Manfaatkan YB graduan muda dalam kegiatan kampus

Manfaatkan YB graduan muda dalam kegiatan kampus

Sun | Mar 23, 08

Petang kelmarin, lebih kurang jam 5 petang, saya serta rakan-rakan daripada PKPIM bertolak dari Anjung Rahmat ke Pusat Gerakan Dun Seri Setia, menemui ‘Yang Berkhidmat’ Nik Nazmi, anak muda yang baru dikejutkan dengan kemenangan beliau baru-baru ini.

“Terus terang, kami sendiri tidak jangkakan kemenangan ini. Tidak pernah sedikit pun berasa kami akan memerintah. Kita ingat keputusannya seperti biasa. Tapi, ia lebih luar biasa. Sekarang waktu bekerja seperti mana mandat yang telah diberikan,” kata beliau.

Seorang lagi anak muda yang bertanding atas tiket KeADILan ialah Amirudin Saari yang terlibat dalam laman JalanTelawi.com. Kehadiran anak-anak muda ini dalam medan politik nasional, secara peribadi menjadi sesuatu yang membanggakan saya.

Saya melihat, jika anak-anak muda lulusan universiti ini lebih banyak turun ke universiti-universiti tempatan, nescaya berlaku suatu gelombang baru yang lebih besar. Di Malang, Jawa Timur, Indonesia telah tertegak puluhan universiti di kawasan tersebut sehinggakan sesetengah pihak melihatnya sebagai ‘Kota Pelajar.’

Kalau mereka mempunyai rancangan sebegitu, alangkah baiknya …

Kota Pelajar ada wakil tersendiri

Dalam fikiran saya dulu, kalau wujud Kota Pelajar, maka akan wujud wakil-wakil pelajar yang boleh mewakili suara dan hasrat mereka berhubung isu apa saja; PTPTN dan lain-lain. Namun, dalam ruang iklim politik negara kita, tidak wujud hal sebegitu.

Di setiap negeri, kita ada politikus yang cuba mempolitikkan dunia kampus melalui HEP. Ini tahap pertama. Tahap kedua paling menakutkan, iaitu ketika parti pemerintah membina sebuah universiti dengan niat mengaut sokongan rakyat dan memukat undi.

Universiti di Kelantan dan universiti-universiti lain yang ditubuhkan adalah antara contoh binaan yang diwujudkan bukan dengan niat ikhlas melainkan ia bertujuan menyaingi musuh politik mereka.

Kampus-kampus baru ini menjadi tempat berhimpun semua TNC HEP yang tamat kontrak dan mereka ini enggan turun jawatan sebagai pensyarah biasa di universiti lama kerana risaukan penerimaan warga universiti yang tertindas ketika mereka bertugas di HEP dahulu.

Keadaannya lebih kurang begini. Kalau seseorang pensyarah itu diangkat sebagai HEP, maka ‘tugasnya’ kini adalah memastikan Aspirasi menang dalam pilihan raya kampus. Ugutan ke atas promahasiswa akan dilakukan agar golongan ini tidak bertanding di dalam pilihan raya MPP.

Notis-notis kejam berbau ugutan mula dikeluarkan bagi memastikan tiada kakitangan kampus terlibat dalam kempen pilihan raya umum. (Kalau kempen BN tak apa la). Jadi, agak-agak saudara, apakah yang akan terjadi apabila kontrak TNC HEP tamat?

Mereka sedar bahawa mereka dibenci warga kampus. Jika mereka bertugas sebagai pensyarah semula, agak-agaknya siapakah yang akan menghormati merek Warga kampus masih teringat sejarah penindasan ini. Jadi, ke mana mereka ini akan bawa diri menumpang kasih? Mereka ini (bekas TNC HEP) tentunya akan dipulaukan di kampus sendiri.

Maka, jalan yang pertama ialah mereka akan sambung kontrak untuk dua tiga penggal supaya tidak bertugas sebagai pensyarah biasa. Tetapi, akhirnya akan sampai juga masanya mereka terpaksa meninggalkan jawatan itu. Jadi, ke manakah mereka harus pergi supaya selamat daripada pemulauan oleh semua lapisan masyarakat kampus?

Sebab itulah kerajaan terpaksa membina rangkaian lebih banyak kampus-kampus ini bagi menampung golongan-golongan yang ditolak oleh warga kampusnya sendiri.

‘Universiti dhirar’

Malah, kampus-kampus baru ini seolah-olah ‘universiti dhirar’. Kalau Masjid Kristal telah dilihat sebagai masjid dhirar abad ini, maka demikian halnya dengan universiti baru yang bukan dibina atas semangat menampung intelektual, menakung hikmah yang diikat dengan jiwa kembara dalam meneroka kebijaksanaan.

Jadi, apa penawar bagi tujuan ‘merawat universiti dhirar’ yang wujud bagaikan cendawan ini? Jika pengaruh luar yang negatif telah merasuk universiti, maka penawarnya itu mesti dicari di luar universiti juga. Bertemulah dengan sokongan kekuatan di luar kampus.

Golongan HEP dan Aspirasi telah mencari kekuatan di luar kampus melalui Kementerian Pengajian Tinggi. Jadi, kenapa pelajar yang tertindas ini tidak berusaha mencari kekuatan yang sama di luar kampus? Janganlah peram perasaan sehingga menimbulkan tekanan jiwa.

Anda akan menanggung kesakitan sendirian. Persetankan tohmah dakyah HEP yang akan ‘memujuk’ secara kasar: “Jangan anda hebahkan, anda akan hanya memalukan universiti!”

Jawablah kepada mereka (jika berani) atau katakan kepada diri anda sendiri sebagai suatu rangsangan motivasi: “Tindakan kami menghebahkan keburukan pemimpin universiti tidak akan terjadi jika anda tidak membuat kezaliman ke atas kami. HEPlah yang memalukan IPT.”

Setelah dikumpul kekuatan keberanian, cari ahli-ahli politik yang boleh suarakan masalah anda mengenai tekanan yang telah, sedang dan bakal anda alami. Anda tidak keseorangan ketika berdepan dengan hal rintangan sebegini. Semua ujian ini wujud sejak dulu, kini dan selamanya. Ujian ini adalah latihan untuk menjadi pimpinan masa depan. Berani adalah ciri pemimpin.

Justeru, beruntunglah bagi mereka yang bergerak di atas landasan perjuangan yang sama dengan Musa a.s dan Ibrahim a.s. Dan, malanglah bagi HEP yang bergerak di atas laluan yang sama dengan Firaun dan Namrud; musuh kepada kedua-dua rasul tersebut.

Saya syor, Adun Batu Caves dan Seri Setia memutuskan suatu hari khas untuk menemui rakan-rakan pelajar yang berdepan dengan masalah tekanan di universiti masing-masing. Saya pun boleh menjadi orang perantaraan bagi tujuan itu.

Pelajar UKM dibuang kolej, siapa pembelanya?

Ketika ini seorang pelajar UKM telah dibuang kolej serta-merta pada 17 Mac lalu tanpa diberitahu sebabnya yang meyakinkan. Beliau dibuang kolej tanpa dibicarakan kesalahannya secara lebih rinci.

Apa yang tergambar di ruang fikiran saya ialah, inilah masanya pelajar yang ditindas, diugut, diancam HEP dan Pengetua Kolej membuat hubungan demi hubungan untuk memberi tekanan ke atas pihak universiti yang zalim, kejam dan bersikap menindas.

Pilihan raya adalah satu cara terbaik untuk berdakwah kepada Umno. Setelah kalah dalam pilihan raya di kelima-lima buah negeri, Umno menginsafi bahawa mereka sudah ditolak rakyat. Telah mula kedengaran ungkapan mahu muhasabah, menelaah kelemahan diri dan membedah kebejatan akhlak mereka sendiri walaupun masih ada yang tidak sedar-sedar diri lagi.

Tapi, bilakah kita akan dapat mendengar HEP ingin bermuhasabah? Sekarang, baru kita tahu kenapa Khaled Nordin membawa masuk logo BN ke UTM beberapa hari sebelum pilihan raya umum lalu. Beliau diiring oleh pegawai universiti khasnya HEP. Ya, rupa-rupanya, ada udang di sebalik batu.

Jawatan Mustapha Mohamed sebagai Menteri Pengajian Tinggi telah digantikan Khaled Nordin kini. Arakian, kalau orang luar dapat masuk ke universiti dengan sewenang-wenangnya atas nama kepartian, kenapa mahasiswa tidak boleh mengirim masalah mereka untuk diselesaikan di luar kampus? Yang diperlukan kini hanya keberanian bersuara kepada wakil rakyat anda.

Anak-anak muda, graduan universiti ini punya latarbelakang yang cukup kuat dalam perjuangan melalui lapangan penulisan atau demonstrasi dalam isu-isu berkaitan Auku, ISA7 dan lain-lainnya. Saudara tidak lagi perlu berasa segan menemui wakil-wakil rakyat yang lazimnya jauh lebih berusia.

Wakil-wakil rakyat ini terdedah kepada pendidikan Barat termasuk pengajian tinggi dalam negara ketika di bangku kuliah dulu. Jadi, setidak-tidaknya gumpalan pengalaman lalu membuatkan mereka dapat membuat perbandingan antara kedua-dua sistem pendidikan dan mengkaji jenis tekanan. Sesungguhnya, pilihan raya kali ini membawa seberkas sinar harapan buat kita.

Insya Allah, saya yakin penuh percaya bahawa jiwa muda mereka dan kedekatan perasaan wakil rakyat muda ini ke atas isu-isu kemahasiswaan akan dapat saudara manfaatkan sepenuhnya. Tundukkan ego HEP seperti mana rakyat telah menundukkan ego BN dalam proses dakwah dan pentarbiyyahan menerusi pilihan raya.

               

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: