Puisi 1 Ogos: Jenayah berleluasa, demokrasi diperkosa

jom-himpunan-mansuh-isa-handbill

Himpunan 1 Ogos anti ISA
manifestasi amarah rakyat yang sudah lama
pelbagai cadangan pandangan sudah dikemuka
tapi tak diendah oleh penguasa

Mereka memang tak reti basa
Hanya tahu untuk terus berkuasa
Walaupun di atas nama keselamatan negara
Hakikatnya ialah salahguna kuasa

Himpunan aman sudah dijaja
Supaya memorandum dapat dibawa
Mengadap Tuanku mohon jasa
Supaya diperkenan hasrat rakyat jelata
Bukan isu dalang, agenda politik yang dibawa

Tapi isu kezaliman di bawah akta ISA
Boleh berlaku kepada sesiapa sahaja
Tidak diberi hak dibicara
Atau dibawa ke mahkamah terbuka

Siapa yang ingin disembur gas pemedih mata?
Atau ditangkap dan dipenjara?

Baik duduk di rumah sahaja
Tapi yang dipendam di hati sebenarnya sudah lama
Tak boleh dibiar begitu sahaja
Lalu ditunjuk melalui demo supaya BN reti basa

Kenapa tak disembur samseng jalanan berleluasa
Yang merempit ganggu pengguna jalanraya

Guna FRU atau gas pemedih mata
Baru betul tak membazir wang negara

Polis sepatutnya susun perjalanan supaya sekata
Mudah dituju ke Istana Negara
Bukannya dibuat sekatan jalanraya
Akibatnya sesak sepanjang lebuhraya

Bukankah jalan itu di bandaraya
Luasnya ke tepi tak terkira
Kalau sudah tahu bilangan yang datang tak terkira
Mudahkan perjalanan bukan sekat membabi buta

Ketika ada pesta atau sebarang acara
Tidakkah itu yang diambilkira?

Supaya trafik mudah bergerak merata
Bukankah itu caranya?

Syabas buat pendemo semua
Termasuk Tok Guru yang bersedia

Turun bersama menunjuk rasa
Kerana Islam tiada kompromi dengan mungkar yang nyata

dr: http://www.niknasri.com

promo ISA rally (Say ‘NO’ to ISA !!)

ISA : Derita anak-anak mangsa ISA menggamit kebahagiaan yang tidak ditemui

ISA : Derita anak-anak mangsa ISA menggamit kebahagiaan yang tidak ditemui

Tatkala melihat kanak-kanak seusianya bergelak ketawa bersama ibu bapa, mulut petahnya terdiam seketika. Dia termenung, sebelum melepaskan satu keluhan kecil. Air matanya bertubir di sudut matanya, dan dia berlari menuju ke rumah. Biar hilang pandangannya dari melihat kebahagiaan itu.

Hatinya sayu. Sayu mengenangkan nasibnya yang tidak seuntung kanak-kanak tadi. Masakan tidak? Sudah sekian lama dia tidak dapat berkumpul, bergembira dan bermesra dengan bapa kesayangannya. Sudah lama dia terpisah dari bapanya. Bukan kerana Allah menjemput bapanya ke alam roh, tetapi satu-satunya akta zalim ISA yang bertindak demikian!

Bagi Suhaib Mat Sah, tidak tercapai di fikirannya bahawa satu ketika nanti dia tidak dapat mengecapi kebahagiaan bersama bapanya angkara ISA. Dia sentiasa berasakan bahawa kasih sayangnya bersama kedua ibu bapanya sentiasa berpanjangan. Namun, impian itu bukanlah realiti baginya. Kini, hampir enam tahun beliau tidak dapat bermesra dengan bapanya.

Enam tahun! Bapanya masih meringkuk di Kemta tanpa sebarang bukti kukuh yang boleh disabitkan ke atasnya. Kekecewaan anak berusia 14 tahun ini, jelas tergambar apabila dia pernah bertanya kepada uminya…“apa lagi yang PM nak?”, “apa lagi yang cuba Pak Lah nak buktikan kesalahan abah?”.

Aduhai hati, siapalah yang tahu penderitaan dan kesayuan yang dirasai Suhaib ini. Bagi kita yang dewasa, jika kehilangan orang tersayang pun sudah cukup meruntun hati. Apatah lagi bagi Suhaib, yang menyaksikan sendiri bapanya dibawa pergi, di tengah malam, enam tahun lalu.

Bermula saat itu, hidupnya tidak seindah kanak-kanak lain. Hatinya tersentuh setiap kali melihat kemesraan kanak-kanak lain bersama ibu bapa mereka. Hati kecilnya sering tertanya-tanya, bilakah abah yang dikasihinya akan menghirup udara kebebasan dan berpeluang kembali mencantum kebahagiaan mereka sekeluarga.

Seringkali Suhaib mendengus dan merungut, seolah-olah menyesali dengan apa yang terjadi. Apalah anak sekecil itu, yang sememangnya memerlukan kasih sayang seorang bapa mampu menghadapi dugaan maha perit ini?

Namun, dalam rontaan hatinya yang membenci tindakan ISA itu, dia tetap seorang anak yang kuat dan tabah. Walapun sesekali dirinya tewas dengan ketabahan yang dipupuk uminya sejak abahnya diheret pergi. Dia tetap seorang anak yang cekal, biarpun di hatinya hanya Allah yang mengetahui bebanan perasaan yang ditanggungnya.

‘Kehilangan’ abahnya cukup membuatkan perkembangannya tergugat. Anak yang kini sedang dalam proses membesar ke alam remaja sudah tentu memerlukan seorang bapa bagi membantunya menempuh alam baru.

Jika bapanya memang sudah tiada di dunia, mudahlah hati anak kecil itu dipujuk dan dikhabarkan berita itu. Malah, jika bapanya di penjara dalam tempoh yang diketahui akan berakhir sekalipun, pasti mudah dia menerimanya.

Namun, apa yang dilakukan ISA ini, benar-benar tidak berperikemanusiaan. Sudahlah terkepung tanpa bicara yang boleh membuktikan bapanya bersalah, pembebasan bapanya juga menjadi tanda-tanya dan mengikut sesuka rasa pihak pemerintah.

Baik lagikah ISA ini dalam masyarakat? Apakah ketenteraman negara ini akan terjejas sekiranya akta ini dimansuhkan seperti yang dituntut Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) selama ini?

Sedangkan adanya ISA inipun keselamatan rakyat di negara ini sudah tidak tenteram. Sana sini dikhabarkan berlaku penculikan, pembunuhan, rogol, samun dan sebagainya. Tenteramkah negara ini? Selamatkah kita dengan adanya ISA ini?

Aduhai pemimpin Malaysia, hentikanlah penderitaan keluarga mangsa tahanan ISA ini. Sapukanlah air mata yang mengalir di pipi anak-anak kecil ini. Bukan Suhaib seorang menanggung derita ini, masih ada 70 keluarga lain yang menangisi dan menderita akibat ISA.

Wahai rakyat Malaysia yang prihatin, bangkitlah. Bangkitlah sekali lagi bagi membantu GMI dalam rangka usaha mereka untuk membebaskan semua tahanan ISA, selain memansuhkan akta zalim ini.

Bangkitlah menunjukkan kuasa anda mendesak kerajaan dengan kepimpinan ‘baru’ ini agar mendengar dan menunaikan tuntutan semua pihak seperti yang dinyatakan Menteri Dalam Negeri yang baru, Dato’ Seri Syed Hamid Albar dalam Utusan Melayu tidak lama dulu…”Saya akan memenuhi tuntutan semua pihak…”

Buat pembaca yang prihatin dengan nasib malang keluarga mangsa ISA ini, sila hantar sumbangan anda kepada HARAKAHDAILY DOT COM, nombor akaun Maybank 564070000336.

Bertemu dan berpisah..Hidup dan mati hanyalah untukNya….

Tahanan ISA : GMI kesal tempoh tahanan ISA dilanjutkan 8 tahun

Tahanan ISA : GMI kesal tempoh tahanan ISA dilanjutkan 8 tahun

Tiada lebih memeritkan bagi mangsa ISA dan keluarga masing-masing apabila tempoh penahanan mereka dilanjutkan dua tahun lagi, selepas enam tahun dikurung tanpa bicara.

Menurut Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh, awal tahun ini seramai lima lagi tahanan ISA dilanjutkan tempoh tahanan. Mereka adalah Yazid Sufaat, Suhaimi Mokhtar, Shahrial Sirin, Dr Abdullah Daud dan Abdullah Minyak Silam.

“Kami sangat kesal dengan keadaan ini. Surat yang dikeluarkan kepada tahanan tidak memberitahu alasan penahanan mereka dilanjutkan. Seolah-olah mereka tidak menganggap tahanan itu manusia,” kata beliau yang ditemui, di sini, 5 April lalu.

Isteri Abdullah, Siti Norma, hanya mampu melahirkan rasa kesal terhadap sikap Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak mengendahkan tuntutan tahanan dan keluarga mereka.

“Sehari sebelum pilihan raya umum lalu, iaitu 7 Mac, saya dimaklumkan tempoh lanjutan itu. Hendak kata terkejut, mungkin tidak kerana sudah menjangkakan kemungkinan tersebut.

“Hendak kata kecewa pun tidak, kerana saya tidak meletakkan harapan yang tinggi. Tapi saya kesal kerana Perdana Menteri tidak mengubah keadaan ini, malah memburukkan lagi keadaan,” tegas Siti Norma ketika dihubungi, 8 April lalu.

Bagaimanapun, beliau masih mengharapkan keadilan berada di pihaknya apabila menerima salinan surat yang ditujukan kepada Menteri Hukum Indonesia daripada Komisi Hak Asasi Indonesia, yang mendesak menteri berkenaan mengambil tindakan segera berhubung penahanan suaminya yang merupakan warga Indonesia serta tahanan lain.

Sementara itu, aktivis GMI, Norlaila Osman, yang juga isteri tahanan Mohd Sah Satray, berkata kesan penahanan ISA cukup mengharu-birukan kehidupan para tahanan dan keluarga mereka, khususnya para isteri.

Menurutnya, isteri Shahrial, Fatma Masrun mengalami keperitan dahsyat ekoran kekejaman ISA ini, apatah lagi setelah penahanan suaminya dilanjutkan dua tahun lagi, menjadikan lapan tahun.

Kata Norlaila, dengan lima orang anak yang masih bersekolah, Fatma kini menjadi seorang guru di sebuah sekolah swasta bagi menampung keperluan anak-anaknya, di samping mendiami sebuah rumah yang agak usang, di Hulu Langat.

Lebih mengharukan, isteri kepada Abdullah Daud, Zakiah Mat terpaksa menanggung 12 orang anak mereka yang sedang membesar di Johor Baharu.

“Dengan kos sara hidup yang tinggi di JB, beliau terpaksa bersengkang mata, membanting tulang empat kerat bagi memenuhi keperluan anak-anaknya yang sedang membesar.

“Beliau terpaksa bangun seawal jam empat pagi untuk menyediakan kuih untuk jualan. Lingkaran hitam di bawah matanya menunjukkan penderitaan yang ditanggungnya ekoran kekejaman ISA,” cerita Norlaila.

Zakiah turut mengambil upah menjaga anak-anak jiran bagi menampung keperluan sehariannya.

Menyedari keperitan dan penderitaan berterusan yang dialami para isteri tahanan ISA, Norlaila berkata GMI kini dalam rangka kempen besar-besaran membebaskan seluruh tahanan terutama yang dikurung lebih enam tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman memaklumkan, pihaknya yang turut tersentuh dengan lanjutan tempoh penahanan mangsa ISA itu akan berusaha mengumpulkan dana bantuan kepada keluarga terbabit.

“Harakah akan berusaha menimbulkan kesedaran awam, bukan saja untuk terus menentang kezaliman ISA dan berkempen membebaskan semua mangsa di Kamunting, tetapi juga mengutip bantuan kewangan untuk disalurkan kepada keluarga mangsa yang amat memerlukan,” ujar Lutfi.

Buat pembaca yang prihatin dengan nasib malang keluarga mangsa ISA ini, sila hantar sumbangan anda kepada HARAKAHDAILY DOT COM, nombor akaun Maybank 564070000336.

Tahanan ISA : Surat dari Kamunting, Sudah ada yang dilanjut tempoh hingga 8 tahun

Tahanan ISA : Surat dari Kamunting, Sudah ada yang dilanjut tempoh hingga 8 tahun

Menemui yang dikasihi anak Abah tersayang, semoga sihat sejahtera dan dipelihara Allah sentiasa. Amin.

Suhaib,

Abah di Kemta sihat, Alhamdulillah.

Hari Selasa lepas, 29 Jan 2008, beberapa orang kawan Abah iaitu Terhamid, Ahmad dan Zakaria (semua dari Indonesia) telah dilanjutkan lagi penahanan mereka dari empat tahun kepada enam tahun. Pak Cik Yazid Sufaat, juga telah ditambah lagi dua tahun iaitu dari enam tahun kepada lapan tahun.

Memang tension juga Abah memikirkan kisah pelanjutan penahanan ini, tetapi bila fakir pahala yang Allah janjikan…apalah sangat ujian seperti ini.Bila Abah baca buku pengalaman Zainab Al Ghazali yang disiksa di penjara Mesir, terasa malu pulak dengan ujian yang tidak seberapa ini.

Suhaib,

Kawan-kawan Abah, berebut-rebut nak baca buku Zainab Al Ghazali itu. Sesiapa yang membacanya memang terasa mendapat suntikan baru, menggantikan semangat yang semakin longgar.

Tuan buku tu bernama “Harun dan Salina”, mungkin mereka antara kawan-kawan Umi, dan harap dapat sampaikan ucapan terima kasih pada keduanya kerana sudi pinjamkan buku itu. Lain kali, kalau ada buku seperti itu, bawalah ke Kemta.

Semalam, Selasa 30 Jan 2008, satu rombongan peguam telah datang ke Kemta. Salah seorang dari mereka ialah Pak Cik Bon(Edmund Bon), orang kuat Majlis Peguam. Ada ramai peguam India dan seorang peguam perempuan berbangsa Melayu.

Peguam itu menceritakan pelbagai aktiviti hak asasi mereka dan juga kerja-kerja GMI. Sebelum bertemu tahanan “Jemaah Islamiyyah” (JI), Pak Cik Bon dan kawan-kawannya berjumpa 5 orang pemimpin Hindraf yang turut ditahan di Kem Kamunting ni.

Peguam Edmund Bon minta pengesahan dari Abah sama ada hendak meneruskan Habeas Corpus (HC) atau tidak. Abah, Pak Cik Murad Sudin dan Pak Cik Sufian Saleh bersetuju HC tu diteruskan saja kerana, jika tidak buat apa-apa pun, kami akan terus ditahan juga di Kem.

Jadi… lebih baik teruskan dengan HC, paling tidak pun, kes itu akan dedahkan kejahatan ISA.

Insya-Allah, kami dapat pahala. Mungkin Suhaib dan Umi boleh tengok Surah Taubah ayat 120 dan cuba fahamkan maksud ayat itu.

Selepas pertemuan itu, peguam telah belanja kami semua( tahanan yang bertemu peguam saja) makan tengah hari.

Abah rasa, pertemuan hari ini, ada kelainan sedikit dari biasa. Pak Cik Bon ada sebut tentang pilihan raya yang semakin hampir. Abah harap pihak pembangkang tidak akan lupakan isu ISA ini.

Suhaib,

Abah sentiasa doakan Suhaib sentiasa bersabar dengan ujian ini. Abah rasa dah terlalu lama ketinggalan dengan urusan penghidupan di luar sana, terutamanya dalam membantu Umi mendidik Suhaib tentang aqidah dan akhlak.

Abah selalu berpesan pada Umi untuk mengatur semuanya dengan sebaik mungkin. Abah hanya mampu mendoakan saja dari penjara ini.

Salam Sayang buat Suhaib dan Umi.

Abah,
Mat Sah Satray,

Wakil rakyat digesa perjuangkan kebebasan semua tahanan ISA

Wakil rakyat digesa perjuangkan kebebasan semua tahanan ISA

Isnin 7 April 2008 | 30 Rabi’ul Awal 1429 Hijrah

https://i0.wp.com/www.umno-reform.com/URnews/Rose.jpg

Pilihan raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 8 Mac 2008, yang baru tiga minggu berlalu, telah menyaksikan bahawa rakyat Malaysia telah memberi kemenangan besar pada Pakatan Rakyat.

Kemenangan itu, bukan saja menjadi harapan besar pada rakyat Malaysia untuk mendapat kepemimpinan yang lebih telus dan adil, malahan ,ianya juga seolah-olah memberi gambaran bahawa isu ISA akan mendapat perhatian yang sewajarnya.

Isu ISA turut mendapat tempat sebagai isu utama sewaktu kempen PRU-12, dan salah seorang tahanan ISA, M.Manoharan, salah seorang dari 5 pemimpin Hindraf, telah memenangi Dun Kota Alam Shah walaupun beliau masih ditahan di Kem Kamunting.

Rakyat tetap memilih beliau kerana mereka percaya bahawa ISA hanyalah satu alat politik pihak berkuasa untuk menutup kelemahan mereka yang selama ini tidak memberi layanan yang adil terhadap kaum India di Negara ini.

Ingin ditegaskan sekali lagi, pada bulan Februari 2008, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah mengeluarkan satu laporan bahawa kini, ada hampir seratus tahanan ISA yang masih ditahan di Kem Kamunting.

Mereka ini berbangsa Melayu, India dan Cina di mana Menteri Dalam Negeri telah melabelkan mereka sebagai ahli Jemaah Islamiyyah (JI), Darul Islam (DI), Hindraf, pemalsuan Syiling , pemalsuan MyKad dan beberapa tuduhan yang lain.

Kemenangan B.A di PRU-12, telah memberi kegembiraan terhadap semua tahanan dan keluarga mereka, seolah-olah, ada cahaya di hujung terowong.

Bukan setakat tahanan dan keluarga mereka, semua aktivis hak asasi dan rakyat Malaysia yang bencikan kezaliman, turut berharap agar tahanan dapat dibebaskan dengan segera.Semua pihak sentiasa peka dan mengambil berat setiap kenyataan yang keluar dari mulut wakil-wakil rakyat yang telah mereka pilih di PRU-12.

Namun, pada malam 9 Mac 2008, kita semua agak kecewa dengan kenyataan Pengerusi DAP yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, YB Karpal Singh, menyebutkan bahawa beliau akan terus berusaha membantu membebaskan 5 pemimpin Hindraf dari ISA.

Kemudian, tanpa disangka, pada 22 Mac 2008, Ahli Parlimen Ipoh Timur, iaitu YB Lim Kit Siang pula telah mengeluarkan kenyataan yang hampir sama , iaitu mendesak Pak Lah membebaskan segera 5 Hindraf sebagai salah satu rawatan pada imej buruk kerajaan Abdullah Badawi.

Ramai yang bertanya, kenapa kenyataan kedua-dua wakil rakyat itu hanya difokuskan pada lima tahanan saja?

Saya sendiri, sebagai salah seorang keluarga pada tahanan ISA yang hampir 6 tahun ditahan di Kem Kamunting, merasa amat sedih dan terganggu dengan kenyataan demi kenyataan yang di keluarkan oleh wakil-wakil rakyat ini.

Namun, saya sedar, mungkin ramai yang tidak tahu status terkini tentang rakyat Malaysia yang masih merengkok di Kem Kamunting.

Berikut adalah beberapa fakta penting, mengapa setiap wakil rakyat mesti berhati-hati dalam menyatakan pendirian mereka dengan isu ISA ini.

1.Ada seratus tahanan ISA di Kem Kamunting Sehingga surat ini ditulis, ada hampir seratus tahanan ISA yang masih ditahan di Kem Kamunting. Lima orang pemimpin Hindraf yang telah ditahan selama 100 hari, ada lima tahanan ISA yang sudah dilanjutkan masuk tahun ke lapan dan berpuluh-puluh yang lain ditahan antara 3 – hingga 6 tahun.

2. ISA adalah alat politik pemimpin yang berkuasa

Perkara penting dalam kes ISA bukanlah siapa yang ditahan ataupun apakah tuduhan yang telah di lemparkan kepada tahanan ISA.Tetapi, semua Wakil Rakyat mesti jelas bahawa ISA adalah satu alat politik pemimpin dari Barisan Nasional yang digunakan keatas rakyat untuk memastikan survival politik mereka.

Justeru itu, sepatutnya para Wakil Rakyat mestilah sentiasa peka dan mengingatkan rakyat bahawa semua pihak mesti sedar tentang kejahatan akta ini dan bersama-sama untuk menghapuskannya.

3.Semua Tahanan ISA ingin bebas!

Semua tahanan ISA tidak pernah dibawa ke muka pengadilan. Mereka dilemparkan dengan pelbagai tuduhan,tanpa ada peluang untuk membela diri.

Sekiranya mereka memang benar-benar memberi ancaman kepada Negara, bicarakanlah mereka sebagaimana pesalah yang lain mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada supaya mereka mengetahui tarikh akhir mereka dikurung.

Sekiranya pihak berkuasa tidak mahu membicarakan mereka, bebaskanlah kesemuanya. Mereka terlalu rindu untuk menjalani kehidupan sepertimana rakyat Malaysia yang lain yang bebas dan merdeka.

4. Semua Wakil Rakyat mestilah berpendirian jelas tentang isu ISA

Gerakan Mansuhkan ISA(GMI), yang ditubuhkan pada 2001, telah melakukan pelbagai program demi memberi kesedaran pada rakyat tentang kezaliman dan kejahatan ISA. Kempen ini disokong oleh 82 badan bukan kerajaan dan Parti Politik B.A dan telah berjaya membebaskan beratus-ratus tahanan ISA.

Semua tahanan ISA yang masih menghuni Kem Kamunting, wajar menuntut hak untuk dibantu oleh semua wakil rakyat B.A agar mereka dibebaskan dengan segera. Semua Adun dan Ahli Parlimen, adalah mereka yang telah dipilih oleh rakyat Malaysia yang terdiri dari kaum Melayu, China dan India.

Oleh itu semua Wakil Rakyat sepatutnya mempunyai pendirian yang jelas tentang isu ISA. Mereka sepatutnya lebih bertanggungjawab dengan setiap kenyataan tentang desakan atau gesaan untuk membebaskan tahanan ISA supaya kenyataan itu tidak bercanggah dengan kempen kesedaran GMI iaitu, bebaskan semua tahanan, mansuhkan ISA dan tutup Kem Kamunting.

Saya mewakili semua tahanan ISA dan keluarga mereka, amat berharap bahawa semua wakil rakyat B.A akan menunjukkan sikap dan komitmen yang tinggi untuk bersama-sama GMI membebaskan semua tahanan dan memansuhkan ISA.

Isteri Tahanan 6 tahun �ISA.
Aktivis GMI.

Apakah Umno ‘dimansuhkan’ baru tahanan ISA akan bebas?

Apakah Umno ‘dimansuhkan’ baru tahanan ISA akan bebas?

Isnin 7 April 2008 | 30 Rabi’ul Awal 1429 Hijrah

https://i0.wp.com/www.geocities.com/drmahadzir/isafamalies.jpg

“Saranan MIC supaya kerajaan membebaskan lima aktivis Hindraf yang ditahan mengikut ISA ,dibuat secara ikhlas atas dasar perikemanusiaan…”

Inilah antara kata-kata yang tertera di muka 6 akhbar Berita Harian pada,Rabu 2 April 2008 yang lalu.

Menarik juga saranan ini walaupun ianya dibuat setelah MIC kalah teruk dalam Pilihan raya Umum ke-12 yang baru saja berlalu dan orang yang membuat seruan itu, sudah tidak punya kuasa dalam kerajaan.

Ya, saya percaya, seruan itu dilakukan secara jujur. Namun, suka saya menyebutkan, sepatutnya bukan setakat MIC saja, malahan semua parti politik yang ada di Malaysia ini, sepatutnya sama-sama tampil dengan saranan dan seruan masing-masing supaya semua tahanan ISA dibebaskan, ISA dimansuhkan dan elok tutup saja Kem Kamunting yang telah menjadi tempat tahanan tanpa bicara kepada ramai ahli politik, ahli akademik dan rakyat Malaysia yang tidak berdosa.

Selama ini, Parti PAS sentiasa konsisten, atas dasar perikemanusiaan, menyeru supaya semua tahanan ISA tanpa mengira kaum, agar segera dibebaskan .Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum, KeADILan dan juga Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP yang kini Ketua Menteri Pulau Pinang, kedua-duanya pernah ditahan dibawah ISA, juga membuat seruan yang sama.

MCA masih membisu dalam isu ini, manakala Umno secara terus-terang melalui lidah para pemimpinnya (cari kata-kata mereka di Media arus Perdana),menyatakan mereka amat memerlukan ISA untuk memastikan “keselamatan Negara” tidak terancam.

Umno, sebuah parti yang selalu mendakwa memperjuangkan nasib orang Melayu yang majoritinya beragama Islam, seharusnya memberi contoh yang baik kepada parti lain, terutama dalam usaha mempertinggikan nilai-nilai kemanusiaan dan sepatutnya sanggup atau bersedia mendengar keluhan rakyat yang sedar dengan kezaliman ISA dan seterusnya menggantikan akta zalim itu dengan undang-undang lain yang sedia ada di Negara kita.

Terlalu banyak saranan, cadangan dan seruan yang dikeluarkan oleh pelbagai pertubuhan dan badan Hak Asasi dari dalam dan luar negeri contohnya seperti SUHAKAM di Malaysia dan Human Rights Watch di Amerika menyelar penggunaan ISA yang terlalu berleluasa.

Semua seruan itu sama dengan cadangan PAS,KeADILan dan DAP iaitu semua tahanan ISA diberi perbicaraan yang adil atau dibebaskan saja, dan akta ISA itu dimansuhkan saja dari perundangan Malaysia.

Namun, para pemimpin Umno yang memegang tampuk pemerintahan, kelihatan begitu “keras hati” untuk membebaskan semua tahanan ISA.Sebelum ini Menteri Dalam Negeri ialah Abdullah Badawi yang juga Perdana Menteri Malaysia. Walaupun mempunyai kuasa dua dalam satu, beliau tidak menggunakan kuasanya untuk membebaskan semua tahanan ISA.

Malahan, zaman Abdullah Badawi atau nama mesranya Pak lah, satu rekod baru telah dicipta, di mana beliaulah Perdana Menteri Malaysia yang mempunyai tahanan ISA paling lama, iaitu 6 tahun dan telah ditambah dua tahun berikutnya, kepada lapan tahun!!!Sungguh rendah perikemanusiaan Pak lah!

Terkini, masih ada 70 tahanan ISA dari pelbagai kaum dan agama masih ditahan antara 3 bulan hingga ke 6 tahun, di Kem Kamunting.

Selepas kekalahan teruk BN dalam Pilihan raya Umum ke-12 baru-baru ini, Pak Lah telah menurunkan kuasa Menteri Dalam Negeri kepada Dato’ Seri Syed Hamid Albar. Rakyat menjangka, perubahan jawatan ini akan memberi satu sinar baru terhadap semua tahanan ISA, namun segala harapan itu hampa belaka.

Ye lah, kalau dah Umno tu, Umno juga, nampaknya sikap dan pendirian Syed Hamid juga sama dengan Pak Lah, iaitu tahanan ISA belum boleh dibebaskan kerana mereka “masih menjadi ancaman” kepada Negara.

Adakah kita terpaksa menunggu Umno dan semua pemimpinnya dimansuhkan, barulah semua tahanan ISA dapat menghirup udara bebas di dunia ini? Siapakah sebenarnya yang mengancam Hak Asasi Rakyat Malaysia?

Kebenaran akan timbul juga satu masa nanti. Hanya masa yang akan menentukannya.

Seruan kepada Menteri Dalam Negeri yang baru: Bebaskan semua tahanan ISA

Posted on Saturday, March 22

a
Ditulis Oleh Isteri Tahanan ISA
“Pak Lah dah tak tahan kena kutukan orang yang dia zalimi (tahanan ISA). Bagi peluang kat Syed Hamid pulak..” Begitulah tajamnya kata-kata dari salah satu SMS yang saya terima, sebagai respons terhadap pengumuman kabinet baru Perdana Menteri Abdullah Badawi, semalam.

Rasanya kita semua masih belum lupa bahawa Perdana Menteri Abdullah Badawi @ Pak Lah adalah Menteri Dalam Negeri, sebelum Pilihan raya Umum Ke-12, baru-baru ini. Pak Lah memang seorang menteri yang suka mencipta rekod baru dalam pemerintahannya. Sebelum PRU ke-12, beliau telah mencipta rekod sebagai seorang Menteri Dalam Negeri yang paling lama “menyimpan” Tahanan ISA di Kem Kamunting, bagi abad ke-20 ini. Buktinya, ketika ini, masih ada seramai hampir seratus rakyat Malaysia berbilang bangsa, Melayu, Cina dan India, ditahan tanpa dibicarakan di Kem itu, termasuk 20 orang yang penahanan mereka sudah masuk tahun keenam!

Rekod zalim Abdullah dicipta pada pada bulan Februari tahun 2008 ini, bila beliau telah melanjutkan penahanan 5 orang tahanan ISA yang sudah cukup enam tahun, kepada dua tahun berikutnya, untuk mencukupkan lapan tahun pada tahun 2010 nanti. Lima orang tahanan itu ialah Yazid Sufaat, Dr Abdullah Daud, Suhaimi Mokhtar, Shahrial Sirin dan Abdullah Minyak Silam. Mereka berlima yang ditahan pada akhir tahun 2001, dituduh sebagai ahli Jemaah Islamiyyah (JI) dan kesemuanya tidak pernah dihadapkan di mahkamah untuk mendapat perbicaraan di hadapan hakim yang adil dan berwibawa.


Gangguan SB dan Pegawai Penyiasat

Enam tahun bukanlah satu jangka masa yang pendek. Jika nak disebutkan satu persatu, terlalu banyak kesusahan dan kejahatan yang telah dilakukan atas ihsan Pak Lah @ Menteri Dalam Negeri, ke atas Tahanan ISA dan keluarga mereka. Bukan sekadar membuat penahanan tanpa bicara, Pak Lah, semasa beliau menjadi Menteri Dalam Negeri dulu, merestui perbuatan Pegawai Penyiasat (IO) membuat siksaan dan deraan di luar batas kemanusiaan, semata-mata untuk mendapatkan pengakuan dari Tahanan ISA, seperti di bogelkan dan dipukul hingga lebam. Bukan itu saja, Pak Lah @ Menteri Dalam Negeri dulu, membenarkan @ membiarkan saja polis-polis cawangan khas- Special branch (SB) yang merupakan kakitangan beliau, mengganggu anak isteri yang ditinggalkan oleh Tahanan ISA itu. Isteri sering diganggu SB tanpa mengira masa, siang atau malam. SB turut bertindak memporak perandakan rumah tangga tahanan, hingga ada tahanan yang terpaksa menceraikan isteri masing-masing!


Doa Orang Yang Dizalimi

“Suhaib selalu doa, biarlah semua SB yang selalu mengganggu kita tu, kena langgar lori dan mati hancur…” itulah yang pernah dituturkan oleh beliau, untuk menunjukkan betapa geram, benci dan kecewanya beliau terhadap SB yang selalu mengganggu kehidupannya sekeluarga. Tetapi ayah Suhaib, yang juga Tahanan ISA Mat Sah Mohd Satray, yang akan cukup tempoh penahanannya enam tahun bulan Jun ini, hanya berkata “tak perlulah kita doa macam itu. Allah lebih tahu, apakah balasan dan ganjaran yang paling sesuai ditujukan pada semua mereka yang jahat, tidak berperikemanusiaan dan sedang menzalimi kita”.


Rekod baru Pak Lah pada 2008

Siapalah dapat menyangka, dalam masa sepuluh hari semenjak PRU12, Perdana Menteri Abdullah rupanya turut mencipta beberapa rekod baru dalam arena politik di Malaysia terkini, iaitu selain dari rekod beliau melanjutkan penahanan Tahanan ISA yang sedang menghuni Kem Kamunting sekarang dari enam tahun kepada lapan tahun!

Berikut adalah senarai rekod baru yang dicipta beliau selepas PRU12.

Barisan Nasional hanya memenangi majoriti mudah iaitu sekadar 50 peratus saja.

PM Abdullah kehilangan 5 buah negeri kepada pembangkang. Adakah penciptaan rekod baru ini sebahagian dari manifestasi doa orang-orang yang sedang dizalimi oleh Pak Lah? Tidak mustahil.


Aluan untuk Syed Hamid Albar

Sebagai salah seorang yang masih menjadi mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA, saya juga ingin mengalu-alukan perlantikan Menteri Dalam Negeri yang baru ini dengan doa dan harapan agar ada sesuatu yang berubah terhadap nasib semua Tahanan ISA yang masih ditahan di Kem Kamunting kini.

Saya berharap, menteri yang baru dilantik ini, tidak akan mempunyai sikap yang sama seperti Pak Lah. Ketika Pak Lah menjadi Menteri Dalam Negeri dulu, beliau tidak pernah memberi peluang kepada kami untuk bertemu dan berbincang tentang nasib semua tahanan ISA. Walaupun berpuluh-puluh memo dan faks telah dihantar, pelbagai panggilan telah dilakukan, namun tidak pernah sekali pun semua tindakan itu mendapat jawapan dari pejabat beliau, jauh sekali dari beliau sendiri.

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) satu-satunya badan bukan kerajaan yang diwakili oleh 82 pelbagai NGO dan Parti Politik Barisan Alternatif, masih menyimpan semua rekod dan dokumen mengenai urusan untuk bertemu Pak Lah.

Pak Lah tidak pernah bertemu dengan para Tahanan ISA, tetapi hanya menerima laporan saja dari SB beliau tentang kehidupan semua tahanan tersebut. Kerja Pak Lah hanyalah menandatangani surat lanjutan penahanan. Pak Lah memang seorang yang tidak berperikemanusiaan, tidak berhati perut dan sangat zalim pada rakyatnya sendiri. Tahanan ISA yang sudah ditahan selama enam tahun adalah bukti yang jelas tentang kejahatan dan kezaliman paling dahsyat yang dilakukan oleh beliau.

Saya harap, Menteri Dalam Negeri yang baru dilantik ini, akan berusaha untuk memperbaiki imej jahat dan zalim kementerian itu sama ada mendakwa semua tahanan di Mahkamah atau membebaskan kesemua mereka yang sedang ditahan..


Norlaila Othman
, Isteri Tahanan ISA
Pusat Sokongan Keluarga Gerakan Mansuhkan ISA
Taman Keramat KL