Topeng Buat Beli Cinta ( Bila Nafsu Menguasai Akal )

Topeng Buat Beli Cinta ( Bila Nafsu Menguasai Akal )

 Saya menonton petikan ucapan Datuk Rais Yatim sewaktu berkempen untuk Semangat 46 yang merupakan parti serpihan UMNO. Siapa sangka 18 tahun yang silam, Menteri Luar Negeri yang baru ini pernah berkata:

“Tuan-tuan dengarlah. Tapi kalau dengar daripada TV3, mungkin lain bunyinya. Kalau dengar dari RTM, jangan katakan lain bunyi, [tapi] langsung tak berbunyi…”
“Tuan-tuan ingat tak, apa yang disebut oleh Tengku [Razaleigh Hamzah] dua, tiga hari lalu sewaktu diwawancara oleh pemberita, sewaktu beliau memberi beberapa penjelasan? Diambilnya perkataan yang sebelah kiri, kemudian dicantumkannya dengan perkataan yang sebelah kanan. Akhir-akhirnya kita tidak faham.”

Apa yang menakjubkan, ucapan beliau yang ketika itu berada di pihak pembangkang, amat mirip dengan keluhan ahli-ahli politik daripada Barisan Rakyat pada masa kini. Malah saya sendiri tidak menyangka bahawa Datuk Rais Yatim ini sebenarnya mampu berpidato sepetah Anwar Ibrahim.

Kemudian apabila saya menonton satu lagi video yang memaparkan ucapan Bush pada tahun 1994 ketika kempennya untuk merebut jawatan sebagai Gabenor Texas, saya akhirnya naik ragu-ragu sambil garu-garu kepala yang tidak berkutu ini apabila mengetahui bahawa Bush 14 tahun dahulu adalah sangat berbeza dengan Bush hari ini.

Seraya itu saya membuat kesimpulan bahawa di samping hiburan, dunia politik adalah satu lagi medan yang berpotensi besar untuk mengubah personaliti seseorang dengan sangat berkesan. Lazimnya, plot drama politik dimulakan dengan awal yang meyakinkan, penghujungnya kekorupan, sementara retorika dan pembohongan duduk di tengah-tengahnya. Apakah yang mampu menjamin ahli-ahli politik yang gagah berkokok untuk membela nasib rakyat pada kempen pilihan raya yang lepas, agar kekal sama pada 10, 15 dan 20 tahun yang akan datang?

TOPENG BUAT BELI CINTA
Saya kira semua manusia yang ada di atas muka bumi ini memakai topeng yang membentuk personaliti masing-masing di khalayak ramai. Personaliti datang daripada kamus Inggeris, personality. Personality ini pula berasal dari perkataan Latin, persona, yang bermaksud topeng.

Acapkali kita mendengar kisah ramai pasangan yang sudah berkahwin menyesal dengan insan yang menjadi teman hidupnya. Mereka tidak menyangka bahawa manusia yang pernah melafazkan “Kaulah satu-satunya bagiku, tiada yang lain. Setiaku hanya untukmu. I love you darling..”, sambil rembulan dan bintang di langit menjadi saksi, rupa-rupanya adalah playbuaya kasanova yang suka makan luar. Dan macam-macam lagilah jenis topeng yang mula terdedah selepas mendirikan rumah tangga.

Seperti mana dalam sesebuah ikatan percintaan, sebilangan ahli politik yang masih lagi terconggok di bawah, akan “memakai topeng” untuk membeli cinta daripada rakyatnya. Cinta ini perlu diraih untuknya terus mara berkuasa dalam kancah politik. Sedihnya sesudah berkuasa, barulah rakyat sedar bahawa selama ini ahli politik terbabit sekadar memakai sebuah topeng penanam tebu di pinggir bibir.

Inilah apa yang saya namakan “memakai topeng”. Topeng ini digunakan supaya orang sayang kita, supaya masyarakat terima kita, tetapi hakikatnya hanya Allah sahaja yang tahu apa yang tersirat di hati.

Memakai topeng tidaklah salah 100%. Nabi sendiri melarang kita daripada menghebohkan keaiban diri sendiri. Malah saya sendiri kadang-kala lebih selesa untuk tidak mengetahui wajah sebenar individu-individu di sekeliling saya. Misalannya, kalaulah saya tidak menggoogle pelakon cantik manis yang memegang watak Aisha dalam filem Ayat-Ayat Cinta, maka tidaklah saya naik meluat dengan filem tersebut.

Walaupun ramai yang sememangnya sejak awal-awal lagi telah memakai topeng untuk meraih cinta, namun tidak dinafikan ada yang memakai topeng itu tanpa ada kerelaan di hatinya. Saya salah seorang daripadanya.

Setelah agak lama menulis di sini, beberapa pembaca blog ini telah “memakaikan” saya sebuah topeng yang menggambarkan saya memiliki personaliti yang baik dan bagus pula dalam kefahaman agama. Alhamdulillah jika saya begitu, namun pada hakikatnya saya tidaklah sebaik yang mereka sangka. Jika dosa-dosa saya yang bertimbun ini mengeluarkan bau, pasti tiada orang akan mendekati saya. Memakai topeng yang diberikan oleh mereka membuatkan saya resah, tidak tenang dan seolah-olah hidup dalam kepuraan. Cinta Allah tidak boleh diraih dengan topeng.

BERDOSAKAH MENANGGALKAN TOPENG SI DIA?


Sekarang persoalan yang paling penting, adakah berdosa untuk kita membuka topeng yang menutupi wajah sebenar seseorang itu? Jawapannya bergantung kepada situasi dan keadaan. Oleh kerana membuka topeng seseorang itu bermaksud kita mendedahkan keaibannya (iaitu mengumpatnya), maka ia tidaklah wajar dilakukan dengan sewenang-wenangnya melainkan dalam beberapa perkara seperti yang digariskan oleh Imam Nawawi dalam Kitab Riyadhus Shalihin.

Walaupun demikian, dalam kebanyakkan kes, tidak perlu bagi kita untuk menyelidik topeng jenis apakah yang dipakai oleh saudara-mara, sahabat-handai dan jiran tetangga kita. Mata kita boleh sibuk mencari aib orang lain, tapi jangan lupa bahawa orang lain juga ada mata yang boleh memerhati. Ingatlah bahawa jika kita tutup aib orang lain, maka Allah akan tutup aib kita juga di dunia dan akhirat.

Selain itu secara idealnya, sebagai contoh, rakyat bukanlah golongan terbaik untuk mempertikaikan rasuah dalam tampuk kepimpinan, sebaliknya pemimpin berekod bersih yang sedang berada dalam kekuasaanlah yang patut lebih bersuara. Kita selaku rakyat biasa, belum tahu lagi topeng jenis apa yang akan terdedah sekiranya kita menjadi seorang Yang Berhormat. Kita mengkritik seorang Pak Menteri sebagai kaki rasuah, tetapi apabila kita ditahan oleh polis JPJ, mungkin kita tidak segan-silu untuk merasuah polis berkenaan. Maka tidak ada bezanya topeng yang anda pakai dengan topeng Pak Menteri yang suka makan rasuah itu, cuma anda di bawah, dia dia atas.

Tony Blair di zaman mahasiswanya adalah aktivis dalam Kempen Pembubaran Senjata Nuklear. 10 tahun beliau menjadi Perdana Menteri Britain, UK masih lagi belum mampu untuk melenyapkan senjata nuklearnya sama sekali. Malah beliau jugalah yang mengatakan kepada ahli-ahli Parlimen Britian bahawa adalah tidak bijak dan berbahaya jika Britain menjadi negara bebas nuklear 100%, kerana takut-takut nanti datang ancaman nuklear daripada negara lain.

Berbalik kepada soalan saya di permulaan artikel tadi, “Apakah yang mampu menjamin ahli-ahli politik yang gagah berkokok untuk membela nasib rakyat pada kempen pilihan raya yang lepas, agar kekal sama pada 10, 15 dan 20 tahun yang akan datang?”

Jawapannya banyak bergantung kepada kekuatan nilai-nilai agama dan moral yang dipegang oleh ahli politik berkenaan. Sekarang kita sama-sama lihat dan nilai sejauh mana keikhlasan Ustaz Azizan dan Lim Guan Eng dalam mencontohi kesederhanaan hidup Tuan Guru Nik Aziz selaku seorang menteri besar di negeri masing-masing.

Rumah Nik Aziz Nik Mat yang menjadi Menteri Besar Kelantan semenjak 1990 hingga kini.

Moga-moga godaan kuasa dan harta tidak menggelapkan hati sesiapa sahaja yang berkobar-kobar berjuang untuk rakyat. InsyaAllah.

Topeng Buat Beli Cinta ditulis oleh Tawel.

2 Responses

  1. Salaam alaikum w.b.t…. Alhamdulillah, begitu cantik sekali artikel tentang topeng ini. Kita semua memakai topeng sebenarnya, termasuk hamba ni hehe. Sebab itu lah Allah kata dunia ini hanya permainan dan sia-sia. “Addunia la’ibun wa lahwun”. Semoga topeng kita ini kerana Allah, bukan kerana dunia, itu yang penting. Dalaaaam maksud ni hehe

    Hamba mintak ijin untuk link ke blog ini yaa. Jazaakallahu khoir 🙂

  2. salam…
    bgus btl topik yg diutarakan oleh penulis artikel ni..
    sy sndri kagum melihat hasil penulisannya berkaitan ‘topeng buat beli cinta..’
    mmg benar ape jua yg dikatekan oleh penulis dlm artikel beliau. Malah,sy jugak pkai topeng..tp,xtau la topeng ni baik @ sebaliknya kerna org yg ‘judge’ kte kn?
    namun,kte sebenarnya boleh nilai diri kte ni mcmne..kdg2 x sume benda kte perlu memakai topeng kn?
    ker perlu x kte senantiasa memakai topeng yg berlainan bile jumpe owg yg berlainan juge?
    mcmne tu ye??
    mcm hal2 menteri tu,kte judge mrk kerna mrk lakukan kesalahan scr terang-trgn..
    ye,mmg betul jika kte berada dlm, situasi mrk belum tentu 100% kte xkan terjebak dlm politik rsuah dan sebagainya ni kn…..
    apa yg ptt kte lakukan skrg,kte lihat dri kte dan nilai samada topeng yg kte pkai tu mbwa kte ke arah kebaikan ataupun mampu memberikan kebaikan pd dri kte…….
    akhir kata,ape jua yg sy kongsikan disini sekadar ingin bertukar pndangan dan ingin juga belajar memberikan pandangan dan jua luahan akal fikiran pemberian Allah S.W.T ni..

    khudO hafiz(^_^)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: