Negara Islam – Usah Terburu-Buru…Bertindak

Negara IslamUsah Terburu-Buru…Bertindak

Tidak dinafikan, Negara Islam merupakan cita-cita PAS dalam pemerintahan Malaysia. Berbagai-bagai usaha dan tindakan yang telah dilakukan oleh PAS bagi merealisasikan cita-cita itu.

Agenda penerangan tentang bentuk dan ciri-ciri Negara Islam telah dibuat, tetapi keadaan tidak berbelah pihak kepada PAS, yang mana segala penerangan PAS itu telah diselewengkan oleh UMNO-Barisan Nasional dengan diputar belitkan kenyataannya yang melahirkan satu gambaran, Negara Islam adalah Negara yang akan menindas golongan non muslim.

Golongan non muslim tidak menerima negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS, adalah kerana mereka bimbang nasib dan masa depan mereka dizalimi, sedangkan dalam bentuk negara islam yang dicadangkan oleh PAS, tidak pernah mengabaikan hak-hak non muslim dalam sesebuah negara, bahkan Islam menetapkan hukum haram bagi kerajaan Islam mengabaikan hak-hak non muslim.

Penolakan mereka itu adalah bersebab, mereka sentiasa dimomokkan dan digambarkan oleh media Barisan Nasional, bahawa Islam adalah ganas, sedangkan Islam bukanlah seperti yang digambarkan oleh Barisan Nasional.

Disamping itu juga, mereka tidak memahami maksud sebenar disebalik perlaksanaan Negara Islam. Sedangkan Negara Islam adalah pemerintahan yang mementingkan amanah, kebajikan, kestabilan ekonomi, politik, kasih sayang, perlaksanaan undang-undang yang memberi keadilan kepada semua pihak hatta kepada non muslim sekalipun, yang semua ini ditunjangkan kepada Aqidah Islamiyyah.

DAP MENENTANG NEGARA ISLAM

Penentangan dari DAP terhadap Negara Islam, tidaklah pelik bagi pandangan peribadiku. Tetapi, yang lebih pelik, apabila yang menentang Negara islam itu adalah orang islam sendiri.

Penentangan DAP terhadap Negara Islam, antara sebabnya mereka tidak memahami bentuk Negara Islam yang sebenar, disamping sentiasa diburukkan bentuk Negara Islam ini oleh UMNO-Barisan Nasional yang menyebabkan DAP termakan dengan hasutan syaitan itu.

Dalam hal itu, gabungan PAS, PKR dan DAP, sedikit sebanyak dapat merapatkan jurang yang sekian lama terpisah. Dengan gabungan ini, PAS dapat “berdakwah” dengan menjelaskan kepada mereka dalam keadaan formal atau tidak formal tentang keadilan islam.

Kita kena ingat, dalam pakatan yang telah dibuat secara tidak rasmi dalam menghadapi pilihanraya ke 12 baru-baru ini, sedikit sebanyak pihak DAP telah mengenali PAS dan bentuk Negara Islam.

Ekoran dari itu, tidak hairan, ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng sendiri pernah menyatakan bahawa beliau akan melaksanakan pemerintahan di Pulau Pinang seperti pemerintahan Omar bin Abdul Aziz.

Ucapan ini sedikit sebanyak, merupakan kesan dari keadilan yang mereka faham dari Islam. Tetapi disebabkan mereka bukan beragama islam, disamping ideology perjuangan mereka juga tidak Islam, menyebabkan mereka masih lagi dengan cara mereka.

SIKAP KITA

Kenyataan Karpal Singh yang dikeluarkan baru-baru ini, tidak perlu diperdebatkan sehingga memburukkan keadaan. Memberi pandangan itu bagus, tetapi jangan sampai melahirkan satu natijah, jurang yang sudah dihampirkan berjauhan kembali.

Tindakan Karpal menyatakan pandangan beliau sedemikian adalah kerana, beliau tidak memahami bentuk Negara Islam yang sebenar. Ianya adalah kerana, pemahaman beliau tentang Negara Islam sekadar melalui bacaan sahaja, sedangkan banyak unsur-unsur yang dididik dalam islam tidak wujud dalam pegangan hidup beliau yang tidak beragama Islam.

Disamping itu juga, beliau tidak merasakan keadilan yang dijanjikan oleh islam dengan penubuhan Negara Islam. ekoran dari itulah, menyebabkan beliau menolak bentuk Negara Islam yang dicadangkan oleh PAS.

orang arab ada menyebut;

لا يدري من لم يذق

Maksudnya;
“Tidak mengetahui dengan sebenar oleh orang yang tidak merasai”

Dalam hal ini, Islam mengajar kepada kita, agar tidak melayan sangat statement dari orang yang tidak memahami Islam, apabila mereka bercakap tentang islam. Bahkan, kita kena berfikir dan berusaha, agar memberi kefahaman kepada mereka tentang islam sehingga sampai satu tahap, mereka yakin dengan keadilan yang dijanjikan oleh islam.

Firman Allah:-

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ

Maksudnya;
“Ambillah sikap memaafkan, suruhlah melakukan kebaikan dan jangan layan dari orang-orang yang tidak mengerti”(Surah Al-‘Araf : 199)

Dalam menafsirkan maksud “ambil kemaafan” ini, Imam Ibni Kathir menukilkan kata-kata seorang mufassir yang hebat bernama Mujahid, yang mana beliau menyatakan, maksud dengan ambil kemaafan itu adalah terhadap akhlak-akhlak dan amalan-amalan mereka yang tidak merasakan kebenaran. (Tafsir Ibnu Kathir : 3/531)

Maka dengan ini, Karpal tidak pernah merasa bentuk negara Islam, disamping digambarkan Barisan Nasional sebagai zalim, menyebabkan beliau begitu marah dengan pembentukan negara Islam.

Sebagai muslim, tidak sepatutnya kita memarahi beliau, tetapi yang patut dimarah adalah UMNO dan Barisan Nasional yang tidak habis-habis menabur fitnah dan menjadi batu api untuk merosakan usaha PAS dalam memahamkan Islam kepada non muslim.

SIKAP DAN TINDAKAN KITA

Cita-cita kearah merealisasikan pemerintahan Islam merupakan tanggungjawab yang wajib ditunaikan. Pun begitu, halangan yang dihadapi, perlu ditempuhi dengan bijaksana. Kebijaksanaan seperti kata pepatah, menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.

Tidak dinafikan, UMNO-barisan Nasional akan menyerang PAS dengan isu-isu sebegini, terutama kekalahan mereka dalam pilihanraya baru-baru ini ditakrifkan sebagai terlalu teruk dalam sejarah Malaysia.

Bagi menghadapi perkara ini, diharapkan penyokong dan pendokong PAS agar tidak bertindak dengan tindakan yang boleh memburukkan lagi suasana.

Pilihanraya kali ini, kita telah berjaya merapatkan jurang antara PAS dan DAP, yang dengan itu, kita perlu berusaha menerangkan kepada mereka tentang keadilan Islam.

Para ulama dalam PAS, tidak seharusnya terlalu membicarakan tentang perkara-perkara kecil, bahkan wajib berusaha menyelongkar segala maqasid-maqasid yang terkandung dalam Al-Quran dan As-Sunnah, ianya bertujuan untuk menyampaikan mesej dakwah kepada non muslim.

Para ulama perlu menyelongkar keadilan yang wujud disebalik kandungan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis yang berbicara tentang undang-undang, ekonomi, jihad dan sebagainya. Semuanya bertujuan, untuk memberi keyakinan kepada non muslim (khususnya DAP) kepada perlaksanaan Islam.

PENUTUP

Pakatan Rakyat yang diideakan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi telah berjaya ditubuhkan. Dalam menentukan orang yang mengepalai pakatan rakyat ini, dalam keadaan sekarang, kita perlu mengambil sikap toleransi lagi.

Kalau keadaan DAP kini yang tidak yakin lagi dengan PAS, apa gunanya kita mengepalai Pakatan Rakyat, yang dengan itu boleh membawa perpecahan yang banyak merugikan kepada dakwah islamiyyah.

Jangan terlalu gopoh untuk mencapai kemenangan, kerana dibimbangi dengan kegelojohan itu akan menghasilkan kerugian dalam mencapai kemenangan yang sebenar.

Ulama-ulama fiqh ada menyatakan satu kaedah fiqh yang berbunyi;

مَنْ اسْتَعْجَلَ شَيْئًا قَبْلَ أَوَانِهِ عُوقِبَ بِحِرْمَانِهِ

Maksudnya;
“Barangsiapa yang gopoh untuk mencapai sesuatu sebelum masanya, diakibatkan perkara itu menjadi haram” (Al-‘Asybah wa An-Nazair : 1/274 : kaedah fiqh yang ke 30))

Lantaran itu, dalam keadaan sekarang, apa salahnya kita serahkan kepada orang yang mengepalai pakatan rakyat dari kalangan mereka yang boleh di terima oleh DAP, yang dengan itu, kita dapat menyampaikan dakwah kepada mereka.

Apabila dakwah kita kuat, yang memungkinkan mereka semakin faham kepada Islam (walaupun mereka tidak masuk islam), yang ketika itu, sudah pasti, Islam akan menjulang, dan menjadi agama yang terlaksana dalam Negara yang dicintai ini, Insya Allah.

Mudah-mudahan Allah menjadikan kita dari kalangan orang yang bijak menghadapi situasi politik kini, yang dengannya akan melahirkan natijah yang menguntungkan kepada Islam dan kepada rakyat.

Sekadar pandagan peribadi, Sekian, WallahuA’lam

~al-bakistani~

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: