Tazkirah : Jaga solat, selalu muhasabah diri

Tazkirah : Jaga solat, selalu muhasabah diri

Ustaz Zainuddin Hashim

Setiap insan bernama Islam, sama ada lelaki ataupun perempuan, berusaha meningkatkan diri dengan pelbagai amal ibadat yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ini kerana masing-masing mahukan diri mereka mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang taat dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya dengan penuh rasa rendah diri dan berserah diri kepada-Nya.

Justeru, mengetahui kaedah terbaik bagi tujuan di atas, adalah sesuatu yang amat digalakkan, agar setiap muslim/muslimah mencapai status hamba Allah yang diterima di sisi-Nya, antara kaedah berkenaan yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut :

Image

Melakukan solat lima waktu dengan baik (sama ada dari sudut pada awal waktu pelaksanaannya, kaifiat serta tata-cara bagi menjamin penerimaannya).

Mengetahui sedalam-dalamnya bahawa meninggalkan solat dengan sengaja boleh membawa kepada kekufuran, kerana ia adalah tiang agama dan perkara pertama yang akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak.

Melaksanakan seluruh hukum-hukum syariat Islam, bagi kaum muslimah, memakai hijab, kerana ia adalah arahan Allah dalam al-Quran, membaca al-Quran dengan memahami isi kandungannya.

Mengkaji secara mendalam serta mentelaah sirah Nabi Muhammad s.a.w, sirah para sahabat Nabi, bagi muslimah, perlu memilih serta bercampur wanita-wanita solehah bagi menjamin pegangan dan akidah mereka.

Sentiasa melakukan muhasabah diri, khususnya memerhatikan persiapan buat hari esok di akhirat dengan amalan, sumbangan kepada agama, perkara-perkara kebajikan buat umat Islam, menjauhi perkara yang menjadi kemurkaan Allah dan sebagainya.

Perbanyakkan program kebaikan yang membawa ketaatan kepada Allah dan banyak berdoa kepada Allah agar diri diberi petunjuk ke jalan kebenaran dengan tetap dan cekal terhadapnya.

Mudah-mudahan kita sentiasa mendapat rahmat dan naungan daripada Allah agar boleh mati pada jalan yang diredai-Nya. Amin.

KISAH MALAIKAT JIBRIL DAN MALAIKAT MIKAIL MENANGIS

KISAH MALAIKAT JIBRIL DAN MALAIKAT MIKAIL MENANGIS

Dalam sebuah kitab karangan Imam al-Ghazali menyebutkan bahawa iblis itu sesungguhnya namanya disebut sebagai al-Abid (ahli ibadah) pada langit yang pertama, pada langit yang keduanya disebut az-Zahid. Pada langit ketiga, namanya disebut al-Arif. Pada langit keempat, namanya adalah al-Wali. Pada langit kelima, namanya disebut at-Taqi. Pada langit keenam namanya disebut al-Kazin. Pada langit ketujuh namanya disebut Azazil manakala dalam Luh Mahfudz, namanya ialah iblis.

Dia (iblis) lupa akibat urusannya. Maka Allah S.W.T telah memerintahkannya sujud kepada Adam. Lalu iblis berkata, “Adakah Engkau mengutamakannya daripada aku, sedangkan aku lebih baik daripadanya. Engkau jadikan aku daripada api dan Engkau jadikan Adam daripada tanah.”

Lalu Allah S.W.T berfirman yang maksudnya, “Aku membuat apa yang aku kehendaki.” Oleh kerana iblis memandang dirinya penuh keagungan, maka dia enggan sujud kepada Adam A.S kerana bangga dan sombong.

Dia berdiri tegak sampai saatnya malaikat bersujud dalam waktu yang berlalu. Ketika para malaikat mengangkat kepala mereka, mereka mendapati iblis tidak sujud sedang mereka telah selesai sujud. Maka para malaikat bersujud lagi bagi kali kedua kerana bersyukur, tetapi iblis tetap angkuh dan enggan sujud. Dia berdiri tegak dan memaling dari para malaikat yang sedang bersujud. Dia tidak ingin mengikut mereka dan tidak pula dia merasa menyesal atas keengganannya.

Kemudian Allah S.W.T merubahkan mukanya pada asalnya yang sangat indah cemerlangan kepada bentuk seperti babi hutan. Allah S.W.T membentukkan kepalanya seperti kepala unta, dadanya seperti daging yang menonjol di atas punggung, wajah yang ada di antara dada dan kepala itu seperti wajah kera, kedua matanya terbelah pada sepanjang permukaan wajahnya. Lubang hidungnya terbuka seperti cerek tukang bekam, kedua bibirnya seperti bibir lembu, taringnya keluar seperti taring babi hutan dan janggut terdapat sebanyak tujuh helai.

Setelah itu, lalu Allah mengusirnya dari syurga, bahkan dari langit, dari bumi dan ke beberapa jazirah. Dia tidak akan masuk ke bumi melainkan dengan cara sembunyi. Allah S.W.T melaknatinya sehingga ke hari kiamat kerana dia menjadi kafir. Walaupun iblis itu pada sebelumnya sangat indah cemerlang rupanya, mempunyai sayap empat, banyak ilmu, banyak ibadah serta menjadi kebanggan para malaikat dan pemukanya, dan dia juga pemimpin para malaikat karubiyin dan banyak lagi, tetapi semua itu tidak menjadi jaminan sama sekali baginya.

Ketika Allah S.W.T membalas tipu daya iblis, maka menangislah Jibril A.S dan Mikail. Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, “Apakah yang membuat kamu menangis?” Lalu mereka menjawab, “Ya Allah! Kami tidaklah aman dari tipu dayamu.”

Firman Allah bagi bermaksud, “Begitulah aku. Jadilah engkau berdua tidak aman dari tipu dayaku.”

Setelah diusir, maka iblis pun berkata, “Ya Tuhanku, Engkau telah mengusir aku dari Syurga disebabkan Adam, dan aku tidak menguasainya melainkan dengan penguasaan-Mu.”

Lalu Allah berfirman yang bermaksud, “Engkau dikuasakan atas dia, yakni atas anak cucunya, sebab para nabi adalah maksum.”

Berkata lagi iblis, “Tambahkanlah lagi untukku.” Allah berfirman yang maksudnya, “Tidak akan dilahirkan seorang anak baginya kecuali tentu dilahirkan untukmu dua padanya.”

Berkata iblis lagi, “Tambahkanlah lagi untukku.” Lalu Allah berfirman dengan maksud, “Dada-dada mereka adalah rumahmu, engkau berjalan di sana sejalan dengan peredaran darah.”

Berkata iblis lagi, “Tambahkanlah lagi untukku.” Maka Allah berfirman lagi yang bermaksud, “Dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukan yang berjalan kaki, ertinya mintalah tolong menghadapi mereka dengan pembantu-pembantumu, baik yang naik kuda mahupun yang berjalan kaki. Dan berserikatlah dengan mereka pada harta, iaitu mendorong mereka mengusahakannya dan mengarahkannya ke dalam haram.”

“Dan pada anak-anak, iaitu dengan menganjurkan mereka dalam membuat perantara mendapat anak dengan cara yang dilarang, seperti melakukan senggama dalam masa haid, berbuat perkara-perkara syirik mengenai anak-anak itu dengan memberi nama mereka Abdul Uzza, menyesatkan mereka dengan cara mendorong ke arah agama yang batil, mata pencarian yang tercela dan perbuatan-perbuatan yang jahat dan berjanjilah mereka.” (Hal ini ada disebutkan dalamsurah al-Isra ayat 64 yang bermaksud : “Gerakkanlah orang yang engkau kuasai di antara mereka dengan suara engkau dan kerahkanlah kepada mereka tentera engkau yang berkuda dan yang berjalan kaki dan serikanlah mereka pada harta dan anak-anak dan berjanjilah kepada mereka. Tak ada yang dijanjikan iblis kepada mereka melainkan (semata-mata) tipuan.”

Tazkirah: Punca perbuatan maksiat dan keperluan bersegera taubat

Tazkirah: Punca perbuatan maksiat dan keperluan bersegera taubat

Prof Madya Dr Musa Fathullah Harun

Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasai, Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad dan Al-Darimi telah meriwayatkan daripada Al-Nu’man Bin Basyir r.a. bahawa beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Perkara Yang halal adalah jelas dan perkara yang haram juga jelas, dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar), yang kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menghindari perkara-perkara yang syubhat(yang samar), maka ia telah membersihkan kehormatan dan agamanya, dan sesiapa yang jatuh pada perkara-perkara yang syubhat, maka ia pasti jatuh pada yang haram. Seperti pengembala yang mengembala di sekitar kawasan larangan, hampir-hampir ia memasukinya. Sesungguhnya setiap kerajaan mempunyai kawasan larangan. Ketahuilah bahawa di dalam jasad ada segumpal daging, yang jika ia elok maka eloklah seluruh jasad, dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah, bahawa ia adalah hati”.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda 194.

“Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan kebaikan akhlak”.

Perkataan akhlaq adalah plural daripada khuluq yang dari segi bahasa bererti perangai, tabiat, adat, maruah dan agama. Adapun dari segi istilah, Ibnu Miskawaihi mentakrifkan khuluq sebagai sifat yang mantap di dalam jiwa yang mengajaknya kepada melakukan perbuatan tanpa berfikir.

Imam Ghazali195 pula mentakrifkannya sebagai satu bentuk atau keadaan (hai’ah) yang tetap atau melekat di dalam jiwa, yang daripadanya keluar perbuatan-perbuatan dengan mudah, tanpa berfikir. Apabila daripada hai’ah tersebut keluar perbuatan-perbuatan yang baik lagi terpuji, sama ada mengikut pandangan syara’ atau akal, maka hai’ah tersebut disebut akhlaq yang baik. Tetapi apabila daripada hai’ah itu keluar perbuatan-perbuatan yang buruk, maka hai’ah tersebut disebut akhlaq yang buruk.

Sifat dalam jiwa dan kesannya pada anggota badan

Jadi akhlak mempunyai pengaruh yang berkesan ke atas Suluk atau tingkah-laku dan perbuatan-perbuatan yang keluar daripada manusia. Imam Ghazali menyatakan bahawa setiap sifat yang ada di dalam jiwa atau hati akan nampak kesannya pada anggota-anggota badan, sehingga anggota-anggota badan tersebut tidak bekerja melainkan mengikut sifat yang ada di dalam jiwa atau hati tersebut.

Dengan demikian, jelaslah bagi kita bahawa punca daripada segala perbuatan manusia, sama ada yang baik atau pun yang buruk, sama ada berupa kebajikan ataupun ma’siat, pahala atau dosa, adalah datang daripada sifat-sifat yang ada di dalam jiwanya.

Imam Ghazali berkata bahawa manusia mempunyai sifat-sifat yang banyak, tetapi yang menjadi punca perbuatan ma’siat atau dosa ada empat sifat, iaitu: sifat rububiyah (ketuhanan), sifat syaitaniyah (kesyaitanan), sifat bahimiyah (kebinatangan), dan sifat sabu’iyah(kebuasan). Hal yang sedemikian disebabkan kerana perwatakan manusia diadun daripada campuran yang bermacam-macam. Setiap satu daripada campuran dalam adunan tersebut mempunyai kesannya.

Pertama: Dari kumpulan sifat-sifat rububiyah muncullah sekumpulan daripada dosa-dosa besar, seperti riya’, sukakan pujian, takabbur, cintakan kedudukan, kepimpinan dan pengaruh, suka memaksa, sukakan kekayaan, menghinakan atau merendahkan orang lain dan lain-lain seumpamanya.

Abu Daud, Ibnu Majah, dan Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Rasullah SAW bersabda:

“Allah Azza Wa Jalla berfirman: Kesombongan itu adalah pakaianKu, dan kebesaran itu adalah selendangKu. Barangsiapa yang menyaingi Aku pada salah satu daripada keduanya, nescaya Aku lemparkan dia ke dalam neraka”.

Muslim, Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda.

“Tidak akan masuk Syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah daripada kesombongan”.

Kedua: Dari sifat-sifat syaitaniyah muncul sifat dengki,zalim, muslihat, tipu, mengajak kepada kerosakan dan kemungkaran, hipokrit, menyeru kepada bid’ah dan kesesatan, dan seumpamanya.

Ketiga: Dari sifat-sifat bahimiyah muncul sifat tamak, rakus, garang, gemar memuaskan syahwat, yang muncul daripada zina, liwat(homosek), mencuri, memakan harta anak yatim dan lain-lain seumpamanya.

Keempat: Dari sifat-sifat sabu’iyah(buas) muncul sifat marah, dendam, menceroboh, bergaduh, memaki, membunuh dan memusnahkan harta.

Kemunculan sifat-sifat ini adalah secara beransur-ansur.Mula-mula yang dominan adalah sifat bahimiyah, kemudian sifat sabu’iyah. Apabila berkumpul kedua sifat tersebut, mulailah keduanya memanipulasikan akal dalam menipu, membuat helah, yang merupakan sifat-sifat syaitaniyah.Kemudian, yang terakhir dominan ialah sifat-sifat rububiyah, iaitu sifat megah, bongkak, suka meninggi diri, suka dipuji, gila kuasa, gila pangkat dan seumpamanya.

Inilah punca utama yang menjadi sumber perbuatan dosa, yang daripadanya mengalir ke anggota-anggota badan, sebahagiannya ke dalam hati khususnya, seperti kufur,nifaq,menyembunyikan kejahatan, sebahagiannya ke perut dan kemaluan, sebahagiannya ke tangan dan kaki, dan sebahagiannya ke seluruh badan.

Dosa-dosa ini terbahagi kepada dosa antara hamba dengan Allah SWT, seperti meninggalkan solat, puasa dan kewajiban-kewajiban khusus, dan dosa yang berkaitan dengan hak-hak manusia, seperti tidak membayar zakat, membunuh,merampas harta, memaki, dan lain-lain. Kemudian ia juga terbahagi kepada dosa-dosa besar dan dosa-dosa kecil, yang mengenainya terdapat perbezaan pandangan yang terlalu banyak untuk dihuraikan disini.

Hanya sebagai panduan, dikemukakan beberapa perkara untuk dijadikan pegangan:

Pertama: Dosa kecil menjadi besar kerana beberapa sebab, di antaranya ialah jika dilakukan secara berterusan dan tidak ada azam untuk meninggalkannya. Oleh sebab itu, ada yang mengatakan:

“Tidak ada dosa kecil bersama adanya azam untuk terus melakukan, dan tidak ada dosa besar bersama adanya permohonan meminta keampunan”.

Perbuatan dosa besar yang dilakukan sekali dan tidak diulangi, harapan untuk memperoleh keampunan terhadapnya lebih besar daripada dosa kecil yang dilakukan secara berterusan.

Kedua: Perbuatan dosa menjadi besar jika dianggap kecil, tetapi, sebaliknya, jika dianggap besar, maka ia menjadi kecil di sisi Allah SWT, kerana anggapan besar itu timbul daripada kebencian dan berpalingnya hati daripadanya.

Sebahagian ulama berkata: Jika seseorang melihat kebesaran Tuhan yang ia menderhaka dengan melakukannya, maka ia akan memandang dosa kecil menjadi besar, dan bukan sebaliknya.

Ketiga: Dosa kecil menjadi besar dengan disertai perasaan gembira dan bermegah dengannya.

Keempat: Dosa kecil menjadi besar dengan menganggap ringan keampunan Allah terhadap perbuatannya, tertipu diri kerana menyangka kebolehannya untuk terus melakukan perbuatannya itu disebabkan pemeliharaan Allah terhadapnya dan merasa aman daripada azabNya.

Kelima:Dosa kecil menjadi besar dengan dizahirkan, seperti mengatakannya kepada orang lain setelah melakukannya, atau sengaja melakukannya di hadapan orang lain.

Keenam: Dosa kecil menjadi besar apabila dilakukan oleh orang yang berilmu dan diikuti oleh masyarakat. Oleh sebab itu, seorang ulama berkewajipan menjauhi dosa, dan menyembunyikannya jika terlajak melakukannya.

Hukum dan keutamaan taubat

Bertaubat hukumnya adalah wajib dengan segera dan diberi pahala, kerana ia adalah perkara yang diperintah.

Di dalam surah Al-Nur: 31, Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, mudah-mudahan kamu beruntung”.

Di dalam surah Al-Tahrim: 8, Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan “taubat nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal salih) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan disebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata: Wahai Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa ke atas segala sesuatu”.

Dalam ayat di atas disebut perkataan ‘taubatannasuha’.

Qatadah berkata: Al-nasuh al-sadiqah, al-nasihah, maksudnya adalah yang benar. Ada juga yang mengatakan bahawa al-nasuh ertinya al-khalisah, bererti yang ikhlas, atau yang murni.

Al-Farra’ berkata: Nasuha daripada sifat taubat; maknanya taubat yang menasihati pelakunya untuk tidak kembali kepada perbuatan yang ia bertaubat daripadanya. Al-Kilabi r.a. berkata: Al-tawbah al-nasuh: penyesalan dengan hati, istighfar (minta ampunan) dengan lidah, meninggalkan dosa (dengan badan), dan bertekad untuk tidak kembali(kepada dosa yang dilakukan).

Said bin Jubair r.a. berkata: Al-tawbah al-nasuh ialah taubat yang diterima, dan tidak diterima taubat selama belum terpenuhi tiga syarat: perasaan takut tidak diterima taubat selama belum terpenuhi tiga syarat: perasaan takut tidak diterima, mengharap agar diterima dan istiqamah dalam ketaatan.

Bukhari, Muslim, Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad meriwayatkan daripada Abi Hurairah, Nu’man bin Basyir, Abdullah bin Mas’ud dan Anas bin Malik r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah lebih gembira dengan taubat seseorang daripada kamu daripada seorang lelaki yang berada di tanah lapang yang sunyi, yang berbahaya, bersamanya untanya yang di atasnya perbekalan, makanan, minuman, dan segala keperluannya. Kemudian untanya hilang, maka iapun keluar mencarinya, sehingga apabila ia (berputus asa) dan merasa akan mati, maka ia berkata: Aku akan kembali ke tempat di mana aku kehilangan untaku supaya aku mati di sana. Kemudian iapun kembali ke tempatnya, maka matanya dikalahkan oleh rasa mengantuk dan iapun tertidur, kemudian ia bangun dan tiba-tiba ia jumpai untanya berada di hadapannya di atasnya makanan, minuman dan segala yang diperlukannya”.- Petikan dari kitab; “Perjalanan Rabani: Merentas alam dunia, barzakh dan akhirat”.

Pensyarah UM ingatkan BN jangan sekat blog dan bloggers

Pensyarah UM ingatkan BN jangan sekat blog dan bloggers

WALAUPUN saya antara pelajar yang kurang senang dengan Dr Abu Hassan Hasbullah waktu itu, tetapi saya tidak dapat membungkus rasa kagum penyampaiannya serta keletah bicaranya di mana-mana.

Sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Media, Abu Hassan yang sebaya saya, adalah seorang yang tegas dan “celupar” bila berdepan dengan pelajarnya termasuklah saya.

Itu adalah sikapnya. Dia berani dan berketrampilan. Dia tenaga pengajar kami untuk subjek Retorik, salah satu pendedahan dalam Pengajian Media, di Universiti Malaya hingga kini.

Dua hari lalu, Abu Hassan mengingatkan kerajaan agar tidak mengenakan sekatan ke atas blog tetapi perlu bersikap terbuka terhadap laman tersebut. Saya betul-betul memuji ketelusannya, mengingatkan kerajaan dalam perkara ini.

Ini kerana jarang kakitangan kerajaan di IPTA bersikap profesional dalam isu-isu berkaitan politik pemerintah. Abu Hassan antara mereka yang dilihat berani.

Bukan sahaja lantang mengkritik pada Rancangan RTM “Fenomena Seni” terbitan Norsham Noor tetapi terbukti berani bertindak demikian di luar kepompong itu.

Hujah Abu Hassan, satu gelombang besar politik mungkin akan berlaku sekiranya sekatan dikenakan ke atas laman-laman blog yang wujud pada masa ini.

Maknanya, BN akan terus menerima padah jika laman-laman blog ini disekat dengan apa-apa cara dan peraturan.

“Kemunculan blog ini merupakan satu perubahan budaya baru dalam bidang media yang berlaku di seluruh dunia yang tidak dapat dielak.

“Sekiranya ia disekat, maka akan menimbulkan ketidakpuasan dan mungkin akan membawa kesan yang dahsyat kepada para pemimpin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Abu Hassan mengingatkan perkara ini ketika mengulas mengenai satu kajian yang menunjukkan terdapat hampir 500,000 blog yang aktif dalam negara.

Saya percaya, Abu Hassan sekalipun datang dari Kelantan, dia bukanlah ahli PAS tetapi dia bercakap dengan ilmunya sebagai tenaga pengajar profesional di sebuah IPTA di negara ini.

Kepercayaan Abu Hassan ialah kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya baru-baru ini dianggap sebahagian besarnya disebabkan pendapat beberapa pemimpin yang berhasrat untuk menyekat laman-laman blog itu.

“Kita harus bersikap terbuka dan biarkan masyarakat yang menilaikannya. Tindakan mengenakan kawalan ke atasnya hanya akan membawa kepada keburukan yang tidak diingini.

“Sekiranya pengendali blog terbabit hanya memaparkan sesuatu yang tidak betul atau sesuatu yang berunsur fitnah, maka mereka lambat-laun akan tenggelam kerana tidak dapat meraih kepercayaan daripada orang ramai,” ujarnya.

Pada pandangan saya, penegasan Abu hassan agar penulis blog mesti dididik dengan etika yang sangat tinggi dalam menulis atau mengendalikan laman blog masing-masing, patut dihormati.

Memang benar, blog bukan satu saluran yang boleh digunakan sewenang-wenangnya demi sesuatu tujuan.

Tetapi pada masa ini, saya melihat, masih banyak blog yang menyiarkan pendapat atau tulisan caca merba, tiada nama penulis atau menggunakan pelbagai nama pena yang mencurigakan hingga sukar disahkan kebenaran sesuatu maklumat yang diterbitkan.

“Tiada kebaikan kepada mereka sekiranya memaparkan sesuatu dengan tujuan menjatuhkan mana-mana pihak. Mereka juga akan terima padah akhirnya akibat perbuatan mereka itu,” jelasnya.

p/s : kan bagus ramai ahli2 intelek berfikiran begini..tidak hanya mengikut telunjuk si “anu” tu..si “anu” ni…kalau berterusan mcm ni..ape guna pensyarah2 ada PHD,Master..tetapi tidak boleh berfikir secara rasional..harap para2 cendekiawan dapat membantu Negara kearah lebih adil dan betul2 demokrasi…

Tun Mahathir vs Dato’ Seri Anuar : Membaca Mahathir sewaktu menghadapi jalur krisis

Tun Mahathir vs Dato’ Seri Anuar : Membaca Mahathir sewaktu menghadapi jalur krisis

Agak menarik kisah ini..antara Tun Mahathir dgn Dato’ Seri Anuar era 90-an..Cerita di sebalik pemecatan Dato’ Seri Anuar..nak percaya atau tak..itu terpulang..serba sedikit kita boleh tahu “kekejaman era keGemilangan Tun Mahathir”…aku ambik dr TranungKite.net…

Sebenarnya, Mahathir itu sudah melakukan satu coup politik terbesar apabila dapat membawa Anwar masuk Umno dalam 1982, sekaligus melumpuhkan gerakan Islam serta kuasa pembangkang tempatan. Dengan Anwar berada di dalam, tidaklah Anwar boleh melakukan apa-apa kejutan politik misalannya menerusi PRU dalam tahun 1986 dan seterusnya. Anwar diberikan jalan mudah tetapi untuk asyik sibuk dalam menaiki tangga sendiri yang agak lebar tetapi panjang. Ini merupakan taktik paling SunTze yang saya dapat baca dari Mahathir.

Tentu sekali sebagai strategis, beliau akan bersedia bagaimana kalau anak buahnya itu satu hari akan sampai duduk disebelah nanti? Maka saya percaya Mahathir tidak perlu persiapan yang banyak dan terus lepas tali layang-layang sahaja kerana ada beberapa taktik jangka masa yang SunTze sudah mengajar. Mahathir membenarkan Anwar mengumpul kroni-kroni beliau dan mengaut kuasa dan kewangan supaya tidak ada sebab Anwar akan tiba-tiba tidak puas hati dan menyerang awal. Dalam kitab SunTze, pelajaran yang pertama adalah berikut:
Satu hari Maharaja Cina terdengar tentang kehebatan SunTze lalu dimintanya supaya datang menghadap. Maharaja bertanya kepada SunTze,
“Apakah benar dengar awak boleh melatih sesiapa sahaja jadi tentera yang terbaik dan tertaat dalam dunia tanpa kira asal-usul, latar belakang dan pendidikannya?”

“Benar, Tuanku”, dengan pantas dibalas SunTze.

“Baiklah, ambil gundik-gundik beta. Latih mereka dan buktikan kehebatan awak!”

SunTze pun menyuruh semua gundik beratur dikawasan padang sambil diperhati oleh Maharaja dari atas pentas yang tinggi. Namun gundik-gundik itu cukup longlai dan ketawa kecil-kecil kerana menganggap ini semua satu kelucuan.

SunTze pun bermula, “Dengar sini! Saya akan ajar awak semua berkawat. Apabila saya kata, ‘Cepat jalan!’ awak semua hendaklah buat begini.. naikkan tangan kiri serta kaki kanan ke depan serentak dan kemudian tukar sebelah lagi begini”, sambil SunTze mendemonstrasikan langkah tersebut.

Selepas itu SunTze pun keluarkan perintah, “Cepat Jalan!”

Gundik-gundik pun cuba berjalan sedikit sambil berketawa kecil terhegeh-hegeh, tersipu-sipu dan berterahabuh tidak menurut perintah SunTze dengan sempurnanya.

SunTze pun diam dan menyatakan semula, “Nampaknya mungkin awak kurang memahami arahan saya tadi. Sekali lagi dengar sini saya akan tunjukkan”. SunTze pun tunjuk sama macam tadi. Lepas itu dia pun keluarkan perintah,

“Cepat jalan!”. Sekali lagi gundik-gundik lagi terhegeh-hegeh sambil berjalan dengan cara kegundikan mereka dan sekali lagi tidak bersifat macam tentera yang serius langsung. Maharaja yang duduk di atas pentas makin seronok berketawa bersama-sama para menteri dan pengiringnya.

SunTze pun mengarahkan pengawalnya untuk menarik keluar gundik yang paling cantik dan diminati Maharaja dari ramai-ramai gundik tersebut, lalu di suruh seorang pengawal lain untuk memancung kepalanya!

Lepas itu, SunTze pun berkata, “Mungkin tadi arahan saya masih kurang jelas. Sekarang saya akan tunjuk sekali lagi cara untuk berkawat” lalu SunTze menunjukkan bagi kali ketiga langkah-langkahnya.

“Cepat jalan!” Dengan pantas dan cukup teratur semua gundik pun berkawat tanpa melakukan apa jua kesilapan maupun terhegeh-hegeh macam dulu.

SunTze pun senyum dan menghadap kembali Maharaja, “Wahai Tuanku. Tentera tuanku sudah bersedia untuk pemeriksaan Tuanku!”

Maharaja yang sudah terperanjat itu, pun menjawab, “Eh, Beta sudah hilang selera. Takpelah, bubarkan saje pasukan itu”.

Kisah ini betul-betul dilaksanakan oleh Mahathir dalam Operasi Lalang 1987 yang menangkap 107 rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat tidak kira Umno ke tidak, Cina ke Melayu, Dato ke Ustaz ke atau orang biasa. Setiap lapisan ada wakil contoh gundik tercantiknya ditangkap tanpa notis dan secara tekejut padahal Mahathir sebelum itu agak diam dan tenang, dengan selamba mengeluarkan arahan dan nasihatnya. Selepas itu senyap semua, ada yang takut masuk balik negara pun ada.

(Masa itu saya berkerja dengan syarikat Khalid Samad, dan bersama dengan beliau di sebuah penempatan Petronas di Langkawi. Saya menghantarnya ke lapangan terbang untuk terbang balik ke Kuala Lumpur. Tidak lama kemudian saya dapat panggilan dari pejabat yang Khalid tidak sampai rumah. SB sudah kutip dia di Subang Airport. Malam itu kami tonton TV dan nampak namanya tersenarai dalam Operasi Lalang itu.)

Pada tahun 1997 ia berlaku sekali lagi. Cuma kali ini Mahathir menghadapi perang dari semua sayap. Ekonomi rantau terancam termasuk Malaysia. Serangan matawang merupakan yang paling dasyat kerana dirancang oleh kuasa Iluminati Zionis yang boleh menjatuhkan negara tanpa senjata-api tetapi bursa saham dan matawang secara sembunyi tangan.

Serangan teratur yang berlabelkan reformasi mula berlaku serentak dari dalam Umno. Ketua sayap Pemuda dan Wanita iaitu Abdul Rahim Thamby Chik dan Rafidah Aziz dijatuhkan oleh proksi Anwar. Laungan reformasi dimainkan dalam ceramah bukan dikampung tetapi diinstitusi pengajian tinggi, Dewan Bahasa & Pustaka, surat-khabar Berita Harian, Utusan Malaysia dan lain-lain. Anwar masa itu senyap dan tidak mengeluarkan kata-kata yang releven dan sifnifican untuk membantu maharajanya.

Pelbagai projek raksaksa Mahathir seperti KLCC, PutraJaya dan Proton mula terancam. Mesti berasa perit ditelan Mahathir yang dia walaupun sudah berada ditahta selama 17 tahun tetapi perjuangannya masih belum selesai. Macamana dia nak buat ni? Dia buka balik kitab SunTze lah.

“Apabila anda kuat, tunjuklah lemah”. Itu yang Mahathir tunjuk. Seolah beliau lemah. Itu juga perlu kerana ingin melihat siapa sebenar musuh dalam selimut. Mesti dia mengarahkan SB untuk buka fail tertentu dan lengkapkannya.

“Serang musuh secara terkejut, dan secara mutktamad. Kasi final”. Itu yang Mahathir lakukan dengan tiba-tiba melekatkan senarai semua kroni semua menteri di dalam dewan PWTC sebelum perhimpunan peringkat Pemuda UMNO. Mati stim Zahid Hamidi kerana nama dan kroninya pun ada. Bukan sikit, tetapi ramai. Mati stim juga Anwar apabila beliau bangun berucap dalam perhimpunan kemuncak sebelum Mahathir berucap secara mutlak dan muktamad.

Anwar dengan jelas hilang momentum yang begitu kuat sudah terbina sebelum ini dengan dibantu oleh kuasa dan suasana asing waktu itu. Suharto sudah jatuh dalam arus reformasi. Mengapa Mahathir tak lentur tetapi makin kuat pulak? Anwar tidak dapat mengeluarkan kerisnya untuk memberi tikaman maut kepada Mahathir dalam perhimpunan tersebut. Anwar cuma berpantun dan berhegeh-hegeh pulak dalam ucapan pentingnya. Anwar simpan balik semua keris.

Selepas Anwar selesai, giliran Mahathir pulak. Mahathir pun bermula lebih kurang begini, “Saya tidak pandai berpantun. Saya bukan pendidikan sastera. Saya doktor, saya tahu penyakit yang ada pada Melayu…” Sebiji-sebiji dengan selamba Mahathir tamatkan setiap keris yang mungkin bersedia untuk menikam beliau.

SunTze menasihati, “Apabila jelas siapa musuh, rancang betul-betul secara senyap dan serang mereka dengan muktamad. Walaupun mereka kalah dan minta ampun, pancung atau potong tangan kaki mereka supaya musuh awak lenyap dengan muktamad dan yang lain tak akan berani lawan awak lagi”. Itulah yang diamalkan oleh Attila The Hun dari Barat Mongolia menuju Eropah. Tidak cukup orang menyerah. Hendaklah dicincang-cincang dengan dasyat seluruh kampung dan dilepaskan dua tiga survivor balik untuk cerita betapa dasyat dan punahnya untuk melawannya. Dengan itu mudah Attila mara sehingga ke Perancis.

Sebaik sahaja mengakhiri perhimpunannya dan kelihatan musuh sudah kucar-kacir, Mahathir memainkan kad-kadnya. Daim Zainuddin dibawa masuk balik dalam kabinet sebagai penasihat khas ekonomi. Barisan editor dua tiga media massa disuruh turun. Ada seekor yang cepat-cepat berlutut menangis meminta ampun. Dia pulak diampunkan. Itulah Melayu, kesiannnn.

Gabenor dan Timbalan Gabenor Bank Negara bersara awal. Zeti Akhbar mengambil alih. Abdul Kadir Jasin interbiu Mahathir yang mengumumkan langkah mengantung atau mengunci musuh penyerang matawang di pintu masuk Malaysia. Semua matawang ringgit akan dipulangkan dalam masa sebulan. Tidak lagi diperdagangkan dipasaran luar. Semua pembelian impot akan dibiayai secara barter trade dengan hasil ekspot. Kunci perdagangan pun selesai diletak tanpa boleh mana-mana penyerang Zionis samada menerusi sistem pembankan maupun sistem perdagangan.

Kuncu-kuncu Anwar mula panik. Mesyuarat tergempar kedengaran di kem Zahid. “Apa kita nak buat datuk? Apa akan jadi dengan bos kita Anwar?”

Anwar dipanggil masuk pejabat Mahathir. Agaknya fail-fail mengenai kes Anwar dikeluarkan. Dengan selambanya Mahathir bagi tahu Anwar, “Please resign. Or else”.

Anwar dikatakan bertempik keras dan menghentak meja. Agaknya dia mengeluarkan semua hujah yang cuba mempertahankan dirinya. Segala taktik oratis dan senjata lisan yang dikenalinya sejak dari bangku sekolah dan mengelilingi dunia dikeluarkannya untuk mempertahankan diri. Selesai Anwar berucap, Mahathir pun berkata, “You are fired”.

Surat pun dipersembahkan ke Yang diPertuan Agung untuk dimaklumkan tuanku tentang pemecatan tersebut. Itulah perogatif atau kuasa mutlak Perdana Menteri. Itulah undang-undang. Rukun negara kita sebut ‘Kedaulatan Undang-undang’. Jika tak ikut, tak dapat gaji, pasal tak ade rang undang-undang bayar gaji jika bos sudah pecat.

Anwar pula terpaksa buka plan B iaiu merancang tindakbalas. Masa itu saya dapat panggilan dari kawan untuk turun ke Bukit Damansara tempat tinggal peribadi Anwar supaya berkumpul. Tetapi saya jawab kembali,

“Apa yang hang semua ni merancang, hahh? Demo ke? Berarak ke? Tahukah anda semua yang Mahathir tu sudah ada plan C ke Z? Jika awak keluar rumah, dia ada LSF. Jika awak berhimpun dia ada FRU. Jika awak mara, dia ada tentera. Ish! You orang adake segala jawapan berdepan dengan semua itu, hahhh?”

Saya terus rihat tidur kat rumah saya dan memerhati perjalanan politik buat beberapa hari sebelum baru turun padang untuk memeriksa keadaan aftermath.

Apa yang berlaku selepas itu sudah menjadi sejarah. Bagaimana betapa hebatnya krisis dalaman dan luar dapat Mahathir hadapi malah mengatasi dengan menyakinkan itu. Mahathirlah pemimpin peringkat dunia. Bill Clinton pun kalah. Wawasannya tepat dan akhirnya berjaya. Selepas itu dia pun merancang Plan B nya yang sebenar. Iaitu seperti cara British dahulu memberikan kemerdekaan supaya tidak disepak keluar sambil mengekalkan kuasa atau kunci dalaman. Yang kunci tersebut boleh dikeluarkan balik apabila perlu. Sekarang sudah tiba masanya.