Bagaimana mahu membela mangsa PTPTN selepas pilihan raya?

Bagaimana mahu membela mangsa PTPTN selepas pilihan raya?

Khamis 3 April 2008 | 26 Rabi’ul Awal 1429 Hijrah

Ketika ini hutang pendidikan Mara saya tinggal lagi RM211 sahaja lagi. Saya meminjam kerana kebetulan saya belajar di Kolej Mara Kulim (KMK). Mereka tawarkan pinjaman secara automatik. Dengan itu, terelaklah saya secara tidak langsung daripada menjadi mangsa kekejaman dan korban sembelihan kepada PTPTN.

Berhutang kepada PTPTN (mereka menggelarnya PTPTipu) mendatangkan rasa kehinaan apatah lagi jika mahu bersuara dengan nada kritikal di kampus. HEP yang menguruskan PTPTN lazimnya berkata: “Pinjam duit kerajaan, tapi tidak sedar diri, nak melawan kerajaan.”

Kita tidak boleh menyalahkan universiti, HEP. Ini kerana, mereka seolah-olah tidak memahami dan menyedari bahawa PTPTN juga mengambil daripada KWSP. Dan wang KWSP adalah wang rakyat dan wang ibu bapa kaum pelajar juga. Jadi, berikanlah keampunan dan kemaafan kepada HEP dalam hal ini kerana mereka masih terkial-kial belum mengerti.

Lagi pun, sejak awal sebelum PTPTN wujud, Sayyid Abul ‘ Ala al-Maududi telah lama menggambarkan universiti bagai ‘rumah penyembelihan’ dan ijazah bagaikan ‘sijil kematian’. Ia (ijazah) diserahkan dalam majlis konvokesyen setelah universiti kita telah selesai dan berpuashati dengan hasil sembelihan mereka itu secara zalim dan kejam.

PTPTN adalah ceti dalam rupa wajah India dan Ah Long dalam rupa paras Cina. Setekat ini, kita tiada istilah khas bagi Melayu. Tapi, amalan perhambaan memang wujud dalam alam Melayu dan amalan perhambaan diwujudkan bagi tujuan menyelesaikan hutang tertunggak.

Misalnya, jika kita berhutang dengan seseorang dan kita tak mampu membayarnya, maka kita perlu menjadi hamba dalam tempoh tertentu yang dipersetujui sehingga kadar hutang itu selesai. Hamba berbeza dengan pekerja yang diupah. Hamba tidak diberi upah kerana sistem perhambaan itu sendiri diwujudkan untuk melupuskan hutang seseorang.

Jadi, apabila sampai pada waktunya akan terlangsailah hutang seseorang dan merdekalah seseorang hamba. Adapun manusia akan sentisa menjadi hamba kepada Tuhan kerana dia berhutang kepada Allah sehingga ke hujung nyawa. Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas berkata, manusia ‘berhutang kewujudan’nya di dunia kepada Tuhan.

Maka, apabila matinya seseorang anak Adam itu, maka secara tidak langsung telah terhapuslah segala ‘hutang kewujudan’nya kerana beliau sudah tidak wujud lagi di dunia kini. Jadi, selama hidup dalam kewujudannya di dunia ini, selagi itulah mereka mesti membayar dan melunaskan hutang kerana kewujudan mereka di dunia ini.

Sebab itulah Tuhan telah menjadikan Islam sebagai ad-Deen, cara hidup bagi melunaskan hutang piutang tersebut. Ad-Deen yang selalu disebut orang sebagai agama atau pun cara hidup itu adalah ungkapan dan pecahan istilah daripada ad-Dain (hutang).

Jadi, Allah s.w.t meredhakan kehidupan Islam sebagai satu-satunya cara manusia hamba itu melunaskan hutang piutangnya kepadaNya. Agama selain Islam, bukanlah cara untuk melunaskan hutang piutang tersebut. Jadi, kita membayar ‘hutang kewujudan’ itu melalui solat, zakat, puasa dan haji yang difardhukan.

Adapun umat lain, telah cuba melangsaikan ‘hutang kewujudan’ mereka di dunia itu menurut jalan fahaman mereka sendiri dengan mengunjungi gereja, kuil dan synagogue bagi orang Yahudi. Mara punya syarat sendiri, dan PTPTN dan JPA dengan cara pembayaran tersendiri. Begitulah agama-agama sebagai suatu sistem untuk melangsaikan hutang kewujudan itu.

Berbanggalah dan berbahagialah Muslimin kerana Tuhan telah meredakan Islam sebagai cara terbaik dan kaedah sebenar bagi melangsaikan hutang kewujudan tersebut. HEP pun tentu tidak pernah terdengar jalan pemikiran dan falsafah sebegini.

Jenis hamba-hamba

Ada hamba tebusan dalam tawanan perang. Selain itu, wujud hamba dalam takrif Barat di mana kaum kulit putih melanggar tebing daerah Afrika dan menangkap kaum kulit hitam untuk dijadikan hamba.

Namun, kedua-dua jenis hamba ini tidak termasuk dalam bualan kita pada kali ini. Kita mahu berbual tentang puluhan ribu pelajar yang telah jadi hamba secara tidak sengaja kerana terpaksa dan dipaksa berhutang dalam sistem pendidikan kini.

Siswa yang telah berhutang kepada PTPTN kerap dihinakan HEP. Jadi, ego dan semangat melawan dalam kalangan pelajar berjiwa hamba telah jatuh dengan sendirinya. Yang kita mahu kembangkan dan suburkan dalam jiwa ruh anak muda adalah jiwa merdeka!

Syahadan, menurut mahasiswa yang meminjam dengan PTPTN, riba yang meningkat mendadak itu menyebabkan mereka sukar menabung. Maka, PTPTN dengan ribanya tak boleh digambarkan sebagai mimpi bulan jatuh ke riba. Ia sebenarnya, mimpi ngeri.

Riba dalam perbincangan agama kita tidak sama dengan pengetahuan Melayu purba yang bermimpi bulan jatuh ke riba sebagai selaut keuntungan rezeki nikmat berganda.

Riba yang meningkat ini sekali gus menjadikan hasrat kerajaan untuk menggalakkan kita menabung telah gagal dengan sendirinya. Masalah datang bertandang, tetapi penyelesaian dan jalan keluar kepada kemelut ini di manakah muaranya?

Apakah Barisan Rakyat dapat memerintah dengan memunggah keyakinan calon Parlimen BN Sabah Sarawak ke dalam BR pada kali ini? Mungkin, kalau BR memerintah, masalah PTPTN selesai sedikit agaknya. Demikian antara manifesto. Tapi, jangan cuma berharap.

Kalau BR tak menang bagaimana?

Selepas pilihan raya umum ke-12 yang baru berlalu, barangkali ada antara kita yang telah menarik nafas lega kerana BR telah berjaya menewaskan BN di kelima-lima buah negeri. Tetapi, hal itu bukan lagi kelegaan optima.

BN masih lagi berjaya membentuk kerajaan dalam keadaan mereka gagal meraih majoriti 2/3 daripada suara Parlimen. Kalau BR menang, dalam janjinya dulu, peminjam PTPTN akan diselesaikan. Antaranya, hutang pinjaman itu dimansuhkan. Itu pun kalau menang.

Badan-badan pelajar seperti Gamis, SMM dan lain-lainnya telah pun menunjukkan suatu sikap yang positif berhubung isu PTPTN ini. Maklumlah, siapa mahu menjadi hamba?

PKPIM telah mengeluarkan dokumen kepada mana-mana kerajaan yang diberi mandat kepada rakyat dalam pilihan raya lalu. Dokumen itu berjudul 13 tuntutan pelajar.

Tuntutan ke-6 di bawah tajuk ‘Menyediakan Biasiswa dan Bantuan Kewangan’ berbunyi: “Menuntut pihak kerajaan menyediakan biasiswa pengajian penuh kepada pelajar bumiputera dan bantuan kewangan yang mencukupi kepada pelajar bukan bumiputera, seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Alternatifnya ialah menghapuskan caj 3 peratus yang dikenakan PTPTN dengan serta-merta.”

Sebelum itu diingatkan beberapa perkara sebelum pelajar menyusun rancangan. Pertama, jika andaian calon-calon BN di Malaysia Timur akan menganggotai BR itu benar terjadi, maka dengan prasangka baik, semoga terbentuk kerajaan BR yang akan memenuhi segala janjinya ke arah memansuhkan hutang piutang kaum pelajar kepada PTPTN itu.

Tapi, kita tak boleh terus berpegang kepada sangkaan dan andaian. Sangkaan dan andaian ini adalah perkara subjek, bukan objek yang boleh dilihat orang lain dan boleh dipegang. Sesuatu yang abstrak perlu dijelmakan dahulu ke alam realiti untuk didebatkan bersama.

Kita perlu menghimpunkan ribuan prasangka dan menyimpan jutaan keraguan ke atas BR juga jika mereka menang. Janji insan tidak seperti janji Tuhan dalam al-Quran. Manusia adalah sama, baik di Timur atau Barat, di Eskimo atau USA . Mereka bukan malaikat. (Macam kita juga!)

Kita mestilah bersedia dengan penuh syak wa sangka dan syak wa ragu-ragu. Ini penting kerana kita jangan hidup dalam wilayah selesa yang meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada sesiapa pun kecuali Allah s.w.t. Lagi satu, apa akan jadi kalau BN Sabah Sarawak gagal dilompatkan ke dalam pakatan BR?

Formula membela mangsa sembelihan lintah darat PTPTN mesti diadakan

Apa akan jadi kalau BR tidak berjaya mengumpulkan calon-calon BN di Sabah, Sarawak untuk membentuk kerajaan baru yang boleh melupuskan semua hutang piutang PTPTN? Maka, kita perlukan perancangan kedua. Jangan ‘bertawakal’ sangat kepada BR.

Dan hal inilah yang perlu kita bahaskan bersama selepas pilihan raya kali ini. Bunga, riba atau nama lainnya, caj perkhidmatan telah menyebabkan pelajar tidak boleh menyimpan, menabung untuk melaksanakan cita-cita mereka selepas berijazah.

Mereka perlukan wang untuk membayar rumah, membina keluarga dan keperluan harian lain yang lebih mendesak. Jadi kedudukan peminjam PTPTN hari ini amat membebankan mereka. Mereka berijazah dalam keadaan menanggung hutang secara tidak sengaja.

Sepatutnya yuran pengajian tidak patut diwujudkan secara idealnya. Memang asas negara adalah pendidikan. Wahyu pertama turun adalah mengenai pendidikan di mana ‘Iqra’ itu adalah salah satu sendi penguat kepada sistem pendidikan dalam sesebuah negara.

Cuba, sebuah negara komunis sosialis telahpun menawarkan pendidikan percuma kepada rakyatnya. Tiada masalahnya. Malah, dalam suatu kunjungan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Cuba dulu, beliau takjub bagaimana Cuba menawarkan pendidikan percuma. Laporan berita menyebutkan, Abdullah ingin belajar daripada Cuba.

Tetapi, sehingga kini tidaklah diketahui apakah ilmu memberikan perkhidmatan percuma itu telah khatam? Rasanya belum. Sebab, PTPTN masih lagi tidak memperlihatkan tanda-tanda ingin berubah ke arah sesuatu yang baik, iaitu pendidikan percuma di universiti.

Mengapakah PTPTN dilihat sebagai penindas? Sebenarnya, PTPTN sendiri ditindas suatu agensi lain, iaitu KWSP. Jika tidak salah, KWSP mengenakan kadar faedah (bunga, riba) sebanyak 6 peratus. Maka, sebab itulah PTPTN kenakan 4 peratus ke atas pelajar sejak awal dahulu.

Ekoran desakan demi desakan yang berulang-ulang, maka PTPTN kenakan 3 peratus sahaja ke atas para pelajar itu. Tapi, kadar faedah KWSP ke atas PTPTN tidak turun. Maka, dalam keadaan saling tekan-menekan ini, gali lubang tutup lubang, apa jalan penyelesaiannya?

Satu langkah pendek yang boleh saudara lakukan ialah dengan cara membayar juga wang PTPTN ini kerana ia melibatkan wang KWSP yang dicarum oleh ibu dan bapa kita kalau mereka bekerja dengan agensi kerajaan atau swasta. Tapi, bayar akar saja, bukan bunga.

Ertinya, jika kita meminjam RM20,000 (akar), maka bayarlah RM20,000 saja. Janganlah pedulikan notis PTPTN yang memaksa kita untuk membayar bunga, riba atau caj perkhidmatan. Jangan petik bunga dulu dan menyuntingnya di telinga sebagai perhiasan.

Bayar seperti biasa mengikut kadar kemampuan anda setiap bulan sehingga habis jumlah RM20,000 itu. Selepas habis jumlah pembayaran tersebut, mahasiswa-mahasiswa seluruh negara perlu sepakat mengirim surat notis bahawa anda semua tidak mahu lagi membayar lebihan bunga, riba, caj perkhidmatan tersebut.

Kembarkan juga wasiat anda dalam bentuk cadangan kepada PTPTN supaya riba yang dikenakan KWSP ke atas PTPTN itu boleh dibayar oleh Petronas. Bukankah syarikat GLC tersebut telah mencatat keuntungan sebanyak RM80 bilion baru-baru ini?

Apa yang diperlukan ialah muafakat daripada seluruh mahasiswa peminjam PTPTN bagi melazimi pembayaran mengikut kadar kemampuan anda setiap bulan dan jangan runsing dengan notis bayaran caj perkhidmatan. Bayar seperti biasa sehingga langsai RM20,000.

Bayangkan, dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang, kalau 50,000 orang mahasiswa seluruh Malaysia bertindak seperti ini, PTPTN tidak akan mampu dapat berbuat apa-apa!

Dato’ Razali Ismail, pengerusi PTPTN merangkap ahli Parlimen Kuala Terengganu pasti geleng kepala kerana terpaksa memunggah fatwa dan petua lama daripada nenek Maimun saingan politiknya, kalau-kalau ada doa penawar pelembut hati anak-anak muda supaya mereka membayar bunga-bunga PTPTN yang tiada kesudahannya!

2 April 2008, 12:02 a.m,
Sekolah Pemikiran Kg Baru

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: