Jadikan Umar Abdul Aziz sebagai contoh, Kelantan ucap tahniah kepada Lim Guan Eng

Jadikan Umar Abdul Aziz sebagai contoh, Kelantan ucap tahniah kepada Lim Guan Eng

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah, mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng, yang ingin menjadikan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai rujukannya dalam memerintah negeri.

Menurutnya, walaupun Guang Eng bukan orang Islam, namun kerana ilmu yang ada padanya, beliau ingin jadikan khalifah yang masyhur itu sebagai “idola”nya dalam pentadbirannya agar semua rakyat di negeri itu mendapat pembelaan dan kebajikan.

Baihaqi berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Lim Guan Eng secara terbuka yang ingin menjadikan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai model untuk dilaksanakan dalam pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan taklimat kepada hampir 300 orang rombongan pelawat dari empat buah negeri, iaitu Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

“Walaupun dia (Lim Guang Eng) bukan orang Islam, namun hasil pembacaan dan penelitiannya beliau berhasrat untuk meniru pentadbiran Umar khususnya dari segi amanah, kebajikan.

“Ia merupakan satu sikap yang amat baik dan perlu diteladani oleh pemimpin Islam itu sendiri, jadi saya ingin mengucapkan tahniah kepada saudara Guan Eng di atas hasratnya sedemikian, ujarnya lagi.

Beliau yang juga Adun Pasir Tumboh berharap Ketua Menteri Pulau Pinang itu melaksanakan apa yang dijanjikannya sekiranya beliau ingin dilihat sebagai seorang pemimpin yang benar-benar menjaga kebajikan rakyat khususnya masyarakat Islam.

Sambungnya, sebagaimana masyarakat bukan Islam menghormati dan menyayangi Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat, kerana sikap kepimpinannya yang tidak meminggirkan golongn minoriti di negeri itu, dalam masa yang sama diharap umat Islam di negeri itu juga mendapat layanan yang sama.

“Namun saya berkeyakinan, saudara Lim akan melaksanakannya, apa lagi menerusi Pakatan Rakyat yang ditubuhkan di empat negeri untuk menjaga kebajikan rakyat,” ujarnya lagi.

Menyentuh Pakatan Rakyat pula beliau berharap semua pimpinan di empat negeri dapat memberikan contoh terbaik pada rakyat seluruhnya agar rakyat dapat menilai sendiri tentang keadilan yang terdapat dalam Pakatan itu.

Tambahnya, apa yang penting perpaduan dalam Pakatan Rakyat hendaklah jitu di samping menghormati pandangan di antara satu sama lain.

Terdahulu ketika menyampaikan taklimat kepada rombongan pelawat berkenaan, Baihaqi berharap semua negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat termasuk Kelantan menjaga kebajikan rakyat sebaik mungkin.

Sambungnya, rakyat tidak perlukan pembangunan duniawi semata-mata, sebaliknya mereka terlalu mengharapkan keperihatinan kerajaan untuk mereka.

“Pembangunan sudah terlalu banyak terutama di Selangor, Pulau Pinang, namun apa yang rakyat inginkan sekarang ialah pembelaan atau ‘cakno’ terhadap mereka yang tidak diperolehi dari kerajaan terdahulu,” ujarnya.

Pada majlis itu juga beliau turut mengucapkan tahniah di atas kesudian mereka masih memilih Kelantan sebagai destinasi pelancongan.

Jelasnya, walaupun empat negeri lagi telah dikuasai pembangkang, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak, namun pelawat masih memilih Kelantan untuk dilawati.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: