TOPIC 4 : BERTEMU DENGAN ALLAH DALAM KEADAAN BERIMAN ATAU KUFUR

TOPIC 4 : BERTEMU DENGAN ALLAH DALAM KEADAAN BERIMAN ATAU KUFUR

TELAH dikemukakan satu pertanyaan kepada kalangan ulamak adakah semua manusia akan disoal oleh Allah SWT di Akhirat kelak, ataupun hanya orang mukmin dan orang tertentu sahaja yang akan disoal? Apakah orang kafir tidak perlu disoal kerana kedudukan mereka sudah ditentukan oleh Allah SWT sejajar dengan kekafirannya.

Al-Qurtubi berpendapat bahawa setiap orang akan disoal oleh Allah SWT, tidak kira apa pun kedudukan mereka sama ada mukmin atau kafir, fasik atau munafik. Yang akan menyoalnya ialah Allah SWT sama ada di alam kubur ataupun di Mahsyar. Walaupun soalan di alam kubur dilakukan oleh para malaikat, Munkar dan Nakir, namun pada hakikatnya semua soalan itu adalah atas perintah Allah SWT jua.

Firman Allah SWT :

Maka sesungguhnya Kami akan menanyai umat-umat yang telah diutuskan rasul-rasul kepada mereka dan sesungguhnya Kami akan menanyai (pula) rasul-rasul (Kami).”

( al-A’raf : 6 )

Ayat tersebut menjelaskan bahawa setiap umat manusia yang telah diutuskan Rasul kepada mereka pasti akan disoal. Memang semua umat telah didatangkan Rasul. Hal yang demikian ini bererti bahawa semua manusia, sama ada mereka daripada kalangan mukmin atau golongan kafir, tetap akan disoal oleh Allah SWT.

Orang kafir akan disoal meskipun mereka adalah bakal penghuni Neraka disebabkan kekufuran mereka. Malah para Rasul Allah yang sudah pasti akan menjadi ahli Syurga juga akan disoal. Jika menurut logik, apakah perlunya soalan terhadap orang kafir yang bakal menghuni Neraka, begitu pula apakah perlunya soalan kepada para Rasul yang pasti dijanjikan Syurga? Bukankah si kafir pasti akan ke Neraka dan para Rasul akan ke Syurga?

Semua insan pasti menghadapi soalan daripada Allah SWT untuk mengetahui sama ada setiap mereka yang telah didatangi Rasul itu telah menyahut seruan dan juga beriman ataupun sebaliknya.

Para Rasul juga akan ditanya oleh Allah SWT untuk menjadi saksi kepada umat mereka. Dengan soalan yang dikemukakan kepada mereka akan terbukti dengan jelas kedudukan umatnya sama ada mereka mengambil maafaat daripada ajaran itu ataupun mereka mensia-siakan seruan sehingga mereka menjadi umat yang ingkar.

Firman Allah Taala :

“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang membuat-buat dusta terhadap Allah? Mereka akan dihadapkan kepada Tuhan mereka dan para saksi akan berkata: “Orang-orang inilah yang telah berdusta terhadap Tuhan mereka.” Ingatlah, kutukan Allah (ditimpakan) atas orang-orang yang zalim.”

( Hud : 18 )

Orang yang mengingkari para Rasul akan dihadapkan kepada Tuhan pada Hari Akhirat, kemudian para saksi yang terdiri daripada para malaikat, para nabi dan juga anggota tubuh manusia itu sendiri akan mendedahkan pendustaan mereka yang zalim terhadap Allah SWT.

Firman Allah SWT lagi :

“Dan mereka akan dibawa ke hadapan Tuhanmu dengan berbaris….”

( Al-Kahfi : 48 )

Ayat ini menjadi dalil bahawa manusia, tidak kira sama ada mereka mukmin atau kafir, akan dihadapkan kepada Tuhan dalam keadaan berbaris-baris.

Firman-Nya lagi :

“Sesungguhnya kepada Kamilah tempat kembali mereka, kemudian sesungguhnya kewajiban Kamilah menghisab mereka.”

( al-Ghasiyyah : 25-26 )

Firman Allah SWT seterusnya :

“Dan sesungguhnya mereka akan ditanya pada hari kiamat tentang apa (perkara karut) yang selalu diada-adakan oleh mereka.”

( al-Ankabut : 13 )

Kesemua ayat yang dikemukakan di atas menunjukkan bahawa semua manusia akan dihadapkan kepada Allah Taala untuk dihisab segala amal mereka dengan saksi-saksi yang didatangkan khas, sama ada saksi daripada kalangan malaikat, Nabi-nabi dan Rasul, ataupun anggota tubuh mereka sendiri. Jelaslah bahawa kesemua manusia akan dihadapkan kepada Tuhan pada Hari Akhirat kelak. Walau bagaimanapun, bagi orang kafir ada tanda-tanda yang dapat dikenali sebagaimana yang dinyatakan oleh firman Allah SWT :

“Dikenali orang-orang mujrimun (kafir) dengan tanda-tandanya, lalu dipegang ubun-ubun dan kaki mereka.”

( Ar-Rahman : 41 )

Dengan tanda-tanda pada golongan kafir itu, maka mudahlah bagi para malaikat menangkap dan memegang ubun-ubun (kepala) untuk dirangkaikan dengan kaki-kaki mereka, lalu mereka dilontarkan oleh malaikat ke dalam Neraka, sebagaimana firman Allah SWT :

“Inilah neraka Jahannam yang didustakan oleh golongan mujrimun.”

( Ar- Rahman : 43 )

Adapun yang bertugas melemparkan orang kafir ke dalam Neraka itu tidak lain adalah para malaikat. Sesetengah ulamak berpendapat bahawa orang kafir tidak berdepan dengan Tuhan, urusan mereka cukup sekadar diselesaikan oleh para malaikat setelah Allah Taala meletakkan tanda-tanda yang boleh dikenali oleh para malaikat.

Rasulullah SAW bersabda :

Pada hari Akhirat kelak, neraka Jahannam akan mengeluarkan lidahnya dan berkata : Sesungguhnya aku diwakilkan untuk mengambil tiga jenis manusia. Pertama ialah golongan “Jabbarin’ Anid” iaitu golongan dictator atau keras kepala yang tidak mendengar kata-kata nasihat. Kedua ialah manusia yang menjadikan tuhan selain Allah (musyrikin). Ketiga ialah “mushawwir” (pengukir patung, pembuat berhala dan seumpamaannya).

Kesemua dalil yang dikemukakan di atas menyimpulkan bahawa manusia akan bertemu dan disoal oleh Allah SWT. Setelah itu, orang kafir yang telah diputuskan oleh Allah SWT kedudukan mereka sebagai ahli Neraka, akan dilontar ke dalam Neraka oleh para malaikat, ataupun Neraka Jahannam itu sendiri sebagai makhluk yang hidup akan mencekup manusia untuk ditarik ke dalamnya, termasuk tiga golongan manusia yang dijelaskan oleh hadis Nabi SAW itu.

Firman Allah SWT :

“Maka demi Tuhanmu, Kami pasti akan menyoal mereka semua( mukmin atau kafir ).”

( Al-Hijr : 92 )

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: