Tokoh Islam : Jamaluddin Al-Afghani, Perintis Gerakan Islam

Tokoh Islam : Jamaluddin Al-Afghani

Perintis Gerakan Islam

Tidak hairan bagi pengkaji sejarah ‘dunia Islam’, apabila mendapati bahawa rakyat Afghanistan memiliki kekentalan pegangan akidah yang mampu menumbangkan sebuah kerajaan yang dianggap satu ketika dahulu sebagai salah satu kuasa besar dunia iaitu ‘Soviet Union’. 

Soviet akhirnya bertukar menjadi Negara Russia yang disusuli permohonan keluar dari Negara-negara yang pernah di bawah kuasanya untuk berdikari. 

            Dengan tertumbangnya Soviet Union di tangan para ‘Mujahidin’ lewat akhir 80-an, nama-nama seperti Burhanuddin Rabbani, Gulbuddin Hekmatiyar, Abdul Rabbir Rasul Sayyah, Mahmud Yunus dan Mohammad Shah Mas’ud sebenarnya mewarisi kejituan akidah dan kefahaman yang dimiliki oleh reformasi terdahulu yang berasal dari bumi yang sama iaitu Saiyid Jamaluddin al-Afghani. 

            Beliau seolah-oleh bertanggungjawab melahirkan individu-individu di kalangan para Mujahidin yang mengegarkan dunia dengan kejatuhan Soviet Union. Ini adalah berkat kesungguhannya yang mengasah minat jihad di kalangan anak-anak muda Afghanistan yang diwarisi oleh mereka yang terbabit.

 

Kegigihan Jamaluddin

            Beliau adalah Jamaluddin bin Safdar atau lebih dikenali dengan nama Jamaluddin al-Afghani adalah anak seorang pegawai tentera yang dilahirkan di sebuah kampung bernama Asadabad, salah satu kawasan dalam zon Kunar di Afghanistan pada 1839. 

            Pada suatu ketika, bapanya dihantar bertugas di sempadan Iran dan kerana tertarik dengan keadaan di negeri itu, dia mengambil keputusan bermastautin di sana. 

            Sejak kecil, beliau telah menunjukkan bakat yang luar biasa, kecerdasan otak dan kepintaran dimilikinya membolehkan beliau mendapat didikan agama yang mantap. 

            Pada mulanya beliau belajar bahasa Arab seperti nahu, saraf dan sastera. Kemudian mengkaji ilmu syariat seperti tafsir, hadis, fiqh, usul fiqh, ilmu qalam, tasauf, sejarah, falsafah, mantik, politik, akhlak, ilmu jiwa, ilmu falak dan kedoktoran ilmu kajian tubuh manusia. 

            Secara kebetulan juga, beliau mempunyai talian darah dengan seorang perawi hadis yang terkenal iaitu Imam at-Tarmizi yang mana keturunannya berhubungan dengan Sayidina Ali bin Abi Talib. 

            Selepas tamat pengajian, beliau merantau ke India di situ beliau belajar ilmu matematik di peringkat tinggi dan mengikut cara dan sistem moden. 

            Sekembali ke negaranya, beliau berkhidmat dengan pemerintah tetapi disebabkan dengan kepincangan berlaku dalam kerajaan, beliau mengambil keputusan keluar meninggalkan tanah air. 

            Beliau tidak menetap di sebuah Negara saja bahkan beliau berpindah-randah dan menyebarkan seruan dan pengajarannya ke mana saja beliau pergi antaranya Arab Saudi, Mesir, Turki, Iran, Iraq, Eropah, Rusia, England, Paris hingga Amerika. 

            Jamaluddin juga menulis pelbagai masalah dan krisis dalam majalah dan akhbar di beberapa Negara Arab dan Eropah. Pengalaman, pemikiran dan keahliannya itu menjadikan beliau seorang tokoh besar dunia pada masa itu. Ketika di Perancis, beliau telah bertemu dengan tokoh ulama al-Azhar yang terulung ketika itu, Syeikh Muhammad Abduh yang dianggap salah seorang anak muridnya yang hebat. 

            Ketika di Mesir, beliau bertugas di Universiti Al-Azhar. Disebabkan pengaruh yang mendalam serta pengalaman luas, kuliah syarahannya mendapat sambutan hangat daripada golongan cerdik pandai. Dari Mesir, Jamaluddin Al-Afghani ke Turki dan terdapat tokoh di sana sangat terpengaruh dengan pengajaran kuliahnya yang cukup berkesan. 

            Pada 1871 beliau sekali lagi kembalik ke Mesir lalu menghabiskan masanya bagi membangkitkan semula kegemilangan umat Islam dan ajarannya. Beliau turut mengembara ke Paris dan dari sana beliau ke Moscow serta menetap lebih daripada 4 tahun. 

            Di sana, beliau Berjaya memujuk Maharaja Czar Rusia membenarkan rakyatnya yang beragama Islam supaya menerbitkan serta menggunakan al-Quran serta buku agama lain dengan bebas. 

            Beliaulah pelopor kebangkitan kesedaran umat Islam diMoscow yang menyuntik semangat mereka untuk bangkit menentang segala bentuk penjajahan bagi memajukan diri dengan pegangan agama Islam yang kuat. Ditambah keperibadiannya yang disegani banyak pihak serta memiliki cirri-ciri kepimpinan berpaksikan al-Quran yang layak untuk diteladani. 

            Dalam kesempatan itu, beliau menekankan hakikat bahawa keteguhan sesebuah Negara tidak bergantung kepada tenteranya bahkan kepada semangat rakyatnya, akhlak serta keteguhan perpaduan mereka. 

            Beliau sentiasa berpendapat umat Islam merosot akhlaknya dan lemah semangat serta dikuasai oleh hawa nafsu yang buas, justeru beliau menaruh keyakinan penuh bahawa kekuasaan Negara Barat ke atas Islam amat bahaya dengan keadaan demikian jika umat Islam tidak berubah, mereka pasti akan menerima nasib lebih buruk lagi. 

            Oleh yang demikian umat Islam hendaknya bangkit untuk mengembalikan maruah agama dan diri mereka sebagai umat yang mulia lagi terpuji. Beliau akhirnya menghembus nafasnya yang terakhir di Bandar Constantinople ( Istanbul ) pada 9 Mac 1897.         

 

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: