kenapa PAS tolak mentah2 ISLAM HADHARI!

kenapa PAS tolak mentah2 ISLAM HADHARI!

SEDIA dimaklumi Umno merupakan sebuah parti sekular dan hanya menerima Islam secara serpihan. Sekular bererti kebendaan, keduniaan dan anti agama. Fahaman itu mengasingkan Islam daripada kehidupan.

Sedangkan Islam menyatupadukan di antara kebendaan dengan kerohanian, keduniaan dengan akhirat dan menjadikan agama sebagai prinsip hidup serta dasar pemerintahan.

Pendokong sekular menganggap Islam hanya terbatas setakat ibadat khusus seperti sembahyang, puasa, zakat, haji dan juga urusan nikah kahwin dan pembahagian pusaka.

Mereka tidak pernah menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan mahu pun dasar pemerintahan, politik, ekonomi, kebudayaan, perundangan dan pendidikan.

Bagi mereka Islam hanya semata-mata sebagai alat untuk memenangi pilihan raya. Dulu mereka menggunakan slogan Bersih, Cekap dan Amanah. Kemudian timbul pula konsep Penerapan Nilai-nilai Islam dan Islamisasi.

Islam Hadhari tidak lebih sebagai satu istilah baru yang sukar difahami rakyat bawahan. Ia bukan bertujuan mengubah dasar parti mahu pun hala tuju negara.

Biar pun ada Islam Hadhari Umno tetap sebagai parti sekular dan bergerak menyinsihkan Islam secara halus dan senyap.

Contohnya beberapa tahun lalu Umno berusaha untuk membuang nama Islam yang digunakan PAS. Ini menggambarkan mereka tidak pernah mengiktiraf Islam biar pun kini diberi dengan wajah baru Islam Hadhari.

Ini menjelaskan lagi dasar Umno bukan Islam yang syumul (menyeluruh). Umno umpama mahu kayu bengkok, nampak bayangnya menjadi lurus.

Bagi melihat silap atau sesatnya Islam Hadhari diperturunkan beberapa hujah seperti di bawah:

a) Islam bersifat lengkap dan menyeluruh mencakupi akidah, syariah dan akhlak dalam semua bidang termasuk pendidikan, politik, ekonomi, sosial, kebudayaan, kesenian, perundangan, ketamadunan (hadharah) dan keselamatan.

Istilah Islam itu sendiri sudah mencakupi semua ajaran yang lengkap dan menyeluruh. Gambarannya menyamai istilah ‘pokok’ yang mencakupi ribuan jenis pokok ciptaan Allah di bumi ini. Dan apabila kita menyebut ‘pokok rambutan’ bererti kita telah mengubah maksud “pokok” yang sangat luas itu menjadi terlalu sempit dan terbatas hanya kepada pokok rambutan sahaja, tidak termasuk ribuan jenis pokok lain.

Begitu juga ‘Islam Hadhari’, bererti Umno telah menyempitkan konsep Islam yang lengkap dan sempurna itu menjadi terbatas dalam aspek ketamadunan sahaja, tidak termasuk akidah, akhlak, hukum dan sistem hidup Islam yang lengkap dan sempurna.

b) Islam adalah satu istilah khusus yang bersifat rabbani yang telah digazet oleh Allah SWT sendiri di dalam al-Quran. Justeru, ia tidak boleh diubah atau ditambah-tambah. Ini berbeza dengan penggunaan istilah ‘masyarakat madani’, di mana istilah masyarakat bukanlah sesuatu yang kudus sebagaimana istilah Islam.

Tetapi Islam hanya satu sahaja, tidak ada Islam Hadhari (Islam Bertamadun), Islam Badawi (Islam Mundur), Islam Liberal, Islam Plural dan sebagainya.

c) Istilah Islam hanya ada satu nama sahaja. Manakala masyarakat pula ada banyak jenis dan berbilang nama seperti masyarakat Arab, Melayu, Cina dan India. Sifat masyarakat itu sendiri tidak sempurna sebagaimana sempurnanya Islam sebagai ad-Din.

Justeru, sifat madani yang dinisbahkan kepada istilah masyarakat itu berfungsi untuk menambahkan nilai positif kepada masyarakat berkenaan dan bertujuan untuk membezakannya daripada masyarakat lain yang masih mundur atau belum bersifat madani.

d)Penggunaan istilah Islam Hadhari membawa implikasi dengan menganggap Islam itu ada banyak jenis seperti ada Islam Hadhari, ada Islam Liberal dan Islam Plural. Istilah Islam Hadhari juga boleh digunakan untuk membandingkanya dengan beberapa jenis Islam yang lain. Istilah Masjid Muhammadi contohnya bertujuan untuk membezakannya dengan masjid-masjid yang lain.

Padahal Islam itu sendiri hanya ada satu sahaja dan tidak ada lagi Islam yang kedua, ketiga dan sebagainya. Islam adalah agama tauhid yang menuntut manusia memberikan kepatuhan yang mutlak kepada Allah dan Rasul (al-Quran dan as-Sunnah). Islam telah lengkap dan sempurna.

Kalau Islam ditaja Perdana Menteri bernama Islam Hadhari, maka Islam yang diperjuangkan Nabi Muhammad s.a.w pula bernama Islam apa?

e) Penggunaan istilah Islam Hadhari secara langsung menunjukkan Umno menganggap bahawa Islam yang diperjuangkan Rasulullah s.a.w sebagai Islam yang mundur, kuno dan tidak bertamadun atau dalam bahasa Arabnya disebut Islam Badawi.

f) Penggunaan istilah Islam Hadhari adalah berpunca daripada fahaman sekular yang menolak Islam sebagai ad-Din (sistem hidup yang lengkap). Ajaran Islam yang syumul didapati tidak sesuai dengan hawa nafsu dan fahaman kebendaan.

g) Penggunaan istilah Islam Hadhari itu sendiri adalah satu manifestasi yang membuktikan wujudnya tindakan dan budaya suka melakukan pengubahan dan penyelewengan fakta pada sesetengah ajaran dan hukum Islam.

Istilah rasuah ditukar kepada politik wang yang dianggap tidak berdosa dan tidak bercanggah dengan undang-undang sehingga tidak berhak disiasat BPR.

Atas alasan ini jugalah Umno sanggup melakukan penipuan dalam pilihan raya dan menolak Islam yang berteraskan kebenaran, keadilan dan kebajikan sebagai dasar pemerintahan negara.

h) Penggunaan istilah Islam Hadhari itu sendiri adalah terbalik dan membawa maksud yang sangat negatif. Istilah yang betulnya ialah dengan meletakkan Islam di belakang seperti orang Islam, masyarakat Islam, negara Islam, undang-undang Islam atau Hadharah Islamiyyah.

Bukannya dengan meletakkan Islam di hadapan menjadi nama Islam Hadhari, Islam orang, Islam sejarah dan sebagainya. Bandingannya samalah seperti kita mengatakan rumah along, kereta along dan beruk along, bukannya along beruk, along kereta atau along rumah kerana itu adalah suatu panggilan penghinaan berbentuk caci maki.

i) Tujuan penggunaan istilah Islam Hadhari kerana Umno mahu membebaskan parti mereka daripada petunjuk al-Quran dan Sunnah. Islam hanya dijadikan sebagai alat untuk memperolehi sokongan bangsa Melayu dalam pilihan raya, bukannya sebagai prinsip hidup, dasar parti dan matlamat perjuangan.

j) Tujuan Islam Hadhari untuk melemahkan sokongan rakyat kepada PAS yang berjuang untuk mendaulatkan Islam yang syumul (menyeluruh) di bumi tercinta ini. Islam Hadhari adalah Islam baru yang tidak lagi terikat dengan al-Quran dan as-Sunnah. Ia secara automatik menolak Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Kesimpulannya, tujuan dan pendekatan Islam Hadhari diperkenalkan adalah sangat menyeleweng sejak dari awal lagi. Ia dipertikaikan para ulama dan cendikiawan Islam. Bekas Ketua Dewan Ulama’ PAS, Dato’ Harun Taib menegaskan bahawa Islam Hadhari adalah satu agama baru.

Syeikh al-Azhar, Mesir juga tidak bersetuju dengan penggunaan istilah Islam Hadhari. Beliau mencadangkan supaya diubah dengan nama “al-Manhajul Hadhari lil Islam” yang bermaksud “Manhaj Hadhari bagi Islam” yang secara jelas tidak menyokong penggunaan istilah Islam Hadhari. Tapi malangnya pimpinan Umno menterjemahkannya dengan maksud “Manhaj Islam Hadhari”.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat mempersoalkan kalau ada Islam Hadhari, maka ada pula Iman Hadhari? Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga menolak Islam Hadhari dalam bukunya ‘Hadharah Islamiyyah bukannya Islam Hadhari’.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: