Kita beralasan dengan ALLAH SWT?

Kita beralasan dengan ALLAH SWT?


Umumnya, manusia suka menggunakan pelbagai alasan sebagai satu alat untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab dan masalah. Ini adalah satu penyakit bagi umat manusia dari dulu sampai sekarang, termasuk kita..
Bukan setakat di dunia sahaja manusia suka beralasan malahan juga di akhirat iaitu sewaktu berlangsungnya perbicaraan di Padang Mahsyar.
Pada hari kiamat nanti Allah akan menolak 4 macam alasan dari 4 jenis manusia.


1. Allah menolak alasan dari orang kaya kalau sekiranya ia berkata “ Kekayaan yg aku cari dgn usaha titik peluh sendiri telah menyibukkan aku sehingga aku tidak sempat melaksanakan amal ibadat dan kebajikan.” Firman Allah kpdnya, “ Kekayaanmu tidaklah setanding dengan kekayaan Nabi Sulaiman tetapi dia sedikitpun tidak lalai dan lupa dari mengingatiKu.”

2. Allah menolak alasan dari hamba sahaya sekiranya ia berkata, “ Aku adalah seorang hamba dan sentiasa terikat kpd suruhan yg menjadikan aku tidak bebas. Oleh sebab itu aku tidak berpeluang utk beribadat kpdMu.” Firman Allah kpdnya, “ UtusanKu yg bernama Nabi Yusuf juga pernah menjadi hamba tetapi tidak pula ia leka mengerjakan ibadatnya kpdKu.”

3. Allah menolak alasan dari orang miskin sekiranya ia berkata, “ Kemiskinan dan kekurangan yg kami miliki inilah yg menyebabakan kami tidak berpeluang utk beribadat kpdMu.” Firman Allah kpdnya, Kemiskinan yg kamu rasai tidaklah semiskin sebagaimana seorang utusanKu iaitu Nabi Isa a.s dan ia tidaklah pula mengabaikan tanggungjawab kpdKu.”

4. Alllah menolak alasan dari orang yang sedang menderita sakit sekiranya ia berkata, “ Penyakit inilah yang menghalang aku dari melakukan sujud kpdMu.” Firman Allah kpdnya, Penyakitmu tidaklah seteruk spt apa yg dialami oleh hambaKu yg mulia iaitu Nabi ayub a.s tetapi lidah dan hatinya sedikitpun tidak berhenti dari menyebut namaKu”

Masihkah kita mau beralasan?

ANAK KECIL YANG TAKUT API NERAKA

ANAK KECIL YANG TAKUT API NERAKA

Dalam sebuah riwayat menyatakan bahawa ada seorang lelaki tua sedang berjalan-jalan di tepi sungai, sedang dia berjalan-jalan dia terpandang seorang anak kecil sedang mengambil wudhu’ sambil menangis.

Apabila orang tua itu melihat anak kecil tadi menangis, dia pun berkata, “Wahai anak kecil kenapa kamu menangis?”

Maka berkata anak kecil itu, “Wahai pakcik saya telah membaca ayat al-Qur’an sehingga sampai kepada ayat yang berbunyi, “Yaa ayyuhal ladziina aamanuu quu anfusakum” yang bermaksud, ” Wahai orang-orang yang beriman, jagalah olehmu sekalian akan dirimu.” Saya menangis sebab saya takut akan dimasukkan ke dalam api neraka.”

Berkata orang tua itu, “Wahai anak, janganlah kamu takut, sesungguhnya kamu terpelihara dan kamu tidak akan dimasukkan ke dalm api neraka.”

Berkata anak kecil itu, “Wahai pakcik, pakcik adalah orang yang berakal, tidakkah pakcik lihat kalau orang menyalakan api maka yang pertama sekali yang mereka akan letakkan ialah ranting-ranting kayu yang kecil dahulu kemudian baru mereka letakkan yang besar. Jadi tentulah saya yang kecil ini akan dibakar dahulu sebelum dibakar orang dewasa.”

Berkata orang tua itu, sambil menangis, “Sesungguh anak kecil ini lebih takut kepada neraka daripada orang yang dewasa maka bagaimanakah keadaan kami nanti?”

Taubat: Pengertian, amalan dan kaedah di sisi Islam

Taubat: Pengertian, amalan dan kaedah di sisi Islam

Prof Madya Dr Musa Fathullah Harun

Di dalam surah Al-Nisa: 17-18, Allah SWT berfirman, maksudnya:

“Sesungguhnya penerimaan taubat di sisi Allah hanyalah bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya, dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini(sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang pedih”.

Para mufassirin berkata: Setiap orang yang menderhaka kepada Allah dinamakan jahil, dan perbuatannya dinamakan kejahilan. Ini kerana, kalaulah orang yang menderhaka itu menggunakan ilmunya tentang ganjaran dan hukuman yang akan dihadapi, tentunya ia tidak akan berani melakukan ma’siat.

Tetapi kerana ia tidak menggunakan ilmunya tersebut, maka menjadilah ia seperti tidak berilmu. Atas pertimbangan inilah maka orang yang menderhaka kepada Tuhannya dinamakan jahil, sama ada ma’siat yang dilakukannya itu diketahui sebagai ma’siat atau pun tidak diketahuinya.

Ini kerana, ia mungkin mengetahui bahawa perbuatan yang dilakukannya itu adalah ma’siat, tetapi dari sudut lain, ia dikatakan jahil kerana tidak mengetahui kadar seksaan atau kadar kesakitan yang akan dideritanya kemudian.

Mengenai firmanNya SWT yang bermaksud, “Kemudian mereka bertaubat dalam masa dekat”, mereka bersepakat bahawa yang dimaksudkan ialah sebelum hadirnya kematian, atau sebelum melihat kematian. Dengan kata-kata lain pintu taubat terbuka bagi manusia selama rohnya masih berada dalam jasadnya, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad daripada Abdullah Bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah menerima taubat hamba selama ia belum ghargharah(sakrat menjelang maut)”.

Allah SWT menamakan masa tersebut sebagai masa yang dekat, kerana:

Pertama: Kematian itu pasti datang, dan semua yang datang adalah dekat.

Kedua: Untuk mengingatkan bahawa masa umur manusia, meskipun panjang, adalah pendek, yakni dekat.

Ketiga: Manusia setiap waktu, mempunyai perasaan kemungkinan didatangi maut, dan setiap yang demikian keadaannya disifati dengan dekat.

Imam Fakhr al-Razi berpendapat bahawa yang dimaksud dengan perkataan, “dalam masa dekat” ialah bahawa ia memulai taubat itu pada masa yang tidak jauh daripada masa melakukan ma’siat agar ia tidak termasuk ke dalam golongan orang yang berketetapan hati untuk terus dalam ma’siat.

Adapun orang yang bertaubat dalam masa yang lama selepas ma’siat, dan dalam masa yang lama sebelum mati maka ia terkeluar daripada golongan orang-orang yang dikhususkan dengan kemuliaan kepastian diterima taubatnya oleh Allah SWT. Orang yang demikian termasuk dalam golongan orang-orang yang dijanjikan dengan firmanNya:

“Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka”.

Tentunya di antara dua kedudukan tersebut terdapat perbezaan yang jelas. Imam Ghazali berkata bahawa firman Allah SWT:

“Kemudian bertaubat dalam masa yang dekat”, maknanya dekat dari masa kesalahan atau perbuatan dosa, iaitu dengan menyesali ke atasnya dan menghapus kesannya dengan perbuatan yang baik yang mengiringinya sebelum bertumpuknya kotoran di atas hati, yang menjadikannya susah dihapus.

Kerana itulah Rasulullah SAW bersabda: “Ikutilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapusnya”.

Dan kerananya juga Luqman berkata kepada anaknya:

“Wahai anakku, janganlah engkau mentakhirkan taubat. Sesungguhnya mati itu datang dengan tiba-tiba(mengejut)”.

Barang siapa yang tidak segera bertaubat dengan menunda-nunda, maka ia berada di antara dua bahaya besar: salah satunya: hatinya akan tertimbus kegelapan daripada perbuatan-perbuatan ma’siat, sehingga menjadi kotoran dan tabiat yang tidak dapat dihapuskan. Kedua: ia mungkin akan disegerakan oleh penyakit atau kematian, sehingga tidak mempunyai kesempatan untuk bertindak menghapuskannya.

Syarat-syarat taubat

Bagi diterimanya taubat, mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:

Pertama: meninggalkan ma’siat dengan segera.

Kedua: niat atau azam untuk meninggalkannya atau untuk tidak mengulangi atau kembali kepadanya pada masa akan datang.

Ketiga: menyesali dalam hati ke atas perbuatannya pada masa lampau.

Keempat: penyesalannya itu disebabkan perasaan malu atau takut kepada Allah SWT, bukan kerana yang lain.

Kelima: mengembalikan setiap yang diambilnya secara zalim, atau meminta kemaafan daripada orang yang dizalimi atau disakitinya.

Ada juga yang mensyaratkan berterusannya penyesalan tersebut.

Daripada syarat-syarat tersebut, kita dapat mengambil kesimpulan bahawa:

Seorang tua yang menyatakan bertaubat daripada perbuatan-perbuatan ma’siat, tetapi ketika ditanya mengapa ia membiarkan anaknya melakukan perbuatan tersebut, ia menjawab bahawa anaknya masih muda, dan bila ia sudah tua seperti saya, insya Allah, ia akan bertaubat juga.

Orang seperti ini sebenarnya belum bertaubat, kerana daripada jawabannya tersebut, kita memahami bahawa seandai ia dikembalikan ke usia muda, maka ia akan melakukannya kembali. Begitu juga daripada jawabannya tersebut, kita juga memahami bahawa pada dirinya tidak ada penyesalan terhadap perbuatan dosa yang telah dilakukannya dahulu.

Begitu juga pernyataan taubat daripada seseorang ke atas sebarang perbuatan ma’siat yang telah dilakukanya, tetapi dalam masa yang sama ia merasa bangga bahawa dahulu ia telah melakukannya.

Seperti orang yang berkata dengan perasaan bangga. Aku dahulu jahat, aku sering minum khamar(arak), segala jenis khamar aku telah merasakannya, sering berzina dengan pelancur berbagai bangsa, dan sebagainya, tetapi sekarang aku telah bertaubat. Jika benar ia telah bertaubat, tentunya ia akan membenci perbuatan-perbuatan tersebut, merasa malu dan tidak akan mengatakannya kepada orang lain, yang dengannya tidak akan mengatakannya kepada orang lain, yang dengannya bererti ia telah menzahirkannya, iaitu suatu perbuatan yang jelas dilarang oleh Allah SWT.

Jenis-jenis taubat

Al-Tahanui, di dalam kitabnya telah menjelaskan jenis-jenis taubat sebagai berikut:

Di kalangan ulama ada yang mengatakan bahawa taubat ada dua jenis, iaitu:

Pertama: Taubat al-inabah, iaitu bahawa anda bertaubat kerana takut kepada Allah disebabkan kuasaNya ke atas diri anda.

Kedua: Taubat al-istijabah, iaitu bahawa anda bertaubat kerana perasaan malu kepada Allah disebabkan dekatNya kepada diri anda.

Abu Daqqaq berkata, Taubat terbahagi kepada tiga bahagian: pertama al-taubah, kedua Al-inabah, dan ketiga al-awbah.

Orang yang bertaubat kerana takutkan seksaan, maka ia disebut sahib al-taubah. Orang yang bertaubat kerana tamakkan pahala atau ganjaran, maka ia disebut sahib al-inabah. Dan orang yang bertaubat kerana semata-mata meraikan perintah Allah SWT tanpa perasaan takut seksaan atau tamakkan pahala atau ganjaran, maka ia disebut sahib al-awbah.

Dzu al-Nun al Misri pula berkata: Taubatnya orang awam adalah daripada dosa; taubatnya golongan khawas adalah daripada kecuaian atau kelalaian, yang oleh mereka dianggap sebagai dosa besar; dan taubatnya para nabi pula adalah daripada melihat kelemahan mereka untuk mencapai apa yang boleh dicapai oleh orang lain.

Ada juga yang mengatakan bahawa taubat merupakan sifat kebanyakan orang-orang yang beriman, sebagaimana difirmankan oleh Allah SWT di dalam surah Al-Nur:31:

“Wahai orang-orang yang beriman bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, mudah-mudahan kamu beruntung”.

Inabah merupakan sifat para Wali dan Muqarrabiin, sebagaimana difirmankan oleh Allah SWT di dalam surah Qaaf: 33: “(Iaitu) orang yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah, semasa tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Allah serta ia datang (kepada Allah) dengan hati yang tunduk ta’at”.

Awbah pula merupakan sifat para nabi dan rasul, sebagaimana difirmankan oleh Allah SWT di dalam surah Saad 44:

“Sesungguhnya Kami mendapati Nabi Ayyub itu seorang yang sabar. Ia adalah sebaik-baik hamba, sesungguhnya ia sentiasa rujuk kembali(kepada Kami dengan ibadatnya)”.

Peringkat orang-orang yang bertaubat

Mengikut pandangan Imam Ghazali, jika dilihat kepada dawam atau berterusannya taubat, orang-orang yang bertaubat itu terbahagi kepada empat peringkat:

Peringkat pertama: Orang yang bertaubat dan istiqamah dalam taubatnya hingga ke akhir hayatnya. Ia berusaha menebus segala dosanya, mencapai semua yang terluput daripadanya dan tidak kembali melakukan perbuatan-perbuatan dosa, melainkan dosa-dosa kecil yang biasanya tidak terlepas manusia daripadanya, melainkan nabi atau rasul.

Inilah yang disebut al-tawbah al-nasuh, dan jiwa orangnya layak disebut sebagai al-nafs al-mutma’innah(jiwa yang tenang), yang insya Allah, akan kembali kepada Tuhannya dalam keadaan redha dan diredhai.

Peringkat kedua: Orang yang bertaubat dan istiqamah dalam ketaatan dan meninggalkan dosa-dosa besar keseluruhannya, tetapi tidak terlepas daripada dosa-dosa yang tidak disengaja, yang merupakan ujian dalam perjalanan hidupnya tanpa sebarang keazaman untuk melakukannya.

Setiap kali ia melakukan dosa ia mencela dirinya dan menyesalinya serta memperbaharui keazaman untuk menjauhi segala sebab-sebabnya. Jiwa orangnya layak disebut sebagai al-nafs al-lawwamah(jiwa yang banyak mencela dirinya).

Peringkat ini, meskipun lebih rendah daripada peringkat pertama, tetapi termasuk peringkat yang tinggi juga, dan ia merupakan kebanyakan keadaan orang-orang yang bertaubat. Kesudahan usahanya ialah memenangkan kebaikannya ke atas keburukannya.

Sehingga menjadi beratlah timbangan kebaikan atau hasanatnya. Kepada mereka Allah SWT telah memberikan janji yang baik dengan firmanNya di dalam surah Al-Najm:32:

“Orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil(yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dima’afkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya”.

Begitu juga Allah telah memuji mereka di dalam firmanNya di dalam surah Ali Imran:135:

“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah, lalu memohon ampun akan dosa mereka, dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa selain Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”.

Peringkat ketiga: Orang yang bertaubat dan istiqamah beberapa masa, kemudian ia dikalahkan oleh syawatnya sehingga dengan sengaja ia melakukan perbuatan dosa kerana kelemahannya dalam menghadapi syahwatnya tersebut.

Tetapi, meskipun demikian, ia masih taat dan berusaha menghindari ‘dosa-dosa lain, walaupun ada keinginan dan kemampuan untuk melakukannya. Selepas melakukan dosa, ia menyesali dan berharap alangkah baiknya kalau ia tidak melakukannya. Ia berazam untuk bertaubat dan berusaha melawan syahwatnya, tetapi nafsunya terus menggoda atau memujuknya, sehingga berkali-kali dari sehari ke sehari, ia menunda taubatnya.

Keadaan orang yang seperti ini termasuk ke dalam golongan yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam surah Al-Tawbah: 102:

“Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur-adukkan amal yang baik dengan amal lain, yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”.

Orang-orang seperti ini mempunyai harapan diterima taubatnya, tetapi perbuatan menunda-nunda taubat adalah sangat berbahaya, kerana mungkin ia didatangi maut sebelum sempat bertaubat, maka buruklah akibatnya. Na’udzu BiLlahi Min Dzalika.

Peringkat Keempat: Orang yang bertaubat dan istiqamah untuk beberapa lama, tetapi kemudian kembali kepada melakukan perbuatan-perbuatan ma’siat tanpa adanya bisikan dalam hatinya untuk bertaubat dan tanpa ada perasaan menyesali perbuatannya tersebut. Bahkan ia bergelimang di dalamnya seperti bergelimangnya orang yang lalai dalam mengikuti syahwatnya.

Orang seperti ini dikhuatirkan ke atasnya kesudahan yang buruk. Masalahnya kembali kepada kehendak Allah SWT. Jika Allah SWT menyudahi hayatnya dengan keburukan, maka ia akan menderita kesengsaraan yang tidak berkesudahan di akhirat.

Jika Allah SWT menyudahi hayatnya dengan kebaikan sehingga ia mati dalam tauhid, maka ia akan menanti kebebasan daripada seksaan neraka walaupun selepas beberapa masa.

Menuntut keampunan dengan amal-amal ketaatan adalah seperti menuntut ilmu dengan kesungguhan dan mengulang-kaji atau seperti menuntut harta dengan berniaga dan merantau. Adapun menuntutnya dengan sekadar harapan tanpa sebarang amal usaha adalah seperti mencari harta karun di tanah gersang, atau seperti menuntut ilmu dari pengajaran malaikat.

Di dalam surah Al-Najm: 39-41, Allah SWT berfirman:

“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya, dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan(kepadanya, pada hari kiamat kelak); kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna”.

Tazkirah: Punca perbuatan maksiat dan keperluan bersegera taubat

Tazkirah: Punca perbuatan maksiat dan keperluan bersegera taubat

Prof Madya Dr Musa Fathullah Harun

Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasai, Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad dan Al-Darimi telah meriwayatkan daripada Al-Nu’man Bin Basyir r.a. bahawa beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Perkara Yang halal adalah jelas dan perkara yang haram juga jelas, dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar), yang kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menghindari perkara-perkara yang syubhat(yang samar), maka ia telah membersihkan kehormatan dan agamanya, dan sesiapa yang jatuh pada perkara-perkara yang syubhat, maka ia pasti jatuh pada yang haram. Seperti pengembala yang mengembala di sekitar kawasan larangan, hampir-hampir ia memasukinya. Sesungguhnya setiap kerajaan mempunyai kawasan larangan. Ketahuilah bahawa di dalam jasad ada segumpal daging, yang jika ia elok maka eloklah seluruh jasad, dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah, bahawa ia adalah hati”.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda 194.

“Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan kebaikan akhlak”.

Perkataan akhlaq adalah plural daripada khuluq yang dari segi bahasa bererti perangai, tabiat, adat, maruah dan agama. Adapun dari segi istilah, Ibnu Miskawaihi mentakrifkan khuluq sebagai sifat yang mantap di dalam jiwa yang mengajaknya kepada melakukan perbuatan tanpa berfikir.

Imam Ghazali195 pula mentakrifkannya sebagai satu bentuk atau keadaan (hai’ah) yang tetap atau melekat di dalam jiwa, yang daripadanya keluar perbuatan-perbuatan dengan mudah, tanpa berfikir. Apabila daripada hai’ah tersebut keluar perbuatan-perbuatan yang baik lagi terpuji, sama ada mengikut pandangan syara’ atau akal, maka hai’ah tersebut disebut akhlaq yang baik. Tetapi apabila daripada hai’ah itu keluar perbuatan-perbuatan yang buruk, maka hai’ah tersebut disebut akhlaq yang buruk.

Sifat dalam jiwa dan kesannya pada anggota badan

Jadi akhlak mempunyai pengaruh yang berkesan ke atas Suluk atau tingkah-laku dan perbuatan-perbuatan yang keluar daripada manusia. Imam Ghazali menyatakan bahawa setiap sifat yang ada di dalam jiwa atau hati akan nampak kesannya pada anggota-anggota badan, sehingga anggota-anggota badan tersebut tidak bekerja melainkan mengikut sifat yang ada di dalam jiwa atau hati tersebut.

Dengan demikian, jelaslah bagi kita bahawa punca daripada segala perbuatan manusia, sama ada yang baik atau pun yang buruk, sama ada berupa kebajikan ataupun ma’siat, pahala atau dosa, adalah datang daripada sifat-sifat yang ada di dalam jiwanya.

Imam Ghazali berkata bahawa manusia mempunyai sifat-sifat yang banyak, tetapi yang menjadi punca perbuatan ma’siat atau dosa ada empat sifat, iaitu: sifat rububiyah (ketuhanan), sifat syaitaniyah (kesyaitanan), sifat bahimiyah (kebinatangan), dan sifat sabu’iyah(kebuasan). Hal yang sedemikian disebabkan kerana perwatakan manusia diadun daripada campuran yang bermacam-macam. Setiap satu daripada campuran dalam adunan tersebut mempunyai kesannya.

Pertama: Dari kumpulan sifat-sifat rububiyah muncullah sekumpulan daripada dosa-dosa besar, seperti riya’, sukakan pujian, takabbur, cintakan kedudukan, kepimpinan dan pengaruh, suka memaksa, sukakan kekayaan, menghinakan atau merendahkan orang lain dan lain-lain seumpamanya.

Abu Daud, Ibnu Majah, dan Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Rasullah SAW bersabda:

“Allah Azza Wa Jalla berfirman: Kesombongan itu adalah pakaianKu, dan kebesaran itu adalah selendangKu. Barangsiapa yang menyaingi Aku pada salah satu daripada keduanya, nescaya Aku lemparkan dia ke dalam neraka”.

Muslim, Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda.

“Tidak akan masuk Syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah daripada kesombongan”.

Kedua: Dari sifat-sifat syaitaniyah muncul sifat dengki,zalim, muslihat, tipu, mengajak kepada kerosakan dan kemungkaran, hipokrit, menyeru kepada bid’ah dan kesesatan, dan seumpamanya.

Ketiga: Dari sifat-sifat bahimiyah muncul sifat tamak, rakus, garang, gemar memuaskan syahwat, yang muncul daripada zina, liwat(homosek), mencuri, memakan harta anak yatim dan lain-lain seumpamanya.

Keempat: Dari sifat-sifat sabu’iyah(buas) muncul sifat marah, dendam, menceroboh, bergaduh, memaki, membunuh dan memusnahkan harta.

Kemunculan sifat-sifat ini adalah secara beransur-ansur.Mula-mula yang dominan adalah sifat bahimiyah, kemudian sifat sabu’iyah. Apabila berkumpul kedua sifat tersebut, mulailah keduanya memanipulasikan akal dalam menipu, membuat helah, yang merupakan sifat-sifat syaitaniyah.Kemudian, yang terakhir dominan ialah sifat-sifat rububiyah, iaitu sifat megah, bongkak, suka meninggi diri, suka dipuji, gila kuasa, gila pangkat dan seumpamanya.

Inilah punca utama yang menjadi sumber perbuatan dosa, yang daripadanya mengalir ke anggota-anggota badan, sebahagiannya ke dalam hati khususnya, seperti kufur,nifaq,menyembunyikan kejahatan, sebahagiannya ke perut dan kemaluan, sebahagiannya ke tangan dan kaki, dan sebahagiannya ke seluruh badan.

Dosa-dosa ini terbahagi kepada dosa antara hamba dengan Allah SWT, seperti meninggalkan solat, puasa dan kewajiban-kewajiban khusus, dan dosa yang berkaitan dengan hak-hak manusia, seperti tidak membayar zakat, membunuh,merampas harta, memaki, dan lain-lain. Kemudian ia juga terbahagi kepada dosa-dosa besar dan dosa-dosa kecil, yang mengenainya terdapat perbezaan pandangan yang terlalu banyak untuk dihuraikan disini.

Hanya sebagai panduan, dikemukakan beberapa perkara untuk dijadikan pegangan:

Pertama: Dosa kecil menjadi besar kerana beberapa sebab, di antaranya ialah jika dilakukan secara berterusan dan tidak ada azam untuk meninggalkannya. Oleh sebab itu, ada yang mengatakan:

“Tidak ada dosa kecil bersama adanya azam untuk terus melakukan, dan tidak ada dosa besar bersama adanya permohonan meminta keampunan”.

Perbuatan dosa besar yang dilakukan sekali dan tidak diulangi, harapan untuk memperoleh keampunan terhadapnya lebih besar daripada dosa kecil yang dilakukan secara berterusan.

Kedua: Perbuatan dosa menjadi besar jika dianggap kecil, tetapi, sebaliknya, jika dianggap besar, maka ia menjadi kecil di sisi Allah SWT, kerana anggapan besar itu timbul daripada kebencian dan berpalingnya hati daripadanya.

Sebahagian ulama berkata: Jika seseorang melihat kebesaran Tuhan yang ia menderhaka dengan melakukannya, maka ia akan memandang dosa kecil menjadi besar, dan bukan sebaliknya.

Ketiga: Dosa kecil menjadi besar dengan disertai perasaan gembira dan bermegah dengannya.

Keempat: Dosa kecil menjadi besar dengan menganggap ringan keampunan Allah terhadap perbuatannya, tertipu diri kerana menyangka kebolehannya untuk terus melakukan perbuatannya itu disebabkan pemeliharaan Allah terhadapnya dan merasa aman daripada azabNya.

Kelima:Dosa kecil menjadi besar dengan dizahirkan, seperti mengatakannya kepada orang lain setelah melakukannya, atau sengaja melakukannya di hadapan orang lain.

Keenam: Dosa kecil menjadi besar apabila dilakukan oleh orang yang berilmu dan diikuti oleh masyarakat. Oleh sebab itu, seorang ulama berkewajipan menjauhi dosa, dan menyembunyikannya jika terlajak melakukannya.

Hukum dan keutamaan taubat

Bertaubat hukumnya adalah wajib dengan segera dan diberi pahala, kerana ia adalah perkara yang diperintah.

Di dalam surah Al-Nur: 31, Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, mudah-mudahan kamu beruntung”.

Di dalam surah Al-Tahrim: 8, Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan “taubat nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal salih) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan disebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata: Wahai Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa ke atas segala sesuatu”.

Dalam ayat di atas disebut perkataan ‘taubatannasuha’.

Qatadah berkata: Al-nasuh al-sadiqah, al-nasihah, maksudnya adalah yang benar. Ada juga yang mengatakan bahawa al-nasuh ertinya al-khalisah, bererti yang ikhlas, atau yang murni.

Al-Farra’ berkata: Nasuha daripada sifat taubat; maknanya taubat yang menasihati pelakunya untuk tidak kembali kepada perbuatan yang ia bertaubat daripadanya. Al-Kilabi r.a. berkata: Al-tawbah al-nasuh: penyesalan dengan hati, istighfar (minta ampunan) dengan lidah, meninggalkan dosa (dengan badan), dan bertekad untuk tidak kembali(kepada dosa yang dilakukan).

Said bin Jubair r.a. berkata: Al-tawbah al-nasuh ialah taubat yang diterima, dan tidak diterima taubat selama belum terpenuhi tiga syarat: perasaan takut tidak diterima taubat selama belum terpenuhi tiga syarat: perasaan takut tidak diterima, mengharap agar diterima dan istiqamah dalam ketaatan.

Bukhari, Muslim, Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad meriwayatkan daripada Abi Hurairah, Nu’man bin Basyir, Abdullah bin Mas’ud dan Anas bin Malik r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah lebih gembira dengan taubat seseorang daripada kamu daripada seorang lelaki yang berada di tanah lapang yang sunyi, yang berbahaya, bersamanya untanya yang di atasnya perbekalan, makanan, minuman, dan segala keperluannya. Kemudian untanya hilang, maka iapun keluar mencarinya, sehingga apabila ia (berputus asa) dan merasa akan mati, maka ia berkata: Aku akan kembali ke tempat di mana aku kehilangan untaku supaya aku mati di sana. Kemudian iapun kembali ke tempatnya, maka matanya dikalahkan oleh rasa mengantuk dan iapun tertidur, kemudian ia bangun dan tiba-tiba ia jumpai untanya berada di hadapannya di atasnya makanan, minuman dan segala yang diperlukannya”.- Petikan dari kitab; “Perjalanan Rabani: Merentas alam dunia, barzakh dan akhirat”.