TOPIC 5 : TIADA ALASAN UNTUK MENGINGKARI KALIMAH “LAILAHA ILLALLAH”

TOPIC 5 : TIADA ALASAN UNTUK MENGINGKARI KALIMAH “LAILAHA ILLALLAH”

BERDASARKAN nas tersebut tersimpullah sudah bahawa tidak seorangpun yang akan terkecuali daripada menghadapi soalan Allah SWT pada Hari Kiamat kelak, sama ada orang mukmin atau kafir.

Ia adalah saat yang paling cemas dan mendebarkan setiap insan kerana sesi soal jawab ini merupakan penentu sama ada mereka akan berjaya menghadapi halangan untuk memasuki Syurga Allah SWT ataupun sebaliknya.

Antara perkara penting yang akan disoal oleh Allah Taala ialah mengenai akidah, khususnya tentang kalimah “Lailaha illallah”. Orang kafir tidak terlepas daripada perbicaraan mereka terhadap kalimah tauhid itu. Mereka akan disoal, apakah yang akan menghalang mereka daripada menerima kalimah yang paling jelas pengertiannya itu.

Setiap manusia yang dikurniakan akal sudah semestinya dapat memahami maksud kalimah “Lailaha illallah” iaitu bahawa tiada Tuhan yang sebenar melainkan Allah. Tidak ada hujah atau dalil yang boleh menafikan kebenaran wujudnya Allah SWT sebagai Tuhan Yang Maha Kuasa.

Golongan manusia yang mengingkari ketuhanan Allah SWT tidak berupaya untuk menolok kewujudan Allah SWT sebagai Pencipta dan Pentadbir sekalian alam dan seluruh cakerawala ini.

Rasulullah SAW mengajar umatnya ketika mengebumikan jenazah, hendaklah mereka berdoa : “Allahumma tsabbit-hu bil-qauli ats-tsaabit” yang bermaksud : “Wahai Tuhan kami, perkukuhkanlah dia (jenazah yang telah dikebumikan ini) dengan perkataan yang kukuh.”

Yang dimaksudkan dengan perkataan yang kukuh itu ialah kalimah Lailaha illallah”. Inilah kalimah yang paling ringkas tetapi mengandungi hujah yang jelas dan amat kukuh, sehingga tiada makhluk yang mampu mencabar kekukuhan kalimah ini kerana maksudnya amat jelas.

Justeru, selagi manusia mempunyai akal fikiran, maka dikira mustahil bagi mereka untuk tidak dapat melihat kejelasan dan kekukuhan kalimah “ats-tsabit” itu. Apabila orang kafir menolak kalimah yang amat jelas, bererti ada anasir yang menghalang mereka daripada melihat perkara yang terang dan jelas. Ibarat manusia tidak dapat melihat matahari disebabkan terlindung di sebalik mega mendung.

Justeru, maka di Akhirat kelak orang kafir akan dihitung tentang kekufurannya kepada Allah Taala, pada hal Allah SWT itu suatu Zat Yang Maha Suci yang amat diperlukan dalam kehidupan manusia.

Tidak munasabah jika sesuatu perkara itu diperlukan oleh manusia tetapi dia tidak mengetahuinya. Ibarat manusia yang memerlukan makanan dan juga pakaian, maka tidak munasabah jika mereka tidak tahu tentang apa yang dimakan dan juga pakaian yang sedang membalut tubuhnya.

Ini kerana sejak bayi lagi manusia sudah memberikan isyarat dengan tangisan disebabkan lapar. Lantas bayi yang memerlukan makanan itu akan disuapkan makanan ke mulutnya oleh pengasuh. Bayi menangis kerana kain lampinnya basah, lalu ditukarkan dengan kain lampin yang kering dan bersih. Apabila mereka besar dan inteleknya juga berkembang, adakah munasabah jika dia tidak mengenali perkara yang mengenyangkan perutnya dan juga yang menutup anggotanya daripada kesejukan dan panas matahari?

Tidak boleh diterima oleh akal bahawa manusia yang telah didatangkan para Rasul kepada mereka dan telah diajarkan tentang keTuhanan yang sebenar masih berdalih untuk tidak menerima ketuhanan Allah Taala.

Justeru orang kafir tetap mempunyai tanggungjawab dan tidak terlepas daripada menghadapi soalan Allah SWT mengenai kewajiban yang telah diabaikannya, iaitu mengimani kalimah “Lailaha illallah” serta keingkarannya daripada menunaikan tuntutan kalimah ats-tsabitah itu.

Bersabit dengan kalimah Tauhid, Allah SWT bakal menanyakan para Rasul yang telah diutuskan kepada manusia – adakah mereka dan juga anbiya telah menyampaikan kalimah “Lailaha illallah” kepada umatnya serta menjelaskan pengertian serta keperluan mengimani kalimah tersebut.

Satu daripada sifat para Rasul ialah ‘tabligh’ iaitu ‘menyampaikan’. Justeru adalah mustahil bagi para Rasul jika amanah Allah SWT itu tidak disampaikan. Buktinya, begitu ramai umat manusia yang beriman dengan Allah SWT, pastilah mereka memperolehi keimanan itu dengan perantaraan ajaran yang disampaikan oleh para Rasul.

Kekufuran dan keingkaran terhadap kalimah “Lailaha illallah” itu membawa padah kepada diri orang yang mengkufurinya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: