Salah Faham orang bukan Islam telah selesai !!

Sambutan penduduk Cina kepada calon PAS pun semakin meningkat. Kalau sebelum ini mereka sukar didekati namun sekarang tidak lagi. Adakah ini suatu petanda yang cukup menarik?

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat:

Ini sutu perkembangan yang cukup menarik sekali. Memanglah benda baik biar pun ditekan lama-lamaan akan menyerlah juga. Macam bola yang ditekan ke dalam air, lama-lama air akan melantun juga ke atas. Begitu juga dengan kebenaran kita boleh tekan namun lama-kelamaan ia akan naik balik.

Sebelum ini media massa sebut PAS antipembangunan, antikemajuan tetapi Cina di Kelantan tengok setiap hari berlaku pembangunan di negeri ini. Saya sebagai ketua kerajaan yang bergelar ulama boleh datang ke tempat masyarakat orang bukan Islam tanpa sebarang masalah. Saya pergi ke wat Siam di Tumpat. Semasa pemimpin Cina, Foo Chong Yong meninggal dunia. saya juga pergi melawatnya. Akhirnya orang Cina faham mereka diperbodohkan dengan pembohongan. Masa orang Cina buat kenduri kahwin pun saya pergi. Setiap kali orang bukan Islam menjemput saya pergi ke majlis mereka, saya tanya sama ada jemputan itu bagi tujuan agama atau budaya. kalau hanya sekadar budaya saya pergi. Tujuan agama tidak boleh. Setiap kaum ada budayanya sendiri.

Advertisements

Saya mau Islam..tak nak kebangsaan!!

TOK GURU NIK ABDUL AZIZ:


Sekarang berlaku pertelagahan antara gerakan Islam yang dipimpin oleh PAS dan gerakan nasionalis yang dipimpin oleh Umno untuk berebut hendak jaga negeri. Kalau lebih 50 tahun dulu, antara Inggeris dan Jepun berebut juga, hendak jaga Tanah Melayu.

Dan kira-kira hampir 2,000 tahun lalu perbalahan berlaku antara Nabi Muhammad s.a.w. dengan Abu Jahal. Juga sama-sama berebut hendak jaga negeri. Hak mana yang betul kerana orang Islam ini bukan semata-mata hendak makan atau minum. Islam mengajar makan minum yang betul. Berumah tangga yang betul atau politik yang betul. Betul itu kena dengan kehendak Allah Taala. Ini beza ajaran Islam dengan ajaran manusia sama ada kita Melayu atau Cina Muslim itu tidak kiralah. Ajaran Islam tidak serupa dengan ajaran yang manusia buat. Manusia reti apa di hujung dunia ada syurga neraka yang tahu benda itu ialah tukang yang membuat dunia iaitu Allah Taala. Allah Taala ajar benda ini kepada nabi-nabi sejak zaman-zaman sehingga sampai kepada Nabi Muhammad saw.

Ada ayat al Quran menyebut selepas mati kita akan dihidupkan balik. Selepas mati kita tidak perlu lagi sembahyang, puasa, mengundi atau apa sahaja sudah tidak ada lagi. Yang ada kamu dipaksa balik ke pangkuan Allah Taala. Ini masalah yang berlaku sejak dahulu kepada nabi-nabi dengan umat masing-masing. Begitu juga pada masa Nabi Muhammad s.a.w. dengan umatnya termasuk kita. Ini benda yang PAS hendak sebut. Ini juga yang kita sering sebut dalam sembahyang. Sembahyang, hajiku, hidup mati untuk-Mu Allah Taala. Untuk-Mu itu hendak pergi macam mana kalau bukan melalui Islam.

Kalau benda itu kita boleh buat tanpa melalui Islam, apa faedah Allah Taala kirim nabi-nabi. Apa tujuan kirim nabi sejak Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad s.a.w. Jadi kalau kita tolak Islam seperti yang diamalkan Umno sekarang dan mengambil kebangsaan, soalnya agama Islam itu berhenti setakat mana. Adakah Islam tidak berguna sekarang kerana tempoh dah habis atau macam mana? Mengapa kita tolak agama dan ambil kebangsaan. Adakah Umno fikir Islam tamat setakat 1946 ketika Umno mulai wujud atau Islam terus sampai khiamat. Orang Islam di seluruh dunia akui Nabi Muhammad s.a.w. adalah nabi akhir zaman.

Ini punca PAS dan Umno bertelagah. Apa salah kalau Umno tinggalkan kebangsaan. Islam itu terkandung di dalam al-Quran, dan di dalam terkandung semua termasuk politik, ibadat dan keselamatan. Ini kerana al-Quran didatangkan daripada Allah Taala. Bezanya sekarang Umno hanya selamat setakat dunia dan nak pergi akhirat tidak boleh. Arab, Cina, India hendak pergi syurga semuanya melalui Islam. Ini perkara pokok.

Ini bererti risalah Islam yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w. bukan terhenti setakat tahun 1946 sahaja. Ini punca segala pertelagahan yang berlaku sekarang, dan sebab itu saya minta semua kawan-kawan dalam Umno bermula daripada peringkat ‘grassroot’ sehingga pemimpin atasan. Tidak ada guna satu sen pun perjuangan kebangsaan. Hendak pembangunan semua parti yang memerintah boleh buat pembangunan.

Kalau komunis memerintah di negeri ini sekalipun mereka juga mampu buat pembangunan. Sekadar pembangunan lahiriah ini semua orang boleh buat. Tidak payahlah Allah Taala kirim nabi kalau sekadar kehidupan manusia mahu kepada pembangunan. Kafir Quraisy, Rom dan Parsi buat pemnbangunan sampai sekarang pun kita dapat lihat kesannya. Di Mesir ada piramid dan macam-macam lagi. Apa yang penting pemnbangunan tidak boleh sampai ke akhirat.

Masuk kubur kita hanya bawa jari 10 sedangkan kita mempunyai banyak duit di dunia. Kita ada tenaga di atas dunia mengapa tidak boleh bawa bersama di dalam kubur. Islam sahaja “cable” yang boleh membawa kita dari dunia sampai ke akhirat. Kepandaian, kebijaksaan dan harta kita semuanya itu boleh kita tukar melalui pertukaran benda kepada pahala. Ini perkara besar yang menguasai pemikiran manusia sekarang sama yang menyokong atau melawan gerakan Islam.

Oleh itu saya minta kalau sesiapa sahaja yang hendak pembangunan ia tidak boleh membawa kita ke akhirat tanpa melalui Islam. Kami jaga Melayu sampai ke akhirat tetapi Umno jaga Melayu setakat dunia sahaja. Islam ini kalau buat tanpa ikhlas tidak jadi, tidak kiralah orang PAS sendiri pun. Sembahyang, kempen tidak ikhlas tidak jadi. Kita mahu Islam dan iman.

Dua kali jemputan hadiri mesyuarat MB ditarik balik

Dua kali jemputan hadiri mesyuarat MB ditarik balik


KOTA BHARU: Keangkuhan pemimpin kerajaan BN terhadap pemimpin pembangkang sukar dilupakan, apatah lagi banyak peristiwa pahit yang terakam dalam lipatan sejarah.

Antara tindak tanduk paling memalukan apabila mereka menarik balik surat yang dihantar kepada Menteri Besar Kelantan supaya hadir pada mesyuarat Menteri-Menteri Besar yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau pernah dua kali menerima surat supaya hadir pada mesyuarat Menteri-Menteri Besar.

“Namun sebelum sempat hadir, surat yang dihantar ditarik balik. Inikah yang dinamakan demokrasi dalam Umno sehingga pemimpin lain dinafikan hak.

“Umno ternyata lebih suka menggunakan kaedah kekerasan dan bukan lemah lembut. Jauh berbeza dengan pemimpin Pakatan Rakyat yang ada sekarang,” katanya di sini.

Mesyuarat Menteri-Menteri Besar kebiasaannya diadakan menjelang mesyuarat Majlis-Majlis Raja Melayu. Mesyuarat itu dipengerusikan Perdana Menteri.

Menteri Besar yang dijemput hadir sebelum ini hanya dari negeri-negeri yang diterajui Umno. Bagaimanapun bagi mesyuarat Majlis Raja-Raja kehadiran Menteri Besar atau wakilnya adalah wajib mengikut perlembagaan.

Mengulas isu yang sama, Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin berkata, beliau tidak dapat bayangkan bagaimana perasaan Nik Abdul Aziz yang hadir seorang diri pada mesyuarat Majlis Raja-Raja dalam tempoh begitu lama sebelum ini.

“Saya tidak dapat memikirkan keadaan itu. Tetapi sekarang beliau sudah mempunyai kawan daripada Perak, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang yang turut bersama hadir pada mesyuarat tersebut,” katanya pada satu ceramah di Ketereh, baru-baru ini.

Bagaimanapun selepas Umno ditolak majoriti rakyat pada pilihan raya umum lalu, bilangan menteri besar Umno berkurang sehingga menyebabkan semua menteri besar dijemput hadir sekarang.

Nik Abdul Aziz juga berkata, beliau agak terkilan apabila Umno menubuh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Kelantan selepas parti itu tewas pada pilihan raya umum 1990.

“Kerana apa mereka menubuh JPP di sini kalau bukan hendak pecah belah masyarakat. Inilah wajah yang ada pemimpin Umno sehingga mereka ditolak rakyat pada pilihan raya umum lalu,” ujarnya.

Menurutnya sepanjang lebih 18 tahun menerajui Kelantan tidak ada pemimpin Umno yang menjemputnya hadir pada program anjuran mereka di negeri ini.

Kata beliau keadaan itu menggambarkan mereka begitu angkuh dengan kuasa yang ada sehingga memandang rendah orang lain.

Sedangkan beliau berkata, masyarakat bukan Islam lebih terbuka berbanding pemimpin Umno.

Katanya, sekarang masyarakat bukan Islam mulai faham tentang Islam sehingga ramai yang datang menjemputnya hadir pada program anjuran mereka.

“Ini adalah kesan sikap tolak ansur yang kita amalkan dalam Pakatan Rakyat. Modul politik kita laksana jauh berlainan berbanding dengan Umno.

“Segalanya bermula dengan pendekatan yang dilaksanakan di Kelantan sejak 18 tahun lalu, sehingga sekarang orang bukan Islam semakin berani mendekati PAS,” katanya.

Menteri Besar berkata, bantuan dari Tabung Serambi Makkah diberi kepada semua rakyat yang ditimpa musibah tanpa mengira bangsa, agama dan ideologi politik.

Begitu juga dengan skim Takaful Warga Emas (kifaalah) diberi kepada semua warga emas yang berusia 60 tahun ke atas dan mereka layak mendapat manfaat sebanyak RM2,500 apabila meninggal dunia.

Skim Pembangunan Ladang Rakyat juga diberi kepada kepada rakyat miskin dengan mendapat dividen bulanan sebanyak RM200.

“Saya melihat masyarakat bukan Islam lebih terbuka berbanding dengan pemimpin Umno. Sebab itulah ketika mula-mula menjadi ketua kerajaan saya memilih untuk melawat negara China.

“Dan hasil lawatan itu kerajaan negeri membina sebuah masjid berbentuk seni reka Cina di Rantau Panjang dan melantik imam di kalangan mereka.

“Ini menggambarkan Islam bukan hanya untuk orang Melayu dan Arab sahaja, malah milik semua bangsa, namun pemimpin Umno masih enggan menerimanya,ujar beliau.


p/s : sahabat semua..khususnya mahasiswa..anda dari golongan terpelajar..guna “kecerdikan” anda..sama2 lah mengubah “kerajaan retorik” ini kepada kerajaan di bawah naungan Pemerintahan Islam..Islam memimpin acuan negara bukan di anak tirikan..Islam tidak mengongkong penganut agama lainPas for all.

NGO Islam sambut baik keputusan tidak perlu beritahu keluarga jika peluk Islam

NGO Islam sambut baik keputusan tidak perlu beritahu keluarga jika peluk Islam

Pelbagai pihak menyambut baik keputusan Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak/Sivil ke-18 yang sebulat suara berpendapat tidak perlu bagi seseorang yang ingin memeluk Islam memaklumkan hasratnya itu kepada keluarga terlebih dahulu.

Pegawai dakwah di Islamic Information and Services Foundation (IIS), Shah Kirit Kokulal Govindji menganggap keputusan tersebut juga bertepatan dengan syarak. Katanya jika dilihat sejarah pada zaman Rasulullah s.a.w, beberapa orang sahabat baginda memeluk Islam secara sembunyi tanpa memaklumkan kepada keluarga masing-masing kerana dikhuatiri berlaku sebarang ancaman.

Jelasnya, tindakan merahsiakan pengislaman tersebut bukan kerana ‘Islam agama yang perlu dirahsiakan’ tetapi dibimbangi berlaku pelbagai ancaman termasuk boleh mencederakan fizikal dan mendera emosi saudara baru itu.

Tambahnya sekiranya dijadikan suatu peraturan, sudah tentu ramai individu yang berhasarat ingin memeluk Islam akan membatalkan hasrat mereka. Malah katanya, peraturan tersebut juga mungkin melanggari hak kemanusiaan seseorang individu dalam melaksanakan hasrat murni mereka untuk memeluk Islam.

“Islam sesuatu yang indah dan apabila kita memeluk Islam, naluri dan perasaan kita semestinya ingin berkongsi kegembiraan dan keindahan tersebut bersama orang yang kita sayang. Malangnya keadaan tidak mengizinkan kerana keluarga sukar untuk menerima berita tersebut sehingga berlaku pergaduhan,” katanya.

Selain itu katanya, kesukaran untuk menerima hakikat pengislaman juga menyebabkan timbul ancaman untuk membunuh diri di kalangan ahli keluarga itu sendiri.

Jelas Shahkirit, berdasarkan pengalamannya sewaktu ingin memeluk Islam suatu ketika dahulu, hampir lapan tahun beliau menghadapi tekanan setelah keluarganya memperolehi gambaran beliau akan memeluk Islam.

Selain berlaku pergaduhan, ahli keluarga saya juga mengugut untuk membunuh diri sekiranya saya memeluk Islam. Mereka juga mengugut saya yang harus bertanggung jawab di atas tindakan mereka itu. Segala kesalahan memang diletakkan kepada saya.

“Walaupun menerima pelbagai ancaman, semangat saya tetap kuat dan saya sudah tidak dapat tangguh lagi untuk memeluk Islam,” katanya yang merahsiakan keislamannya selama enam bulan daripada pengetahuan keluarganya.

Sementara itu katanya, beliau juga menyokong tindakan seseorang saudara baru itu sekiranya ingin memberitahu ahli keluarga tentang pengislaman mereka.

Bagaimanapun katanya, ia terpulang kepada individu tersebut kerana individu tersebut lebih mengetahui reaksi yang akan diterima daripada keluarga mereka.

Dalam pada itu, Angkatan Belia Islam (Abim) berpandapat berdasarkan pengalaman pertubuhan tersebut bersama beberapa NGO lain yang mengendalikan urusan dan bantuan kepada saudara baru, secara realiti dan praktikalnya peraturan seumpama itu boleh menimbulkan banyak masalah kepada mereka.

Menurut Setiausaha Agung Abim melalui kenyataannya kepada Harakahdaily, ada di kalangan keluarga baru itu memerlukan masa untuk memaklumkan kepada keluarga mereka termasuk faktor psikologi, keselamatan dan keharmonian keluarga itu sendiri.

Sehubungan itu katanya, beberapa langkah penambah baikan perlu dibuat khususnya melibatkan prosedur pendaftaran dan kaedah mengendali serta membantu saudara baru.

Jelasnya, penambahbaikan akan lebih berkesan sekiranya diikuti dengan pandangan dan pengalaman NGO Islam yang terlibat secara langsung membantu mereka yang baru memeluk Islam.

Negara Islam…. Satu Renungan Bersama

Negara Islam…. Satu Renungan Bersama

https://i0.wp.com/www.isb.org.uk/images/islam_explained.jpg

Perbincangan tentang Negara Islam masih lagi hangat di perkatakan, seakan-akan perkara negara Islam ini sesuatu yang baru dan tidak pernah wujud sebelum daripada ini, sedangkan Negara Islam yang di asaskan oleh Rasulullah saw adalah satu kerajaan yang paling lama memerintah di atas muka bumi, lebih dari seribu tahun.

Namun pada hari ini kita memerhatikan seolah-olah perkara ini tidak pernah wujud di atas muka bumi. Sepatutnya mereka yang ingin memperkatakan perkara ini perlulah menoleh sejenak kebelakang melihat sejarah yang telah tercipta dengan tinta emas, bagaimana Kerajaan Islam itu dapat bertahan dan terus memberikan keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.

Kemungkinan perancangan golongan Kuffar untuk menggelapkan perkara ini amat berjaya, sebagaimana mereka berjaya menutup kewujudan negara Islam di Spanyol dan di Eropah, yang ada hanyalah kejayaan mereka (kuffar) mewujudkan berbagai revolusi yang di katakan membawa kepada kemajuan, Kemungkinan ilmu inilah yang dipelajari oleh sesetengah pimpinan di tanahair kita pada hari ini samada di dalam UMNO, PKR mahupun DAP, seakan mereka tidak pernah mendengar atau membaca tentang kewujudan Kerajaan Islam dahulu yang memerintah berbagai bangsa, agama dan keturunan sehingga seolah-olah mereka meragui akan keupayaan Islam memerintah Malaysia.

Begitu juga, apabila berbincang tentang negara Islam, yang menjadi sasaran adalah PAS, PAS di minta supaya berlapang dada, berfikiran terbuka, jangan fanatik, jadilah orang politik yang bijak, jangan jumud, dan berbagai-bagai lagi saranan yang di ajukan kepada PAS, tetapi apakah yang di lakukan oleh yang membuat cadangan itu kepada PAS, apakah mereka sudah mempelajari apakah itu negara Islam, apakah mereka telah membuka minda dan pemikiran mereka terhadap agama Islam, adakah merek cuba untuk melepaskan diri mereka dari kejumudan, kesempitan Sekularisma, Nasionalisma dan fahaman-fahaman lain lagi.

Bila menyebut perkara ini saya teringat akan satu aduan dari seorang sahabat yang bertugas sebagai gur j-Qaf di satu sekolah, dimana telah di taklimatkan oleh pihak Guru Besar bahawa semua guru mestilah terlibat dalam kegiatan Ko-Kurikulum di sekolah di waktu petang, dan di tekankan bahawa semua guru agama mestilah terlibat, semua mestilah memakai pakaian sukan termasuk ustazah tua, “kita mesti open-minded” kata guru besar, maka dengan arahan itu semua guru mematuhi arahan tersebut atas alasan mestilah berfikiran terbuka…..tetapi bagaimana pula dengan Kem Solat?, Kem Ibadah? Tasmi’ Quran? kenapa tidak arahan terus daripada sekolah supaya cikgu-cikgu lain turut terlibat, kenapa tidak ada arahan kepada guru-guru lain (yang beragama Islam jugak) supaya open-minded la sikit untuk menerima program-program keagamanan ini.

Berbalik kepada polimik sekarang?
adakah PAS tidak melakukan apa yang sepatutnya lagi? PAS sudah lebih daripada apa yang sepatutnya di lakukan, dan PAS pasti akan terus melakukan apa sahaja demi untuk menjayakan PR (Pakatan Rakyat) cuma kita minta orang lain cuba la buka sikit fikiran terhadap Negara Islam, bacalah sikit perkara yang berkaitan dengannya dalam buku-buku ulama’ yang muktabar, JANGAN duk terima takrif KERAJAAN ISLAM DARI UMNO

http://www.zahidyusof.blogspot.com

Pusat perlu akui silap sekat peruntukan pembangunan ke Kelantan – MB

Pusat perlu akui silap sekat peruntukan pembangunan ke Kelantan – MB

https://i2.wp.com/saifulislam.com/wp-content/uploads/2007/05/nik_aziz.jpg

Sesuai dengan keghairahan pemimpin-pemimpin Umno memohon maaf di atas kesilapan lampau, maka perkara serupa perlu juga dilakukan terhadap kerajaan Kelantan.

Malah mereka perlu mengakui kesilapan menyekatkan hak Kelantan mendapat peruntukan terutamanya berkaitan pembangunan yang berlaku sejak 18 tahun lalu.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, dilihat kepada ghairahnya pemimpin Umno memohon maaf, maka perkara yang serupa juga wajar dilakukan terhadap negeri-negeri yang ditadbir pembangkang.

Sekarang masa paling sesuai bagi mengembalikan semangat demokrasi berparlimen memandangkan sejak kebelakangan ini ramai pemimpin BN memohon maaf secara terbuka di atas kesilapan-kesilapan dan penyelewengan yang pernah dilakukan mereka.

Begitu juga dalam kes pemecatan hakim-hakim kanan yang berlaku lebih 20 tahun lalu. Sebagai tanda bersalah kerajaan pusat membayar sejumlah pempasan kewangan kepada hakim yang dipecat ketika itu.

Sangat wajar sekiranya permohonan maaf turut dibuat kerajaan pusat terhadap kerajaan dan rakyat Kelantan kerana sejak sekian lama peruntukan pembangunan dinafikan.

Saya selaku Menteri Besar akan mengutuskan surat rasmi kepada Perdana Menteri supaya mengembalikan semula peruntukan pembangunan yang sepatutnya disalurkan kepada kerajaan negeri, katanya selepas majlis angkat sumpah Adun di Dewan Undangan Negeri Kelantan, hari ini.

Ekoran kemerosotan teruk prestasi pada pilihan raya umum lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mahu kerajaan BN memohon maaf di atas kesilapan memecat bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan mencampuri urusan badan kehakiman.

Menurut senator tersebut tindakan pemecatan itu memalukan negara apabila dunia memandang serong terhadap sistem keadilan Malaysia.

Manakala dalam kes lain Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memohon maaf secara terbuka dalam isu keris Panca Warisan yang sering dijulang setiap kali perhimpunan agung Umno diadakan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, kalau kerajaan pusat boleh membayar kepada hakim-hakim dan mengaku kesilapan besar memecat mereka, maka perkara yang serupa perlu dilakukan terhadap Kelantan.

Kalau hakim dibayar pampasan, kerajaan Terengganu juga menuntut kembali royalti petroleum maka kerajaan Kelantan juga mempunyai hak serupa, kata beliau.

Malah tegas beliau kerajaan pusat sepatutnya menyalur kembali peruntukan dan bantuan yang menjadi hak kerajaan negeri, sesuai dengan semangat kerjasama antara negeri dengan Persekutuan sebagaimana dijamin perlembagaan.

Menurutnya kerajaan negeri di bawah BN menerima terus peruntukan pembangunan termasuk pembinaan perumahan awam kos rendah, namun ia tidak berlaku di Kelantan sejak lebih 18 tahun lalu semata-mata kerana diperintah PAS.

Sedangkan Kelantan juga sebahagian daripada Malaysia dan kerajaan negeri yang ada sekarang sebuah kerajaan sah dipilih rakyat melalui sistem demokrasi yang sama-sama kita dokongi, ujarnya.

Selain itu kata beliau kerajaan Pusat pimpinan Umno perlu memohon maaf kepada seluruh umat Islam terutamanya di Malaysia kerana melakukan kesilapan besar sepanjang tempoh 50 tahun lalu apabila tidak menjadikan Islam sebagai dasar dalam pemerintahan negara.

Menteri Besar juga melahirkan rasa syukur dan gembira di atas perubahan minda rakyat sehingga membawa kepada kemenangan besar parti-parti Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya umum, baru-baru ini.

Kemenangan pembangkang dalam pilihan raya umum baru-baru ini sebenarnya melibatkan perubahan pemikiran rakyat yang yakin terhadap kemampuan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, KeADILan dan DAP.

Perubahan jelas berlaku di kalangan rakyat bukan Islam di mana mereka boleh menerima dan yakin dengan kepemimpinan PAS, kata beliau.

 

Hudud : Media beri gambaran buruk mengenai hudud – Dr Haron Din

Hudud : Media beri gambaran buruk mengenai hudud – Dr Haron Din

SOALAN: Mengapa undang-undang hudud Islam amat ditakuti dan digeruni oleh orang Islam sendiri dan orang-orang kafir, sedangkan undang-undang tersebut belum pernah dilihat, atau belum dilaksanakan di Malaysia? – SAIFUL ISLAM, Kuala Lumpur

JAWAPAN: Perlu disedari dan diamati bahawa hakikatnya undang-undang hudud Islam adalah undang-undang Allah SWT. Dia Tuhan kita, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Allah yang sedemikian sifatnya, bolehkah berlaku apabila Dia menciptakan undang-undang untuk manusia, diciptakan undang-undang yang zalim, kejam dan tidak berperikemanusiaan? Mana mungkin demikian.

Apa yang berlaku sebenarnya adalah salah faham dan salah tanggapan.

Yang pasti adalah, kerana sifat belas kasihan Allah kepada manusialah, maka diciptakan undang-undang hudud, yang amat serasi dan sesuai dengan manusia, demi kebaikan hidup manusia di dunia hingga ke akhirat.

Jangan hanya dilihat kepada hukuman itu secara prejudis atau kerana kononnya kasihan kepada penjenayah yang dihukum sedangkan mungkin kesalahannya tidak seberapa.

Islam mengajak manusia melihat kepada skop yang lebih luas iaitu misalnya, kesan kepada kesalahan mencuri atau merompak, betapa merananya mangsa yang mengumpul harta dengan titik penuhnya, tiba-tiba disamun dengan begitu mudah.

Dalam sekelip mata, segala yang diusaha dan diimpikan kesenangan dalam kehidupan hilang lenyap.

Lihat kepada penjenayah yang berleluasa sekarang berbanding dengan hukuman atau undang-undang yang ada sekarang ini, tidak pernah mengajar penjenayah menjadi insaf.

Penjenayah terus melakukan jenayah sehingga menjadikan jumlah kes jenayah terus meningkat dari semasa ke semasa, tanpa sebarang kesudahan.

Keselamatan harta benda, malah keselamatan nyawa manusia menjadi begitu mudah dinodai. Sampai bila masyarakat yang tidak berdosa akan terus menerima pada tersebut?

Penjenayah sebenarnya adalah orang yang berpenyakit sosial. Usaha mengubati penyakitnya dengan undang-undang yang ada tidak mendatangkan kesembuhan, malah penyakitnya semakin merebak.

Tidakkah terfikir orang yang waras jika ubat yang ada gagal menyembuhkan, mengapa tidak diiktiharkan ubat yang baru?

Ada atau tidak ubat lain yang boleh menyembuhkan penyakit jenayah? Jawapannya sudah tentu ada.

Ubat itu ialah undang-undang hudud Islam. Ada pun yang menyebabkan masyarakat umum takut, ngeri dan menentang huduh tersebut, bukan kerana sifat undang-undang itu.

Contohnya undang-undang yang dilaksanakan di Malaysia sekarang ini ke atas perogol, perompak dan sebagainya. Penjenayah akan dikenakan hukuman sebatan, memang ia mengerikan dan amat dahsyat sehingga meninggalkan parut besar yang cukup mengerikan. Ada yang dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Bukankah ini mengerikan? Tetapi semuanya diterima umum, tanpa mengatakan ianya kejam dan ngeri.

Kenapa undang-undang hudud sukar diterima? Kerana peranan media yang anti-Islam, khususnya yang antihudud Islam dengan gambaran yang wujud sekarang ini, memberikan kesan negatif yang menakutkan ummah.

Dengannya, masyarakat terpengaruh menolak hukum-hukum Islam, dengan alasannya ianya tidak berperikemanusiaan.

Allah SWT pernah menyebut dalam al-Quran (mafhumnya): “Dan lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan mereka sebagai balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan sebagai pencegahan (nakaalan) dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Maidah, ayat 38 )

Perkataan ‘nakaalan’ dalam ayat tersebut membawa maksud, Allah berjanji kepada manusia, bahawa hukuman yang diciptakan-Nya merupakan suatu pencegahan daripada-Nya dengan memalingkan hati-hati manusia dari hendak meneruskan kerja jenayah kepada lain-lain perkara.

Maka dengan pencegahan itu, jenayah akan terhapus.

Inilah yang telah dibuktikan oleh Rasulllah s.a.w. yang melaksanakan hukuman itu, kepada penjenayah pada zamannya.

Sepanjang beberapa tahun, hanya segelintir sahaja penjenayah dihukum. Jenayah amat terkawal dan hampir tidak berlaku.

Cuba lihat di akhir ayat tersebut. Maksud ‘Azeezun’ maksudnya, Allah Maha Perkasa. Perkasa dalam konteks Allah (melalui undang-undang-Nya) mampu mencegah jenayah sedangkan undang-undang ciptaan manusia tidak mampu. Yang boleh memberi jaminan hanya Allah SWT sahaja.

Akhir sekali maksud ‘Hakeem’ atau Maha Bijaksana. Allah amat mengetahui apa yang Dia buat adalah untuk kebaikan manusia, sedangkan manusia sehebat mana pun tidak mampu untuk membuat kebaikan, lebih-lebih lagi kebaikan di akhirat.

Allah Maha Bijaksana kerana Dia tahu ia adalah kebaikan untuk manusia.

Sekiranya media-media perdana seluruhnya, dapat memberikan gambaran yang adil kepada undang-undang Islam, khususnya hudud, maka tidak ada sebab manusia akan menolaknya kerana ia untuk kebaikan dan kesentosaan manusia seluruhnya.

Apatah lagi apabila kita melihat kepada natijah yang akan didapati daripada pelaksanaannya.