Hikmah Lailatul Qadar

Aku sujud padaMu ya ALLAH..

LAILATUL Qadar adalah malam yang berlaku pada Ramadan. Malam ini disebutkan dalam dua surah al-Quran, iaitu pada surah al-Dukhan dan al-Qadr.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya kami telah turunkan al-Quran itu pada malam yang penuh keberkatan dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.” (Surah al-Dukhan, ayat 2)

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya kami telah turunkan al-Quran itu pada malam kemuliaan.” (Surah al-Qadr, ayat 1)

Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.

Kepada mereka Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu. Firman Allah bermaksud: “Malam al-Qadar itu itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr, ayat 3)

Ada beberapa riwayat yang menceritakan sebab Allah menurunkan malam al-Qadar untuk umat Muhammad.

Menurut Imam Malik, Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka.

Berdasarkan permohonan inilah maka Allah menurunkan Lailatul Qadar.

Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan kepada umat Muhamad kerana Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu Allah mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka daripada segala kehancuran dan kerosakan.

Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan kenyataan bahawa al-Quran pertama kali diturunkan pada malam al-Qadar. Turunnya al-Quran pada dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad sebagai nabi dan rasul yang bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam. Begitu juga dalam mengubah corak hidup manusia daripada alam jahiliah kepada suasana Islam. Ertinya malam al-Qadar itu adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad sebagai agama penyelamat untuk seluruh alam.

Ada ulama lain yang menyatakan bahawa penyebab dikatakan dengan malam al-Qadar kerana pada malam itu Allah menetapkan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur atau sakit atau sihatnya seseorang untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun depan.

Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza.

Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka’ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadis dari Mu’awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. “Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27.”

Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.

Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27.

Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.

Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.

Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. “Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan.”

Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh malam ganjil akhir Ramadan.

Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadar supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri

Ramadhan: Kaitan antara puasa dan sabar

sabar umpama bintang2 di langit

KETIKA berpuasa, umat Islam amat dituntut bersabar dan menahan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh mengurangkan pahala puasa. Sikap sabar dan puasa saling berkaitan antara satu sama lain kerana tujuan puasa adalah melatih kesabaran.

Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin menerangkan, melalui kesabaran ia akan menerbitkan sifat ketakwaan dan sabar juga adalah salah satu proses tazkiyah an-naf (menyucikan diri).

Kaitan sabar dan puasa banyak dijelaskan dalam hadis. Dalam hadis yang masyhur, Rasulullah saw menjelaskan bahawa puasa adalah ibadat yang boleh membentuk sifat sabar.

Sabda Baginda yang bermaksud: “Puasa itu kesabaran dan kesabaran itu sebahagian daripada iman.” (Hadis riwayat Ibn Majah).

Kaitan puasa dengan kesabaran ini menyebabkan Ramadan turut dipanggil Syahru As-Sabr (bulan kesabaran).

Dalam hadis yang masyhur pula, puasa adalah junnah. Junnah bermaksud perisai, benteng atau penyelamat bagi manusia daripada melakukan perbuatan bercanggah dengan ajaran agama.

Kesabaran yang asas pada ibadat puasa mengikut tafsiran ulama adalah imsak iaitu menahan diri daripada makan dan minum, manakala sabar dari sudut terperinci adalah sabar seperti kesabaran yang ditonjolkan oleh Rasulullah.

Justeru dalam banyak riwayat dijelaskan bahawa Rasulullah tetap bersabar walaupun Baginda diperlakukan dengan kejam oleh golongan kafir Makkah.

Selain riwayat muktabar, banyak hadis yang menggesa seseorang supaya bersabar walaupun dicerca, dimaki atau dihina ketika berpuasa.

Tuntutan ini sejajar dengan prinsip akhlak Islam iaitu ‘membalas kebaikan apabila diberi kebaikan dan membalas kebaikan juga apabila diberi kejahatan’.

Bagaimanapun, berkenaan tahap kesabaran, seseorang perlu bijak mengurusnya agar mereka tidak menjadi dayus.

Oleh itu, tidak dinamakan kesabaran apabila seseorang hanya membiarkan pencuri memasuki rumah atau diancam yang mengancam agama, diri, keluarga dan negara.

Ramadan dan penghayatan al-Quran

kebaikan ramadhan


Oleh: Imran al-Malizi

Tahun lalu, saya pernah menulis satu bingkisan bertajuk Orang Yaman tidak lekang daripada Al-Quran. Ramai yang memberikan respon positif dan melahirkan rasa sukacita sekiranya suasana yang sama boleh dihidupkan di tanah air kita.

Hari pertama Ramadan ini, saya berjalan kaki pulang dari kelas pengajian al-Quran. Seperti yang saya jangkakan, begitu ramai orang yang membaca al-Quran di mana-mana sahaja. Sempat juga saya merakam gambar seorang penjual stoking sedang membaca al-Quran di kaki lima jalan.

Di sini bukan suatu yang pelik jika anda melihat peniaga jalanan, penjaga kedai buku, pengawal keselamatan, doktor, guru sekolah, malah sesiapa sahaja sama ada tua atau muda, kecil atau dewasa, mereka akan membaca al-Quran sepanjang bulan Ramadan lebih hebat berbanding pada bulan-bulan yang lain.

Hal ini secara umumnya, kerana mereka adalah masyarakat yang begitu menghayati agama. Mereka memahami firman Allah Ta’ala (bermaksud): Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil).” (Al-Baqarah: 185)

Setiap kali menyambut bulan Ramadan, mereka diperingatkan dengan begitu banyak riwayat-riwayat yang mengaitkan Ramadan dengan penghayatan al-Quran. Para ulama dan pendakwah akan selalu menyeru dan memberikan galakan agar masyarakat di Yaman memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan yang penuh keberkatan ini.

Menurut satu riwayat daripada Ibnu Abbas r.a, ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w adalah sebaik-baik manusia, baginda menjadi lebih baik pada bulan Ramadan ketika mana Jibril a.s menemuinya. Jibril a.s menemuinya (Nabi s.a.w) pada setiap malam di bulan Ramadan lalu mengajarkannya al-Quran. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Maka Ramadan itu sendiri dikhususkan untuk baginda bertadarus dengan Jibril, di mana baginda memeriksa bacaan serta hafalan di hadapan Jibril a.s. Pada setiap tahun, baginda s.a.w mengulangkaji (muraja’ah) ayat-ayat al-Quran yang telah diturunkan dalam tempoh setahun sebelumnya.

Imam al-Bukhari juga meriwayatkan bahawa pada tahun kewafatan baginda, Rasulullah s.a.w memperdengarkan al-Quran kepada Jibril a.s sebanyak dua kali khatam. Berdasarkan ini juga, para ulama berpendapat bahawa mengkhatamkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadan adalah bersesuaian dengan syarak.

Dengan ini adalah sunat bagi setiap muslim untuk membaca al-Quran pada bulan Ramadan dengan sekali khatam atau pun lebih. Menurut riwayat Imam al-Tirmizi dan Ahmad bin Hanbal r.h, adalah sunat mengkhatamkan al-Quran sekali pada setiap bulan. Manakala Imam Malik r.h meriwayatkan dalam al-Muwatta’, bagi sesiapa yang mampu, maka dikhatamkan al-Quran seminggu sekali.

Imam Malik r.h sendiri apabila memasuki bulan Ramadan, beliau meninggalkan bacaan hadis sama ada untuk mengajar atau pun meriwayatkannya. Beliau akan memperbanyakkan bacaan al-Quran. Begitulah juga para ulama dari kalangan salaf as-solihin. Ada di kalangan mereka yang mengkhatamkan al-Quran sekali pada setiap tiga malam. Sehinggakan pada 10 malam akhir Ramadan, mereka mengkhatamkan al-Quran pada setiap malam.

Namun bukanlah semata-mata khatam al-Quran itu yang menjadi keutamaan. Al-Quran itu hendaklah dibaca dengan bertadabbur untuk memahami ajaran yang terkandung di dalamnya dan Allah juga memerintahkan nabi s.a.w agar membacanya secara tartil iaitu dengan bacaan yang tertib dan perlahan-lahan.

Firman Allah Ta’ala (bermaksud): “Ini adalah sebuah Kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan keberkatan supaya mereka memperhatikan ayat-ayatNya dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran mendapat pelajaran.” (Shad: 29). FirmanNya lagi (bermaksud), “..dan Bacalah Al Quran itu dengan perlahan-lahan.” (al-Muzammil: 4)

Seperti yang pernah saya persoalkan, di sebalik semua anjuran dan galakan ini, mengapakah masyarakat di negara kita agak kurang menghayatinya. Seingat saya, amalan bertadarus di masjid-masjid negara kita hanya dilakukan oleh golongan tua. Itu pun dengan penyertaan yang agak terhad. Jika ada pun golongan muda, hanyalah golongan pelajar tahfiz atau imam masjid.

Apabila memerhatikan masyarakat Yaman yang membaca al-Quran daripada segala lapisan umur dan kedudukan, saya dapat simpulkan di antara sebab utama yang membantunya ialah pengajian al-Quran begitu meluas di sini.

Rata-rata orang di sini mampu membaca al-Quran. Guru-guru al-Quran juga ramai dan mereka mengajar secara percuma di masjid-masjid. Kanak-kanak mereka telah dididik dengan al-Quran semenjak kecil. Mereka menghafalnya sekurang-kurangnya 2-3 juzuk.

Secara jujurnya, masyarakat di negara kita sangat kurang yang mampu membaca al-Quran dengan baik. Kerana itu, jika ketiadaan imam di mana-mana masjid atau surau, para jemaah sudah mula gelisah. Sambil meninjau ke kiri dan ke kanan, orang-orang yang berimej ‘lebai’ atau ‘haji’ juga berpeluh jika ditakdirkan mereka harus ke depan.

Apatah lagi jika dikeluarkan statisik golongan buta al-Quran di kalangan para pelajar peringkat sekolah menengah. Maka inilah yang menjadi penyebab utama mengapa suasana Ramadan di negara kita amat sepi daripada bacaan al-Quran. Ini bukan sahaja pada bulan Ramadan, malah pada bulan-bulan yang lain.

Saya suka mengingatkan bahawa apabila satu masyarakat ini jauh daripada al-Quran, maka banyaklah anasir-anasir luar yang akan mempengaruhi pemikiran, ideologi, akhlak dan keperibadian generasi mudanya (dan yang tua juga).

Kerana itu keruntuhan moral dan pelanggaran batas-batas kehidupan banyak berkait dengan hubungan masyarakat itu dengan kitab Allah yang merupakan petunjuk dan pembeza di antara perkara yang hak dan batil.

Bagi melahirkan umat yang membaca dan mentadabbur al-Quran, golongan yang berpendidikan agama perlu memainkan peranan yang bersungguh-sungguh dalam mendidik anak-anak muslimin dengan al-Quran.

Penyakit yang melanda guru-guru al-Quran ialah terlalu berkira soal wang dalam mengajar kitab suci itu. Saya pernah mendengar betapa ramai ustaz dan ustazah yang menetapkan harga tertentu (dan lumayan) untuk mengajar al-Quran. Malah ilmu agama juga sudah boleh dijual beli secara pakej .

Sebenarnya masih ramai yang berminat untuk mempelajari al-Quran akan tetapi hasrat mereka terbantut apabila pengajian al-Quran sudah dikomersialkan sebagaimana pengajian sains dan matematik di kelas-kelas tuisyen dan intensif.

Saya sangat yakin keikhlasan adalah asas dalam dakwah kita untuk menyuburkan jiwa umat ini agar hidup dengan petunjuk Allah Ta’ala.

Perhatikan ayat-ayat al-Quran al-Karim yang menjelaskan kaedah para nabi a.s ketika menyampaikan petunjuk Allah. Firman Allah Ta’ala (bermaksud): “..Katakanlah: “Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk (Al-Quran yang aku sampaikan) itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk alam seluruhnya.” (Al-An’am: 90)

Firman Allah Ta’ala lagi (bermaksud): “Ikutlah orang-orang yang tidak meminta kepada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mendapat hidayah petunjuk“. (Yaa Siin: 21)

Ramadhan: Tarawih..Buat ke Tak Buat..

tarawih

Tarawih..Buat ke Tak Buat..

Alhamdulillah syukur pada Allah SWT kerana dapat kita melakukan ibadah puasa dengan baik pada hari pertama. Betapa rindunya kita untuk bersahur di hari pertama di bulan barakah ini dan berbuka bersama-sama dengan keluarga, rakan sekerja, rakan sekolah, rakan sekampung atau iftar di masjid atau surau. Betapa nikmatnya bila mendengar suara azan magrib berkumandang dengan disertakan bersama-sama membaca doa berbuka puasa.

Sebut pasal bulan Ramadhan, terus dalam fikiran kita memikirkan suatu perkara. ‘Benda’ ini perlu kita buat atau tidak?..Itu yang menjadi persoalan besar dalam fikiran kita. Kalau tak buat kawan2 kita akan kata kita pemalas. Kalau kita buat, aduh penatnya… Apakah ‘Benda’  yang menjadi ‘kekacauan’ dalam fikiran ini.? Tidak lain dan tidak bukan ‘benda’ ini adalahSolat Tarawih.

Solat Tarawih adalah ibadat istimewa pada Ramadan, maka apabila ia dilakukan dengan sempurna dan ikhlas, seseorang itu akan meraih ganjaran pahala berlipat ganda. Ternyata pada masa sama, hasil pelaksanaan puasa dan ibadah Tarawih, sekali gus juga menghapuskan dosa.

Perkara itu sesuai dengan sabda Nabi bermaksud: Ramadan adalah bulan yang Allah telah memfardukan atasmu berpuasa dalamnya, dan aku telah mensunahkan bagimu berdiri dan beribadah pada malamnya. Barang siapa berpuasa dan bersolat lail (Tarawih) kerana iman dan kerana mengharapkan Allah, nescaya dia keluar daripada dosanya, bagaikan bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya.”(Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah daripada Abu Hurairah).

Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, no: 759., Sabda baginda : “Sesiapa solat pada malam Ramadan dengan keimanan sebenar dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.

SubahanaALLAH…betapa besarnya ganjaran diberikan apabila seseorang itu melakukan Solat Tarawih dengan ikhlas kerana Allah SWT. Adakah sahabat2 masih ragu2 lagi untuk mengorbankan sedikit masa dan sedikit tenaga untuk melakukan ibadah yang hebat ini?

WaAllahualam…Yang baik itu datang dari Allah SWT, dan yang kurang itu datang dari kelemahan diri ana.. Selamat beramal.

Ramadhan: Nikmatnya bulan Ramadhan

ramadan2009

Assalamualaikum…Sahabat..

Alhamdulillah pertamanya marilah kita panjatkan SYUKUR(kalau boleh buat sujud syukur) kepada ALLAH SWT kerana dengan limpah kurnia dan belah kasihanNYA dapat lagi kita berjumpa Ramadhan pada tahun ini…

Sesungguhnya antara bulan2 yang dinantikan oleh Umat Islam adalah bulan Ramadhan..kerana apa, kerana dibulan ini begitu banyak NIKMAT dan PENGAMPUNAN yang diberikan ALLAH SWT kepada hambaNYA yang sentiasa mencari peluang untuk meminta keampunan dan membersihkan jiwa dari segala dosa2 yang lepas.

Antara NIKMAT Ramadhan yang dinantikan2 adalah seperti diriwayatkan oleh Abu Hurairah daripada Nabi S.A.W telah bersabda yang bermaksud :

Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.”

Ini antara janji2 ALLAH SWT kepada HambaNYA pada bulan Ramadhan ini. Ana berharap kita tidak melepaskan peluang keEMASan ini untuk mendapat NIKMAT dan PENGAMPUNAN dari ALLAH SWT.

Dan yang paling penting dan special sekali pada bulan Ramadhan ini adalah seperti hadis ini yang diriwayatkan daripada Abi Solih Az-Zaiyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :

“Setiap amalan anak Adam baginya melainkan puasa maka ia untuk Ku(ALLAH) dan Aku(ALLAH) sendiri yang akan membalasnya.”

Puasa dibulan Ramadhan ini diwajibkan keatas semua Umat Islam melalui firmanNya:

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah: 183)


Akhir kata renungkan kata-kata ini:

Ramadhan adalah bulan ruhani, bulan kebersihan jiwa, bulan munajat, serta waktu untuk mengadap yang Maha Esa, memohon pertolongan daripada Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar, dan menjalin hubungan dengan Al-Mala’ul A’la. Ia adalah bulan yang mempunyai penuh keistimewaan.

Wasalam…

Ramadhan: Kelebihan Bulan Ramadhan

Kelebihan Bulan Ramadhan

kaabanight

Berikut beberapa hadith yang menceritakan fadhilat bulan Ramadhan untuk kita hayati bersama dan mendapat keberkatannya :

1. Dari Abi Hurairah beliau berkata :Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

“Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan.”

Hadis riwayath  Bukhari, Muslim& Nasaaei.

2. Dan daripada Abu Hurairah daripada Nabi S.A.W telah bersabda yang bermaksud :

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.”

Hadith riwayat oleh Nasai’e, Ibn Majah dan Baihaqi

3. Dan Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang artinya :

“Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka akan diampunkan baginya  dosanya yang telah lalu.”

Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasai’e dan Baihaqi

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :

“Solat yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar).

Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah.”

Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim dan Baihaqi

5. Daripada Abi Solih Az-Zaiyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :

“Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untuk Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri isterinya pada hari itu dan tidak meninggikan suara.

Sekiranya dia dihina atau diajak berkelahi maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri Nabi Muhammad saw didalam kudratNya maka bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.

Hadis riwayat imam Bukhari& Muslim.

wallahua’lam

from: Ustaz Azhar Idrus

Ramadhan :Berlumba-lumba kerjakan ibadah 10 malam terakhir

Ramadhan : Berlumba-lumba kerjakan ibadah 10 malam terakhir


Bulan Ramadhan yang mulia ini sudah menghampiri penghujungnya apabila kita sudah memasuki tahap ketiga Ramadhan iaitu tahap pembebasan umat Islam yang bertaqwa dari seksa neraka.

Penghujung Ramadhan ini juga kebiasaannya disebut-sebut sebagai 10 malam terakhir, di mana umat Islam diseru agar merebut peluang bagi menghidupkan malam-malam akhir Ramadhan yang begitu besar ganjarannya.

Ketika ini, umat Islam sangat dituntut supaya membuat banyak amalan, di mana malam Lailatul Qadaryang digandakan pahala amalan pahala itu selama 1000 bulan.

Bermakna sesiapa sahaja yang melakukan amalan baik seperti membaca al-Quran, solat sunat dan apa jua yang baik, semuanya diberikan bonus 1000 bulan berturut-turut – satu ganjaran yang sangat mahal nilainya.

Anugerah Allah SWT ini tidak lain dan tidak bukan kerana umur umat Nabi Muhammad pendek berbanding umat Islam terdahulu.

Justeru, Allah SWT member peluang kepada kita untuk menggunakan kesempatan yang ada untuk beramal soleh sebagai bekalan di akhirat kelak.

Ketika ini jugalah nafsu kita sebagai umat Islam perlu dikekang sebaik-baiknya. Kerana kebiasaannya dipenghujung Ramadhan ini, surau-surau semakin lengang apabila masing-masing sudah bersiap sedia untuk menyambut hari raya.

Biarpun hari raya itu memang wajar disambut, janganlah sampai terleka hingga amalan-amalan yang sepatut ditingkatkan, tertinggal begitu sahaja.

Umat Islam perlu mencontohi Rasulullah SAW dan para sahabat terdahulu yang bersedih apabila akan meninggalkan Ramadhan yang penuh rahmat ini. Keadaan kita sekarang ini sudah berbeza apabila kita sudah terleka untuk meningkatkan amalan di 10 malam terakhir ini.

Umat Islam juga digalakkan beriktikaf di masjid dan surau-surau menuruti sunnah Rasulullah SAW dan isterinya – yang berhenti dari aktiviti-aktiviti lain untuk meghidupkan malam-malam terakhir tersebut.


Ramai di kalangan umat Islam yang bersedia awal untuk menyambut Syawal, namun berapa ramai yang bersedia untuk menghadapi kematian? Matlamat Ramadhan itu adalah untuk mencapai ketaqwaan.

Sesungguhnya terdapat 4 syarat untuk mendapat darjat taqwa iaitu :

1) Mesti ada rasa gerun pada ALLAH

2) Mereka yang patuh pada syariah

3) Mereka yang reda dengan pemberian ALLAH

4) Mereka yang membuat persiapan untuk menghadapi kematian.

Ramadhan :Keutamaan bulan Ramadan dan keutamaan beramal di dalamnya

Ramadhan :Keutamaan bulan Ramadan dan keutamaan beramal di dalamnya

 

 

 

1. Ertinya : Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra: Bahwa sesungguhnya Rasulullah saw. pernah bersabda : Ketika datang bulan Ramadan: Sungguh telah datang kepadamu bulan yang penuh berkat, diwajibkan atas kamu untuk puasa, dalam bulan ini pintu Jannah dibuka, pintu Neraka ditutup, Setan- Setan dibelenggu. Dalam bulan ini ada suatu malam yang nilainya sama dengan seribu bulan, maka barangsiapa diharamkan kebaikannya (tidak beramal baik didalamnya), sungguh telah diharamkan (tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini). ( HR. Ahmad, Nasai dan Baihaqy. Hadits Shahih Ligwahairihi)

.2. “Diriwayatkan dari Urfujah, ia berkata : Aku berada di tempat ‘Uqbah bin Furqad, maka masuklah ke tempat kami seorang dari Sahabat Nabi saw. ketika Utbah melihatnya ia merasa takut padanya, maka ia diam. ia berkata: maka ia menerangkan tentang puasa Ramadan ia berkata : Saya telah mendengar Rasulullah saw bersabda tentang bulan Ramadan: Di bulan Ramadan ditutup seluruh pintu Neraka, dibuka seluruh pintu Jannah, dan dalam bulan ini Setan dibelenggu. Selanjutnya ia berkata : Dan dalam bulan ini ada malaikat yang selalu menyeru : Wahai orang yang selalu mencari/ beramal kebaikan bergembiralah anda, dan wahai orang-orang yang mencari/berbuat kejelekan berhentilah ( dari perbuatan jahat) . Seruan ini terus didengungkan sampai akhir bulan Ramadan.” (Riwayat Ahmad dan Nasai )

3. ” Diriwayatkan dari Abi Hurairah ra. Sesungguhnya Nabi saw. telah bersabda : Solat lima waktu, solat Jum’at sampai solat Jum’at berikutnya, puasa Ramadan sampai puasa Ramadaan berikutnya, adalah menutup dosa-dosa (kecil) yang diperbuat diantara keduanya, bila dosa-dosa besar dijauhi.” ( H.R.Muslim)

 

4. “Diriwayatkan dari Abdullah bin Amru, bahwa sesungguhnya Nabi saw. telah bersabda: puasa dan Qur’an itu memintakan syafa’at seseorang hamba di hari Kiamat nanti. puasa berkata : Wahai Rabbku, aku telah mencegah dia memakan makanan dan menyalurkan syahwatnya di siang hari, maka berilah aku hak untuk memintakan syafa’at baginya. Dan berkata pula AL-Qur’an : Wahai Rabbku aku telah mencegah dia tidur di malam hari ( kerana membacaku ), maka berilah aku hak untuk memintakan syafaat baginya. Maka keduanya diberi hak untuk memmintakan syafaat.” ( H.R. Ahmad, Hadits Hasan).

 

5. “Diriwayatkan dari Sahal bin Sa’ad : Sesungguhnya Nabi saw telah bersabda : bahwa sesungguhnya bagi Jannah itu ada sebuah pintu yang disebut ” Rayyaan”. Pada hari kiamat dikatakan : Dimana orang yang puasa? ( untuk masuk Jannah melalui pintu itu), jika yang terakhir diantara mereka sudah memasuki pintu itu, maka ditutuplah pintu itu.” (HR. Bukhary Muslim).

 

6. Rasulullah saw. bersabda : Barangsiapa puasa Ramadhan kerana beriman dan ikhlas, maka diampuni dosanya yang telah lalu dan yang sekarang ( HR.Bukhary Muslim).

 

KESIMPULAN :

 
Kesemua Hadits di atas memberi pelajaran kepada kita, tentang keutamaan bulan Ramadhan dan keutamaan beramal didalamnya, diantaranya :
Bulan Ramadhan adalah:

. Bulan yang penuh Barakah.

. Pada bulan ini pintu Jannah dibuka dan pintu neraka ditutup.

. Pada bulan ini Setan-Setan dibelenggu.

. Dalam bulan ini ada satu malam yang keutamaan beramal didalamnya lebih baik daripada beramal seribu bulan di bulan lain, yakni malam LAILATUL QADR.

. Pada bulan ini setiap hari ada malaikat yang menyeru menasehati siapa yang berbuat baik agar bergembira dan yang berbuat ma’shiyat agar menahan diri. (dalil 1 & 2).

Keutamaan beramal di bulan Ramadhan antara lain :

. Amal itu dapat menutup dosa-dosa kecil antara setelah Ramadhan yang lewat sampai dengan Ramadhan berikutnya.

. Menjadikan bulan Ramadhan memintakan syafaa’t.

. Khusus bagi yang puasa disediakan pintu khusus yang bernama Rayyaan untuk memasuki Jannah. ( dalil 3, 4, 5 dan 6).

Ramadhan : Kelebihan amalan sunat pada Ramadan amat besar

Ramadhan : Kelebihan amalan sunat pada Ramadan amat besar

 

UMAT Islam digalakkan melakukan sebanyak mungkin amalan sunat sepanjang Ramadan untuk mengharapkan ganjaran pahala dan keredaan Allah. Amalan sunat atau disebutkan juga sebagai an-nadbu itu walaupun tidak sampai ke tahap wajib, namun kelebihan mengerjakannya amat besar.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersifat lebih pemurah dan dermawan sewaktu Ramadan. Dalam hal ini, Baginda bersabda yang bermaksud : “Sedekah yang paling afdhal (baik) adalah sedekah yang dikeluarkan dalam bulan Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Bersedekah yang dituntut adalah kepada golongan miskin, anak yatim dan orang tidak berupaya.


Kelebihan bersedekah juga diterangkan dalam al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud: “Bandingan (pahala) orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai dan pada setiap tangkai pula ada 100 biji. Allah melipatgandakan ganjaran sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 261).

Ibadat sedekah juga disebut ibadat yang sentiasa mengurniakan ganjaran pahala walaupun selepas meninggal dunia.


Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Apabila mati seorang anak Adam, maka terputus amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu dimanfaatkan oleh orang lain dan anak soleh yang mendoakan untuknya. – (Hadis riwayat Muslim).

Ulama, As-Samarqandi dalam Tanbihul Ghafilin menjelaskan beberapa kelebihan diberikan kepada orang yang bersedekah.

Kelebihan itu dikelaskan kepada dua iaitu kelebihan dunia dan akhirat.

As-Samarqaridi menjelaskan bahawa kelebihan di dunia adalah membersih harta dan menyucikan diri, menolak bala serta penyakit, menyenangkan hati orang miskin dan menjadikan harta berkat.

Sementara kelebihan di akhirat adalah menjadi naungan bagi yang bersedekah iaitu meringankan hisab, memberatkan timbangan amal kebajikan, memudahkan seseorang menyeberangi Titian Sirat al-Mustaqim serta meningkatkan kedudukan di syurga.

Ramadhan : Ganjaran ikhlas berpuasa

Ramadhan : Ganjaran ikhlas berpuasa

 

 

BALASAN bagi orang yang berpuasa dengan penuh takwa dan ikhlas bagi mendapatkan keredaan Allah sangat besar. Selain, diberikan ganjaran pahala berlipat ganda, Allah turut berjanji balasan syurga untuk mereka.

Daripada Sahl bin Sa’ad, bahawa Nabi Muhammad bersabda bermaksud: “Sesungguhnya di syurga ada pintu yang bernama ar-Rayyan tempat masuk orang yang berpuasa pada hari kiamat. Tidak dapat masuk daripada pintu itu kecuali orang yang berpuasa, dipanggil oleh penjaganya: “Di manakah orang yang telah berpuasa?”

“Dan tidak dapat masuk ke situ kecuali mereka yang berpuasa saja, dan jika semuanya telah selesai masuk, maka pintu itu ditutup, dan tidak masuk melaluinya melainkan mereka yang berpuasa saja.”

Sesungguhnya ujian daripada puasa itu amat besar.

Oleh itu, kedudukannya di sisi Allah sangat mulia hinggakan Allah menyediakan pintu khas ke

syurga yang dinamakan ar-Rayyan.

Malaikat yang menjaga pintu itu akan menyeru dan memanggil orang berpuasa untuk dimasukkan ke syurga melalui pintu ar-Rayyan yang dijaganya dan tidak ada yang dapat melaluinya melainkan mereka yang layak saja.

Daripada Abu Said al-Khudri, katanya, Rasulullah bersabda: “Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sehari dengan niat kerana Allah, melainkan akan Allah jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan 70 tahun lamanya.”

Orang berpuasa dengan niat ikhlas kerana Allah, kemudian memelihara puasanya daripada amalan ditegah, Allah akan membalasnya dengan menjauhkan dirinya daripada api neraka sejauh 70 tahun perjalanan.