Golongan yang mendapat naungan Allah

Golongan yang mendapat naungan Allah

DARIPADA Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda: “Tujuh golongan, Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya: Imam yang adil, pemuda yang membesar dengan beribadat kepada Allah, insan yang hatinya terpaut dengan masjid, dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah, insan yang diajak (digoda) oleh wanita yang berpangkat dan cantik lalu ia berkata: Sesungguhnya aku takutkan Allah, insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu berlinangan air matanya.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Universiti Antarabangsa (UIA) mula bertindak ke atas aktivis Parti Mahasiswa

Universiti Antarabangsa (UIA) mula bertindak ke atas aktivis Parti Mahasiswa

meorisfandi 040408 uiam student

Pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) didakwa tidak profesional dalam mengendalikan kes seorang mahasiswanya, Meor Isfandi Meor Azizan yang tamat pengajian yang kini menghadapi pertuduhan terlibat dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Kesan daripada pertuduhan tersebut, Meor ditahan dari menerima pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional yang terakhir di samping melarang beliau mengambil transkrip keputusan penuh peperiksaannya.

Dalam suratnya kepada Harakahdaily, Meor mendakwa tindakan UIAM menggantung dan menafikan haknya sebagai tidak profesional kerana beliau belum dibuktikan bersalah melakukan kesalahan-kesalahan sepertimana pertuduhan.

Beliau juga mendakwa pihak universiti hanya menghubunginya menerusi telefon dan menggunakan email sahaja bagi tujuan memaklumkan kepadanya untuk hadir ke prosiding yang telah ditetapkan pada 8 April.

Bagaimanapun, setakat berita ini ditulis, Meor dimaklumkan pula bahawa prosiding tersebut sekali lagi ditangguhkan tanpa sebarang alasan diberikan.

Selain itu, beliau turut mempertikaikan tindakan UIAM yang dikenakan ke atasnya setelah beliau menyempurnakan pengajian pada November tahun lalu.

“Adakah saya masih berstatus pelajar kerana saya tidak mengikuti apa-apa subjek di universiti, tidak membayar yuran pengajian dan penginapan?

“Adakah saya dikira bersalah jika saya mencari apa-apa kerja yang lain dan terlibat dalam mana-mana parti politik, NGO dan sebagainya selepas saya menamatkan pengajian saya?” katanya ketika dihubungi Harakah.

Jelasnya, pihak UIAM turut menuduh penglibatannya dalam menubuhkan sebuah parti politik mahasiswa, Parti Mahasiswa Negara (PMN) yang tidak mendapat kelulusan daripada pihak universiti.

Pihak UIAM telah menghantar surat pertuduhan kepadanya dan mendakwa penglibatannya dalam pilihan raya umum lalu yang jelas melanggar peraturan universiti.

“Disebabkan itu, pihak UIAM telah menahan saya dari menerima PTPTN yang terakhir dan melarang saya untuk mengambil transkrip penuh dari universiti,” ujarnya.

Oleh sebab itu, beliau mengalami kesukaran untuk memohon mana-mana kerja kerana gagal mengemukakan transkrip keputusan penuh pengajian dan mungkin juga beliau akan ditahan dari menerima ijazah sewaktu konvokesyen nanti disebabkan kelewatan menjelaskan yuran terakhir dan melakukan penjelasan-penjelasan teknikal lain yang perlu dilaksanakan oleh seorang graduan.

Tahanan ISA : GMI kesal tempoh tahanan ISA dilanjutkan 8 tahun

Tahanan ISA : GMI kesal tempoh tahanan ISA dilanjutkan 8 tahun

Tiada lebih memeritkan bagi mangsa ISA dan keluarga masing-masing apabila tempoh penahanan mereka dilanjutkan dua tahun lagi, selepas enam tahun dikurung tanpa bicara.

Menurut Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh, awal tahun ini seramai lima lagi tahanan ISA dilanjutkan tempoh tahanan. Mereka adalah Yazid Sufaat, Suhaimi Mokhtar, Shahrial Sirin, Dr Abdullah Daud dan Abdullah Minyak Silam.

“Kami sangat kesal dengan keadaan ini. Surat yang dikeluarkan kepada tahanan tidak memberitahu alasan penahanan mereka dilanjutkan. Seolah-olah mereka tidak menganggap tahanan itu manusia,” kata beliau yang ditemui, di sini, 5 April lalu.

Isteri Abdullah, Siti Norma, hanya mampu melahirkan rasa kesal terhadap sikap Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak mengendahkan tuntutan tahanan dan keluarga mereka.

“Sehari sebelum pilihan raya umum lalu, iaitu 7 Mac, saya dimaklumkan tempoh lanjutan itu. Hendak kata terkejut, mungkin tidak kerana sudah menjangkakan kemungkinan tersebut.

“Hendak kata kecewa pun tidak, kerana saya tidak meletakkan harapan yang tinggi. Tapi saya kesal kerana Perdana Menteri tidak mengubah keadaan ini, malah memburukkan lagi keadaan,” tegas Siti Norma ketika dihubungi, 8 April lalu.

Bagaimanapun, beliau masih mengharapkan keadilan berada di pihaknya apabila menerima salinan surat yang ditujukan kepada Menteri Hukum Indonesia daripada Komisi Hak Asasi Indonesia, yang mendesak menteri berkenaan mengambil tindakan segera berhubung penahanan suaminya yang merupakan warga Indonesia serta tahanan lain.

Sementara itu, aktivis GMI, Norlaila Osman, yang juga isteri tahanan Mohd Sah Satray, berkata kesan penahanan ISA cukup mengharu-birukan kehidupan para tahanan dan keluarga mereka, khususnya para isteri.

Menurutnya, isteri Shahrial, Fatma Masrun mengalami keperitan dahsyat ekoran kekejaman ISA ini, apatah lagi setelah penahanan suaminya dilanjutkan dua tahun lagi, menjadikan lapan tahun.

Kata Norlaila, dengan lima orang anak yang masih bersekolah, Fatma kini menjadi seorang guru di sebuah sekolah swasta bagi menampung keperluan anak-anaknya, di samping mendiami sebuah rumah yang agak usang, di Hulu Langat.

Lebih mengharukan, isteri kepada Abdullah Daud, Zakiah Mat terpaksa menanggung 12 orang anak mereka yang sedang membesar di Johor Baharu.

“Dengan kos sara hidup yang tinggi di JB, beliau terpaksa bersengkang mata, membanting tulang empat kerat bagi memenuhi keperluan anak-anaknya yang sedang membesar.

“Beliau terpaksa bangun seawal jam empat pagi untuk menyediakan kuih untuk jualan. Lingkaran hitam di bawah matanya menunjukkan penderitaan yang ditanggungnya ekoran kekejaman ISA,” cerita Norlaila.

Zakiah turut mengambil upah menjaga anak-anak jiran bagi menampung keperluan sehariannya.

Menyedari keperitan dan penderitaan berterusan yang dialami para isteri tahanan ISA, Norlaila berkata GMI kini dalam rangka kempen besar-besaran membebaskan seluruh tahanan terutama yang dikurung lebih enam tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman memaklumkan, pihaknya yang turut tersentuh dengan lanjutan tempoh penahanan mangsa ISA itu akan berusaha mengumpulkan dana bantuan kepada keluarga terbabit.

“Harakah akan berusaha menimbulkan kesedaran awam, bukan saja untuk terus menentang kezaliman ISA dan berkempen membebaskan semua mangsa di Kamunting, tetapi juga mengutip bantuan kewangan untuk disalurkan kepada keluarga mangsa yang amat memerlukan,” ujar Lutfi.

Buat pembaca yang prihatin dengan nasib malang keluarga mangsa ISA ini, sila hantar sumbangan anda kepada HARAKAHDAILY DOT COM, nombor akaun Maybank 564070000336.

Perlu kuasai Pusat untuk laksana hukum hudud, kata Dr Haron Din

Perlu kuasai Pusat untuk laksana hukum hudud, kata Dr Haron Din

Khamis 10 April 2008 | 3 Rabiul Akhir 1429 Hijrah

SOALAN: Apakah apabila PAS menjadi pemerintah sesebuah negeri, undang-undang hudud Islam menjadi keutamaan? Wajib disegerakankah atau pun bukan keutamaan. Jika bukan, apa pula keutamaan PAS dalam pemerintahannya. Mohon Dato’ perjelaskan. – UBAIDAH SALIM, Sepang

JAWAPAN: Anda perlu memahami terlebih dahulu bahawa sistem pemerintahan di Malaysia terbentuk daripada dua sistem perundangan iaitu, pertama, pemerintah Kerajaan Pusat atau ‘Federal Government’ dan kedua, Kerajaan Negeri atau ‘State Government’.

Kerajaan Pusat dibentuk selepas parti politik memenangi majoriti kerusi-kerusi Parlimen. Demikian juga di negeri-negeri, mana-mana parti yang dapat membentuk majoriti mudah, maka merekalah yang membentuk kerajaan.

Kuasa tertinggi adalah Kerajaan Pusat, mengikut kehendak Perlembagaan, kerajaan negeri perlu patuh dan tertakluk dengan kuasa Kerajaan Pusat.

Kerajaan negeri tidak boleh membuat undang-undang sendiri yang bercanggah dengan Kerajaan Pusat.

Oleh kerana itu, persoalan hudud adalah termasuk dalam peruntukan undang-undang yang dibolehkan oleh Kerajaan Pusat atau tidak. Buat sementara ini Kerajaan Pusat tidak meluluskan undang-undang berkait hudud dilaksanakan di peringkat negeri.

Ini bererti bahawa undang-undang hudud perlu patuh kepada Parlembagaan Malaysia, maka dengan sendirinya, jika PAS tidak menguasai Kerajaan Pusat atau Perlembagaan yang ada belum diubah, ia tidak dapat dilaksanakan.

Jika sekiranya negeri mahu melaksanakan undang-undang hudud, ia mesti mendapat persetujuan Kerajaan Persekutuan.

Dengan pemahaman yang mudah, kerajaan-kerajaan negeri PAS, belum diizinkan untuk melaksanakan undang-undang hudud.

Kita perlu bersabar sehingga Kerajaan Pusat dikuasai oleh PAS sehingga Perlembagaan Persekutuan dapat diubah, maka barulah ia menjadi keutamaan.

Untuk sekarang ini kita mengambil panduan daripada al-Quran, tentang apakah keutamaan PAS dalam soal pemerintahan.

Ia mesti berpegang kepada dasar PAS, ia termaktub dalam Perlembagaan PAS Fasal 7 (1) yang menyebut bahawa, “Adapun hukum yang tertinggi sekali pada pegangan PAS adalah Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.”

Merujuk kepada al-Quran, Allah memberi keutamaan, panduan kepada pemerintah Islam yang perlu melakukannya apabila berkuasa sebagaimana firman Allah (mahfumnya): “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj, ayat 41)

Kesimpulannya, keutamaan yang perlu disegerakan; pertama, memperkukuh hubungan dengan Allah menerusi menanam aqidatuttauhid yang sebenar, membasmi kesyirikan kepada Allah, menyebarkan ilmu Islam bagi memahamkan manusia umum akan Islam yang sebenar, mengajak mereka mengamalkan ajaran Islam, menghidupkan institusi agama agar ianya benar-benar berfungsi seperti yang sepatutnya.

Kedua, memberi perhatian dan tindakan yang sewajarnya kepada pertumbuhan dan perkembangan ekonomi, khususnya kepada golongan bawahan, fakir miskin agar mereka terbela menerusi pemberian zakat.

Sebagainya perintah Rasulullah s.a.w. (mafhumnya) “Ambillah harta daripada golongan berada dan bahagikannya kepada golongan kurang berada.” Itulah yang dilambangkan dengan zakat.

Sekiranya semua zakat yang wajib atas umat Islam yang berada (kaya) di sesebuah negeri (khususnya di Selangor), dikumpul dengan cara yang berkesan dan sempurna, serta diagihkan kepada golongan yang miskin dengan cara yang betul, maka bayangkanlah apa yang akan berlaku.

Ketiga, makruf ditegakkan. Makruf ialah sesuatu yang diperintahkan oleh Allah SWT. Apa sahaja yang diperintah, hendaklah dicari jalan bagaimana mahu melaksanakannya sehingga syiar Islam tertegak dan kebaikan Islam terserlah, serta nilai-nilai murni menjadi amalan masyarakat.

Keempat, mencegah kemungkaran. Mengikut aturcara yang sesuai dan langkah-langkah pencegahan yang efektif lagi berwibawa, menuju penghapusan nilai-nilai negatif yang tidak disukai wujud dalam masyarakat.

Kelima, berserahlah kepada Allah SWT untuk menentukan yang sebaiknya dalam perlaksanaan semua urusan yang dilaksanakan menurut perintah-Nya. Wallau’alam.