Hudud : Media beri gambaran buruk mengenai hudud – Dr Haron Din

Hudud : Media beri gambaran buruk mengenai hudud – Dr Haron Din

SOALAN: Mengapa undang-undang hudud Islam amat ditakuti dan digeruni oleh orang Islam sendiri dan orang-orang kafir, sedangkan undang-undang tersebut belum pernah dilihat, atau belum dilaksanakan di Malaysia? – SAIFUL ISLAM, Kuala Lumpur

JAWAPAN: Perlu disedari dan diamati bahawa hakikatnya undang-undang hudud Islam adalah undang-undang Allah SWT. Dia Tuhan kita, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Allah yang sedemikian sifatnya, bolehkah berlaku apabila Dia menciptakan undang-undang untuk manusia, diciptakan undang-undang yang zalim, kejam dan tidak berperikemanusiaan? Mana mungkin demikian.

Apa yang berlaku sebenarnya adalah salah faham dan salah tanggapan.

Yang pasti adalah, kerana sifat belas kasihan Allah kepada manusialah, maka diciptakan undang-undang hudud, yang amat serasi dan sesuai dengan manusia, demi kebaikan hidup manusia di dunia hingga ke akhirat.

Jangan hanya dilihat kepada hukuman itu secara prejudis atau kerana kononnya kasihan kepada penjenayah yang dihukum sedangkan mungkin kesalahannya tidak seberapa.

Islam mengajak manusia melihat kepada skop yang lebih luas iaitu misalnya, kesan kepada kesalahan mencuri atau merompak, betapa merananya mangsa yang mengumpul harta dengan titik penuhnya, tiba-tiba disamun dengan begitu mudah.

Dalam sekelip mata, segala yang diusaha dan diimpikan kesenangan dalam kehidupan hilang lenyap.

Lihat kepada penjenayah yang berleluasa sekarang berbanding dengan hukuman atau undang-undang yang ada sekarang ini, tidak pernah mengajar penjenayah menjadi insaf.

Penjenayah terus melakukan jenayah sehingga menjadikan jumlah kes jenayah terus meningkat dari semasa ke semasa, tanpa sebarang kesudahan.

Keselamatan harta benda, malah keselamatan nyawa manusia menjadi begitu mudah dinodai. Sampai bila masyarakat yang tidak berdosa akan terus menerima pada tersebut?

Penjenayah sebenarnya adalah orang yang berpenyakit sosial. Usaha mengubati penyakitnya dengan undang-undang yang ada tidak mendatangkan kesembuhan, malah penyakitnya semakin merebak.

Tidakkah terfikir orang yang waras jika ubat yang ada gagal menyembuhkan, mengapa tidak diiktiharkan ubat yang baru?

Ada atau tidak ubat lain yang boleh menyembuhkan penyakit jenayah? Jawapannya sudah tentu ada.

Ubat itu ialah undang-undang hudud Islam. Ada pun yang menyebabkan masyarakat umum takut, ngeri dan menentang huduh tersebut, bukan kerana sifat undang-undang itu.

Contohnya undang-undang yang dilaksanakan di Malaysia sekarang ini ke atas perogol, perompak dan sebagainya. Penjenayah akan dikenakan hukuman sebatan, memang ia mengerikan dan amat dahsyat sehingga meninggalkan parut besar yang cukup mengerikan. Ada yang dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Bukankah ini mengerikan? Tetapi semuanya diterima umum, tanpa mengatakan ianya kejam dan ngeri.

Kenapa undang-undang hudud sukar diterima? Kerana peranan media yang anti-Islam, khususnya yang antihudud Islam dengan gambaran yang wujud sekarang ini, memberikan kesan negatif yang menakutkan ummah.

Dengannya, masyarakat terpengaruh menolak hukum-hukum Islam, dengan alasannya ianya tidak berperikemanusiaan.

Allah SWT pernah menyebut dalam al-Quran (mafhumnya): “Dan lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan mereka sebagai balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan sebagai pencegahan (nakaalan) dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Maidah, ayat 38 )

Perkataan ‘nakaalan’ dalam ayat tersebut membawa maksud, Allah berjanji kepada manusia, bahawa hukuman yang diciptakan-Nya merupakan suatu pencegahan daripada-Nya dengan memalingkan hati-hati manusia dari hendak meneruskan kerja jenayah kepada lain-lain perkara.

Maka dengan pencegahan itu, jenayah akan terhapus.

Inilah yang telah dibuktikan oleh Rasulllah s.a.w. yang melaksanakan hukuman itu, kepada penjenayah pada zamannya.

Sepanjang beberapa tahun, hanya segelintir sahaja penjenayah dihukum. Jenayah amat terkawal dan hampir tidak berlaku.

Cuba lihat di akhir ayat tersebut. Maksud ‘Azeezun’ maksudnya, Allah Maha Perkasa. Perkasa dalam konteks Allah (melalui undang-undang-Nya) mampu mencegah jenayah sedangkan undang-undang ciptaan manusia tidak mampu. Yang boleh memberi jaminan hanya Allah SWT sahaja.

Akhir sekali maksud ‘Hakeem’ atau Maha Bijaksana. Allah amat mengetahui apa yang Dia buat adalah untuk kebaikan manusia, sedangkan manusia sehebat mana pun tidak mampu untuk membuat kebaikan, lebih-lebih lagi kebaikan di akhirat.

Allah Maha Bijaksana kerana Dia tahu ia adalah kebaikan untuk manusia.

Sekiranya media-media perdana seluruhnya, dapat memberikan gambaran yang adil kepada undang-undang Islam, khususnya hudud, maka tidak ada sebab manusia akan menolaknya kerana ia untuk kebaikan dan kesentosaan manusia seluruhnya.

Apatah lagi apabila kita melihat kepada natijah yang akan didapati daripada pelaksanaannya.

Isu Babi di Selangor Dari Perpektif Islam

Isu Babi di Selangor Dari Perpektif Islam


LADANG BABI DALAM KERAJAAN ISLAM

Babi merupakan binatang yang dikira najis disisi Islam. Penentuan najis itu disebut oleh Allah dalam firman-Nya;

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ

Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah dan daging babi” (Surah Al-Baqarah : 173)

Firman Allah ini,
menjelaskan kepada kita bahawa babi merupakan makanan yang haram dimakan[1].

Pengharaman ini dikhususkan kepada orang islam, bukan kepada non muslim.  Apabila babi sudah menjadi makanan non muslim, wajib bagi pihak kerajaan Islam memberi kebebasan kepada mereka dalam menentukan makanan mereka sendiri walaupun makanan tersebut haram dimakan oleh orang islam[2].

Menghalang kebebasan Non Muslim dalam menentukan makanan yang dihalalkan oleh agama mereka merupakan tindakan yang zalim dari sudut syariah islamiyyah. Hal ini diakui oleh seorang ulama bermazhab Hanafi bernama Al-Kasani dengan katanya;

فِي الْقُرَى أَوْ فِي مَوْضِعٍ لَيْسَ مِنْ أَمْصَارِ الْمُسْلِمِينَ فَلَا يُمْنَعُونَ مِنْ إحْدَاثِ الْكَنَائِسِ وَالْبِيَعِ ، كَمَا لَا يُمْنَعُونَ مِنْ إظْهَارِ بَيْعِ الْخُمُورِ وَالْخَنَازِيرِ

Maksudnya;
“Dalam negeri atau tempat yang bukan penempatan orang islam, tidak ditegah mewujudkan gereja dan Biya’ (gereja yahudi), sepertimana tidak ditegah menjual arak dan babi[3]

Maka dengan itu, apabila babi merupakan makanan non muslim, sebagai kerajaan Islam, tidak selayaknya pihak kerajaan mengharamkan non muslim menjadikannya sebagai makanan. Apabila babi sudah menjadi makanan non muslim, sudah pasti wujudnya ladang ternakkan babi.

Terlebih penting lagi, apabila sudah wujud babi yang sudah diternak, tetapi disebabkan cara ternakkan itu tidak dikawal, maka menjadi kewajipan dari pihak kerajaan Islam mengawal cara ternakkan agar ianya tidak memudharatkan kepada rakyat yang merupakan penghuni dalam kerajaan.

Lantaran itu, melihat kepada tindakan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang cuba melaksanakan kawalan babi dengan menyediakan satu ladang khusus yang memakan belanja sebanyak 100 juta ringgit, ini merupakan tindakan yang tidak bercanggah dengan Islam, bahkan ianya perkara yang sewajibnya dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

Ditambahi lagi, projek pembinaan bagi mengawal ternakan babi itu, disediakan dengan teknologi hebat, seperti teknologi yang diambil di Jerman, disamping keberkesanan disebalik teknologi ini diakui sendiri oleh Jabatan Alam Sekitar.



KEIZINAN BERSYARAT

Walaupun Islam memberikan hak kepada non muslim untuk makan makanan yang halal disisi agama mereka, dan sebagai kerajaan pula, wajib memberikan hak kepada mereka dalam mereka mengurus urusan makanan mereka.

Pun begitu, keizinan itu masih lagi tertakluk dengan syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh pihak kerajaan. Antara syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut;

1.   Pastikan tidak mencemarkan persekitaran.

Apabila pihak kerajaan sudah mengizinkan kepada pihak non muslim mengurus urusan makanan mereka, seperti babi, maka pihak kerajaan wajib memastikan alam sekitar tidak tercemar.

Menjaga alam sekitar dari tercemar merupakan satu tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh pihak kerajaan islam. Ianya adalah bersebab, Islam melihat kebersihan itu merupakan sebahagian daripada iman. Sabda Nabi SAW;

إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ يُحِبُّ الطَّيِّبَ نَظِيفٌ يُحِبُّ النَّظَافَةَ

Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah itu baik, dan suka kepada kebaikan, dan Dia adalah maha bersih dan suka kepada kebersihan[4]

2.   Pastikan ternakan babi itu tidak membawa penyakit

Sebagai kerajaan, apabila telah diberikan kepada non muslim menternak babi, pastikan ternakan babi itu tidak menjadi punca penyakit mudah merebak.

Sabda Nabi SAW;

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya;
“Tidak boleh memberi mudharat pada diri, dan tidak boleh memberi mudharat kepada orang lain[5]

3.   pastikan orang Islam tidak makan babi

Sebagai kerajaan yang menjaga kemaslahatan manusia, samada muslim dan non muslim, wajib dari pihak kerajaan memastikan bahawa, penternakan babi itu tidak menyebabkan orang islam juga terjebak kepada makan daging babi.

Sebagai kerajaan, hendaklah dipastikan makan daging babi itu berlegar dikalangan non muslim sahaja.

Firman Allah;

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ

Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah dan daging babi” (Surah Al-Baqarah : 173)

4.   pastikan agar makanan umum tidak terjebak dengan babi

apabila sudah wujud ladang ternakan babi yang hebat, dibimbangi segala makanan yang melibatkan makanan umum, iaitu makanan yang dimakan oleh muslim dan non muslim, terjebak dengan unsur-unsur babi.

Justeru itu, apabila pihak kerajaan telah memberikan hak kepada non muslim menternak babi, maka hendaklah dipastikan segala makanan yang berbentuk umum dimakan oleh muslim dan non muslim tidak terjebak dengan babi, seperti ajinomoto, makanan ringan dan sebagainya.

5.   kehadiran ladang babi tidak mencacatkan syiar negara.

Kehadiran ladang babi itu, hendaklah sekadar menjadi keizinan pihak kerajaan terhadap non muslim terhadap makanan mereka. Maka dengan itu, tidak selayaknya dengan kehadiran ladang babi itu menyebabkan pihak kerajaan menjadikannya sebagai bahan yang boleh merosakan imej negara.

Dengan demikian, merupakan satu tindakan yang haram, jika dengan kehadiran ladang babi menyebabkan kerajaan menjadi sebagai pengeksport babi terbesar, kerana dengan mengeksport itu akan menyebabkan imej negara tercalar. Hal ini diakui oleh kebanyakan ulama fiqh, yang mereka menyebut;

حريتهم فى اللباس و الطعام و الشراب بشرط عدم استثارة شعور المسلمين أو أشعارهم بالتحدي أو أن يكون ذلك مؤديا إلي الفتنة و الفساد

Maksudnya;
“Kebebasan mereka (non muslim) pada pakaian, makanan dan minuman dengan syarat tidak terkesan pada syiar orang islam, ataupun syiar mereka tidak mencabar syiar Islam atau kebebasan mereka itu tidak membawa kepada fitnah dan kebinasaan[6]


Al-Bakistani
http://al-bakistani.blogspot.com

abu_abdillah_azzam@yahoo.com


[1] At-Tafsir Al-Kabir : 3/23.

[2] Al-Aqalliyyat Ghair Al-Musallamah fi Mujtama’ Al-Islami : m.s 394

[3] Badai As-Sanai : 15/240

[4] Sunan At-Tarmizi : 2723 : Musnad Abi Ya’la : 759.

[5] Al-Muwatta’ : 1234.

[6] Al-Aqalliyyat Ghair Al-Musallamah : m. s 395.