Bekerja keraslah untuk menjaga kemenangan – Dr Haron Din

Bekerja keraslah untuk menjaga kemenangan – Dr Haron Din

Jumaat 28 Mac 2008 | 20 Rabi’ul Awal 1429 Hijrah Bekerja keraslah untuk menjaga kemenanga

 

SOALAN: PAS dan BA memperolehi kemenangan terbesar sepanjang sejarah perjuangannya pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu. Apakah komen Dato’ tentang kemenangan tersebut? Sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS, apakah nasihat kepada pemimpin dan ahli PAS di era kemenangan ini? Mustafa Bakri, Pokok Sena

JAWAPAN: Komen saya mudah. Kemenangan ini adalah suatu anugerah Allah, seperti yang tersebut dalam al-Quran menerusi firman Allah (mafhumnya): “Dan Allah tidak menjadikan pemberian bantuan kemenangan tersebut melainkan sebagai khabar gembira bagi kemenanganmu, dan untuk ketenteraman hatimu. Kemenangan tersebut adalah pertolongan dari Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah ali’Imran, ayat 126)

Kemenangan ini juga suatu nikmat dari Allah. Nikmat wajib ditangani dengan sebaik-baiknya. Allah memperingatkan kita dalam firman-Nya (mafhum): “Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan bahawa sesungguhnya jika kamu bersyukur di atas nikmat-Ku, pasti akan ditambahkan lagi nikmat itu. Dan jika kamu mengkufurinya, maka sesungguhnya azab aku tersangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Kemenangan dalam pilihan raya menerusi sistem demokrasi di Malaysia, bukannya kemenangan mutlak. Iaa adalah relatif buat seketika untuk tempoh dalam lingkungan lima tahun.

Selepas itu apa pun boleh berlaku. Apa sahaja yang tidak disangka-sangka mungkin boleh berlaku lagi. Kemenangan tersebut bukanlah kekal selama-lamanya, bergantung kepada anugerah Allah. Sekiranya kita berpegang dengan petunjuk-Nya, kita akan memperolehi lebih banyak pertolongan daripada Allah SWT.

Kemenangan dalam bidang apa pun adalah suatu anugerah Allah yang wajib diterima dan disyukuri nikmat tersebut dengan sebaik-baiknya.

Mensyukuri nikmat tersebut bukan sekadar mengucapkan alhamdulillah atau menyembelih haiwan ternakan atau berkenduri besar atau berceramah sahaja.

Yang lebih penting, kita mesti bersyukur dengan meningkatkan nilai pengabdian kita ke hadrat Allah SWT, lebih komited dengan iman dan takwa. Kita mesti lebih bersungguh-sungguh hendak melaksanakan perintah Allah, lebih patuh kepada ajaran-Nya dengan mencuba sedaya upaya untuk melaksanakan apa yang disuruh dan menjauhi apa yang dilarang.

Di samping itu jangan lalai dan lupa dengan janji-janji kita dengan pengundi-pengundi yang senantiasa menunggu hak rakyat ditunaikan.

Sebagai umat Islam, jika tidak kita pejuang-pejuang PAS yang melaksana hukum-hukum Allah, maka siapakah lagi yang boleh diharapkan untuk memartabatkan agama Allah, kalau tidak kita.

Kerana itu Allah sudah memberi petunjuk dan panduan, yang memberi anugerah kuasa memerintah. Apa yang sepatutnya dilakukan, misalnya dalam firman Allah SWT (mafhumnya): “Golongan yang diberi kuasa untuk memerintah di muka bumi ini, hendaklah mereka (memperkukuhkan hubungan dengan Allah) mendirikan sembahyang dan (menjaga kepentingan golongan bawahan) menunaikan zakat, dan menegakkan yang makruf, membasmi yang mungkar dan berserahlah kepada Allah, yang kepada-Nya kembali segala urusan.” (Surah al-Hajj, ayat 41)

Nabi Sulaiman a.s., ketika Allah mengurniakan kepadanya kekuasaan dan kelebihan yang nyata dengan pelbagai keajaiban, baginda menyebut seperti yang dalam al-Quran (mafhumnya): “…Ini adalah suatu kurnia dari Tuhanku, untuk menguji daku, apakah aku bersyukur atau aku kufur kepada-Nya. Dan barangsiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk kebaikan dirinya, dan barangsiapa yang kufur, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Pemurah.” (Surah an-Naml, ayat 40)

Ingatlah apa yang berlaku dalam sejarah awal Islam pada zaman silam, ketika Allah menguji para sahabat dengan kesusahan dan bala bencana, termasuk kezaliman musuh ke atas mereka sehingga ada yang korban syahid, mereka tahan diuji.

Apabila Allah menguji mereka dengan kemenangan, maka ada yang kecundang, khususnya dalam Perang Uhud, apabila harta rampasan perang bersepah di hadapan mata, tentera Islam yang diperintah mempertahankan Bukit Rumaah di Uhud, tidak sabar berhadapan dengan kilauan kemenangan sehingga sanggup melanggar perintah Rasulullah s.a.w.

Hasil daripada kesilapan itu, akhirnya mereka kecundang. Allah menceritakan perihal ini dalam firman-Nya (mafhum): “Dan sesungguhnya Allah telah menunaikan janji-Nya kepada kamu, ketika kamu mengalahkan musuh kamu dengan izin-Nya (di awal Perang Uhud), sampai kepada saat kamu lemah dan berselisih faham, sama ada hendak terus mematuhi perintah Rasulullah, ataupun melanggarinya, setelah Allah menguji kamu dengan memperlihatkan kemenangan yang sementara.

Antara kamu yang mengkehendaki kesenangan dunia, ada yang mengkehendaki akhirat, (oleh kerana ada yang mengkehendaki kesenangan dunia) kemudian Allah menewaskan kamu untuk menguji kamu. dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu dan Allah memberi limpah kurnia yang banyak untuk orang-orang yang beriman). (Surah ali’Imran, ayat 152)

Ambillah iktibar tersebut, sentiasa beringat dengan nikmat tersebut dan hargai anugerah-Nya, jangan lupa diri dan berlaku adil dalam semua urusan kerana sifat adil itu mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

Bekerja keraslah untuk menjaga kemenangan kerana kemenangan itu sifatnya sementara, melainkan dengan pertolongan Allah jua ia akan kekal. Waalhua’lam.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: