mengerikan? Tetapi semuanya diterima umum, tanpa mengatakan ianya kejam dan ngeri.

Kenapa undang-undang hudud sukar diterima? Kerana peranan media yang anti-Islam, khususnya yang antihudud Islam dengan gambaran yang wujud sekarang ini, memberikan kesan negatif yang menakutkan ummah.

Dengannya, masyarakat terpengaruh menolak hukum-hukum Islam, dengan alasannya ianya tidak berperikemanusiaan.

Allah SWT pernah menyebut dalam al-Quran (mafhumnya): “Dan lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan mereka sebagai balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan sebagai pencegahan (nakaalan) dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Maidah, ayat 38 )

Perkataan ‘nakaalan’ dalam ayat tersebut membawa maksud, Allah berjanji kepada manusia, bahawa hukuman yang diciptakan-Nya merupakan suatu pencegahan daripada-Nya dengan memalingkan hati-hati manusia dari hendak meneruskan kerja jenayah kepada lain-lain perkara.

Maka dengan pencegahan itu, jenayah akan terhapus.

Inilah yang telah dibuktikan oleh Rasulllah s.a.w. yang melaksanakan hukuman itu, kepada penjenayah pada zamannya.

Sepanjang beberapa tahun, hanya segelintir sahaja penjenayah dihukum. Jenayah amat terkawal dan hampir tidak berlaku.

Cuba lihat di akhir ayat tersebut. Maksud ‘Azeezun’ maksudnya, Allah Maha Perkasa. Perkasa dalam konteks Allah (melalui undang-undang-Nya) mampu mencegah jenayah sedangkan undang-undang ciptaan manusia tidak mampu. Yang boleh memberi jaminan hanya Allah SWT sahaja.

Akhir sekali maksud ‘Hakeem’ atau Maha Bijaksana. Allah amat mengetahui apa yang Dia buat adalah untuk kebaikan manusia, sedangkan manusia sehebat mana pun tidak mampu untuk membuat kebaikan, lebih-lebih lagi kebaikan di akhirat.

Allah Maha Bijaksana kerana Dia tahu ia adalah kebaikan untuk manusia.

Sekiranya media-media perdana seluruhnya, dapat memberikan gambaran yang adil kepada undang-undang Islam, khususnya hudud, maka tidak ada sebab manusia akan menolaknya kerana ia untuk kebaikan dan kesentosaan manusia seluruhnya.

Apatah lagi apabila kita melihat kepada natijah yang akan didapati daripada pelaksanaannya.

Buat Pakatan Rakyat (Isu Hudud)

Buat Pakatan Rakyat (Isu Hudud)

 Tuan guru Mursyidul AM, antara tokoh utama pejuang kepada perundangan Islam.

Pakatan rakyat yang dibentuk selepas pilihanraya umum 2008 merupakan pakatan yang berpijak di bumi yang nyata.Gabungan tiga presiden mewakili 3 parti idaman rakyat itu tidak mengejutkan UMNO tetapi ternyata menggugatkan beberapa puak dalam Umno yang tidak mahu parti mereka diancam sekali lagi oleh pakatan rakyat yang dahulunya dikenali sebagai barisan alternatif(BA).

Namun, kita bimbang dengan pakatan rakyat ini yang tidak lagi mencapai beberapa kata sepakat dalam beberapa perkara.Pada hemat penulis,apabila desas desus Pas akan menjadi tunjang dalam pakatan maka ia memberi impak kepada sesetengah pimpinan DAP yang masih tidak membaca dan mengkaji tentang implikasi serta pelaksanaan hukum hudud yang wajib dijalankan oleh pemerintah Islam dalam daulah Islamiyah.Kekaburan isu ini perlu dileraikan terlebih dahulu sebelum pakatan rakyat ini bergerak maju kehadapan dan mendapat tempat di hati rakyat.Isu perundangan Islam ini boleh diselesaikan dengan beberapa kaedah cadangan:

  1. Memperkasakan penerangan terutama kepada ahli dan pimpinan dalam parti Islam semalaysia(pas),Keadilan,dan Dap terlebih dahulu sebelum menerangkan kepada peringkat rakyat awam.
  2. Pembukuan tentang pelaksanaan dan impak pelaksaan perlu dibanyakkan.
  3. Isu perundangan Islam ini perlu diprojekkan kepada beberapa NGO untuk dikaji dengan lebih mendalam.
  4. Rakyat awam perlu disedarkan tentang kelemahan hukum idealogi manusia dan kaedahnya mungkin boleh dibuat banyak seminar dan hi-tea terbuka ditempat awam.
  5. Perundingan antara pakatan rakyat perlu suburkan sehinggalah isu ini selesai dan difahami dengan baik oleh semua pihak.

Isu hudud adalah cabang dari hukum-hukum Islam.Beriman dengan ayat-ayat hukum adalah wajib bagi umat Islam.Kita sudah 50 tahun merdeka dan sudah banyak isu ini tertangguh dan ditangguh oleh UMNO.UMNO juga perlu celik hukum.Kadar jenayah makin meningkat,kenapa tidak kita tidak berbalik pada sunnahtullah.Kita ini ciptaan Allah sudah tentu ada hukum yang telah dipakejkan sekali untuk manusia mentadbir bumi dengan lebih aman.Semoga pakatan rakyat mendepani isu ini dengan baik untuk umat sejagat.PEACE.

Negara Islam – Usah Terburu-Buru…Bertindak

Negara IslamUsah Terburu-Buru…Bertindak

Tidak dinafikan, Negara Islam merupakan cita-cita PAS dalam pemerintahan Malaysia. Berbagai-bagai usaha dan tindakan yang telah dilakukan oleh PAS bagi merealisasikan cita-cita itu.

Agenda penerangan tentang bentuk dan ciri-ciri Negara Islam telah dibuat, tetapi keadaan tidak berbelah pihak kepada PAS, yang mana segala penerangan PAS itu telah diselewengkan oleh UMNO-Barisan Nasional dengan diputar belitkan kenyataannya yang melahirkan satu gambaran, Negara Islam adalah Negara yang akan menindas golongan non muslim.

Golongan non muslim tidak menerima negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS, adalah kerana mereka bimbang nasib dan masa depan mereka dizalimi, sedangkan dalam bentuk negara islam yang dicadangkan oleh PAS, tidak pernah mengabaikan hak-hak non muslim dalam sesebuah negara, bahkan Islam menetapkan hukum haram bagi kerajaan Islam mengabaikan hak-hak non muslim.

Penolakan mereka itu adalah bersebab, mereka sentiasa dimomokkan dan digambarkan oleh media Barisan Nasional, bahawa Islam adalah ganas, sedangkan Islam bukanlah seperti yang digambarkan oleh Barisan Nasional.

Disamping itu juga, mereka tidak memahami maksud sebenar disebalik perlaksanaan Negara Islam. Sedangkan Negara Islam adalah pemerintahan yang mementingkan amanah, kebajikan, kestabilan ekonomi, politik, kasih sayang, perlaksanaan undang-undang yang memberi keadilan kepada semua pihak hatta kepada non muslim sekalipun, yang semua ini ditunjangkan kepada Aqidah Islamiyyah.

DAP MENENTANG NEGARA ISLAM

Penentangan dari DAP terhadap Negara Islam, tidaklah pelik bagi pandangan peribadiku. Tetapi, yang lebih pelik, apabila yang menentang Negara islam itu adalah orang islam sendiri.

Penentangan DAP terhadap Negara Islam, antara sebabnya mereka tidak memahami bentuk Negara Islam yang sebenar, disamping sentiasa diburukkan bentuk Negara Islam ini oleh UMNO-Barisan Nasional yang menyebabkan DAP termakan dengan hasutan syaitan itu.

Dalam hal itu, gabungan PAS, PKR dan DAP, sedikit sebanyak dapat merapatkan jurang yang sekian lama terpisah. Dengan gabungan ini, PAS dapat “berdakwah” dengan menjelaskan kepada mereka dalam keadaan formal atau tidak formal tentang keadilan islam.

Kita kena ingat, dalam pakatan yang telah dibuat secara tidak rasmi dalam menghadapi pilihanraya ke 12 baru-baru ini, sedikit sebanyak pihak DAP telah mengenali PAS dan bentuk Negara Islam.

Ekoran dari itu, tidak hairan, ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng sendiri pernah menyatakan bahawa beliau akan melaksanakan pemerintahan di Pulau Pinang seperti pemerintahan Omar bin Abdul Aziz.

Ucapan ini sedikit sebanyak, merupakan kesan dari keadilan yang mereka faham dari Islam. Tetapi disebabkan mereka bukan beragama islam, disamping ideology perjuangan mereka juga tidak Islam, menyebabkan mereka masih lagi dengan cara mereka.

SIKAP KITA

Kenyataan Karpal Singh yang dikeluarkan baru-baru ini, tidak perlu diperdebatkan sehingga memburukkan keadaan. Memberi pandangan itu bagus, tetapi jangan sampai melahirkan satu natijah, jurang yang sudah dihampirkan berjauhan kembali.

Tindakan Karpal menyatakan pandangan beliau sedemikian adalah kerana, beliau tidak memahami bentuk Negara Islam yang sebenar. Ianya adalah kerana, pemahaman beliau tentang Negara Islam sekadar melalui bacaan sahaja, sedangkan banyak unsur-unsur yang dididik dalam islam tidak wujud dalam pegangan hidup beliau yang tidak beragama Islam.

Disamping itu juga, beliau tidak merasakan keadilan yang dijanjikan oleh islam dengan penubuhan Negara Islam. ekoran dari itulah, menyebabkan beliau menolak bentuk Negara Islam yang dicadangkan oleh PAS.

orang arab ada menyebut;

لا يدري من لم يذق

Maksudnya;
“Tidak mengetahui dengan sebenar oleh orang yang tidak merasai”

Dalam hal ini, Islam mengajar kepada kita, agar tidak melayan sangat statement dari orang yang tidak memahami Islam, apabila mereka bercakap tentang islam. Bahkan, kita kena berfikir dan berusaha, agar memberi kefahaman kepada mereka tentang islam sehingga sampai satu tahap, mereka yakin dengan keadilan yang dijanjikan oleh islam.

Firman Allah:-

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ

Maksudnya;
“Ambillah sikap memaafkan, suruhlah melakukan kebaikan dan jangan layan dari orang-orang yang tidak mengerti”(Surah Al-‘Araf : 199)

Dalam menafsirkan maksud “ambil kemaafan” ini, Imam Ibni Kathir menukilkan kata-kata seorang mufassir yang hebat bernama Mujahid, yang mana beliau menyatakan, maksud dengan ambil kemaafan itu adalah terhadap akhlak-akhlak dan amalan-amalan mereka yang tidak merasakan kebenaran. (Tafsir Ibnu Kathir : 3/531)

Maka dengan ini, Karpal tidak pernah merasa bentuk negara Islam, disamping digambarkan Barisan Nasional sebagai zalim, menyebabkan beliau begitu marah dengan pembentukan negara Islam.

Sebagai muslim, tidak sepatutnya kita memarahi beliau, tetapi yang patut dimarah adalah UMNO dan Barisan Nasional yang tidak habis-habis menabur fitnah dan menjadi batu api untuk merosakan usaha PAS dalam memahamkan Islam kepada non muslim.

SIKAP DAN TINDAKAN KITA

Cita-cita kearah merealisasikan pemerintahan Islam merupakan tanggungjawab yang wajib ditunaikan. Pun begitu, halangan yang dihadapi, perlu ditempuhi dengan bijaksana. Kebijaksanaan seperti kata pepatah, menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.

Tidak dinafikan, UMNO-barisan Nasional akan menyerang PAS dengan isu-isu sebegini, terutama kekalahan mereka dalam pilihanraya baru-baru ini ditakrifkan sebagai terlalu teruk dalam sejarah Malaysia.

Bagi menghadapi perkara ini, diharapkan penyokong dan pendokong PAS agar tidak bertindak dengan tindakan yang boleh memburukkan lagi suasana.

Pilihanraya kali ini, kita telah berjaya merapatkan jurang antara PAS dan DAP, yang dengan itu, kita perlu berusaha menerangkan kepada mereka tentang keadilan Islam.

Para ulama dalam PAS, tidak seharusnya terlalu membicarakan tentang perkara-perkara kecil, bahkan wajib berusaha menyelongkar segala maqasid-maqasid yang terkandung dalam Al-Quran dan As-Sunnah, ianya bertujuan untuk menyampaikan mesej dakwah kepada non muslim.

Para ulama perlu menyelongkar keadilan yang wujud disebalik kandungan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis yang berbicara tentang undang-undang, ekonomi, jihad dan sebagainya. Semuanya bertujuan, untuk memberi keyakinan kepada non muslim (khususnya DAP) kepada perlaksanaan Islam.

PENUTUP

Pakatan Rakyat yang diideakan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi telah berjaya ditubuhkan. Dalam menentukan orang yang mengepalai pakatan rakyat ini, dalam keadaan sekarang, kita perlu mengambil sikap toleransi lagi.

Kalau keadaan DAP kini yang tidak yakin lagi dengan PAS, apa gunanya kita mengepalai Pakatan Rakyat, yang dengan itu boleh membawa perpecahan yang banyak merugikan kepada dakwah islamiyyah.

Jangan terlalu gopoh untuk mencapai kemenangan, kerana dibimbangi dengan kegelojohan itu akan menghasilkan kerugian dalam mencapai kemenangan yang sebenar.

Ulama-ulama fiqh ada menyatakan satu kaedah fiqh yang berbunyi;

مَنْ اسْتَعْجَلَ شَيْئًا قَبْلَ أَوَانِهِ عُوقِبَ بِحِرْمَانِهِ

Maksudnya;
“Barangsiapa yang gopoh untuk mencapai sesuatu sebelum masanya, diakibatkan perkara itu menjadi haram” (Al-‘Asybah wa An-Nazair : 1/274 : kaedah fiqh yang ke 30))

Lantaran itu, dalam keadaan sekarang, apa salahnya kita serahkan kepada orang yang mengepalai pakatan rakyat dari kalangan mereka yang boleh di terima oleh DAP, yang dengan itu, kita dapat menyampaikan dakwah kepada mereka.

Apabila dakwah kita kuat, yang memungkinkan mereka semakin faham kepada Islam (walaupun mereka tidak masuk islam), yang ketika itu, sudah pasti, Islam akan menjulang, dan menjadi agama yang terlaksana dalam Negara yang dicintai ini, Insya Allah.

Mudah-mudahan Allah menjadikan kita dari kalangan orang yang bijak menghadapi situasi politik kini, yang dengannya akan melahirkan natijah yang menguntungkan kepada Islam dan kepada rakyat.

Sekadar pandagan peribadi, Sekian, WallahuA’lam

~al-bakistani~

Isu Negara Islam – Sokongan untuk Tuan Guru dan Dato Husam

Isu Negara Islam – Sokongan untuk Tuan Guru dan Dato Husam

Isu negara Islam. Tidak pernah sebarang masa kita nyatakan tidak atau phobia kepada Negara Islam. Tetapi belajarlah dulu membina negara Islam dalam diri kamu, keluarga kamu sebelum kamu mendirikan di negara kamu. Bukankah itu yang diajar oleh Mustafa Masyhur. Kalau kita melihat perjanjian Hudaibiah, nabi membuat paling tidak dua pengubahan penting yang ditentang oleh Umar R.A. Iaitu kalimah Muhammad Rasulullah dibuang. Adakah nabi tidak mengakui dia rasulullah, atau dia takut dan phobia untuk menyatakan dia rasulullah?

Adakah dia terikut-ikut dengan musyrikin? Pengubahan kedua adalah perjanjian berat sebelah yang mana orang musyrik yang memeluk Islam dan berhijrah ke Madinah hendaklah dihantar pulang, tetapi sebaliknya orang Islam yang murtad dan melarikan diri ke Makkah dilindungi. Rasulullah bersetuju dengan perjanjian berat sebelah ini. Tempoh aman sepanjang penjanjian ini digunakan sepenuhnya oleh rasul yang mulia untuk berdahwah, menyampaikan Islam dan menunjukkan keadilan Islam.

Umar (RA) yang tidak bersetuju dengan rasul yang mulia itu menyesal sehingga akhir hayatnya!

Endorsement yang diberikan rakyat dalam pilihanraya lepas bukanlah endorsement kepada Negara Islam walaupun itulah harapan kita. Mungkin tempoh 5 tahun yang diamanahkan rakyat ini mesti dipastikan semua bentuk keadilan Islam, toleransi dalam perkara yang dibenarkan agama, sikap antifacist dan antiracial, berlapang dada dan merendah diri, terbuka menerima teguran, pemimpin yang mudah didekati dan semuanya berjalan tanpa sebarang jenama. Kita menggunakan tempoh amanah ini untuk berdakwah dan menyebarkan Islam tanpa meletakkan jenama kepada dakwah kita. Kerana kita tahu kalau kita meletakkan jenama ‘negara Islam’, kita belum tentu menepati kehendak negara Islam serta kita menyebabkan orang lari meninggalkan Islam. Yang lebih malang lagi, kita asyik mempertahankan ‘negara Islam’, tetapi sikap dan akhlak kita sebenarnya menyebabkan orang lari meninggalkan Islam.

Ini bukanlah phobia. Ini bukanlah taqiyyah. Tetapi inilah dakwah!

Perlu kuasai Pusat untuk laksana hukum hudud, kata Dr Haron Din

Perlu kuasai Pusat untuk laksana hukum hudud, kata Dr Haron Din

Khamis 10 April 2008 | 3 Rabiul Akhir 1429 Hijrah

SOALAN: Apakah apabila PAS menjadi pemerintah sesebuah negeri, undang-undang hudud Islam menjadi keutamaan? Wajib disegerakankah atau pun bukan keutamaan. Jika bukan, apa pula keutamaan PAS dalam pemerintahannya. Mohon Dato’ perjelaskan. – UBAIDAH SALIM, Sepang

JAWAPAN: Anda perlu memahami terlebih dahulu bahawa sistem pemerintahan di Malaysia terbentuk daripada dua sistem perundangan iaitu, pertama, pemerintah Kerajaan Pusat atau ‘Federal Government’ dan kedua, Kerajaan Negeri atau ‘State Government’.

Kerajaan Pusat dibentuk selepas parti politik memenangi majoriti kerusi-kerusi Parlimen. Demikian juga di negeri-negeri, mana-mana parti yang dapat membentuk majoriti mudah, maka merekalah yang membentuk kerajaan.

Kuasa tertinggi adalah Kerajaan Pusat, mengikut kehendak Perlembagaan, kerajaan negeri perlu patuh dan tertakluk dengan kuasa Kerajaan Pusat.

Kerajaan negeri tidak boleh membuat undang-undang sendiri yang bercanggah dengan Kerajaan Pusat.

Oleh kerana itu, persoalan hudud adalah termasuk dalam peruntukan undang-undang yang dibolehkan oleh Kerajaan Pusat atau tidak. Buat sementara ini Kerajaan Pusat tidak meluluskan undang-undang berkait hudud dilaksanakan di peringkat negeri.

Ini bererti bahawa undang-undang hudud perlu patuh kepada Parlembagaan Malaysia, maka dengan sendirinya, jika PAS tidak menguasai Kerajaan Pusat atau Perlembagaan yang ada belum diubah, ia tidak dapat dilaksanakan.

Jika sekiranya negeri mahu melaksanakan undang-undang hudud, ia mesti mendapat persetujuan Kerajaan Persekutuan.

Dengan pemahaman yang mudah, kerajaan-kerajaan negeri PAS, belum diizinkan untuk melaksanakan undang-undang hudud.

Kita perlu bersabar sehingga Kerajaan Pusat dikuasai oleh PAS sehingga Perlembagaan Persekutuan dapat diubah, maka barulah ia menjadi keutamaan.

Untuk sekarang ini kita mengambil panduan daripada al-Quran, tentang apakah keutamaan PAS dalam soal pemerintahan.

Ia mesti berpegang kepada dasar PAS, ia termaktub dalam Perlembagaan PAS Fasal 7 (1) yang menyebut bahawa, “Adapun hukum yang tertinggi sekali pada pegangan PAS adalah Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.”

Merujuk kepada al-Quran, Allah memberi keutamaan, panduan kepada pemerintah Islam yang perlu melakukannya apabila berkuasa sebagaimana firman Allah (mahfumnya): “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj, ayat 41)

Kesimpulannya, keutamaan yang perlu disegerakan; pertama, memperkukuh hubungan dengan Allah menerusi menanam aqidatuttauhid yang sebenar, membasmi kesyirikan kepada Allah, menyebarkan ilmu Islam bagi memahamkan manusia umum akan Islam yang sebenar, mengajak mereka mengamalkan ajaran Islam, menghidupkan institusi agama agar ianya benar-benar berfungsi seperti yang sepatutnya.

Kedua, memberi perhatian dan tindakan yang sewajarnya kepada pertumbuhan dan perkembangan ekonomi, khususnya kepada golongan bawahan, fakir miskin agar mereka terbela menerusi pemberian zakat.

Sebagainya perintah Rasulullah s.a.w. (mafhumnya) “Ambillah harta daripada golongan berada dan bahagikannya kepada golongan kurang berada.” Itulah yang dilambangkan dengan zakat.

Sekiranya semua zakat yang wajib atas umat Islam yang berada (kaya) di sesebuah negeri (khususnya di Selangor), dikumpul dengan cara yang berkesan dan sempurna, serta diagihkan kepada golongan yang miskin dengan cara yang betul, maka bayangkanlah apa yang akan berlaku.

Ketiga, makruf ditegakkan. Makruf ialah sesuatu yang diperintahkan oleh Allah SWT. Apa sahaja yang diperintah, hendaklah dicari jalan bagaimana mahu melaksanakannya sehingga syiar Islam tertegak dan kebaikan Islam terserlah, serta nilai-nilai murni menjadi amalan masyarakat.

Keempat, mencegah kemungkaran. Mengikut aturcara yang sesuai dan langkah-langkah pencegahan yang efektif lagi berwibawa, menuju penghapusan nilai-nilai negatif yang tidak disukai wujud dalam masyarakat.

Kelima, berserahlah kepada Allah SWT untuk menentukan yang sebaiknya dalam perlaksanaan semua urusan yang dilaksanakan menurut perintah-Nya. Wallau’alam.