Bersama Haron Din: Hati-hati rawatan guna mentera

Bersama Haron Din: Hati-hati rawatan guna mentera

Dr Haron Din

Soalan: Ada bomoh di tempat saya mengubati pesakit atau yang berhajat sesuatu, ditolongi dengan jampi mentera menggunakan bahasa Jawa. Saya orang Jawa asli yang tinggal di Parit Jawa, tetapi saya sendiri tidak faham apa dibaca dukun tersebut.

Apakah pengubatan secara ini boleh diterima pakai dan tidak mendatangkan sesuatu yang berlawanan dengan syarak?

MOHAMAD JUSOH
Parit Jawa, Johor

Jawapan: Mengubati penyakit atau menolong seseorang yang memerlukan pertolongan sehingga tertunai hajatnya, lebih-lebih lagi boleh membantu mengikhtiarkan kesembuhan pesakit yang bermasalah adalah pekerjaan mulia.

Ia menjadi lebih mulia jika dilakukannya semata-mata kerana Allah SWT, mengharapkan pahala pada hari akhirat dan tidak membebankan pesakit.

Amalan perubatan dengan menggunakan doa ataupun bacaan ayat memang salah satu daripada cabang rawatan yang diakui syarak sebagai amalan mulia.

Pergi ke hospital atau menemui perawat pakar juga digalakkan Islam, kerana itu juga salah satu daripada cabang rawatan yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang banyak.

Merujuk khusus kepada persoalan saudara iaitu soal jampi. Menjampi pesakit disebut dalam bahasa Arab sebagai ruqyah. Ruqyah adalah dibenarkan. Malah kadang-kadang amat digalakkan.

Rasulullah s.a.w. pernah sakit, suatu ketika Jibril diturunkan untuk memberi tawaran menjampikan baginda, lalu Jibril menjampi Nabi. Ianya disebut sebagai Ruqyatu Jibril.

Adapun menjampi seseorang itu dengan menggunakan bahasa khusus seperti Jawa, bahasa Mendiling, Inggeris dan Sepanyol diharuskan syarak dengan syarat, bacaan itu diketahui maknanya dan ia tidak ada sebarang petanda kesyirikan terhadap Allah SWT.

Jangan ada sebarang tafsiran yang boleh membawa syirik.

Oleh yang demikian jika lirik, seni kata atau bacaan yang disebut oleh dukun itu tidak diketahui maknanya, jika seperti saudara seorang berketurunan Jawa tidak memahami jampi yang dibaca dalam bahasa Jawa.

Tetapi mungkin seperti disebut orang bahawa Jawa ada dua bahasa, iaitu bahasa kasar atau bahasa halus. Biasanya bahasa Jawa halus jarang diketahui orang.

Saya sendiri sememangnya tidak memahami bahasa Jawa sama ada kasar ataupun halus.

Sekiranya anda tidak faham bahasa tersebut, tetapi orang yang membacanya faham dan makna bacaan itu tidak ada sebarang petanda menuju kepada syirik, maka dia boleh berbuat demikian.

Tetapi jika dukun itu sendiri tidak faham dan tidak tahu apa yang diminta, maka tidak boleh digunakan perubatan dengan bahasa tersebut.

Daripada ayat al-Quran, Allah berfirman (mafhumnya) : “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran, ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepadanya; dan al-Quran tidak menambah kepada orang-orang yang zalim melainkan kerugian jua.”Surah al-Isra’ , ayat 82

Ada enam kali sebutan syifa’ atau kesembuhan dalam al-Quran. Ada begitu banyak hadis yang menyebutkan tentang kesembuhan penyakit melalui rawatan pembacaan ayat-ayat al-Quran dan doa.

Oleh itu maka ulama bersependapat (ijmak), bahawa mengikhtiarkan kesembuhan penyakit dengan menggunakan kaedah bacaan dan doa serta air adalah diharuskan, kadang-kadang digalakkan, sekiranya memenuhi tiga syarat yang utama iaitu:

Pertama, menggunakan pembacaan ayat-ayat al-Quran dan as-Sunnah atau ruqyah dalam bahasa Arab yang diketahui maknanya tidak bertentangan dengan syarak.

Kedua, boleh menggunakan bacaan selain daripada yang pertama, dengan apa jua bahasa, tetapi mestilah difahami maknanya dan tidak ada sebarang percanggahan dengan syarak.

Ketiga, hendaklah yang merawat mengiktikadkan bahawa penyembuh sebenarnya adalah Allah SWT sahaja. Pengubat hanyalah berikhtiar.

Oleh itu saya suka menjelaskan, jika sudah ternyata al-Quranlah bacaan utama sebagai penyembuh terbaik, as-Sunnah (al-Hadis) adalah yang terbaik daripada al-Quran, maka mengapa kita menggunakan bacaan ini sebagai rawatan.

Kita harus membebaskan diri daripada yang kurang baik, lebih-lebih lagi jika ia boleh membawa kepada kesyirikan kepada Allah SWT. Wallahua’lam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: