Khutbah dari Rusila: Hindari rezeki bawa kepada azab Allah

Khutbah dari Rusila: Hindari rezeki bawa kepada azab Allah

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Marilah kita mendengar dan memahami serta beramal dengan petunjuk Allah SWT di dalam al-Quran berkaitan rezeki yang dikurniakan kepada kita di dunia ini berdasarkan Firman Allah (maksudnya): “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.” (Al-Baqarah: 172)

Yang dimaksudkan dengan memakan rezeki yang halal ialah mengambil manfaat daripada rezeki yang diberikan oleh Allah SWT, bukan sahaja dalam soal makan, minum, pakaian, tempat tinggal termasuk juga kenderaan yang digunakan.

Semua perkara yang digunakan itu mestilah diambil daripada rezeki halal dan diizinkan oleh Allah SWT. Dengan lain pengertian, bukan sahaja rezeki itu daripada bahan-bahan halal tetapi perlu memastikan daripada sumber-sumber halal dan dimanfaatkan dengan cara yang diizinkan oleh Allah SWT.

Perkara ini dijelaskan oleh sabda Rasulullah s.a.w. (maksudnya): Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: “Sabda Rasulullah s.a.w: Wahai manusia! Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia tidak menerima melainkan yang baik. Allah memerintah orang-orang yang beriman sahaja dengan apa yang diperintahkan kepada rasul-Nya. Firman Allah SWT: Wahai rasul-rasul, makanlah kamu daripada yang baik lagi halal dan beramallah kamu dengan amal yang soleh, sesungguhnya Aku amat mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Mukminun: 51).

Dan firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman, makanlah kamu yang halal yang Aku rezekikan kepada kamu. (Al-Baqarah: 172).

Kemudian Rasulullah s.a.w menceritakan seorang lelaki yang terlalu banyak musafirnya sehingga kusut masai rambutnya, berdebu pakaiannya. Lelaki itu berdoa kepada Allah: “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku, padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan sejak kecil lagi dia diberi makan dengan makanan yang haram, maka bagaimana Allah akan memperkenankan doanya?” (Riwayat Muslim)

Ini menunjukkan perkara yang halal sangat mempengaruhi kehidupan di dunia ini dan hubungan dengan Allah SWT dari kehidupan dunia sampai akhirat.

Bukan sahaja dimasukkan ke dalam syurga bagi mereka yang mengambil dan menggunakan yang halal dan dimasukkan ke dalam neraka bagi mereka yang menggunakan yang haram, bahkan mereka akan menjalani kehidupan dunia dalam keadaan yang tidak berkat serta mendapat kutukan Allah.

Yang dimaksudkan mengambil yang haram itu ialah mengambil harta dengan cara yang tidak diizin oleh Allah sama ada mencuri, merompak, menyamun, menipu, rasuah dan lain-lain lagi, termasuk mengambil harta sesama manusia dengan cara yang tidak diizinkan oleh syarak.

Itulah perkara-perkara yang haram yang dinyatakan oleh Allah SWT, bukan sahaja mengambil makanan dengan cara mencuri adalah haram di sisi Allah sepertimana meminum arak.

Maka begitu juga mengambil barang milik orang lain dengan cara yang tidak betul, termasuk juga menggunakan kenderaan dan rumah dengam sumber yang haram, termasuk juga tanah-tanah yang diambil, duit yang diambil dengan cara yang tidak halal, membahagi harta pusaka dengan cara yang tidak betul, semua yang diambil adalah haram di sisi Allah dan diberi amaran keras oleh Rasulullah s.a.w.

Amaran oleh Allah SWT kepada mereka yang memakan makanan yang haram, makanan yang diambil dengan harta yang haram, minuman yang haram atau minuman yang dibeli dengan harta yang haram, semuanya itu akan menjadi umpan api neraka dalam perut mereka.

Termasuklah mereka yang memakai pakaian dengan cara dan gaya yang haram juga akan menjadi umpan api neraka kepadanya pada hari kiamat.

Begitu juga kepada mereka yang mengambil tanah orang lain dengan cara yang haram. Ini bukannya satu perkara yang boleh dipermain-mainkan, termasuklah mereka yang cerdik pandai dan bijak, mencari rezeki secara rasuah.

Sabda Rasulullah s.a.w. (maksudnya): “Allah melaknat orang yang memberi rasuah dan orang yang menerimanya.”

Dalam hadis yang lain, sabda Rasulullah s.a.w (maksudnya): “Orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah semuanya di dalam neraka.”

Begitulah amaran yang keras daripada Nabi s.a.w. Rasuah bukan sahaja untuk mendapat sesuatu tetapi termasuklah untuk mendapat pengaruh seperti melantik pemimpin-pemimpin melalui rasuah sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Bani Izrail yang memilih pemimpin-pemimpin yang memberi rasuah kepada mereka. Maka pemimpin itu akan bersama dengan para pengikutnya di dalam neraka pada hari kiamat.

Marilah kita memahami hakikat ini dan berpegang dengan petunjuk yang ditunjukkan oleh Allah serta petunjuk yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad s.a.w. terutamanya pada zaman manusia yang mabuk dengan keduniaan, kemewahan dan kesenangan.

Mereka mengambil apa sahaja dengan tidak mengikut petunjuk daripada Allah SWT tetapi mengikut selera hawa nafsunya. Marilah kita menyelamatkan diri kita dengan agama.

Firman Allah (maksudnya): “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa padahal kamu mengetahui (salahnya). (Al-Baqarah: 188).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: