Bersama Haron Din: Hati-hati rawatan guna mentera

Bersama Haron Din: Hati-hati rawatan guna mentera

Dr Haron Din

Soalan: Ada bomoh di tempat saya mengubati pesakit atau yang berhajat sesuatu, ditolongi dengan jampi mentera menggunakan bahasa Jawa. Saya orang Jawa asli yang tinggal di Parit Jawa, tetapi saya sendiri tidak faham apa dibaca dukun tersebut.

Apakah pengubatan secara ini boleh diterima pakai dan tidak mendatangkan sesuatu yang berlawanan dengan syarak?

MOHAMAD JUSOH
Parit Jawa, Johor

Jawapan: Mengubati penyakit atau menolong seseorang yang memerlukan pertolongan sehingga tertunai hajatnya, lebih-lebih lagi boleh membantu mengikhtiarkan kesembuhan pesakit yang bermasalah adalah pekerjaan mulia.

Ia menjadi lebih mulia jika dilakukannya semata-mata kerana Allah SWT, mengharapkan pahala pada hari akhirat dan tidak membebankan pesakit.

Amalan perubatan dengan menggunakan doa ataupun bacaan ayat memang salah satu daripada cabang rawatan yang diakui syarak sebagai amalan mulia.

Pergi ke hospital atau menemui perawat pakar juga digalakkan Islam, kerana itu juga salah satu daripada cabang rawatan yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang banyak.

Merujuk khusus kepada persoalan saudara iaitu soal jampi. Menjampi pesakit disebut dalam bahasa Arab sebagai ruqyah. Ruqyah adalah dibenarkan. Malah kadang-kadang amat digalakkan.

Rasulullah s.a.w. pernah sakit, suatu ketika Jibril diturunkan untuk memberi tawaran menjampikan baginda, lalu Jibril menjampi Nabi. Ianya disebut sebagai Ruqyatu Jibril.

Adapun menjampi seseorang itu dengan menggunakan bahasa khusus seperti Jawa, bahasa Mendiling, Inggeris dan Sepanyol diharuskan syarak dengan syarat, bacaan itu diketahui maknanya dan ia tidak ada sebarang petanda kesyirikan terhadap Allah SWT.

Jangan ada sebarang tafsiran yang boleh membawa syirik.

Oleh yang demikian jika lirik, seni kata atau bacaan yang disebut oleh dukun itu tidak diketahui maknanya, jika seperti saudara seorang berketurunan Jawa tidak memahami jampi yang dibaca dalam bahasa Jawa.

Tetapi mungkin seperti disebut orang bahawa Jawa ada dua bahasa, iaitu bahasa kasar atau bahasa halus. Biasanya bahasa Jawa halus jarang diketahui orang.

Saya sendiri sememangnya tidak memahami bahasa Jawa sama ada kasar ataupun halus.

Sekiranya anda tidak faham bahasa tersebut, tetapi orang yang membacanya faham dan makna bacaan itu tidak ada sebarang petanda menuju kepada syirik, maka dia boleh berbuat demikian.

Tetapi jika dukun itu sendiri tidak faham dan tidak tahu apa yang diminta, maka tidak boleh digunakan perubatan dengan bahasa tersebut.

Daripada ayat al-Quran, Allah berfirman (mafhumnya) : “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran, ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepadanya; dan al-Quran tidak menambah kepada orang-orang yang zalim melainkan kerugian jua.”Surah al-Isra’ , ayat 82

Ada enam kali sebutan syifa’ atau kesembuhan dalam al-Quran. Ada begitu banyak hadis yang menyebutkan tentang kesembuhan penyakit melalui rawatan pembacaan ayat-ayat al-Quran dan doa.

Oleh itu maka ulama bersependapat (ijmak), bahawa mengikhtiarkan kesembuhan penyakit dengan menggunakan kaedah bacaan dan doa serta air adalah diharuskan, kadang-kadang digalakkan, sekiranya memenuhi tiga syarat yang utama iaitu:

Pertama, menggunakan pembacaan ayat-ayat al-Quran dan as-Sunnah atau ruqyah dalam bahasa Arab yang diketahui maknanya tidak bertentangan dengan syarak.

Kedua, boleh menggunakan bacaan selain daripada yang pertama, dengan apa jua bahasa, tetapi mestilah difahami maknanya dan tidak ada sebarang percanggahan dengan syarak.

Ketiga, hendaklah yang merawat mengiktikadkan bahawa penyembuh sebenarnya adalah Allah SWT sahaja. Pengubat hanyalah berikhtiar.

Oleh itu saya suka menjelaskan, jika sudah ternyata al-Quranlah bacaan utama sebagai penyembuh terbaik, as-Sunnah (al-Hadis) adalah yang terbaik daripada al-Quran, maka mengapa kita menggunakan bacaan ini sebagai rawatan.

Kita harus membebaskan diri daripada yang kurang baik, lebih-lebih lagi jika ia boleh membawa kepada kesyirikan kepada Allah SWT. Wallahua’lam.

Tazkirah Jumaat: Mengapa manusia berani menentang Allah secara terbuka?

Tazkirah Jumaat: Mengapa manusia berani menentang Allah secara terbuka?

Zainudin Hashim

Sejak akhir-akhir ini, para ulama’ sering menekankan keprihatinan dan kepekaan mereka mengenai telatah serta gelagat umat Islam, khususnya yang melibatkan gaya hidup masyarakat umat Islam yang semakin tersasar daripada landasan Islam sebenar. 

Ia dapat disingkap dalam aspek hiburan dan sukan yang keterlaluan yang disuburkan oleh pihak tertentu yang bertopengkan Islam, sedangkan realiti hidup mereka (pihak penganjur sesuatu program hiburan atau sukan tertentu) tidak mencerminkan minat mendalam kepada gaya hidup Islam.

Benarlah kenyataan ayat 7-9 daripada surah as-Syams (91), Allah berfirman yang bermaksud : 7. Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); 8. serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; – 9. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan).

Kecenderungan jiwa atau hati manusia kepada perkara jahat merupakan naluri dan lumrah biasa, sebab itu al-Quran mendedahkan bahawa penghuni Neraka lebih ramai daripada penghuni Syurga.

Kejahatan manusia menjangkau apa yang tidak dapat dicapai oleh pemikiran, kerana penentangan bukan sekadar menolak kerasulan baginda Nabi Muhammad s.a.w, menolak al-Quran, terlibat dalam rasuah, judi, meninggalkan solat, tidak berpuasa, merosakkan alam sekitar dan yang lebih parah lagi ialah menentang Allah dengan menghina hukum-hukum-Nya.

Sebab Penentangan Manusia terhadap Allah

Justeru, mari kita menyingkap pandangan ulama berhubung faktor yang menyebabkan penentangan manusia terhadap Allah SWT selaku Pencipta mereka.

1- Alpa terhadap matlamat sebenar penciptaan manusia di muka bumi ini.

2- Iman yang amat lemah terhadap rukun-rukun iman yang enam.

3- Jahil mengenai Allah, suruhan dan larangan-Nya, pahala dan dosa serta Syurga dan Neraka.

4- Tidak waspada terhadap bisikan syaitan yang sentiasa mengajak untuk melakukan kejahatan.

5- Tertipu dengan habuan dunia hingga tidak mahu memohon ampun dan bertaubat kepada Allah.

6- Berputus asa dari rahmat Allah (kasih sayang-Nya).

7- Tidak mempercayai qada dan qadar Allah malah mempertikainya.

8- Berbangga dengan maksiat dan tidak memperakui dosa besar yang dilakukannya.

9- Panjang cita-cita (banyak berangan-angan dalam perkara dunia).

10- Berlebihan cinta kepada dunia hingga tidak menjalankan tugas utama sebagai manusia bernama Islam.

11- Tersungkur dengan mengikut hawa nafsu yang rosak.

12- Terlibat dalam perkara-perkara syubhat yang menjurus kepada kemurkaan Allah SWT.

13- Ego dan sombong diri terhadap Allah, Rasul dan manusia seluruhnya.

14- Suka bergaul (bercampur) dengan ahli maksiat dan menolak untuk bersama golongan yang soleh.

15- Suka melakukan fitnah dalam masyarakat hingga memporak-perandakan hubungan sesama mereka.

16- Merosakkan gambaran Islam dengan penggunaan istilah yang menyalahi konsep sebenar seperti melabelkan orang Islam yang berjanggut dengan pengganas dan lain-lain.

17- Bergelumang dengan ada-adat yang menyalahi hukum Syariat Islam.

18- Meninggalkan tugas utama Amar Ma’ruf dan Nahi Munkar.

Bagaimana boleh jadi seorang muslim yang baik?

Setiap insan bernama Islam, sama ada lelaki ataupun perempuan, berusaha meningkatkan diri dengan pelbagai amal ibadat yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ini kerana masing-masing mahukan diri mereka mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang taat dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya dengan penuh rasa rendah diri dan berserah diri kepada-Nya.

Justeru, mengetahui kaedah terbaik bagi tujuan di atas, adalah sesuatu yang amat digalakkan, agar setiap muslim/muslimah mencapai status hamba Allah yang diterima di sisi-Nya, antara kaedah berkenaan yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut :

Melakukan solat lima waktu dengan baik (sama ada dari sudut pada awal waktu pelaksanaannya, kaifiat serta tata-cara bagi menjamin penerimaannya).

Mengetahui sedalam-dalamnya bahawa meninggalkan solat dengan sengaja boleh membawa kepada kekufuran, kerana ia adalah tiang agama dan perkara pertama yang akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak.

Melaksanakan seluruh hukum-hukum syariat Islam, bagi kaum muslimah, memakai hijab, kerana ia adalah arahan Allah dalam al-Quran, membaca al-Quran dengan memahami isi kandungannya.

Mengkaji secara mendalam serta mentelaah sirah Nabi Muhammad s.a.w, sirah para sahabat Nabi, bagi muslimah, perlu memilih serta bercampur wanita-wanita solehah bagi menjamin pegangan dan akidah mereka.

Sentiasa melakukan muhasabah diri, khususnya memerhatikan persiapan buat hari esok di akhirat dengan amalan, sumbangan kepada agama, perkara-perkara kebajikan buat umat Islam, menjauhi perkara yang menjadi kemurkaan Allah dan sebagainya.

Perbanyakkan program kebaikan yang membawa ketaatan kepada Allah dan banyak berdoa kepada Allah agar diri diberi petunjuk ke jalan kebenaran dengan tetap dan cekal terhadapnya.

Mudah-mudahan kita sentiasa mendapat rahmat dan naungan daripada Allah agar boleh mati pada jalan yang diredai-Nya. Amin.

Lebih 10, 000 Sambut Kepulangan Agong di Terengganu

Lebih 10, 000 Sambut Kepulangan Agong di Terengganu ( 29/03/08 )

Ribuan penduduk berada di lapangan terbang Kuala Terengganu bagi menyambut berangkatan pulang Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke Terengganu pagi tadi.

Beberapa panduan amalan dalam mempertingkatkan iman kita

Beberapa panduan amalan dalam mempertingkatkan iman kita

Ustaz Zainuddin Hashim

Persoalan iman dan amalan yang dilakukan oleh para ahli ibadat, tidak akan meningkat mutunya jika tidak disandarkan kepada kefahaman mendalam mengenai ilmu-ilmu Fardu Ain, malah seseorang itu perlu mengetahui sedalam-dalamnya maksud dan tujuan beribadat kepada Allah SWT, ia tidak lain agar hati-hati manusia menjadi lunak, lembut dan sentiasa berhubung dengan-Nya. 

Berikut adalah antara pendekatan agama yang menjadi kemestian untuk diketahui, direnungi dan seterusnya diamalkan sebagai satu cara hidup beribadat kepada Allah :

1. Setiap muslim perlu mengetahui, bahawa Allah SWT amat gembira kepada hamba-Nya yang sentiasa memohon dan berhubung dengan-Nya.

2. Setiap muslim juga perlu mengetahui, bahawa segala apa yang menimpa diri adalah hasil dari dosa dan kesalahan yang dilakukan. Hal ini telah diperingatkan Allah menerusi ayat 79 surah an-Nisaa : Apa saja nikmat yang kamu perolehi adalah daripada Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu adalah kesalahan diri kamu sendiri.

3. Semestinya setiap muslim tidak terlibat dalam dosa-dosa besar dan kecil yang berterusan, kerana ia boleh menjadikan seseorang itu jauh dari rahmat Allah dan sentiasa berwaspada dalam hubungan akidahnya dengan Allah.

4. Setiap muslim perlu mengetahui, bahawa dosa-dosa yang dilakukan itu mempunyai banyak rangkaian yang menjurus ke arah neraka, justeru perlu dia menjaga hati, roh dan meyakini bahawa segala kebaikan yang dilakukan mampu menyelamatkannya dari mememasuki api neraka, sehubungan ini, Allah SWT menjelaskan dalam ayat 81 surah al-Baqarah : Sebenarnya, sesiapa melakukan dosa dan dia telah dikuasai oleh dosanya, mereka itulah penghuni neraka dan kekal di dalamnya.

5. Perlu setiap daripada kita mengetahui, bahawa kita sebagai manusia, sentiasa terdedah kepada dosa dan maksiat, ini membuktikan kelemahan diri kita dan sekaligus membuktikan keagungan Allah, justeru kewaspadaan adalah senjata paling utama dalam menangkis segala kekurangan dari sifat-sifat mazmumah.

6. Dalam menjalani proses kehidupan sebagai muslim, kita berada antara dua keadaan, sama ada roh kita akan maju atau sebaliknya, perkara ini dijelaskan oleh Allah menerusi ayat 37 surah al-Muddathir : Iaitu bagi siapa yang ingin maju dengan peringatan atau mundur dengan menolak peringatan.

Faedah yang akan diterima oleh seseorang itu dalam mengamalkan ibadat yang disyariatkan:

1. Jenis ibadat:12 rakaat solat sunnat rawatib (2 rakaat sebelum Subuh, 4 rakaat sebelum Zuhur, 2 rakaat selepasnya, dua rakaat masing-masing selepas Maghrib dan Isyak). Faedah: Allah SWT membina bagi orang itu mahligai dalam syurga. Dalil: Nabi s.a.w bersabda : Sesiapa yang melakukan 12 rakaat solat sunnat rawatib akan dibina baginya sebuah mahligai dalam syurga.

2. Jenis Ibadat:Solat 2 rakaat di waktu malam. Faedah:Doa serta hajat akan terkabul dan dosa akan diampun. Dalil:Nabi s.a.w bersabda : Allah SWT akan turun tiap-tiap malam ke langit dunia dan apabila sampai 1/3 malam Allah berfirman : Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, pasti Aku perkenankan, sesiapa yang memohon kepada-Nya, akan Aku tunaikan dan sesiapa yang memohon keampunan-Ku, pasti Aku ampunkan dosanya.

3. Jenis Ibadat:Solat Dhuha 2 , 4 atau 8 rakaat, setengah jam selepas Syuruk dan setengah jam sebelum Zuhur.

Berita gembira selepas kelahiran Muhammad

Berita gembira selepas kelahiran Muhammad

Apabila tiba saat Abdullah mahu dikahwinkan, Abdul Muttalib mengahwinkan Abdullah dengan Siti Aminah binti Wahab, yang juga daripada keturunan suku Abdul Manaf. Keturunan ayah dan ibu Muhammad adalah daripada Qusai bin Kilab. Kesemua mereka daripada keturunan Ismail. Daripada sudut keturunan pun, Muhammad bin Abdullah adalah orang paling mulia dan paling bangsawan.

Keluarga Siti Aminah tinggal di Yathrib atau Madinah. Abdul Muttalib membawa anaknya Abdullah ke Yathrib dan dikahwinkan di sana dengan Siti Aminah. Selepas itu, mereka pulang ke Mekah. Semasa Siti Aminah mengandung, ayah Muhammad meninggal dunia sebelum beliau dilahirkan lagi.

Sebelum Aminah melahirkan Muhammad, dia bermimpi melihat dirinya melahirkan seorang anak lelaki yang lahir bersama satu cahaya yang memenuhi bumi. Siti Aminah juga melihat dirinya berdoa kepada Tuhan: “Aku berlindung kepada Tuhan yang Esa supaya diselamatkan anak ini daripada semua orang yang dengki.” Kelahiran ini adalah pada hari Isnin 12 Rabiulawal Tahun Gajah atau mengikut ahli sejarah sejarah 50 hari selepas peristiwa tentera gajah.

Peristiwa pelik keputeraan Muhammad

Banyak perkara yang pelik berlaku semasa kelahiran Muhammad. Hasan bin Thabit, penyair Muhammad menceritakan, salah satu daripada tanda itu, katanya semasa Muhammad lahir, dia berada di Madinah dan umurnya pada masa itu tujuh tahun.

“Pada hari itu, aku berada dalam majlis orang-orang Yahudi Madinah. Seorang ulama Yahudi memanjat ke atas bumbung rumahnya sambil menjerit kepada semua orang: ‘Bintang Ahmad muncul di langit.'”

Bintang ini hanya muncul apabila Muhammad dilahirkan. Hasan menyaksikan sendiri peristiwa itu.

Siti Aminah ibu Muhammad bin Abdullah pernah memberitahu, semasa dia mengandungkan Muhammad, dia tidak merasa penat ataupun sakit. Menurut sejarah lagi, Muhammad dilahirkan dalam keadaan sujud dan sudah berkhatan.

Apabila berita kelahiran ini sampai kepada Abdul Muttalib, beliau terlalu gembira. Apabila dia mendengar cerita-cerita tadi, dia bertambah gembira. Pada masa itu, Abdul Muttalib sudah menyebut anak ini akan mempunyai masa depan yang besar. Oleh kerana terlalu gembira, Abdul Muttalib terus membawa Muhammad ke dalam Kaabah sambil bersyukur kepada Tuhan.

Ulama Yahudi

Nama Muhammad diberikan oleh Abdul Muttalib. Pada suatu masa, Abdul Muttalib pernah mengembara ke negeri Syam dengan tiga orang sahabatnya. Mereka bertemu dengan ulama Yahudi di Syam. Rahib ini bercerita kepada mereka, akan lahir seorang nabi di Mekah yang bernama Muhammad. Selepas itu, apabila pulang, keempat-empat mereka berazam menamakan anak mereka Muhammad. Dari sinilah Abdul Muttalib menamakan cucu lelaki daripada anak kesayangannya itu dengan nama Muhammad. Sebelum itu, orang-orang Arab tidak ada yang bernama Muhammad.

Antara perkara pelik yang berlaku semasa kelahiran Muhammad juga adalah bergegarnya Iwan Kisra iaitu istana Raja Farsi, kerajaan yang paling besar pada masa itu. Gegaran itu menyebabkan 14 anjung istana runtuh dan api yang sudah disembah oleh Majusi sejak beribu-ribu tahun yang tidak pernah padam sebelum ini terpadam. Gegaran itu juga menyebabkan tasik yang bernama Tasik Sawwah yang berdekatan dengan istana Raja Farsi tertimbus.

Apabila kisra iaitu Raja Farsi melihat kejadian-kejadian pelik ini dia menjadi sangat takut, lalu memanggil ahli-ahli nujum dan pendeta-pendetanya yang dapat berhubung dengan jin. Jin-jin sebelum kelahiran Muhammad boleh naik ke langit dan mendengar berita di langit apa yang akan berlaku di dunia. Merekalah yang memberitahu berita-berita ini kepada pendeta-pendeta dan ahli-ahli nujum. Dari sinilah para pendeta dan ahli nujum membuat ramalan mereka.

Allah berfirman dalam surah al-Jin ayat 9 yang bermaksud: “Kami para jin sebelum ini mempunyai tempat untuk mendengar berita di langit, barang siapa yang mencuri mendengar lagi sekarang akan dipanah.” Ada antara pendeta ini menyebutkan pada kisra, peritiwa ini berlaku kerana kelahiran seorang nabi.

Kisra bertanya maksud 14 anjung istana kisra yang runtuh. Mereka berkata: “Kerajaan Farsi akan diperintahkan oleh 14 orang kisra lagi dan selepas itu kerajaan Farsi akan jatuh.” Kisra berkata: “Empat belas orang kisra lagi memaparkan tempoh yang panjang, masih lama lagi, tidak perlulah dirisaukan.”

Selepas kematian kisra ini, anak-anaknya berebut kuasa. Dalam masa empat tahun sahaja, 10 orang kisra memerintah Farsi. Semua ini petanda kejatuhan kerajaan yang paling besar pada masa itu iaitu kerajaan Farsi. Inilah antara berita gembira yang berlaku sempena kelahiran Muhammad.

Kelahiran Rasulullah penyelamat golongan wanita

Kelahiran Rasulullah penyelamat golongan wanita

Zainudin Hashim

Dalam kehidupan zaman Jahiliyyah, golongan wanita dan kanak-kanak perempuan tidak ada tempat dalam kehidupan masyarakat Arab ketika itu.

Mereka dianggap golongan kasta atau kelas kedua atau ketiga, mereka dianggap barangan yang tiada nilai, ia boleh ditungganggi pada bila-bila masa dan boleh ditimbus pada bila-bila masa, mereka dianggap pembawa mala petaka kepada keluarga, justeru, mereka boleh dihapuskan dari muka bumi ini.

Golongan wanita dikenali sebagai pembawa penyakit HIV iaitu satu sindrom virus pada ketika itu kerana terlibat dalam pelacuran di luar kawalan, walau apapun mereka diperlukan oleh golongan lelaki bagi memuaskan nafsu serakahnya selepas selesai aktiviti harian mereka dalam pelbagi sektor.

Majoriti golongan wanita begitu, melainkan Aminah ibunda Nabi Muhammad s.a.w yang dipelihara oleh Allah SWT dari segala sifat kekurangan dan kedurjanaan, ini kerana Allah tidak izinkan baginda lahir dari seorang wanita bermasalah yang boleh menimbulkan masalah kepada baginda ketika hendak menyampaikan risalah Islam, malah dipertikaikan pula oleh masyarakat manusia di sekelilingnya, apatah lagi baginda membawa satu ajaran agama yang menjadi asing buat mereka.

Kedudukan wanita dan lelaki adalah sama dalam Islam

Dengan termeterainya kerasulan nabi Muhammad s.a.w, baginda telah menyamakan mereka dalam segenap tindakan dalam amal ibadat, penerimaan pahala, keimanan kepada Allah adalah sama antara lelaki dan wanita, malah jika terdapat di kalangan wanita yang lebih baik amal ibadat serta ketakwaannya kepada Allah, mereka adalah lebih mulia, kerana janji Allah dalam al-Quran bahawa sesungguhnya mereka yang terbaik adalah yang paling bertakwa di sisi Allah.

Walau bagaimanapun dalam bab jihad pula, golongan wanita tidak perlu mengangkat senjata untuk mati syahid dalam medan pertempuran menentang musuh Islam, cukup dengan membenar atau mengizinkan para suami mereka untuk berjihad dan mereka melaksanakan tuntutan sebagai muslimah sejati dengan tanggungjawab rutin sebagai hamba Allah, isteri atau ibu kepada anak-anak di rumah serta memelihara harga diri dengan baik.

Perbezaan mereka hanya pada sudut penutupan aurat, cara pemakaian, iaitu wanita dibenarkan memakai emas dan sutera sesuai dangan fitrah mereka, sementara orang lelaki diharamkan memakai kedua-dua bahan tersebut kerana tidak sesuai dengan cara, fitrah serta penampilan mereka yang gagah dan berani.

Jihad seorang Wanita

Apabila disebut perkataan ‘jihad’, apakah yang terlintas di dalam fikiran kita? Serta-merta tergambar kesungguhan berkorban yang akan menimbulkan semangat berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir! Semangat ini memang baik dan perlu dipupuk bertepatan dengan ketetapan Islam serta kehendak Allah SWT.

Hakikat Jihad

Definisi jihad menurut syara’ ialah seorang muslim menyerahkan tenaganya untuk mempertahan dan menyebarkan Islam bagi mencapai keredaaan Allah. Dari sini nanti akan terbentuk sebuah masyarakat Islam dan seterusnya akan terbina negara Islam yang sihat. Jihad mesti berterusan hingga ke hari qiamat. Martabat jihad yang paling rendah ialah jihad di dalam hati dan yang paling tinggi ialah berperang di atas jalan Allah. Mengorbankan waktu, harta dan kepentingan diri sendiri demi kebaikan Islam serta ummatnya juga dikira sebagai jihad. Begitu juga dengan menyeru kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran serta memperjelaskan hakikat keEsaaan Allah juga merupakan sebahagian daripada jihad.

Bagimanakah kedudukan wanita dalam jihad?

Jawapan kepada persoalan ini mesti benar-benar difahami supaya sumbangan kita dalam jihad akan menguntungkan Islam. Oleh itu, kita perlu menyingkap kembali lembaran sejarah Rasulullah SAW untuk mengambil iktibar tentang persoalan jihad bagi kaum wanita.

Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dan Ath-Thabrani, pada suatu hari seorang wanita bernama Zainab yang bergelar Khatibatin-nisa’ (wanita yang pintar berpidato) datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata: “Aku telah diutus oleh kaum wanita kepada engkau. Jihad yang diwajibkan oleh Allah ke atas kaum lelaki itu, jika mereka luka parah, mereka mendapat pahala. Dan jika mereka gugur pula, mereka hidup disisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. Manakala kami kaum wanita, sering membantu mereka. Maka apakah pula balasan kami untuk semua itu?”

Bersabda Rasulullah SAW:

“Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi adalah sangat sedikit sekali daripada golongan kamu yang dapat melakukan demikian.”

Pada ketika yang lain, Rasulullah SAW pernah ditanya: “Wahai Rasulullah, perempuan manakah yang baik?”

Baginda menjawab: “Perempuan yang menggembirakan suaminya apabila sisuami memandangnya, mentaati suami apabila diperintah dan tidak menyalahi suaminya baik mengenai diri peribadinya, harta kekayaannya atau dengan apa yang dibenci oleh suaminya.”

Pada dasarnya, kaum wanita disamakan dengan kaum lelaki dalam tanggungjawab agama sama ada mengenai aqidah, ibadah dan muamalah, kecuali tanggungjawab yang khusus yang sesuai dengan fitrah (nature) kaum wanita. Begitu juga dengan tanggungjawab jihad yang diwajibkan kepada kaum lelaki tidak diwajibkan kepada kaum wanita. Seandainya kaum wanita berupaya pergi bersama-sama kaum lelaki ke medan pertempuran, tidaklah ditolak oleh Islam. Bagaimanapun tugas ini hanya dianggap sebagai sumbangan tambahan.

Kita perlu jelas jihad yang paling utama dan dituntut kepada setiap wanita ialah taat kepada suami dan mengakui hak suami, manakala jihad di luar rumah adalah sumbangan tambahan bagi mereka yang berbuat demikian.

Mudah-mudahan kita sama-sama dapat merenung bagaimana ajaran baginda Rasulullah s.a.w yang cukup relevan di setiap masa, tempat dan kedudukan manusia di sepanjang zaman untuk dilaksanakan sebagai cara hidup yang gemilang.

Rasulullah S.A.W. penyelamat akidah ummah

Rasulullah S.A.W. penyelamat akidah ummah

Zainudin Hashim

Susasana masyarakat di zaman jahiliah begitu muram dan suram, kerana diselubungi dengan pelbagai bentuk kedurjanaan akibat tindakan manusia yang cenderung kepada kejahatan, penyelewengan, kezaliman, penindasan dan bermacam-macam lagi yang boleh disifatkan sebagai ketidakperikemanusiaan.

Ia berlaku kerana manusia pada ketika itu, telah hilang punca sebenar kebenaran, golongan wanita dianggap alat tunggangan lelaki bila perlu untuk ditunggangi, para wanita serta anak-anak gadis tidak ada tempat dalam masyarakat, malah tiada nilai sedikit pun pada sisi orang lelaki, anak-anak perempuan ditanam hidup-hidup kerana mereka dianggap pembawa sial kepada kedua ibu dan bapa.

Penyembahan berhala serta patung-patung hasil ciptaan tangan manusia mendapat tempat di hati masyarakat pada masa itu, pokoknya kehidupan mereka jauh dari suasana damai, aman, tenang dan meyakinkan.

Justeru, bagi menyelamatkan mereka dari terus bergeluman dan tenggalam dengan amalan-amalan yang songsang lagi syirik sisi Allah SWT, maka Allah tidak terus membiarkan hamba-hamba-Nya sedemikian rupa, maka diutusnya seorang Rasul terakhir bagi menyelamatkan pegangan dan akidah mereka supaya hati mereka lurus hanya untuk Allah SWT.

Sehubungan itu, Allah menjelaskan menerusi ayat 9 surah as-Sof maksudnya : Dia (Allah) telah mengutus Rasul-Nya dengan membawa hidayah dan agama yang benar (Islam), agar ia dapat mengalahkan agama-agama yang ada seluruhnya, walaupun tindakan itu dibenci oleh orang-orang Kafir.

Jelas ayat di atas menunjukkan, bahawa Allah mengutus Nabi Muhammad adalah untuk membawa agama Islam ke bumi bagi menyelamatkan manusia seluruhnya dari terus berada dalam kesyirikan kepada Allah.

Tetapi kenapa mesti di Makkah?

Menurut ulama Sirah, Allah memilih Makkah kerana ia betul-betul berada di tengah bola dunia (globe), ia memudahkan proses penyampaian agama Islam ke seluruh dunia, kerana dari Makkah mempunyai jalan mudah untuk sampai ke Eropah timur melalui Syria, Turki dan seterusnya Bulgaria, di sebelah Barat pula melalui Mesir, Libya, Tunisia, Algeria dan Maghribi untuk ke Sepanyol dan negara-negara Afrika, sementara melalui Yemen pula adalah jalan untuk menuju ke negara-negara Asia.

Demikianlah hikmah Allah SWT memilih Makkah di kalangan bangsa Arab untuk tujuan penyebaran Islam, selain penentangan Bani Israel terhadap nabi-nabi mereka.

Islam yang dibawa oleh baginda Rasulullah s.a.w adalah untuk menyelamatkan manusia sesuai dengan sifat namanya Islam iaitu penyelamat, ia adalah untuk menyelamatkan manusia sejagat dari melakukan kezaliman, penindasan dan pelbagai tindakan kedurjanaan, agar mereka berlaku adil, sopan, bermaruah walaupun ia tidak disukai oleh golongan yang menentang Allah, suasana seumpama ini akan terus berlangsung sampai ke hari kiamat selagi mana manusia masih tidak tunduk kepada Tuhan mereka yang benar iaitu Allah SWT.

Kelahiran Rasulullah mengangkat martabat ulama

Kelahiran Rasulullah mengangkat martabat ulama

Zainudin Hashim

Tidak ada manusia di dunia ini yang mampu untuk mencari jalan bagi mengangkat kedudukan para ulama melainkan baginda Rasulullah s.a.w., justeru kelahiran baginda benar-benar memberi ruang dan peluang kepada golongan ulama untuk melangsungkan tugas, peranan dan tanggungjawab yang pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Ini kerana dalam sebuah hadis baginda ada menegaskan bahawa : Akan datang satu masa kepada orang ramai, di mana mereka menjauhkan diri daripada para ulama dan golongan fuqaha (ilmuan dalam ilmu fiqh), maka Allah SWT akan menimpakan ke atas mereka dengan tiga bala :

1- Allah akan mengangkat dari diri mereka keberkatan dalam segenap usaha yang dilakukan.
2- Allah akan menghukum mereka dengan wujudnya pemerintah yang zalim.
3- Mereka akan meninggalkan dunia ini tanpa membawa walau secebis iman dalam diri mereka.

Hadis di atas dengan jelas menunjukkan bahawa para ulama mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT, malah dalam satu hadis yang lain, baginda menegaskan : Para ulama itu adalah pewaris nabi-nabi.

Al-Quran juga ada menegaskan, bahawa ulama adalah golongan yang paling takut di sisi Allah, mereka takut kerana bersebab :

1- Takut jika tidak menjalankan tanggungjawab menyedarkan masyarakat ke jalan kebenaran.
2- Takut jika Islam tidak tersebar secara meluas di kalangan umat manusia sejagat.
3- Takut jika masyarakat mencari selain Islam sebagai pegangan dan kepercayaan mereka.
4- Takut untuk dihumban dalam api neraka, justeru mereka sentiasa berwaspada.
5- Takut apabila tidak menyampaikan yang hak dan menyokong yang bathil.
6- Takut apabila tidak menyuruh yang baik (makruf) dan tidak mencegah yang mungkar.
7- Takut apabila ada di kalangan orang Islam yang mati dalam agama selain Islam.

Justeru, ulama diseru agar sentiasa peka dalam mengemas-kinikan pengisian agar mudah diterima oleh semua golongan manusia, yang muda, tua, bukan Islam dan sebagainya, kerana Islam adalah hak milik bersama dan bukan khusus buat golongan tertentu sahaja.

Maulid Nabi suatu nikmat anugerah Allah kepada kita

Maulid Nabi suatu nikmat anugerah Allah kepada kita

Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin

Syeikh Prof Dr Yusuf al Qaradhawi dalam laman khas beliau – baru-baru – ini mengatakan: 

“Ada beberapa kalangan orang Islam yang menganggap apa sahaja keraian dan peringatan yang berkaitan dengan apa-apa program hari kebesaran Islam seperti hijrah Nabi, maulid , Isra’ mi’raj dan lain-lain sebagai bid’ah.” Ini tidaklah benar secara mutlak.

Apa yang kita tolak ialah sambutan keraian yang disertakan dengan acara-acara yang batil, haram dan maksiat. Tapi kalau ia tidak mengandungi acara acara lagha seperti itu tetapi sebaliknya mengandungi acara yang berfaedah maka tentulah ia suatu yang harus .

Apabila kita bercakap mengenai maulid – umpamanya – kita mengingatkan orang ramai tentang nikmat Allah kerana menganugerahkan seorang Rasul kepada kita. Manakala mengingati nikmat ini suatu yang disuruh, Allah berrfirman dalam surah al Ahzab ayat 9-10 yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, kenangilah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. semasa kamu diserang oleh tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang untuk memporak-perandakan mereka) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.

Iaitu ketika tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan dalam masa yang sama pemandangan mata kamu tidak keruan (kerana gempar dan bingung) manakala hati kamu pula di puncak kegelisahan , dan kamu ketika itu menyangka terhadap Allah dengan berbagai sangkaan (yang bukan-bukan).” (Lihat huraian lanjut beliau dalam pautan berikut.

Sebenarnya agama Islam bukan hanya mengandungi acara kera’ian tapi lebih jauh mengandungi berbagai kegiatan dan lapangan hidup. Kalau kita merujuk al Quran sahaja pun kita dapati ayat ayat Makki yang kebanyakkannya pendek-pendek menurut Dr Wahbah al Zuhaili – mengandungi matlamat untuk :

Membetulkan akidah dan akhlak
Mengencam syirik dan penyembahan berhala
Menegaskan akidah tauhid
Menghapuskan saki-baki kesan jahiliah seperti membunuh , berzina dan menanam anak perempuan hidup-hidup.
Membentuk masyarakat dengan adab dan akhlak Islam seperti adil, menepati janji, ihsan, tolong menolong dalam kebaikan, tidak membantu melakukan kemungkaran, melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan.
Menggunakan akal dan fikiran
Menolak syak-wasangka dan taqlid buta
Membebaskan manusia
Mengambil iktibar atau pengajaran daripada sejarah para nabi bersama kaum mereka.

Menakala ayat ayat Madani pula kebanyakkannya panjang-panjang ; diturunkan untuk:

Menjelaskan perundangan, hukum hakam, ibadat, muamalat, hukuman jenayah dan tuntutan hidup Baru dalam pembentukan sebuah masyarakat Islam di Madinah.
Mengatur hal ehwal politik dan pemerintahan
Memantapkan prinsip syura dan keadilan ketika menentukan hukum.
Menyusun perhubungan antara umat Islam dan bukan Islam, di dalam negara ataupun di luar negara, ketika damai mahupun dalam waktu perang.
Mensyariatkan hukum jihad untuk menyelamatkan diri daripada penganiayaan, permusuhan, pengusiran dan sebagainya.
Meletakkan garis panduan dan kaedah mengikat perjanjian untuk mengukuhkan perdamaian, keamanan dan kesejahteraan.

Kalaulah demikian luasnya ajaran Islam maka umat Islam perlu berusaha menghayatinya sedaya yang mampu .

Mereka tidak boleh tersesat dengan fatwa songsang yang mengatakan bahawa menghubungkan politik dengan agama adalah bertentangan dengan pandangan ahli sunnah wal jamaah. Jelas kejahilan dan kebatilan fatwa ini yang akan diuar-uar dan hebohkan oleh media apabila rakyat menghampiri pilihan raya umum kelak.

Mengenai apakah orang yang menerima Islam hanya sebagai keraian boleh menjawab soalan Munkar Nakir di di alam kubur dan pertanyaan di padang mahsyar maka jawabannya jelas bahawa mereka tentu tidak akan dapat menjawab sebagaimana mestinya. Mereka pasti akan disiksa dan dihukum kerana mengabaikan aspek-aspek yang tidak mereka laksanakan ketika mereka hidup di dunia.

Muhammad s.a.w.: Insan teladan terunggul yang dipuja sepanjang zaman

Muhammad s.a.w.: Insan teladan terunggul yang dipuja sepanjang zaman

Muddin Beting

Meskipun zahir bentuk bashari,
Batinnya bangsa terlalu safi,
Kerana peri haknya ruhani
Pernah berkata lisannya murni:

Sebagai nabi aku terkandung
Dalam rahasia di Balai Agung,
Padahal Adam masih terapung
Antara air dan tanah lempung.
Meskipun rupaku anak Adam,
Darjatku asal terlebih kiram.

Tatkala Adam belum teringat,
Tatkala Kalam belum bersurat
Dan Papan tulis belum tercatat,
Sudah terpandang oleh kunhi Zat
Seri wajahku di dalam mirat.

Sinaran sani cahaya kamalat,
Pancaran murni asma dan sifat,
Rumusan seni segala makhlukat
Yang zahir pada cermin hakikat
Dalam diriku semua terlibat.

(Puji-pujian Ke Atas Junjungan Besar Nabi Muhammad salla Llahu alayhi wa sallam oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam buku Risalah Untuk Kaum Muslimin) 

Utusan Terakhir

Suatu ketika Nabi Muhammad s.a.w. mendapat ejekan daripada Abu Jahal, Abu Lahab, Al-`As bin Wa`il, Uqbah bin Abi Mu`ith dan lain-lain bahawa Baginda akan terputus keturunan kerana semua anak lelaki Baginda meninggal dunia. Salah seorang daripada mereka berkata, Biarkanlah dia. Dia akan mati tanpa meninggalkan seorang pun anak lelaki. Dan perjuangannya tidak lama lagi akan berakhir begitu sahaja.

Tipu daya kecil mereka memberi kesan sedikit sebanyak, menusuk hati dan membuatkan Baginda berasa sedih. Arab Quraisy sememangnya amat bermegah dengan anak yang banyak lebih-lebih jika anak lelaki.

Namun telahan mereka meleset sama sekali. Mereka memikirkan Baginda sebarangan orang, sama seperti tokoh-tokoh dan pemuka Quraisy yang lain. Hakikatnya, hingga kini Baginda sentiasa diingati, bukan sahaja sewaktu awal kewafatannya bahkan hingga ke akhir zaman.

Berjuta lidah sentiasa menyebut dan menyeru namanya tanpa henti di sepanjang longitud bumi, berjuta manusia bersilih ganti menuruti sunnahnya, dan berjuta hati sentiasa mencintainya di seluruh pelusuk dunia. Baginda sentiasa diberi ucapan salawat dan salam oleh Allah subhanahu wa ta`ala, para malaikat dan oleh kaum muslimin. Kaum muslimin mengingati dan menyebut nama Baginda lebih kerap daripada menyebut dan mengingati nama ibu bapa sendiri.

Baginda diingati kerana Baginda Nabi Allah, penghulu dan penutup segala nabi dan rasul terdahulu sejak Nabi Adam a.s hingga Nabi Isa a.s, kekasih Allah dan kekasih malaikat. Bagindalah satu-satunya insan teladan yang dapat dijadikan panduan dan ikutan dalam serba-serbi lapisan dan lapangan kehidupan. Beriman kepada Allah tidak lengkap tanpa beriman kepada Baginda kerana Bagindalah yang menyampaikan perintah Allah.

Nama baginda sentiasa seiring dengan nama Allah dalam kalimah shahadat. Seseorang yang beriman dengan Allah tetapi menolak kerasulan Baginda, sama ada menolak sepenuh atau sebahagian daripada ajarannya, adalah kufur. Pengakuan dan penyaksian kepada Nabi Muhammad s.a.w. inilah yang membezakan kaum muslimin dengan penganut-penganut agama lain.

Usaha Meruntuhkan Wibawa

Betapapun begitu, musuh-musuh Islam sejak dulu hingga kini, baik secara langsung mahupun melalui wakil mereka dari kalangan kaum muslimin sendiri, dengan segala tipu daya tetap berusaha menggugat dan meruntuhkan wibawa Baginda. Pertama, dari segi autoriti al-Qur`an itu sendiri bahawa kitab itu adalah rekaan Baginda, atau bukan wahyu Allah sepenuhnya tetapi mengalami pencairan atau menempuh perubahan atas sifat Baginda sebagai insan biasa. Kedua, dari segi akhlak Nabi. Ketiga, dari segi periwayatan hadis yang sampai kepada kita, bahawasanya ia mengikut hawa nafsu para sahabat, tabi`in dan ulama yang juga manusia biasa dan bisa melakukan kesilapan.

Cubaan pertama musuh-musuh Islam itu telah dijawab secara tuntas oleh ulama sejak awal lagi. Kalaulah benar dakwaan bahawa Baginda mereka-reka al-Qur`an, bagaimana mungkin seorang insan ummi (tidak pandai menulis dan membaca) yang terkenal dengan gelar al-Amin (amanah) sebelum diangkat menjadi Rasul, boleh mengarang karya sehebat itu walhal Baginda tidak pernah dikenali sebagai penyair. Tidak mungkin seorang manusia yang mengalami perubahan usia, emosi dan kematangan boleh mengekalkan sifat ayat-ayat al-Qur`an yang, meskipun tidak berkesinambungan, tetapi menyentuh dan berbicara tentang pelbagai tema secara konsisten dan selaras dalam tempoh 23 tahun.

Baginda sentiasa mensucikan Kitab Suci ini dengan memulai bacaan dengan memohon perlindungan kepada Allah daripada syaitan. Baginda sentiasa berulang kali membaca al-Qur`an ketika di khalayak ramai dan ketika bersendirian sebagai sumber petunjuk dan kekuatan tanpa jemu dan letih, sesuatu yang mustahil jika al-Qur`an karangan sendiri kerana biasanya penulis cepat muak membaca karya sendiri. Bahkan Allah s.w.t. sendiri menempelak dan mencabar mereka yang meragui kekudusan al-Qur`an agar menghasilkan sepuluh surah (Hud: 13), atau satu surah semisalnya (al-Baqarah: 23 dan Yunus: 38), dengan bantuan seluruh insan dan jin.

Sungguh benarlah apa yang disampaikan Baginda itu kalam Allah s.w.t. tanpa sedikit pun pengurangan atau tokok-tambah atau pencairan sebagaimana ditohmahkan oleh golongan orientalis dan modernis. Allah s.w.t. sendiri memperakui bahawa apa-apa yang disampaikan Baginda adalah wahyu lewat firman-Nya: Dan tiadalah yang diucapkannya itu menurut kemahuan hawa nafsu. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya). (an-Najm: 2-3)

Dari sudut akhlak, akhlak Baginda adalah jelmaan daripada al-Qur`an seperti diperhati dan diakui oleh isteri Baginda, `Aisyah r.a.. Tiada sebarang percanggahan antara kehidupan umum dan kehidupan peribadi Baginda. Sahabat-sahabat yang hidup sezaman dengan Baginda tidak seorang pun pernah mencemuh akhlak Baginda, sama ada sebelum ataupun selepas Baginda diangkat menjadi Rasul, seperti yang dilakukan oleh mereka yang keliru yang hidup terkemudian.

Malah Allah Yang Maha Tinggi memberi pengiktirafan paling tinggi apabila memuji Baginda dengan pujian: Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) memiliki akhlak yang agung (al-Qalam: 4), bersesuaian sekali dengan misi Baginda diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia dalam kalangan manusia.

Dalam soal keraguan terhadap hadis yang tiba kepada kaum muslimin hari ini, hakikatnya hadis-hadis telah dikumpul dengan penuh sistematik oleh orang berwibawa. Bahkan Baginda sendiri dan para sahabat karib mengeluarkan banyak kenyataan dan mengambil tindakan bagi mempastikan bahawa al-Qur`an dan al-Hadis tidak bercampur-baur.

Tradisi ini diwarisi para tabi`in dan pengikut mereka, seterusnya berlanjutan kepada enam ulama hadis, iaitu: Imam Bukhari, Imam Muslim, al-Nasai, Abu Daud, al-Tarmizi dan Ibn Majah.

Ada juga segolongan kecil daripada kaum muslimin terkeliru dengan sabda Baginda: Sesungguhnya aku manusia seperti kamu juga lalu mereka melihat Baginda sebagai entiti fizikal, makhluk biologi (basyari) seperti manusia biasa yang lain, sama seperti anggapan kafir Quraisy tadi, dan sama juga sebagaimana Iblis melihat Adam dari aspek fizikal semata-mata. Walhal Baginda berkata begitu kepada orang-orang yang tidak beriman bagi menafikan tanggapan mereka bahawa Baginda adalah Tuhan lantaran segala kata yang diucapkan amat luar biasa sekali.

Dalil al-Qur`an, serta hujah sejarah dan psikologi yang dapat diterima oleh akal yang sihat ini membawa kepada kefahaman penting bahawa Junjungan Besar Nabi Muhammad salla Llahu alayhi wa sallam adalah Utusan Terakhir yang memiliki wibawa yang terpelihara dan tidak dapat diganggu-gugat apatah lagi diruntuhkan. Reaksi balas spontan kaum muslimin terhadap sebarang percubaan menghina kemuliaan Baginda yang berpunca daripada kejahilan, iri hati, dendam kesumat dan provokasi liar menunjukkan betapa cinta, kasih, hormat dan dekatnya mereka kepada Baginda.

Teladan par excellence

Sehubungan dengan ini, kaum muslimin adalah paling bertuah kerana mempunyai role model yang terbukti paling unggul. Sudah menjadi tabiat semula jadi insan suka meniru atau mencontohi orang lain. Dengan erti kata lain, insan hidup dengan model. Model pilihan mempengaruhi corak kehidupan seseorang kerana model itulah yang mengisi acuan idealismenya. Sekurang-kurang contoh tauladan mempunyai ciri-ciri terpuji dan menonjol dalam tiga aspek, iaitu: keilmuan, ketrampilan dan akhlak.

Sejarah mencatatkan bahawa penghormatan para sahabat terhadap Baginda amat tinggi. Dalam satu peristiwa, misalnya, seorang sahabat sengaja mencari helah untuk mencium perut Baginda sebelum berperang, dengan berkata: Sekiranya saya terbunuh dalam peperangan ini, saya berpuas hati kerana sekurang-kurangnya saya sudah menyentuh Engkau, ya Rasul Allah.

Di tempat lain dicatatkan bahawa bekas makanan Baginda disimpan, demikian juga kuku, janggut dan segala pakaian dan peralatannya. Belum pernah ada mana-mana tokoh sepanjang sejarah di muka bumi dilayan sebegitu tinggi seperti Baginda. Baginda sungguh diagungkan oleh para sahabat tetapi tidak pun diangkat sebagai Tuhan.

Hal ini berlaku kerana meskipun jasad Baginda berbentuk basyari, Baginda makan dan minum, berkahwin dan tidur seperti insan-insan lain, namun makam rohani Baginda terlalu tinggi tidak terperi. Untuk mencapai makam setinggi begitu, tentulah memerlukan persiapan luar biasa. Mana mungkin rohani biasa mampu menerima sesuatu yang mengandung bawaan yang berat seperti wahyu, sedangkan jika al-Qur`an diturunkan ke atas gunung, pastilah gunung akan tunduk hancur berkecai kerana takut kepada Allah (al-Hasyr: 21).

Sedangkan untuk membuat penaakulan terhadap hukum graviti itu pun, yang kini disifatkan sebagai penemuan terhebat, Newton harus mempersiapkan diri yang bukan kepalang. Demikian juga dengan Archimides dan Prinsip Ketumpatannya. Kedua-duanya tidak mungkin secara tiba-tiba memahami hukum dan prinsip tanpa persiapan awal. Tetapi apa yang ditemui mereka tidaklah mencapai taraf wahyu. Akal yang rasional dapat membuat perbandingan betapa hebatnya persediaan rohani Baginda menerima wahyu itu.

Baginda adalah sebaik-baik contoh teladan (uswatun hasanah) bagi sekalian bangsa manusia, sebaik-baik ikutan kerana baginda juga adalah sebaik-baik makhluk. Insan tanpa mengira usia, baik kanak-kanak, orang dewasa, orang tua, lelaki, perempuan, yang bujang mahupun yang sudah berkahwin, semuanya mengambil Baginda sebagai ikutan.

Hal ini dapat disaksikan sejak Baginda masih hidup lagi. Semasa menyambut ketibaan Baginda di Yathrib dalam peristiwa Hijrah, semua peringkat umur berkumpul menunggu dengan penuh sabar dan debar, bersama-sama menyanyikan lagu segar sepanjang zaman thala `al badru `alayna .(telah terbit bulan purnama ke atas kami …).

Dalam menyiapkan angkatan perang ketika mempertahankan diri atau menyerang musuh, anak dan bapa, suami dan isteri, bersedia dan bersatu dalam pimpinan Baginda.

Baginda adalah contoh teladan unggul bagi wanita muslim, bukannya Fatimah atau `Aishah. Dalam satu kisah, seorang remaja wanita sanggup menyanggah anjuran ibunya agar tidak mencairkan susu sekali pun tiada siapa yang nampak. Bagi remaja muslim, contoh teladan haruslah Baginda, bukan Ali atau Fatimah. Dengan mengambil Baginda sebagai contoh teladan, nescaya kaum muslimin berpotensi mencapai piawaian Ali atau Fatimah atau `Aishah. Jika Ali, Fatimah, `Aishah atau sahabat lain dijadikan model, piawaian yang dicapai mungkin lebih rendah daripada itu. Ali, Fatimah dan `Aishah hanya dijadikan rujukan untuk melihat bagaimana mereka mencontohi Baginda.

Pembentuk Identiti

Terbukti Bagindalah yang memberi identiti kepada masyarakat Islam, tanpa mengira suku kaum, keturunan, warna kulit atau bahasa lalu membentuk identiti umat Islam. Dalam mana-mana masyarakat, terdapat tiga golongan yang kerap kali saling berkonflik antara satu sama lain, iaitu: remajabelia, dewasa dan tua.

Dalam masyarakat Barat khususnya, golongan dewasa tidak mampu memimpin remaja-belia untuk mencontohi role model yang baik pada pandangan mereka kerana mereka suatu ketika dahulu juga pernah menuntut kebebasan dalam memilih role model. Masyarakat Barat sukar mencapai kesepakatan memilih satu role model untuk semua kerana masing-masing mempunyai idola sendiri. Mereka juga sentiasa mencari-cari role model sebenar yang mampu diteladani dalam aspek keilmuan, ketrampilan dan akhlak.

Sebaliknya, dalam masyarakat Islam, semua orang, baik remajabelia, dewasa mahupun tua, mencontohi orang yang sama. Oleh itu tidak berlaku jurang antara generasi atau apa yang kini dikenali sebagai krisis identiti.

Banyak tokoh dan pemuka masyarakat Barat yang kelihatan seolah-olah layak menjadi role model dipertikaikan oleh ahli masyarakat mereka sendiri kerana tidak memiliki integriti, moral yang kacau-bilau, dan moral serta penampilan kehidupan awam yang amat kontradik dengan perwatakan sebenar.

Paul Johnson dalam `Intellectuals telah menjelaskan secara terperinci kehidupan dan karektor sebenar pemikir dan ilmuwan terkenal masyarakat Barat, contohnya Jean Jacques Rousseau (penulis buku Emily yang dianggap buku pendidikan yang terkenal), Ernest Hemingway (novelis terkenal Amerika Syarikat), Leo Tolstoy (novelis terkenal Russia), Bertrand Russel (ahli falsafah terkenal) yang rata-rata filsafat mereka sahaja nampak cantik, tetapi ilmu dan amalan mereka berlawanan sekali dengan filsafat mereka.

Dari satu sudut lain, golongan yang mereka gelar bintang, seperti artis, ahli sukan dan sebilangan politikus, secara terang-terangan mendedahkan jiwa mereka yang kosong lagi hampa. Hal ini telah disebut dalam konteksnya dengan tepat sekali oleh Wan Mohd Nor Wan Daud dalam bukunya Pembangunan di Malaysia: Ke Arah Satu Kefahaman Baru Yang Lebih Sempurna.

Justeru, Michael H. Hart ternyata benar apabila secara jujur memilih Muhammad bin Abdullah sebagai pilihan pertama dalam The 100 A Ranking of the Most Influential Persons in History, walaupun pada hakikatnya, Nabi Muhammad tidak wajar sama sekali diletakkan sekelas dengan para ahli teologi, pemimpin, ilmuwan, saintis atau aktivis mengikut ukuran manusiawi.

Umpama Pasak Bumi

Baginda adalah umpama gunung yang mengakar kukuh dan kuat, menjadi pasak bumi dan mengikat sekelilingnya, yakni kaum muslimin, menjadi padu dan satu. Jika autoriti Baginda diserang dengan penuh helah dan tipu-daya oleh para orientalis dan pengikut mereka atas nama ahlul-Quran, gerakan feminisme, golongan modernis, orientalis atau gerakan penilaian semula hadis, maka lagak mereka laksana kerakusan golongan pemusnah pasak dan perosak alam sekitar yang, jika dibiarkan, akan membawa akibat jauh lebih buruk kepada jiwa kaum muslimin berbanding kerosakan alam sekitar semata-mata.

Dari Buaian ke Liang Lahad

Demikian peri pentingnya Baginda dalam kehidupan kaum muslimin, lantaran Baginda sendiri adalah sumber ilmu, maka sudah menjadi kewajipan setiap muslim mempelajari dan memahami sejarah dan ajaran Baginda, malah mengenali Baginda secara mesra. Mesra dalam hal ini merujuk kepada dekat, atau hampir, biarpun tidak pernah bersua muka.

Kanak-kanak yang sedang tumbuh membesar wajar sekali didedahkan dengan sejarah dan akhlak Baginda, sama ada secara formal ataupun tidak formal, sebagai lanjutan dari laungan azan, iqamat dan berzanji. Kanak-kanak perlu diajar sejumlah hadis, terutamanya yang berkaitan soal keutamaan ilmu dan akhlak mulia.

Salah satu pendekatan kreatif dalam rangka mendekatkan kanak-kanak dengan sejarah dan ajaran Baginda ialah menerusi filem animasi Muhammad: The Last Prophet. Tayangan Amal Perdana filem ini telah dibuat pada tahun 2004 di Ibu Negara dan di negeri-negeri di Malaysia sempena Majlis Sambutan Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w., anjuran bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri-negeri. Filem yang sudah dialihbahasakan ini harus dimiliki setiap keluarga di Negara ini sebagai salah satu kaedah pendidikan dalam keluarga.

Usaha memahami konsep kerasulan ini seterusnya dilanjutkan lagi pada peringkat dewasa dan usia lanjut menerusi pengajian ilmu al-Hadis dan segala implikasinya dalam realiti kehidupan masa kini, secara berterusan, misalnya, melalui usrah (study circle). Memahami konsep kerasulan dan kenabian harus berlaku bersekali dengan memahami konsep-konsep penting seperti konsep Tuhan, al-Quran, insan, ilmu, akhlak dan kebahagiaan.

Konsep-konsep ini adalah perkara pokok dalam membina kerangka berfikir muslim yang jelas dan mantap serta mempunyai pandangan alam Islam. Dengan pendidikan begini, kaum muslimin akan sentiasa berasa dekat dan mesra dengan Baginda sekali gus merealisasikan hasrat menjadikan Baginda sebagai model operasi yang boleh dijelmakan dalam diri. Allahumma salli `ala sayyidina Muhammad wa `ala alihi wa ashabihi wa sallim.