Kemenangan PAS antara lain berkat doa dan munajat

Kemenangan PAS antara lain berkat doa dan munajat

 

 

KUALA LUMPUR, 21 Mac  Kemenangan besar pembangkang dalam pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini antara lain adalah berkat doa yang tidak putus-putus oleh rakyat khususnya golongan yang tertindas hasil pembangunan yang tidak seimbang oleh kerajaan Umno-BN.

Namun, Ketua Penerangan PAS Kelantan, ustaz Baihaqi Atiqullah kesal dengan kenyataan sesetengah pihak pimpinan Umno Kelantan yang membuat kenyataan meragui usaha rakyat Kelantan menganjurkan majlis solat hajat dan munajat secara berterusan bagi mempertahankan kerajaan yang dipimpin PAS sejak 18 tahun lalu.

“Saya kesal dan hairan apabila ada pimpinan Umno yang bercakap besar dengan menyatakan, ‘nak tengok mana yang lebih berkesan antara doa atau duit’ dalam pilihan raya lepas,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Jelasnya, sejak dahulu lagi pihak Umno Kelantan cuba merendah-rendahkan PAS yang gigih melaksanakan solat hajat dengan doa tanpa mengenal erti putus harapan kepada Allah.

“Bukankah doa itu senjata orang Mukmin? Sebab itulah, setelah kita berusaha dengan gerak kerja dan strategi yang bersepadu di semua peringkat ia hendaklah dilengkapi dengan munajat serta doa yang bersungguh-sungguh kepada Allah sebagai senjata kita menghadapi segala masalah bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Islam,” ujarnya.

Mengulas dakwaan sesetengah pihak mengenai doa oleh pihak PAS yang memberi kesan kepada situasi politik negara sekarang ini, Baihaqi menyatakan kesemuanya itu adalah ketentuan Allah yang harus diterima oleh semua pihak.

“Jika kemenangan ini yang dimaksudkan sebagai kesan doa rakyat Kelantan, maka ia adalah suatu pertolongan Allah yang tidak pernah difikikan,” katanya lagi.

Malah, beliau tidak menduga senario politik dalam Umno-BN sekarang ini menjadi tidak menentu selepas berakhirnya pilihan raya umum ke-12 lalu,

“Ia adalah akibat kelemahan Umno-BN sendiri, dan mereka tidak boleh menuduh orang lain sebagai punca kekalahan mereka, apatah lagi dengan menuduh ia adalah kesan doa kita,” ujarnya.

Sementara itu, Baihaqi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Tumboh turut berpesan kepada pihak media arus perdana agar tidak mencabuli etika kewartawanan dan pemberitaan.

“Mereka sepatutnya insaf kerana antara sebab utama kekalahan Umno-BN adalah sikap keterlaluan pihak media yang mengundang rasa meluat dan tidak senang rakyat terhadap mereka,” tegasnya.

Ujarnya, meskipun umum mengetahui media arus perdana adalah mewakili suara kerajaan, ia tidak sepatutnya melaksanakan peranan tersebut dengan mengetepikan aspek kesahihan fakta serta keseimbangan dalam melaporkan sesuatu.

“Kita tahu media kerajaan berpihak kepada parti tertentu, tetapi janganlah bertindak melampau sehingga memberikan fakta yang silap dan begitu ghairah menujukan serangan kepada pembangkang sehingga menyebabkan rakyat pun sudah naik meluat dengan laporan yang disediakan,” katanya.

Tegasnya, media hendaklah melaporkan apa yang berlaku sebagai sumber maklumat kepada rakyat dan bukannya untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.

“Masanya kini telah tiba untuk melakukan perubahan dan media wajar kembali kepada etika penyiaran dengan menyajikan berita yang sebenar dan adil.

“Begitu juga akhbar akhbar arus perdana wajar sekali kembali kepada trend kebenaran dan keadilan penyiaran berita ini sesuai dengan angin perubahan yang sedang melanda,” demikian ujarnya.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: