TOPIC 1 : TUBUH TIDAK SIMPATI PADA DIRI SENDIRI

TOPIC 1 : TUBUH TIDAK SIMPATI PADA DIRI SENDIRI

ADALAH lumrah sekiranya berlaku persengketaan atau perbalahan antara dua individu atau dua kumpulan individu kerana manusia tidak selamanya bersependapat atau sealiran fikiran. Akan tetapi agak sukar difahami sekiranya manusia terpaksa berkrisis atau bersengketa dengan dirinya sendiri. Tidak mungkin sesuatu perbuatan dilakukan oleh seseorang tanpa persetujuan perasaan dan fikirannya. Jika sesuatu tindakan telah dipersetujui, tidak mungkin jasad akan dipersalahkan kerana melakukannya. Oleh itu, perbalahan dengan diri sendiri tentunya tidak akan terjadi.

Walau bagaimanapun, Allah SWT akan membuktikan bahawa saat manusia terpaksa berbalah dengan diri sendiri pasti tiba. Setiap anggota tubuh manusia akan saling mendedahkan rahsia diri yang selama ini tidak pernah didedahkan atau diketahui oleh sesiapa pun.

Firman Allah SWT :

“Pada hari ini ( Hari Kiamat ), Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan kaki mereka memberi kesaksian terhadap apa yang dilakukan oleh mereka dahulu.”

( Yaasiin : 65 )

Ayat tersebut menunjukkan bahawa pada Hari Kiamat kelak, tangan dan kaki tidak akan bersekongkol dengan mulut untuk mempertahankan sesuatu, sebaliknya akan mendedahkan segala amal yang telah dilakukan, sama ada baik atau pun buruk.

Firman-Nya lagi :

“Pada hari ( ketika ) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa-apa yang dikerjakan oleh mereka dahulu.”

( An-Nur : 24 )

Ayat ini juga menjelaskan bahawa anggota lidah, tangan dan kaki akan menjadi saksi terhadap apa-apa yang dilakukan oleh mereka dahulu. Lidah adalah anggota yang dianggap lebih tajam daripada pedang kerana ia boleh menuturkan kata-kata keji dan fitnah, merumpat, berdusta dan sebagainya.

Semua anggota tersebut akan berperanan sebagai saksi kepada diri sendiri. Sesungguhnya saksi amat penting dalam sesuatu perbicaraan. Kesahihan saksi akan mensabitkan sesuatu pertuduhan.

Firman Allah Taala lagi :

Dan mereka berkata kepada kulit mereka : “Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?” Kulit mereka menjawab :”Allah yang menjadikan sesuatu pandai berkata telah menjadikan kami pandai berkata, dan Dialah yang menciptakan kamu pada kali pertama dan hanya kepada-Nyalah kamu dikembalikan.”

( Fussilat : 21 )

Ayat ini menambahkan dalil yang menunjukkan bahawa satu lagi anggota tubuh yang akan menjadi saksi ialah kulit dan manusia akan berasa hairan mengapa ia pula menjadi saksi? Akan tetapi kulit bakal menjelaskan bahawa Allah SWT yang menjadikannya boleh bertutur sebagaimana Dia mencipta mulut yang boleh bertutur.

Kulit akan menjadi saksi kerana ia juga berperanan dalam kehidupan manusia. Kulit mempunyai deria sentuhan. Di Akhirat kelak, kulit dijadikan makhluk yang boleh bertutur bagi menjadi saksi terhadap apa-apa jua kegiatan yang melibatkannya. Sekiranya kegiatan itu negetif, pasti kulit akan memecahkan tembelang yang menyebabkan diri manusia tergugat.

Abu Bakar bin Abi Syaibah meriwayatkan sebuah hadis daripada Muawiah bin Haidar al-Kurasi, katanya, Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud : “Manusia akan datang ke Akhirat dengan mulutnya terpasang alat pengekang ( tidak boleh bercakap ). Anggota tubuh yang mula-mula bercakap di Akhirat ialah peha dan tapak tangan.”

Lazimnya mulut yang dipasang dengan alat pengekang ialah mulut binatang ganas seperti anjing, yang dengan itu ia tidak boleh mengigit orang. Apabila mulut manusia pula dipasang dengan alat yang sama, tujuannya juga serupa, iaitu menghalang mulut daripada berkata-kata, berdalih atau berbohong.

Dalam ayat Al-Kurasi itu, Rasulullah SAW memberitahu bahawa dua anggota yang akan berkata-kata pada Hari Akhirat ialah peha dan tapak tangan. Ia akan bercakap bersama-sama anggota lain seperti dijelaskan oleh tiga ayat Al-Quran di atas. Semua anggota akan bercakap menjelaskan dan menjadi saksi terhadap amal yang dilakukan oleh mereka, sama ada amal baik atau amal buruk.

Berhubung dengan anggota yang akan bertutur pada Hari Akhirat, Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Anas bin Malik RA katanya :”Pada suatu hari, kami duduk bersama Rasulullah SAW dalam keadaan gembira. Kemudian Rasulullah bertanya kepada kami :”Tahukah kamu mengapa aku suka dan kamupun demikian juga?” Jawab kami: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.”

Lalu Nabi SAW memberitahu: “Aku suka kerana satu dialog lucu antara Allah Taala dengan Hamba-Nya. Hamba itu berkata kepada Tuhan: “Wahai Tuhan, tidakkah Tuhan berkuasa melindungi aku daripada kezaliman?” Jawab Tuhan: “Sesungguhnya Aku tidak melakukan kezaliman terhadap hamba-Ku.”

Berkata lagi hamba tersebut: “Kalau begitu datangkanlah kepadaku saksi yang tidak akan menzalimi diriku.” Allah Taala berfirman ( seperti yang termaktub dalam Surah al-Isra ayat 14 yang bermaksud ): “Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu itu sebagai penghitung terhadapmu.”

Allah Taala menyatakan kepada hamba-Nya, bahawa mereka tidak perlu bimbang terhadap keadilan Allah SWT pada Hari Akhirat kerana saksi yang akan didatangkan untuk mengadili hamba tersebut adalah dirinya sendiri, iaitu anggota tubuh mereka.

Manusia gembira dengan tawaran Allah SWT untuk menjadikan anggota tubuhnya sendiri sebagai saksi kerana berasa akan mendapat faedah daripada tawaran itu. Memang manusia tidak akan bersetuju jika orang lain menjadi saksi pada hari yang penting itu lantaran mereka bimbang jika saksi itu tidak jujur dan mengkhianatinya.

Akan tetapi, tanggapan hamba itu meleset sama sekali kerana anggota tubuh akan berkata dan menghitung segala amal dengan jujur, seperti yang dikehendaki oleh Allah Taala. Tangan berkata dengan jujur, jika ia melakukan perkara mungkar maka diakuinya kemungkaran itu. Begitu juga sebaliknya, jika tangan melakukan kerja kebajikan, disebutnya kebajikan itu dengan sebenar-benarnya. Demikian jugalah dengan anggota yang lain. Masing-masing bercakap berdasarkan apa-apa yang telah dilakukannya.

Anggota tubuh tidak akan khianat terhadap diri sendiri. Kejujuran anggota tubuh itu hanya memberi keuntungan kepada orang yang menjadi ahli kebajikan dan beramal soleh kerana anggota yang terbabit akan bercakap benar atas kebajikan yang telah dilakukan. Segala kebajikan atau amal soleh itu telahpun dicatat oleh malaikat yang bertugas.

Sebaliknya, ahli kejahatan bukan sahaja tidak mendapat manfaat daripada anggota tubuhnya sendiri, malah kejujuran anggota tubuh itu akan membawa padah yang buruk kerana ia akan berkata perkara yang sebenarnya berlaku. Tidak timbul soal simpati atau khianat terhadap diri. Apa yang nyata, anggota akan bercakap benar walaupun terpaksa membongkar keburukan dan tembelang sendiri di hadapan Allah SWT.

Pada mulanya manusia bergembira apabila Allah SWT menjadikan anggota tubuh sendiri sebagai saksi, tetapi mereka akhirnya akan berdukacita apabila jangkaan itu meleset. Demikianlah manusia bakal terperangkap dengan mengharapkan simpati daripada anggota tubuhnya sendiri. Sayangnya apa yang berlaku tidak sebagaimana yang diharapkan.

Orang yang berasa malang terhadap pengakuan anggota tubuhnya sendiri hanyalah ahli maksiat yang banyak berdosa. Justeru mereka menyumpah serta mengherdik tubuh mereka sendiri dengan katanya: “Pergi jahanam wahai anggota yang tidak mengenang budi. Aku berkerja keras memerah keringat untuk mendapatkan rezeki untuk memelihara anggota tubuh supaya menjadi segar, sihat dan tidak dihinggapi sebarang penyakit. Inikah balasanmu setelah segala kebaikan kulakukan untuk menjagamu?”.

Sesungguhnya tiada yang boleh dimarahi kecuali dirinya sendiri.

3 Responses

  1. […] Firman Allah Taala yang bermaksud: Pada waktu itu, Kami mengunci mulut mereka dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan. (Surah Yaasin: ayat 65) : Keterangan […]

  2. Sungguh menarik..
    disalin artikel ini.

    mohon kebenaran.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: