Al-Waqi’ah ; Hari Kiamat : Balasan Orang Yang Beriman

Balasan kepada mukmin yang beriman paling dahulu

(al-Waqi’ah: 11-40)

11. Mereka itulah yang didekatkan kepada Allah.

12. Berada dalam syurga kenikmatan.

13. Segolongan besar dari orang-orang yang terdahulu,

14. dan segolongan kecil dari orang-orang yang kemudian

15. Mereka berada di atas dipan-dipan yang bertahta emas dan permata,

16. Mereka bersandar di atasnya berhadap-hadapan.

17. Mereka dikelilingi oleh anak-anak muda yang tetap muda,

18. dengan membawa gelas, cerek dan minuman yang diambil dari air yang mengalir,

19. mereka tidak pening karenanya dan tidak pula mabuk,

20. dan buah-buahan dari apa yang mereka pilih,

21. dan daging burung dari apa yang mereka inginkan.

22. Dan ada bidadari-bidadari bermata indah,

23. laksana mutiara yang tersimpan baik.

24. Sebagai balasan bagi apa yang telah mereka kerjakan.

25. Mereka tidak mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia dan tidak pula perkataan yang menimbulkan dosa,

26. akan tetapi mereka mendengar ucapan salam.

Balasan kepada Golongan Kanan

27. Dan golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu.

28. Berada di antara pohon bidara yang tak berduri,

29. dan pohon pisang yang bersusun-susun (buahnya),

30. dan naungan yang terbentang luas,

31. dan air yang mengalir terus-menerus,

32. dan buah-buahan yang banyak,

33. yang tidak berhenti (berbuah) dan tidak terlarang mengambilnya.

34. dan kasur-kasur yang tebal lagi empuk.

35. Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung(mereka di jadikan tanpa melalui kelahiran dan langsung menjadi gadis),

36. dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan.

37. penuh cinta lagi sebaya umurnya.

38. (Kami ciptakan mereka) untuk golongan kanan,

39. (yaitu) segolongan besar dari orang-orang yang terdahulu.

40. dan segolongan besar pula dari orang-orang yang kemudian.

Advertisements

Pesanan DarI Allah s.w.t.

Amaran Pemilik Setiap Jiwa….. ­ ­


Firman Allah “Adakah kamu kira, bahawa kami menjadikan kamu dengan percuma (main main saja) dan kamu tiada di kembalikan kepada Kami? An Nur 115

Kita akan bertanggungjawab atas segala perbuatan zahir dan batin terhadap sesama manusia dan Pencipta kita, Jadi JGN lah kita bertindak sesuka hati seolah kita akan hidup selama lamanya kerana kita akan mati dan kembali semula kepada Pemilik diri kita ini.

Allah tidak jadikan kita bernafas ini secara percuma saja atau tampa tujuan yg khusus atau ‘suka suka hidup dan kemudian mati habis tutup buku!!’

Seperti Firman Allah ini” Mengapa kamu menyangkal Allah, sedang kamu dahulu mati (belum ada) kemudian kamu di hidupkanNya, sudah itu di matikanNya, kemudian akan di hidupkanNya, akhirnya kamu kembali kepadaNya”Al Baqarah 28

Kita telah di beri tanggungjawab iaitu menyembahNya mengasihi kekasihNya iaitu Nabi Muhamad dan ahlulbaitnya (keluarga beliau) walaupun pada masa yg sama kita di uji oleh Allah dan cuba di sesatkan oleh syaitan (Iblis) yg ingin melalaikan tugas kita itu tadi.

Iblis menjadi musuh kita setelah berlaku peristiwa dalam surah Al baqarah 34

“(Ingatlah) ketika Kami berkata kepada malaikat; Tunduklah kamu kepada Adam! Lalu mereka itu tunduk, kecuali iblis, ia enggan, dan takbur, dan ia termasuk orang2 yg kafir”

Allah menguji kita dalam setiap kesulitan dan keadaan agar kita menjadi orang yg sabar;

Firman Allah“Tiap2 diri ( yg berjiwa) mesti merasai mati. Kami akan uji kamu dgn kejahatan dan kebajikan, sebagai satu ujian; kepada Kami kamu di kembalikan”Al Anbiyaak 35

“Demi sesungguhnya akan Kami uji kamu dgn suatu (ujian), iaitu ketakutan, kelaparan dan kekurangan harta, manusia dan buah buahan. Dan berilah kabar gembira orang2 yg sabar (atas ujian itu) Al Baqarah 155

Oleh itu dekatkan diri kita dengan Allah dan RasulNya walaupun ketika kita di dalam kesusahan dari ujian yg di datangkan kpd kita. Pohonkanlah doa kepada Allah agar di tunjukan jalan yg lurus dan jalan yg mereka yg telah di beri nikmat dengan penuh kesabaran.

“Tunjukil­ah (hati) kami ke jalan yg lurus. iaitu jalan orang2 yg telah Engkau berikan nikmat kepada mereka, sedang mereka itu bukan orang2 yg di murkai dan bukan pula orang2 yg sesat” Al Fatihah 6&7

Firman Allah ” Minta tolonglah kamu (kepada Allah) dgn kesabaran dan (mengerjakan) solat; dan sesungguhnya solat itu amat berat, kecuali bagi org2 yg tunduk (kepada Allah)” Al Baqarah 45

“(Iaitu) orang2 yg yakin, bahawa mereka akan menemui Tuhanya dan mereka akan kembali kepadaNya” Al baqarah 46

ALLAH SWT tidak pernah lupa akan JANJI-JANJI-NYA..Malah kita sering lupa akan janji-janji kita dengan ALLAH setelah dengan belah kasihan ALLAH SWT dapat kita hidup di Bumi ALLAH ini…Bila kamu di uji adakah kamu akan melenting?

Tazkirah Jumaat: Mati, peringatan penting dipinggirkan Muslim

Tazkirah Jumaat: Mati, peringatan penting dipinggirkan Muslim

Ustaz Zain Hashim

Dalam satu wasiat Nabi Muhammad s.a.w. kepada Ibnu Umar (Abdullah) r.a. berbunyi: “Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang musafir atau pun sebagai pengembara.”

Huraiannya

Hadis ini menganjurkan kepada kita supaya sentiasa mengingatkan mati dan mengurangkan cinta keterlaluan terhadap dunia yang fana ini.

Ibnu Umar pernah berkata: Jika anda masih hidup pada waktu pagi, jangan tunggu hingga ke petang dan jika anda masih hidup pada waktu petang, jangan tunggu hinga ke pagi, sediakan dirimu pada masa hidup untuk bekalan waktu mati, dan pada masa sihat untuk bekalan waktu sakit.

Justeru, wasiat Nabi di atas sentiasa mengingatkan kita betapa kita bagaikan musafir yang sedang berlalu sementara di dunia ini, maka apakah persiapan bekalan yang telah kita buat bagi menghadapi Allah SWT pada hari yang penuh dengan persoalan di padang Mahsyar?

Kita tidak akan hidup kekal dan lama di dunia, oleh itu, jangan sekali-kali kita melakukan kejahatan. Jika kejahatan yang dilakukan boleh menyebabkan kita tidak mati, maka lakukanlah, tetapi kejahatan yang kita buat semasa hidup di dunia, kesemuanya akan ditayangkan semula di hadapan Allah oleh para jururakam di kalangan para Malaikat, walaupun kita telah melupakannya, tetapi Allah sekali-kali tidak demikian.

Mereka yang telah pun meninggal dunia dan mendapat seksa kubur, meraung-raung minta pertolongan daripada orang yang masih hidup, terutamanya ahli keluarga terdekat, apakan daya, kita tidak mendengarnya, maka yang dibawa oleh seseorang dalam alam kubur bersamanya ialah amalannya semasa hidup di dunia satu ketika dahulu, maka fikir-fikirlah…

Manusia hari ini enggan bercakap tentang mati

Ia terjadi kerana manusia pada hari ini tidak berapa mahu meletakkan urusan agama itu lebih penting daripada segala-galanya. Sebagai contoh, terkadang-kadang kita dapat lihat seorang Muslim itu dari agenda hariannya sebagai seorang yang beragama Islam, tetapi tidak berusaha untuk menampilkan diri dengan Islam itu sendiri.

Sejak mencelikkan mata bangun daripada tidur, paling tidak menunaikan solat Subuh, itupun bukan dalam keadaan berjemaah, sama ada di masjid, surau ataupun menjadi imam di rumah bersama isteri dan anak-anak.

Kalau pada hujung minggu, lepas solat tidur semula, tidak berapa terikat dengan kuliah subuh, pembacaan al-Quran, membaca zikir Mathurat, kaunseling diri, isteri dan anak-anak, atau apa sahaja yang boleh meningkatkan peristasi iman kepada Allah SWT.

Bangun selepas itu bersarapan pagi, kemudian ke pasar atau berjalan-jalan bersama keluarga ke tempat yang boleh menghilangkan rasa gundah seminggu di pejabat.

Tetapi persoalannya di sini, kenapa elemen-elemen agama tidak termuat dalam diari atau agenda harian hidup seseorang Muslim.

Apakah kita sudah rasa cukup dengan ilmu yang ada di dada mengenai ilmu-ilmu yang boleh mengingatkan kita kepada alam kematian?

Ilmu agama terakhir yang dipelajari mungkin semasa menduduki peperiksaan SPM beberapa tahun lalu di sekolah menengah, kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat M.A. atau PhD. Selepas daripada itu, menjawat jawatan mantap dengan gaji yang lumayan, sibuk dengan tugas harian yang akhirnya menjadikan diri teramat sibuk. Kuliah di pejabat pun tidak boleh hadir dan begitulah kuliah-kuliah yang disediakan di surau atau masjid berdekatan di rumah.

Hati menjadi keras

Rasulullah s.a.w. pada penghujung hayatnya, pernah memanggil menantu merangkap sepupu baginda iaitu Sayidina Ali bin Abi Talib. Baginda mewasiatkan kepadanya: Wahai Ali! Jika berlalu di kalangan orang Islam 40 hari (sahaja), mereka tidak hadir dan duduk dalam majlis ilmu (fardu Ain), maka orang itu akan menghadapi dua akibat buruk. Pertama hatinya menjadi keras (sukar untuk menerima petunjuk llah atau segala kebaikan) dan kedua berani pula melakukan dosa-dosa besar.

Insan bernama Muslim hari ini tidak berapa mempedulikan persoalan agama mereka sendiri. Sudahlah tidak mahu jadi orang yang faham agama, melakukan dosa-dosa pula. Si suami membiarkan isteri keluar rumah tanpa berhijab (tudung kepala). Si ayah pula membiarkan anak gadis tidak berhijab dan menampakkan pusat-pusat mereka. Anak lelaki tidak mengnal huruf-huruf al-Quran dan ada yang tidak tahu mandi junub (hadas besar atau mandi wajib).

Kesemua itu adalah implikasi daripada tidak hadir dan duduk dalam majlis-majlis ilmu.

Ada antara para ibu bapa Muslim seronok melihat anak-anak mereka berjaya dalam bidang hiburan, daripada menyertai bidang nyanyian peringkat dewasa hinggalah ke peringkat bakat bintang kecil. Apa yang pasti penampilan anak-anak ini dengan pakaian yang tidak dibenarkan oleh hukum syarak, tetapi semua itu tidak dipedulikan oleh mereka yang bernama Islam.

Seolah-olah Islam tidak boleh dicakap-cakap jika hendak maju dalam pelbagai bidang dalam kehidupan dunia. Tetapi mereka lupa, bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda maksudnya, Sesiapa yang mahukan kejayaan di dunia, mestilah dengan ilmu (agama), jika dia mahu kejayaan di akhirat juga mestilah dengan ilmu, dan jika mahu kedua-duanya sekali mestilah dengan ilmu.

Apabila ilmu agama tidak menjadi teras dan sandaran dalam kehidupan orang Islam pada zaman ini. Maka mereka sebenarnya telah mengundang pelbagai masalah seperti terlibat dengan rasuah, keruntuhan moral serta harga diri, tidak berakhlak, meninggalkan solat, penagihan dadah, mentadbir negara bukan dengan hukum Allah, dan semua masalah itu tidak akan dapat diselesaikan kecuali menerima penyelesaiannya daripada Allah juga, iaitu pelaksanaan hukum-hukum Islam dan Sunnah (hadis) Nabi Muhammad s.a.w.

Tanpa pelaksanaan hukum-hukum Islam itu menandakan bahawa manusia menolak Allah yang telah menawarkan yang terbaik buat diri, keluarga, masyarakat dan negara mereka.

Mereka tidak akan bercakap mengenai mati, bekalan untuk hari akhirat, persoalan alam kubur apatah lagi mengenai nasib di penghujung hayat, sama ada boleh mengucap dua kalimat syahadah atau pun tidak, semua ini tidak ada dalam kamus kehidupan manusia hari ini, kerana mereka sudah semakin jauh daripada Allah walaupun mereka dilahirkan sebagai seorang muslim.

Penyelesaian masalah

Justeru bagi menyelamatkan diri selagi terdaya untuk dilakukan, maka renungilah empat perkara di bawah ini seperti yang pernah diperingatkan oleh Imam Al-Ghazali:

Pertama: Berurusanlah dengan Allah sepertimana kamu suka orang bawahanmu berurusan denganmu dengan cara yang terbaik.

Kedua: Setiap kali kamu bekerja dengan orang lain, perbuatlah sepertimana kamu mahu diperbuat ke atas diri kamu. Kerana tidak sempurna iman seseorang selagi mana dia tidak suka orang lain memperolehi sesuatu yang dia sendiri menyukainya.

Ketiga: Jika kamu mahu mempelajari sesuatu, pilihlah untuk mempelajari ilmu yang dapat memperbaiki hati dan memperbaiki jiwa dan sanubarimu.

Sekiranya kalau kamu tahu umurmu hanya tinggal seminggu sahaja lagi, sudah pasti kamu tidak akan memilih untuk mempelajari ilmu fiqh, tahudid, sirah, akidah dan sebagainya.

Dan mungkin juga kamu akan mengawasi hatimu dan berusaha melepaskannya dari belenggu dunia.

Kamu akan memperbaiki akhlakmu dan sibuk untuk beribadat kepada Allah SWT (selaku Penciptanmu) setiap saat.

Justeru, kamu mestilah sentiasa berakhlak mulia, kerana sesungguhnya kematian itu akan datang pada bila-bila masa sahaja.

Begitulah cuba kamu bayangkan, jika seorang pemimpin negara akan datang menziarahimu, sudah tentu kamu akan lakukan persiapan yang mantap, menghias rumah, memperbaiki mana-mana yang tidak betul dan bermacam-macam lagi.

Keempat: Janganlah mengumpul harta dunia lebih daripada keperluanmu untuk satu tahun.

Rasulullah s.a.w. sendiri menyediakan bekalan yang sebanyak itu sahaja untuk isteri-isteri baginda yang lebih kukuh imannya hanya dengan disediakan bekalan untuk sehari setengah sahaja. Bagi orang yang suka mengumpul harta hingga tidak sempat untuk menjenguk rumah Allah tujuan untuk beribadat kepada-Nya, maka orang itu akan disibukkan Allah SWT.

Renung-renungkanlah wahai saudara-saudaraku sekalian!

Khutbah Dari Rusila: Majoriti umat manusia alpa persoalan akhirat

Khutbah Dari Rusila: Majoriti umat manusia alpa persoalan akhirat

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Wahai hamba-hamba Allah, saya berpesan kepada kamu dan kepada diri saya sendiri supaya bertakwa kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa. Carilah bekalan, sebaik-baik bekalan itu ialah bertakwa kepada Allah.

Seterusnya marilah kita melihat betapa Allah Taala telah menunjukkan di hadapan manusia di seluruh dunia tanda-tanda kemusnahan alam akibat daripada perbuatan manusia.

Berlakunya beberapa bencana yang menenggelamkan bumi, menghancurkan bukit dan gunung-ganang serta bencana yang mengorbankan jiwa manusia yang ramai, menghilangkan harta benda, ia tidak mampu ditolak oleh kemajuan sains dan teknologi sehingga akhirnya ahli-ahli sains dan termasuk mereka yang tidak percaya kepada berlakunya hari kiamat, percaya bahawa dunia ini akan musnah.

Mereka percaya suatu masa bahawa bumi ini akan kiamat, namun mereka tidak membincangkan apakah persediaan untuk kiamat tersebut.

Inilah persoalan yang tidak diberikan perhatian oleh kebanyakan manusia. Allah Taala telah mengingatkan kita dalam al-Quran, antara firman-Nya (yang bermaksud): (Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. Ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah ingin kalau ada jarak yang jauh antaranya dengan amalnya yang jahat itu. Dan Allah perintahkan supaya kamu ingat beringat terhadap kekuasaan dirinya dan Allah amat belas kasihan kepada hamba-hamba-Nya. (Surah Ali Imran: ayat 30)

Ayat ini adalah peringatan daripada Allah SWT kepada seluruh manusia bahawa Allah akan memperlihatkan semua amalan mereka, akan dihisab sama ada amalan yang baik mahupun jahat. Bukan sahaja diketahui oleh Allah bahkan ia dicatat oleh para malaikat dan disaksikan oleh anggota badan manusia sendiri.

Firman Allah Taala yang bermaksud: Pada waktu itu, Kami mengunci mulut mereka dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan. (Surah Yaasin: ayat 65) : Keterangan

Pada hari itu, setelah dibuka segala amalan mereka, mereka hanya mahu amalan-amalan yang baik sahaja. Kalau boleh amalan jahat yang dilakukan oleh mereka dijauhkan dengan sejauh-jauhnya. Padahal amalan jahatlah yng sangat diingati oleh mereka dalam kehidupan di dunia ini.

Itulah peringatan Allah Taala tetapi kebanyakan manusia melupai perkara ini, bahkan mereka dilalaikan oleh kehidupan yang menggoda. Allah Taala memperingtakan dalam al-Quran yang menyatakan bahawa amalan mereka akan diperhitungkan dengan penuh teliti.

Antara lainnya, firman Allah Taala yang bermaksud: Maka sesiapa berbuat kebaikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya amalnya dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya. (Surah Al-Zalzalah: ayat 7-8)

Tetapi apa yang malangnya ialah semua hal yang seumpama ini tidak diberikan perhatian oleh kebanyakan manusia. Maka seolah-olah manusia tenggelam dalam kehidupan dunia selama-lamanya.

Pada mereka, tidak ada kematian yang akan berlaku, lantas mereka lari daripada petunjuk Allah Taala. Mereka lari daripada agama Allah Taala dan membuat ajaran-ajaran sendiri, kemudian beramal mengikut kemahuan diri sendiri. Tindakan itu menyebabkan mereka hanyut dalam kehidupan yang menyusahkan di dunia serta di akhirat akan mengalami keadaan yang lebih susah dan lebih menyulitkan.

Firman Allah Taala yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad), taatlah kamu kepada Allah dan rasul-Nya, oleh itu, jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir. (Surah Ali Imran: ayat 31-32)

Apakah dengan kematian, terputus segala amalan?

Apakah dengan kematian, terputus segala amalan?

Prof Madya Dr Musa Fathullah Harun

Imam Muslim, Tirmizi, Nasai, Abu Dawud, Ahmad dan Al-Darimi telah meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

“Apabila manusia mati, terputuslah daripadanya segala amalannya, kecuali tiga perkara: sedekah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak yang soleh yang berdo’a untuknya”.

Imam Ahmad, Muslim, Tirmizi, Nasai, Abu Daud dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Jarir r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barangsiapa memulakan jalan yang baik dalam Islam, maka baginya pahalanya dan juga pahala orang yang beramal dengannya selepasnya tanpa dikurangi daripada pahala mereka sedikitpun juga, dan barangsiapa memulakan jalan yang buruk dalam Islam, maka atasnya dosanya dan juga dosa orang yang beramal dengannya tanpa dikurangi daripada dosa mereka sedikitpun juga”.

Daripada kedua hadis tersebut kita mengambil kesimpulan bahawa meskipun, dengan datangnya kematian kepada kita, kesempatan untuk beramal telah terputus atau terhenti, tetapi peluang untuk memperoleh pahala amalan tertentu tetap terbuka bagi kita.

Di dalam kedua hadis tersebut, Rasulullah s.a.w. telah menjelaskan kepada kita bidang-bidang pelaburan yang pasti akan menguntungkan kerana pahalanya akan berterusan mengalir selepas kematian kita, iaitu:

Pertama: sadaqh jariyah, iaitu sedekah yang pahalanya terus mengalir selama faedah atau manfaat yang disedekahkan itu terus berjalan, seperti menderma atau mewakafkan tanah untuk masjid, surau, madrasah atau lain-lain yang berguna bagi agama dan umat Islam.

Kedua: menuntut dan mengembangkan ilmu-ilmu yang bermanfaat bagi agama dan umat, menghidupkan majlis-majlis ilmu atau pengajian-pengajian, dan lain-lain usaha yang membantu ke arah perkembangan ilmu pengetahuan yang dituntut oleh agama.

Ketiga: memperhatikan pendidikan anak-anak agar mereka menjadi anak yang soleh, yang sentiasa berdo’a untuk kedua ibu-bapanya.

Keempat: setiap amalan yang mendatangkan kebaikan, yang selari atau tidak bercanggah dengan syariat, yang kita mulakan melakukannya semasa hidup kita, kemudian diikuti oleh orang ramai sehingga menjadi adat kebiasaan bagi mereka, maka kita akan mendapat pahala melakukannya dan juga sebanyak pahala orang yang mengikutinya.

Amalan yang hidup untuk yang mati

Mengenai amalan orang yang hidup, seperti bacaan Al-Qur’an, do’a, sedekah dan lain-lain, untuk orang yang sudah mati, terdapat perbezaan pandangan: Imam Nawawi, di dalam kitabnya Al-Adzkaar, menyatakan bahawa para ulama telah bersepakat bahawa do’a untuk orang-orang yang sudah mati bermanfaat bagi mereka, dan pahalanya sampai kepada mereka bersandarkan kepada firman Allah SWT di dalam surah Al-Hasyr:

“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdo’a dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, ampunilah dosa kami, dan dosa saudara-saudara kami yang mendahulu kami dalam iman,…”.

Dan juga bersandar kepada hadis-hadis yang masyhur, seperti: do’a Rasulullah s.a.w.:

“Ya Allah, ampunilah bagi ahli yang hidup dan juga yang mati daripada kami”, dan lain-lain.

Mengenai bacaan Al-Qur’an, terdapat perbezaan pandangan:

Yang masyhur daripada mazhab Syafi’ie bahawa pahala bacaan tersebut tidak sampai kepada si mati. Tetapi, sekumpulan sahabat Imam Syafi’e sendiri sependapat dengan Imam Ahmad dan sekumpulan ulama lainnya, yang mengatakan bahawa bacaan tersebut bermanfaat dan sampai pahalanya kepada si mati.

Imam Nawawi r.a. telah menukil riwayat Abi Dawud dan Baihaqi daripada Uthman Bin Affan r.a. bahawa beliau berkata:

“Nabi s.a.w., apabila selesai daripada mengebumikan mayat, berdiri di atasnya, kemudian bersabda: Mohonlah keampunan bagi saudaramu, dan mintakan baginya ketabahan, kerana sesungguhnya ia sekarang sedang disoal”.

Imam Syafi’ie r.a. dan sahabat-sahabatnya menyatakan bahawa disunatkan membaca sebahagian daripada Al-Qur’an, dan jika mereka mengkhatamkan seluruhnya adalah lebih baik lagi.

Imam Nawawi juga telah menukil riwayat Baihaqi bahawa menurut Ibnu Umar r.a. disunatkan membaca awal dan penghabisan daripada surah Al-Baqarah, selepas pengembumian di atas kubur.

Segolongan kaum muslimin berpendapat bahawa orang mati tidak akan mendapat sebarang faedah daripada amalan orang yang hidup. Mereka berhujjah dengan firman Allah SWT di dalam surah Al-Najm: 39:

“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”.

Dan mereka juga berhujah dengan sabda Nabi s.a.w.:

“Apabila manusia mati, terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariyah(untuk masjid, surau, madrasah dan lain-lain keperluan kaum muslimin), ilmu yang dimanfaatkan, atau anak yang soleh yang berdo’a untuknya”.

Hasan Al-Saqqaf telah menukil jawaban Imam Abdullah Ibnu al-Siddiq al-Ghamawi di dalam risalahnya, Tawdih al-Bayan Li Wusul Thawab al-Qur’an, yang di antara kandungannya:

“Ayat tersebut (Al-Najm:39)tidak menafikan bolehnya seseorang mengambil manfaat daripada usaha orang lain. Yang dinafikan olehnya adalah pemilikan manfaat tersebut bagi selain yang mengusahakannya. Di antara kedua perkara tersebut terdapat perbezaan yang nyata.

Allah SWT mengkhabarkan bahawa manusia tidak memiliki selain yang diusahakannya. Adapun yang diusahakan oleh orang lain, maka ia adalah milik yang mengusahakannya: jika ia ingin ia boleh memberikannya kepada orang lain, dan jika ia ingin ia boleh mengekalkannya bagi dirinya sendiri. Allah SWT tidak memfirmankan bahawa ia tidak akan mengambil manfaat melainkan dengan apa yang ia usahakan.

Imam Qurtubi berkata: Dikatakan sesungguhnya Allah berfirman; laam al-khafd dalam bahasa Arab bererti memiliki dan mewajibkan, maka makna ayat: Tidak wajib bagi manusia selain yang ia usahakan. Jika orang lain bersedekah kepadanya, maka tidak wajib baginya sesuatu, tetapi Allah Azza Wa Jalla bermurah hati ke atasnya dengan memberikan apa yang tidak wajib baginya, sebagaimana Allah bermurah hati dengan memasukkan kanak-kanak ke dalam Syurga tanpa amal.

Syaikh Abul Abbas, Ahmad Bin Taimiyah berkata: Barangsiapa yang mengiktiqadkan bahawa manusia tidak akan mengambil faedah selain daripada apa yang ia lakukan, maka ia telah menyalahi ijma’. Yang demikian adalah batil dari beberapa segi:

Pertama: Manusia mengambil faedah daripada do’a orang lain, yang bererti mengambil manfaat daripada amalan orang lain.

Kedua: Nabi s.a.w. memberi syafaat kepada ahl al-mawqif (semua manusia yang menunggu penghisaban di Mahsyar) untuk menyegerakan penghisaban, kemudian kepada ahli Syurga untuk memasukkan mereka ke dalam Syurga, kemudian bagi ahl al-kabair (orang-orang yang melakukan dosa besar) untuk mengeluarkan mereka dari neraka.

Ketiga: Para malaikat berdo’a dan memintakan ampunan bagi penduduk bumi.

Keempat: Allah SWT mengeluarkan orang yang belum pernah melakukan sebarang kebaikan dari neraka kerana semata kemurahan dan rahmatNya. Ini bermakna mereka mengambil manfaat daripada selain amalan mereka.

Kelima: Kanak-kanak orang mukmin memasuki Syurga dengan amalan bapa mereka.

Keenam: Dalam surah al-Kahfi, dua anak yatim mengambil manfaat daripada amalan bapa mereka yang soleh.

Ketujuh: Mayat mengambil manfaat dengan sedekah yang dibuat untuknya, dengan nas Al-Sunnah dan ijma’.

Kelapan: Haji wajib gugur tuntutan ke atas mayat dengan haji yang dilakukan oleh Walinya untuknya, dengan nas Al-Sunnah.

Kesembilan: Haji nazar atau puasa nazar gugur tuntutan ke atas mayat dengan dilakukan oleh orang lain.

Kesepuluh: Orang yang berhutang, yang Nabi s.a.w. menolak untuk solat ke atas jenazahnya sehingga dibayarkan hutangnya oleh Abu Qotadah r.a., dan dibayarkan hutang lainnya oleh Ali Bin Abi Talib r.a., mengambil manfaat daripada amalan mereka dan daripada solat Nabi s.a.w., yang juga merupakan amalan orang lain.

Dengan huraian ini jelaslah bahawa berhujah dengan ayat tersebut atas tidak sampainya pahala do’a atau bacaan kepada mayat adalah tidak benar, kerana ayat tersebut tidak menunjukkan yang demikian.

Imam Nawawi berkata:

“Sebaiknya, orang yang membaca (Al-Qur’an), selepas selesai membacanya, hendaklah berdo’a: Ya Allah sampaikanlah pahala bacaanku ini kepada si Fulan, dan juga disunatkan supaya memuji si mati dan menyebut kebaikan-kebaikannya”.