Air mata Tok Guru

Air mata Tok Guru

Sepanjang membuat liputan “Munajat Rakyat Kelantan Pertahankan Kerajaan Islam” di Stadium Sultan Muhammad IV, kepada saya, kemuncaknya ialah linangan air mata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tok Guru yang dikasihi, ketika merayu dan meratapi pertolongan Allah Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi.

Dada semakin sebak apabila Tok Guru berkali-kali menyapu air matanya sebaik sahaja mengakhiri doa dan munajat yang dipersembahkannya kepada Allah setulus hati, penuh rendah diri. Dalam hati, saya meraung, “Aduhai Tuhan, lihatlah hamba-Mu itu, Tok Guru kami. Pandanglah kami. Dikau Maha Mengetahui, kami di sini ya Allah! Adrikna!

Ketika manakah Tok Guru begitu terharu, sebak, bergetar-getar dan tersekat-sekat suaranya? Bukan, bukan ketika beliau merayu kemenangan PAS.

Saya memang kutu yang jahil. Huwa rajulun jahilun, itulah yang selalu saya dengar tentang diri saya.

Saya tak tahu bahasa Arab. Saya bodoh. Tetapi sepatah dua bolehlah saya teka. Kepada ‘alim ulamak yang bersama-sama bermunajat tadi, tolonglah betulkan saya kalau saya salah.

Kiamat

Bukan ketika merayu kejayaan pilihan raya, tetapi suara Tok Guru tersekat-sekat dan terdengar bersusah payah menahan sebak di dada ketika merayu belas kasihan Allah di Hari Kiamat kelak. Berulang-ulang dia merayu belas kasihan Tuhan Yang Maha Pengampun di Hari Kiamat kepada semua yang bersama-samanya, sama ada di dalam stadium tersebut atau yang menonton melalui Kelantan TV (sila klik).

Munajat rakyat Kelantan untuk mempertahankan kerajaan Islam sebenarnya bermula seawal jam 3.00 pagi tadi. Saya terlewat. Ada beberapa berita yang terpaksa disiarkan dahulu dalam Harakahdaily ini.

Paling akhir saya memuatnaikkan berita dalam laman ini ialah pada pukul 2.36 pagi tadi. Selepas menyelesaikan beberapa hal, barulah saya bertolak ke Stadium Sultan Muhammad IV.

Dalam perjalanan, berdasarkan pakaian mereka yang berada di dalam kereta, saya lihat begitu banyak kereta yang saya yakin sedang menuju ke tempat yang sama. Banyak juga yang mengibarkan bendera PAS.

Sebaik sahaja sampai di Wisma Persekutuan di Jalan Bayam, jalan mulai sesak. Tersekat-sekat. Lenguh juga kaki mengendalikan brek dan klac. Setelah agak lama bersopan di jalan raya di tengah-tengah kesesakan itu, saya akhirnya tak larat bersabar dan menyelit-nyelit menuju ke stadium. Mujur, dapat juga tempat meletak kereta.

Ketika menghampiri stadium, terdengar suara memohon doa kepada Allah yang sangat dikasihi. Seorang petugas memberitahu saya, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak memimpin zikir istighfar itu.

Walaupun padang di stadium itu telah dipenuhi para jemaah, di mana kaum muslimat berada di sebelah kanan, kehadiran ahli-ahli dan para penyokong PAS untuk bersama-sama dalam munajat itu bagaikan tidak ada penghujungnya.

Doa Nabi Yunus

Saya lemah dalam bab mengira berapa banyak yang datang. Stadium penuh. Yang datang masih ramai lagi. Nampak berkemutih seluruh padang stadium dengan kopiah kaum muslimin dan telekung kaum muslimat. Agaklah sendiri.

Wartawan The Star, Shahanaaz Habib dan seorang rakannya ada di tangga stadium itu. Saya sempat menegur mereka. Intai-intailah The Star kalau-kalau Shahanaaz mencatat berapa jumlah yang hadir.

Tidak lama selepas itu, Tuan Guru Haji Hussain Lubok Tapah pula memimpin munajat rakyat Kelantan itu. Sebaik selelsai solat tahajjud, beliau mengajak para jemaah membaca tasbih Nabi Yunus ‘a.s.. Ketika membaca “La ilaha illa Anta, SubhanaKa, inni kuntu minaz-zalimin” itu, hati saya terus teringat isteri saya di Kuala Lumpur. Minta maaf saya mencelah dengan hal sendiri. Jangan marah.

Isteri saya bolehlah saya dakwa mengamalkan doa Nabi Yunus itu. Hatta, nak cari parking pun dia akan membaca doa itu. Walaupun berdoa dengan doa Nabi Yunus, mungkin isteri saya itu pernah dikecewakan. Tetapi, saya tak ingat.

Bukan mengenai isteri saya sebenarnya. Tetapi, yang ingin saya nyatakan ialah betapa maqbulnya doa Nabi Yunus ketika terperangkap dalam perut ikan nun itu. Sebab itulah, ketika itu, hati saya merayu kepada Tuhan agar dimaqbulkan doa para jemaah yang hadir pada malam itu.

Ketika itu jugalah baru saya tahu ada siaran langsung. Terus saya muatnaikkan pengumuman bertajuk “Siaran langsung Munajat Rakyat Kelantan” dalam Harakahdaily ini. Saya harap bermanfaat.

Selepas itu dahagalah pulak. Saya ke gerai-gerai yang nampak bersambung dengan stadium itu. Sambil minum, saya SMS Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub. Puas saya mencari dia, tak nampak-nampak. Saya ajak dia minum kalau-kalau dia ada di situ.

“Aku pun munajat ni…..hang dok minum ja!” dia membalas SMS saya dengan gurauannya.

“Hebat jugak…” kata saya dalam hati. Jenuh saya mengintai-intai kalau-kalau Salahuddin ada di saf depan, di kalangan pimpinan. Tak nampak-nampak. Rupa-rupanya dia tersorok di antara ribuan rakyat yang bermunajat. Sahabat kita itu mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Kerian yang sebelum ini diwakilinya. Mudah-mudahan pertolongan Allah sentiasa bersama-samanya.

Walaupun semua orang tahu Tok Guru terlalu letih berkempen sana-sini di musim pilihan raya ini, kira-kira jam 5.25 pagi akhirnya beliau sampai. Bergema seruan takbir. Jam 5.30 pagi solat hajat pun dimulakan. Solat diimamkan oleh Ustaz Muhammad Mustafa, calon PAS bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demit.

Suasana hening dan hampir sepi ketika solat hajat itu. Setiap kali sujud, begitu lama.

Inilah PAS!

Ketika itu saya berjumpa dengan anak Tok Guru, Ustaz Nik Abduh yang baru sampai. “Iran tak sembahyang hajat ka?” dia bergurau dengan saya.

“Iran sembahyang. Tapi saya tak yakin seluar saya bersih nak sembahyang,” kata saya kepadanya. Walaupun banyak pihak yang mahu Ketua Lujnah Tarbiyyah Dewan Pemuda PAS Pusat itu bertanding dalam pilihan raya kali ini, tetapi dia tidak bertanding sebab ayah dia kata, “dia muda lagi”.

Namun begitu, Nik Abduh tak pernah absent dalam perjuangan. Tidak bertanding tidak bermakna cabut lari dan tidak buat kerja. Saya juga melihat kehadiran bekas-bekas Ketua Pemuda PAS Kelantan yang pernah menjadi wakil rakyat tetapi tidak dicalonkan kali ini. Saya bangga seorang diri di dalam hati, “inilah orang PAS”.

Saya balik ke tempat saya tidur di belakang Hospital Pakar Perdana berdekatan stadium itu. Nasib baik dekat dengan stadium. Kalau tidak, lintang-pukang juga nak bertempur dengan masa. Lepas Subuh, saya ke stadium semula. Nak dengar tazkirah dan amanat Tok Guru.

Ketika saya masuk semula ke dalam stadium, saya lihat Tok Guru sedang menyampaikan tazkirah. Mengapa tazkirah? Mana taklimat politik atau motivasi berapi-api?

Saya teringat Imam Khomeini yang dikasihi. Beliau lebih banyak menekankan penyucian jiwa dan pengukuhan ruhani kepada pengikut-pengikutnya. Pengikut-pengikut yang diasuh serta dibentuk jiwa dan hati mereka itulah yang mencetuskan Revolusi Islam.

Selepas tazkirah itulah beliau mengajak para jemaah bermunajat. Walaupun agak panjang masa yang beliau manfaatkan untuk merintih dan merayu kepada Allah Yang Maha Berkuasa, semuanya bersemangat mengaminkan doa dan harapan Tok Guru.

Meresap ke hati

Apabila suara Tok Guru bergetar sayu dan jelas kedengaran begitu bersusah payah cuba menumpaskan sebak dan tangis untuk terus berdoa dengan jelas, kerlipan lampu-lampu kamera tak henti-henti melimpahi tubuh kecil Tok Guru. Sesekali saya dapat melihat pantulan manik-manik air mata dan raut wajah Tok Guru yang bersungguh-sungguh merayu pertolongan dan belas kasihan Allah. Suara yang datang dari hati terus meresap ke dalam hati. Tak tersekat sedikit pun.

Bukan sahaja ketika memberikan tazkirah, ketika menyampaikan amanat selepas itu pun, Tok Guru masih masih memberi peringatan tentang mati, tentang syafaat Nabi s.’a.w., kejayaan yang memestikan nafsu dan jiwa dibersihkan, taubat dan tugas kerajaan Islam.

Sehingga majlis berakhir kira-kira 8.20 pagi, yang lebih banyak diucapkan oleh Tok Guru ialah soal penyucian jiwa (tazkiyyatun-nafs).

Entah kenapa, ketika itu saya teringat kata-kata seorang sahabat dari Iran, “Sebenarnya kejayaan Revolusi Islam ini (disebabkan) tak sampai lima peratus usaha kami dan lebih 95 peratus lagi pertolongan Allah”. Masya Allah, mati sehingga beribu-ribu orang diganasi tentera dan polis Shah, “tak sampai lima peratus usaha kami”.

Saya benar-benar teringin hendak merasai pertolongan yang sama. Aduhai Allah, saya jahat. Tetapi untuk kesekian kalinya, tolonglah berbelas-kasihan kepada saya, sudilah “memberi muka” kepada saya dan maqbulkan harapan saya: Limpahkanlah pertolongan-Mu sebanyak-banyaknya, walaupun mungkin tak sampai satu peratus usaha kami.

Aduhai Allah, keringat telah diperah, rayuan dan rintihan telah dipersembah, air mata Tok Guru masih tumpah, adakah kami menang atau kalah?

�Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; �Kami telah beriman,� sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang- orang yang dusta.� (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: