Pindaan Auku dikehendaki lebih menyeluruh, dipersetujui ramai pihak

Pindaan Auku dikehendaki lebih menyeluruh, dipersetujui ramai pihak

Pindaan Auku 1972 yang lebih kepada penglibatan pelajar universiti dalam aktiviti kemasyarakatan, bukannya politik, dilihat sebagai strategik licik Kementerian Pengajian Tinggi dalam memenuhi gesaan pelajar yang mahukan akta itu dimansuhkan.

Bekas Presiden Persatuan Mahasiswa UKM, Abdullah Abdul Karim ketika memberi respons berhubung pindaan itu berkata, pindaan itu sebenarnya masih tidak memberi kebebasan kepada mahasiswa yang lebih menjurus kepada persatuan yang ada hubungan dengan kerajaan.

Semalam Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Idris Harun dilaporkan berkata, seseorang mahasiswa tidak semestinya hanya tertumpu kepada bidang yang dipelajarinya sebaliknya boleh melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan seperti Belia 4B.

Mengulas perkara ini, Abdullah membidas pertubuhan Belia 4B yang sedia maklum lebih cenderung kepada kerajaan dan ini secara tidak langsung mereka akan terlibat dengan politik kerajaan.

“Amat tidak adil kerajaan bertindak demikian, dalam masa sama ada niat tersembunyi kerajaan di sebalik pindaan tersebut,” katanya ketika menghubungi Harakahdaily hari ini.

Mengulas kebenaran pelajar terlibat dalam Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Abdullah mencabar kerajaan supaya tidak menyekat pelajar untuk terlibat dengan mana-mana pertubuhan NGO selain Belia 4B seperti Teras, Jemaah Islah Malaysia (JIM), Suaram, Gerak, Jerit, dan sebagainya.

“Jika pelajar boleh terlibat dalam NGO, saya minta mereka juga tidak dihadkan untuk NGO tertentu sahaja biarlah ia menyeluruh,” tegas beliau.

Berhubung senario mahasiswa terlibat dengan politik katanya, perkara itu tidak dapat dielakkan dan sememangnya pelajar akan tetap dipergunakan oleh mana-mana parti politik termasuk kerajaan sendiri seperti Putri Umno dan Putra Umno.

Justeru katanya, kementerian sepatutnya memperbetulkan prosedur tatatertib univsersiti terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan membuat pindaan akta.

“Bahkan kementerian juga patutnya mengambil kira pandangan semua pihak termasuk pelajar, NGO dan parti politik sebelum meminda akta berkenaan,” katanya.

Universiti Antarabangsa (UIA) mula bertindak ke atas aktivis Parti Mahasiswa

Universiti Antarabangsa (UIA) mula bertindak ke atas aktivis Parti Mahasiswa

meorisfandi 040408 uiam student

Pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) didakwa tidak profesional dalam mengendalikan kes seorang mahasiswanya, Meor Isfandi Meor Azizan yang tamat pengajian yang kini menghadapi pertuduhan terlibat dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Kesan daripada pertuduhan tersebut, Meor ditahan dari menerima pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional yang terakhir di samping melarang beliau mengambil transkrip keputusan penuh peperiksaannya.

Dalam suratnya kepada Harakahdaily, Meor mendakwa tindakan UIAM menggantung dan menafikan haknya sebagai tidak profesional kerana beliau belum dibuktikan bersalah melakukan kesalahan-kesalahan sepertimana pertuduhan.

Beliau juga mendakwa pihak universiti hanya menghubunginya menerusi telefon dan menggunakan email sahaja bagi tujuan memaklumkan kepadanya untuk hadir ke prosiding yang telah ditetapkan pada 8 April.

Bagaimanapun, setakat berita ini ditulis, Meor dimaklumkan pula bahawa prosiding tersebut sekali lagi ditangguhkan tanpa sebarang alasan diberikan.

Selain itu, beliau turut mempertikaikan tindakan UIAM yang dikenakan ke atasnya setelah beliau menyempurnakan pengajian pada November tahun lalu.

“Adakah saya masih berstatus pelajar kerana saya tidak mengikuti apa-apa subjek di universiti, tidak membayar yuran pengajian dan penginapan?

“Adakah saya dikira bersalah jika saya mencari apa-apa kerja yang lain dan terlibat dalam mana-mana parti politik, NGO dan sebagainya selepas saya menamatkan pengajian saya?” katanya ketika dihubungi Harakah.

Jelasnya, pihak UIAM turut menuduh penglibatannya dalam menubuhkan sebuah parti politik mahasiswa, Parti Mahasiswa Negara (PMN) yang tidak mendapat kelulusan daripada pihak universiti.

Pihak UIAM telah menghantar surat pertuduhan kepadanya dan mendakwa penglibatannya dalam pilihan raya umum lalu yang jelas melanggar peraturan universiti.

“Disebabkan itu, pihak UIAM telah menahan saya dari menerima PTPTN yang terakhir dan melarang saya untuk mengambil transkrip penuh dari universiti,” ujarnya.

Oleh sebab itu, beliau mengalami kesukaran untuk memohon mana-mana kerja kerana gagal mengemukakan transkrip keputusan penuh pengajian dan mungkin juga beliau akan ditahan dari menerima ijazah sewaktu konvokesyen nanti disebabkan kelewatan menjelaskan yuran terakhir dan melakukan penjelasan-penjelasan teknikal lain yang perlu dilaksanakan oleh seorang graduan.

Pensyarah UM ingatkan BN jangan sekat blog dan bloggers

Pensyarah UM ingatkan BN jangan sekat blog dan bloggers

WALAUPUN saya antara pelajar yang kurang senang dengan Dr Abu Hassan Hasbullah waktu itu, tetapi saya tidak dapat membungkus rasa kagum penyampaiannya serta keletah bicaranya di mana-mana.

Sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Media, Abu Hassan yang sebaya saya, adalah seorang yang tegas dan “celupar” bila berdepan dengan pelajarnya termasuklah saya.

Itu adalah sikapnya. Dia berani dan berketrampilan. Dia tenaga pengajar kami untuk subjek Retorik, salah satu pendedahan dalam Pengajian Media, di Universiti Malaya hingga kini.

Dua hari lalu, Abu Hassan mengingatkan kerajaan agar tidak mengenakan sekatan ke atas blog tetapi perlu bersikap terbuka terhadap laman tersebut. Saya betul-betul memuji ketelusannya, mengingatkan kerajaan dalam perkara ini.

Ini kerana jarang kakitangan kerajaan di IPTA bersikap profesional dalam isu-isu berkaitan politik pemerintah. Abu Hassan antara mereka yang dilihat berani.

Bukan sahaja lantang mengkritik pada Rancangan RTM “Fenomena Seni” terbitan Norsham Noor tetapi terbukti berani bertindak demikian di luar kepompong itu.

Hujah Abu Hassan, satu gelombang besar politik mungkin akan berlaku sekiranya sekatan dikenakan ke atas laman-laman blog yang wujud pada masa ini.

Maknanya, BN akan terus menerima padah jika laman-laman blog ini disekat dengan apa-apa cara dan peraturan.

“Kemunculan blog ini merupakan satu perubahan budaya baru dalam bidang media yang berlaku di seluruh dunia yang tidak dapat dielak.

“Sekiranya ia disekat, maka akan menimbulkan ketidakpuasan dan mungkin akan membawa kesan yang dahsyat kepada para pemimpin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Abu Hassan mengingatkan perkara ini ketika mengulas mengenai satu kajian yang menunjukkan terdapat hampir 500,000 blog yang aktif dalam negara.

Saya percaya, Abu Hassan sekalipun datang dari Kelantan, dia bukanlah ahli PAS tetapi dia bercakap dengan ilmunya sebagai tenaga pengajar profesional di sebuah IPTA di negara ini.

Kepercayaan Abu Hassan ialah kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya baru-baru ini dianggap sebahagian besarnya disebabkan pendapat beberapa pemimpin yang berhasrat untuk menyekat laman-laman blog itu.

“Kita harus bersikap terbuka dan biarkan masyarakat yang menilaikannya. Tindakan mengenakan kawalan ke atasnya hanya akan membawa kepada keburukan yang tidak diingini.

“Sekiranya pengendali blog terbabit hanya memaparkan sesuatu yang tidak betul atau sesuatu yang berunsur fitnah, maka mereka lambat-laun akan tenggelam kerana tidak dapat meraih kepercayaan daripada orang ramai,” ujarnya.

Pada pandangan saya, penegasan Abu hassan agar penulis blog mesti dididik dengan etika yang sangat tinggi dalam menulis atau mengendalikan laman blog masing-masing, patut dihormati.

Memang benar, blog bukan satu saluran yang boleh digunakan sewenang-wenangnya demi sesuatu tujuan.

Tetapi pada masa ini, saya melihat, masih banyak blog yang menyiarkan pendapat atau tulisan caca merba, tiada nama penulis atau menggunakan pelbagai nama pena yang mencurigakan hingga sukar disahkan kebenaran sesuatu maklumat yang diterbitkan.

“Tiada kebaikan kepada mereka sekiranya memaparkan sesuatu dengan tujuan menjatuhkan mana-mana pihak. Mereka juga akan terima padah akhirnya akibat perbuatan mereka itu,” jelasnya.

p/s : kan bagus ramai ahli2 intelek berfikiran begini..tidak hanya mengikut telunjuk si “anu” tu..si “anu” ni…kalau berterusan mcm ni..ape guna pensyarah2 ada PHD,Master..tetapi tidak boleh berfikir secara rasional..harap para2 cendekiawan dapat membantu Negara kearah lebih adil dan betul2 demokrasi…

Universiti Antarabangsa tetapi Pakai Undang-undang Orang Utan

Universiti Antarabangsa tetapi Pakai Undang-undang Orang Utan

a

Berbanggakah anda melihat negara kita Malaysia mempunyai universiti yang diiktiraf di peringkat antarabangsa tetapi menggunakan undang-undang orang Utan?

Inilah yang akan terjadi apabila orang yang diberi kuasa tidak tahu menilai antara intan dan permata. Yang mereka tahu adalah untuk mengikut kehendak nafsu jahat pemimpin. Ikuti kisah pelajar ini. P’raya 8 Mac: Siswa UIA kena tindakan

Seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dikenakan tindakan tatatertib kerana terlibat dalam pilihanraya umum lalu.

Meor Isfandi Meor Azizan, pelajar tahun akhir jurusan pengajian Islam dan sains politik, dipanggil menghadap jawatankuasa disiplin universiti itu pada Selasa depan.

Menurut surat universiti, katanya kepada Malaysiakini, UIA telah menggantung pengajiannya dan menahan beliau menerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

UIA juga meelarangnya mengambil keputusan penuh.

meorisfandi 040408 uiam student

“Oleh sebab itu, saya telah tergendala untuk memohon mana-mana kerja kerana saya gagal menunjukkan transkrip penuh dan mungkin juga saya ditahan daripada menerima ijazah sewaktu konvokesyen nanti disebabkan kelewatan menjelaskan yuran terakhir dan melakukan penjelasan-penjelasan teknikal lain yang diwajibkan ke atas seorang graduan,” kata Meor Isfandi.

Beliau bagaimanapun mendakwa telah tamat pengajian penghujung tahun lepas apabila berakhir peperiksaan pada November lepas.

“Adakah saya masih digelar pelajar sedangkan saya tidak mengikuti apa-apa subjek di universiti, tidak membayar yuran pengajian dan penginapan?

“Adakah saya dikira bersalah jika saya mencari apa-apa kerja yang lain dan terlibat dalam mana-mana parti politik, NGO (badan bukan kerajaan) dan sebagainya selepas saya sempurnakan pengajian saya?” katanya.

Selepas tamat peperiksaan, katanya, beliau mula mengurus kehidupannya sebagai seorang pemuda yang telah tamat pengajian.

“Saya menjalani hidup biasa, mencari kerja dan mencari tawaran-tawaran di universiti-universiti lain untuk menyambung pelajaran saya di peringkat sarjana,” kata Meor Isfandi dalam mesej emel.

“Saya juga terlibat dalam pilihanraya umum lalu kerana ia menjadi tanggungjawab sosial dan hak saya sebagai warganegara Malaysia.”

UIA mempunyai pandangan berbeza – Meor Isfandi masih seorang pelajar sehinggalah tamat pengajian dan tertakluk kepada peraturan universiti, kata penolong pengarah unit perundangannya, Mohamad bin Mos, kepada Malaysiakini.

Meor Isfandi juga berkata UIA “tidak profesional” mengendalikan kesnya – mengenakan tindakan sebelum beliau mengemukakan buktinya.

Prosiding terhadapnya ditetapkan pada 8 April ini.

Beliau mendakwa, UIA hanya mengirim mesej emel dan menelefon beliau memaklumkan tentang prosing – tetapi Mohamad menafikannya.

Pegawai itu berkata universiti menggunakan beberapa kaedah untuk memaklumkan kepada pelajar, termasuk surat selain emel dan telefon.

sumber : Malaysiakini.

Apa pandangan Saudara/Saudari…Adakah mereka ingin “menakut-nakutkan Mahasiswa” supaya tidak menyokong pembangkang??? Seperti mana mereka menakut-nakutkan “pekerja dr Kerajaan” dengan mengugut akan diberhentikan atau di tukar kerja jika menyokong pembangkang?!!…ini lah demokrasi ala-ala Malaysia..

Mahasiswa UKM kecewa TNC halang MB Kedah ke majlis makan malam

Mahasiswa UKM kecewa TNC halang MB Kedah ke majlis makan malam

Khamis 3 April 2008 | 26 Rabi’ul Awal 1429 Hijrah

 

Hasrat mahasiswa Kedah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak kesampaian apabila pertemuan mereka bersama Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak dalam satu majlis Makan Malam Darul Aman 2008 (MDA�08) dihalang Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM, Prof Dato� Dr Mohd Wahid Samsudin.

Program anjuran Persatuan Kebajikan Mahasiswa Kedah (PKMK) semalam di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar) UKM tidak dapat diteruskan mengikut perancangan atas alasan ianya berkaitan dengan parti politik.

“Alasan yang diberikan adalah parti politik tidak boleh dibawa masuk dalam universiti,” demikian menurut sumber kepada Harakahdaily.

Sebahagian daripada mahasiswa anak jati kelahiran negeri Jelapang padi itu menyuarakan rasa tidak puas hati dengan alasan yang diberikan oleh pihak pentadbir univrsiti yang dirasakan bersifat ‘double standard’ serta tidak masuk akal.

“Alasan ini tidak munasabah kerana kenapa Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dibenarkan masuk ke UKM untuk merasmikan Majlis Perasmian Institut Islam Hadhari, sedangkan pada masa yang sama beliau merupakan Presiden Umno.

“Persoalannya, kenapa Pak Lah boleh, tapi Azizan tak boleh?” kata salah seorang mahasiswa anak Kedah yang enggan dikenali kepada Harakahdaily.

Perasmi Majlis makan malam tersebut terpaksa digantikan oleh Penasihat Agama Islam Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dato� Dr Abdul Hamid Othman.

Menurut sumber, jemputan kepada Azizan Razak dibuat atas dasar beliau sebagai Menteri Besar Kedah yang diberi kepercayaan oleh rakyat Kedah dan diperkenan oleh Sultan Kedah.

“Ia bukan kerana beliau Pesuruhjaya PAS negeri Kedah atau pemimpin BA, kerana pihak penganjur faham dan mengerti peraturan universiti yang tidak membenarkan sebarang pemimpin parti politik untuk masuk ke dalam kampus,” tegasnya.

Mereka yang kecewa dengan keadaan tersebut mendakwa keputusan yang dibuat oleh Dato’ Dr Mohd Wahid Samsudin ini merupakan penyalahgunaan kuasa sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA).

“Pendirian yang ditunjukkan oleh Mohd Wahid seumpama tidak menghormati kerajaan Kedah dan Sultan Kedah itu sendiri,” katanya.

Sebelum ini, sumber tersebut mendakwa Mohd Wahid yang baru disambung kontraknya sebagai TNC HEPA turut terlibat dalam strategi membantu Umno menawan Kelantan pada pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini dengan menghantar 1500 mahasiswa.

Selain itu, pada 15 Julai 2007, Puteri Umno Serdang dibenarkan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan di Kompleks Bestari (sekarang dikenali sebagai Kompleks Tun Abdullah Mohd Salleh).

Selepas itu, pada 29 Julai pula Umno Serdang dibenarkan membuat program yang sama iaitu Mesyuarat Agong Tahunan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar).

“Mereka juga bebas menggantung bendera Umno dengan megahnya dari luar pintu masuk utama UKM hingga ke hadapan Dectar. Pada saat itu, alasan tadi tidak pula digunakan pentadbiran UKM, iaitu Mohd Wahid terhadap program-program tersebut.

“Persoalannya, kenapa Umno sahaja yang boleh malangnya parti-parti lain tidak boleh? Inilah yang dikatakan sebagai ‘Umno dominant’ yang meresap dalam pentadbiran universiti,” kata sumber itu lagi.

Bahkan, apa yang menghairankan ialah Persatuan Mahasiswa UKM yang diterajui kumpulan pro Aspirasi hanya berdiam diri.

 

p/s : sekadar berpegang kepada pangkat PHD ( Perangai Hasad Dengki )..tidak boleh berfikir dgn WARAS !!!

Bagaimana mahu membela mangsa PTPTN selepas pilihan raya?

Bagaimana mahu membela mangsa PTPTN selepas pilihan raya?

Khamis 3 April 2008 | 26 Rabi’ul Awal 1429 Hijrah

Ketika ini hutang pendidikan Mara saya tinggal lagi RM211 sahaja lagi. Saya meminjam kerana kebetulan saya belajar di Kolej Mara Kulim (KMK). Mereka tawarkan pinjaman secara automatik. Dengan itu, terelaklah saya secara tidak langsung daripada menjadi mangsa kekejaman dan korban sembelihan kepada PTPTN.

Berhutang kepada PTPTN (mereka menggelarnya PTPTipu) mendatangkan rasa kehinaan apatah lagi jika mahu bersuara dengan nada kritikal di kampus. HEP yang menguruskan PTPTN lazimnya berkata: “Pinjam duit kerajaan, tapi tidak sedar diri, nak melawan kerajaan.”

Kita tidak boleh menyalahkan universiti, HEP. Ini kerana, mereka seolah-olah tidak memahami dan menyedari bahawa PTPTN juga mengambil daripada KWSP. Dan wang KWSP adalah wang rakyat dan wang ibu bapa kaum pelajar juga. Jadi, berikanlah keampunan dan kemaafan kepada HEP dalam hal ini kerana mereka masih terkial-kial belum mengerti.

Lagi pun, sejak awal sebelum PTPTN wujud, Sayyid Abul ‘ Ala al-Maududi telah lama menggambarkan universiti bagai ‘rumah penyembelihan’ dan ijazah bagaikan ‘sijil kematian’. Ia (ijazah) diserahkan dalam majlis konvokesyen setelah universiti kita telah selesai dan berpuashati dengan hasil sembelihan mereka itu secara zalim dan kejam.

PTPTN adalah ceti dalam rupa wajah India dan Ah Long dalam rupa paras Cina. Setekat ini, kita tiada istilah khas bagi Melayu. Tapi, amalan perhambaan memang wujud dalam alam Melayu dan amalan perhambaan diwujudkan bagi tujuan menyelesaikan hutang tertunggak.

Misalnya, jika kita berhutang dengan seseorang dan kita tak mampu membayarnya, maka kita perlu menjadi hamba dalam tempoh tertentu yang dipersetujui sehingga kadar hutang itu selesai. Hamba berbeza dengan pekerja yang diupah. Hamba tidak diberi upah kerana sistem perhambaan itu sendiri diwujudkan untuk melupuskan hutang seseorang.

Jadi, apabila sampai pada waktunya akan terlangsailah hutang seseorang dan merdekalah seseorang hamba. Adapun manusia akan sentisa menjadi hamba kepada Tuhan kerana dia berhutang kepada Allah sehingga ke hujung nyawa. Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas berkata, manusia ‘berhutang kewujudan’nya di dunia kepada Tuhan.

Maka, apabila matinya seseorang anak Adam itu, maka secara tidak langsung telah terhapuslah segala ‘hutang kewujudan’nya kerana beliau sudah tidak wujud lagi di dunia kini. Jadi, selama hidup dalam kewujudannya di dunia ini, selagi itulah mereka mesti membayar dan melunaskan hutang kerana kewujudan mereka di dunia ini.

Sebab itulah Tuhan telah menjadikan Islam sebagai ad-Deen, cara hidup bagi melunaskan hutang piutang tersebut. Ad-Deen yang selalu disebut orang sebagai agama atau pun cara hidup itu adalah ungkapan dan pecahan istilah daripada ad-Dain (hutang).

Jadi, Allah s.w.t meredhakan kehidupan Islam sebagai satu-satunya cara manusia hamba itu melunaskan hutang piutangnya kepadaNya. Agama selain Islam, bukanlah cara untuk melunaskan hutang piutang tersebut. Jadi, kita membayar ‘hutang kewujudan’ itu melalui solat, zakat, puasa dan haji yang difardhukan.

Adapun umat lain, telah cuba melangsaikan ‘hutang kewujudan’ mereka di dunia itu menurut jalan fahaman mereka sendiri dengan mengunjungi gereja, kuil dan synagogue bagi orang Yahudi. Mara punya syarat sendiri, dan PTPTN dan JPA dengan cara pembayaran tersendiri. Begitulah agama-agama sebagai suatu sistem untuk melangsaikan hutang kewujudan itu.

Berbanggalah dan berbahagialah Muslimin kerana Tuhan telah meredakan Islam sebagai cara terbaik dan kaedah sebenar bagi melangsaikan hutang kewujudan tersebut. HEP pun tentu tidak pernah terdengar jalan pemikiran dan falsafah sebegini.

Jenis hamba-hamba

Ada hamba tebusan dalam tawanan perang. Selain itu, wujud hamba dalam takrif Barat di mana kaum kulit putih melanggar tebing daerah Afrika dan menangkap kaum kulit hitam untuk dijadikan hamba.

Namun, kedua-dua jenis hamba ini tidak termasuk dalam bualan kita pada kali ini. Kita mahu berbual tentang puluhan ribu pelajar yang telah jadi hamba secara tidak sengaja kerana terpaksa dan dipaksa berhutang dalam sistem pendidikan kini.

Siswa yang telah berhutang kepada PTPTN kerap dihinakan HEP. Jadi, ego dan semangat melawan dalam kalangan pelajar berjiwa hamba telah jatuh dengan sendirinya. Yang kita mahu kembangkan dan suburkan dalam jiwa ruh anak muda adalah jiwa merdeka!

Syahadan, menurut mahasiswa yang meminjam dengan PTPTN, riba yang meningkat mendadak itu menyebabkan mereka sukar menabung. Maka, PTPTN dengan ribanya tak boleh digambarkan sebagai mimpi bulan jatuh ke riba. Ia sebenarnya, mimpi ngeri.

Riba dalam perbincangan agama kita tidak sama dengan pengetahuan Melayu purba yang bermimpi bulan jatuh ke riba sebagai selaut keuntungan rezeki nikmat berganda.

Riba yang meningkat ini sekali gus menjadikan hasrat kerajaan untuk menggalakkan kita menabung telah gagal dengan sendirinya. Masalah datang bertandang, tetapi penyelesaian dan jalan keluar kepada kemelut ini di manakah muaranya?

Apakah Barisan Rakyat dapat memerintah dengan memunggah keyakinan calon Parlimen BN Sabah Sarawak ke dalam BR pada kali ini? Mungkin, kalau BR memerintah, masalah PTPTN selesai sedikit agaknya. Demikian antara manifesto. Tapi, jangan cuma berharap.

Kalau BR tak menang bagaimana?

Selepas pilihan raya umum ke-12 yang baru berlalu, barangkali ada antara kita yang telah menarik nafas lega kerana BR telah berjaya menewaskan BN di kelima-lima buah negeri. Tetapi, hal itu bukan lagi kelegaan optima.

BN masih lagi berjaya membentuk kerajaan dalam keadaan mereka gagal meraih majoriti 2/3 daripada suara Parlimen. Kalau BR menang, dalam janjinya dulu, peminjam PTPTN akan diselesaikan. Antaranya, hutang pinjaman itu dimansuhkan. Itu pun kalau menang.

Badan-badan pelajar seperti Gamis, SMM dan lain-lainnya telah pun menunjukkan suatu sikap yang positif berhubung isu PTPTN ini. Maklumlah, siapa mahu menjadi hamba?

PKPIM telah mengeluarkan dokumen kepada mana-mana kerajaan yang diberi mandat kepada rakyat dalam pilihan raya lalu. Dokumen itu berjudul 13 tuntutan pelajar.

Tuntutan ke-6 di bawah tajuk ‘Menyediakan Biasiswa dan Bantuan Kewangan’ berbunyi: “Menuntut pihak kerajaan menyediakan biasiswa pengajian penuh kepada pelajar bumiputera dan bantuan kewangan yang mencukupi kepada pelajar bukan bumiputera, seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Alternatifnya ialah menghapuskan caj 3 peratus yang dikenakan PTPTN dengan serta-merta.”

Sebelum itu diingatkan beberapa perkara sebelum pelajar menyusun rancangan. Pertama, jika andaian calon-calon BN di Malaysia Timur akan menganggotai BR itu benar terjadi, maka dengan prasangka baik, semoga terbentuk kerajaan BR yang akan memenuhi segala janjinya ke arah memansuhkan hutang piutang kaum pelajar kepada PTPTN itu.

Tapi, kita tak boleh terus berpegang kepada sangkaan dan andaian. Sangkaan dan andaian ini adalah perkara subjek, bukan objek yang boleh dilihat orang lain dan boleh dipegang. Sesuatu yang abstrak perlu dijelmakan dahulu ke alam realiti untuk didebatkan bersama.

Kita perlu menghimpunkan ribuan prasangka dan menyimpan jutaan keraguan ke atas BR juga jika mereka menang. Janji insan tidak seperti janji Tuhan dalam al-Quran. Manusia adalah sama, baik di Timur atau Barat, di Eskimo atau USA . Mereka bukan malaikat. (Macam kita juga!)

Kita mestilah bersedia dengan penuh syak wa sangka dan syak wa ragu-ragu. Ini penting kerana kita jangan hidup dalam wilayah selesa yang meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada sesiapa pun kecuali Allah s.w.t. Lagi satu, apa akan jadi kalau BN Sabah Sarawak gagal dilompatkan ke dalam pakatan BR?

Formula membela mangsa sembelihan lintah darat PTPTN mesti diadakan

Apa akan jadi kalau BR tidak berjaya mengumpulkan calon-calon BN di Sabah, Sarawak untuk membentuk kerajaan baru yang boleh melupuskan semua hutang piutang PTPTN? Maka, kita perlukan perancangan kedua. Jangan ‘bertawakal’ sangat kepada BR.

Dan hal inilah yang perlu kita bahaskan bersama selepas pilihan raya kali ini. Bunga, riba atau nama lainnya, caj perkhidmatan telah menyebabkan pelajar tidak boleh menyimpan, menabung untuk melaksanakan cita-cita mereka selepas berijazah.

Mereka perlukan wang untuk membayar rumah, membina keluarga dan keperluan harian lain yang lebih mendesak. Jadi kedudukan peminjam PTPTN hari ini amat membebankan mereka. Mereka berijazah dalam keadaan menanggung hutang secara tidak sengaja.

Sepatutnya yuran pengajian tidak patut diwujudkan secara idealnya. Memang asas negara adalah pendidikan. Wahyu pertama turun adalah mengenai pendidikan di mana ‘Iqra’ itu adalah salah satu sendi penguat kepada sistem pendidikan dalam sesebuah negara.

Cuba, sebuah negara komunis sosialis telahpun menawarkan pendidikan percuma kepada rakyatnya. Tiada masalahnya. Malah, dalam suatu kunjungan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Cuba dulu, beliau takjub bagaimana Cuba menawarkan pendidikan percuma. Laporan berita menyebutkan, Abdullah ingin belajar daripada Cuba.

Tetapi, sehingga kini tidaklah diketahui apakah ilmu memberikan perkhidmatan percuma itu telah khatam? Rasanya belum. Sebab, PTPTN masih lagi tidak memperlihatkan tanda-tanda ingin berubah ke arah sesuatu yang baik, iaitu pendidikan percuma di universiti.

Mengapakah PTPTN dilihat sebagai penindas? Sebenarnya, PTPTN sendiri ditindas suatu agensi lain, iaitu KWSP. Jika tidak salah, KWSP mengenakan kadar faedah (bunga, riba) sebanyak 6 peratus. Maka, sebab itulah PTPTN kenakan 4 peratus ke atas pelajar sejak awal dahulu.

Ekoran desakan demi desakan yang berulang-ulang, maka PTPTN kenakan 3 peratus sahaja ke atas para pelajar itu. Tapi, kadar faedah KWSP ke atas PTPTN tidak turun. Maka, dalam keadaan saling tekan-menekan ini, gali lubang tutup lubang, apa jalan penyelesaiannya?

Satu langkah pendek yang boleh saudara lakukan ialah dengan cara membayar juga wang PTPTN ini kerana ia melibatkan wang KWSP yang dicarum oleh ibu dan bapa kita kalau mereka bekerja dengan agensi kerajaan atau swasta. Tapi, bayar akar saja, bukan bunga.

Ertinya, jika kita meminjam RM20,000 (akar), maka bayarlah RM20,000 saja. Janganlah pedulikan notis PTPTN yang memaksa kita untuk membayar bunga, riba atau caj perkhidmatan. Jangan petik bunga dulu dan menyuntingnya di telinga sebagai perhiasan.

Bayar seperti biasa mengikut kadar kemampuan anda setiap bulan sehingga habis jumlah RM20,000 itu. Selepas habis jumlah pembayaran tersebut, mahasiswa-mahasiswa seluruh negara perlu sepakat mengirim surat notis bahawa anda semua tidak mahu lagi membayar lebihan bunga, riba, caj perkhidmatan tersebut.

Kembarkan juga wasiat anda dalam bentuk cadangan kepada PTPTN supaya riba yang dikenakan KWSP ke atas PTPTN itu boleh dibayar oleh Petronas. Bukankah syarikat GLC tersebut telah mencatat keuntungan sebanyak RM80 bilion baru-baru ini?

Apa yang diperlukan ialah muafakat daripada seluruh mahasiswa peminjam PTPTN bagi melazimi pembayaran mengikut kadar kemampuan anda setiap bulan dan jangan runsing dengan notis bayaran caj perkhidmatan. Bayar seperti biasa sehingga langsai RM20,000.

Bayangkan, dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang, kalau 50,000 orang mahasiswa seluruh Malaysia bertindak seperti ini, PTPTN tidak akan mampu dapat berbuat apa-apa!

Dato’ Razali Ismail, pengerusi PTPTN merangkap ahli Parlimen Kuala Terengganu pasti geleng kepala kerana terpaksa memunggah fatwa dan petua lama daripada nenek Maimun saingan politiknya, kalau-kalau ada doa penawar pelembut hati anak-anak muda supaya mereka membayar bunga-bunga PTPTN yang tiada kesudahannya!

2 April 2008, 12:02 a.m,
Sekolah Pemikiran Kg Baru

Universiti adalah ‘rumah penyembelihan’ – Sayyid Abul ‘Ala Maududi

Universiti adalah ‘rumah penyembelihan’ – Sayyid Abul ‘Ala Maududi

Sedang saya mengembara dan berkelana sendirian di lautan maklumat maya yang bergelora atau dalam bahasa penjajahnya; ‘internet’ saya menemui sebuah petikan ucapan yang menarik untuk kita renungi bersama:- 

“Dear students! You have spent many years of your life at this institution to acquire education. You have eagerly been waiting for the day when you will reap the harvest of your labour in the form of a degree. I am aware of your emotions on this occasion, and that is why it pains me to express my thoughts so bluntly.

Frankly speaking, I consider this Alma Mater, in fact all Alma Maters of this kind, slaughter houses rather than educational institutions. The degrees to be awarded are in fact death certificates, issued when the murderer is satisfied that he has accomplished his task; fortunate are those who escape from this organised butchery with still some spark of life.

I have not come here to congratulate you on receiving these death certificates. I am, rather, overwhelmed with grief to see you in such a miserable plight. I am like someone seeking a person who might still be alive among a mass of corpses.”

Ucapan di atas adalah titipan bicara Sayyid Abul ‘Ala Maududi (1903-1979) kepada kaum mahasiswa yang melihat universiti sebagai ‘rumah penyembelihan’ yang mencetak segulung ‘sijil kematian’. Berikut adalah terjemahannya dalam bahasa Melayu:-

“Wahai Pelajar! Kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat di mana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi satu kesukaran buat aku berterus-terang kepada kamu pada saat ini.

Walaubagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik ini, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.

Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan yang teruk. Aku seperti seseorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat di sini.”

Tamat petikan ucapan Abul ‘Ala al-Maududi.

Sama ada kita mahu bersetuju atau tidak, hal itu terpulang kepada pandangan masing-masing. Tetapi, jika diteliti dengan rinci terasa ada kebenaran dalam ucapan tersebut. Sebenarnya, apa peranan tertinggi kaum pelajar? Apa hubungan pelajar dengan masyarakat dan rakyatnya? Apa tujuan universiti ditubuhkan dan apa kaitan kena-mengenanya kaum kapitalis dengan universiti?

Mari kita tinggalkan dahulu soalan ini kepada sesiapa yang suka menjawabnya

Universiti bagaikan ‘rumah penyembelihan’?

Kembali kepada ucapan al-Maududi. Meneliti ucapannya, kita melihat sepertinya beliau sudah tidak lagi mempercayai universiti. Mungkin universiti itu di luar negeri atau di Pakistan. Beliau tidak mengupas dengan lebih rinci. Oleh itu, mari kita anggap semua universiti sama saja sifatnya; ‘rumah penyembelihan’. Dan pelajar itulah yang akan disembelih. Penyembelih, mungkin TNC HEP atau Kementerian Pengajian Tinggi.

Tapi jangan lupa. Al-Maududi mungkin telah hilang kepercayaan ke atas universiti sebagai ‘rumah penyembelihan’. Tetapi beliau masih menaruh harapan tinggi ke atas mahasiswa-mahasiswa yang diucapkannya sebagai:-

“Alangkah bertuahnya kepada mereka (mahasiswa) yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.”

Lalu, al-Maududi menyifatkan dirinya sebagai:-

Aku seperti seseorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat di sini.”

Secara ringkasnya kita boleh membuat kesimpulan awal bahawa al-Maududi mungkin hilang rasa percaya ke atas sistem pendidikan universiti, tetapi masih menaruh harapan tinggi ke atas para mahasiswa universiti. Sebab itulah beliau menafsirkan dirinya sebagai seorang pencari ‘manusia (mahasiswa) yang masih hidup dalam timbunan mayat’ di rumah penyembelihan yang bernama universiti.

Tapi, tidak diketahui apakah punca al-Maududi berkata demikian. Mungkin, beliau telah dihalau daripada memberi ceramah di universiti seperti UKM membatalkan ceramah mengenai Palestin kerana panel jemputannya dikatakan tidak serasi dengan pihak atasan UKM pada tahun lalu.

Atau, beliau mungkin kecewa ke atas sejenis sistem berhutang yang dikenakan terhadap pelajar yang belajar di universiti yang mana kadar faedahnya (riba) membebankan pelajar sehinggakan hal itu diibaratkan beliau sebagai tindakan menyembelih pelajar laksana PTPTN menyembelih mangsanya?

Ini semua adalah teka-teki yang belum dapat dirungkai dan menjadi sebuah misteri yang belum terungkap dengan jelas kebenarannya. Khaled Nordin belum tentu dapat jelaskan hal ini kerana beliau masih baru menjawat jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

Sepatutnya, Khaled membawa isu ini dibincang di UTM ketika beliau membawa lambang Umno, BN di UTM sebelum pilihan raya lalu kalau beliau tahu Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi akan melantiknya kepada jawatan berkenaan sebagai suatu langkah persediaan.

Ini kerana, pelajar yang sedar dan yang enggan disembelih telah pun muak, loya serta melugai dengan kenyataan terbaru Kementerian Pengajian Tinggi berhubung cadangan pindaan Auku. Ini sudah pasti akan melibatkan pindaan mengikut suka hatinya, pelajar dan pensyarah yang rela hidung mereka dicucuk hari ini untuk disembelih pada keesokan harinya.

Mahasiswa dan pensyarah yang tidak rela hidung mereka dicucuk untuk disembelih sudah pun menghidu bahawa pindaan Auku 1971 ini tidak bertujuan memansuhkan artikel 15 (1), (2), (3) dan lainnya yang memberi kebebasan kepada warga kampus berpolitik dan menjalankan kegiatan akademik yang ada kaitannya dengan politik negara.

Jadi, mana mungkin Khaled akan terfikir kedudukan universiti sebagai ‘rumah penyembelihan’ sebagai yang dilontarkan al-Maududi pada awal-awal perbincangan tadi.

Kepada golongan pakcik makcik kita yang pernah mengikuti silibus atau kurikulum usrah-usrah sejak 1970-an dahulu tentunya terdedah dengan kupasan al-Maududi dan Hasan al-Banna di dalam usrah mereka. Dalam erti kata lain, pemikiran al-Maududi dan al-Banna adalah seangkatan zaman.

Suatu masa dahulu saya pernah menulis sedikit di ruangan ini tentang betapa tingginya harapan al-Banna terhadap golongan mahasiswa sehingga beliau membuat suatu muktamar rapat umum khas untuk menyampaikan wasiat kepada golongan pelajar. Maka, demikian dengan al-Maududi. Harapannya menggunung. Cuma, penyampaiannya sedikit berbeza bercampur nada kecewa.

Hubungan pelajar dan rakyat amat erat

Makcik Hamsiah, 53, seorang suri rumah dari Kelang melihat golongan tua yang baru pulang dari Mekah kerana menunaikan fardhu haji boleh dianggap sebagai graduan dari ‘universiti’ Allah.

“Sepatutnya, datuk nenek yang sudah mendapat ‘ijazah’ kerana menunaikan haji di Mekah ini akan kembali ke pangkuan keluarga dan menasihatkan cucu-cicit dan anak-anak mereka supaya jangan terpengaruh dengan kehidupan dunia yang bersifat sementara.

“Tapi, realiti yang terjadi kini sudah berbeza. Mereka kembali dan cuma menjamu para tetamu dengan kurma dan air zam zam. Mereka seolah-olah terlupakan urusan dakwah kepada keluarga masing-masing,” kata makcik itu kepada saya dulu.

Saban tahun, kita mendengar dan melihat paparan kisah pelajar sekolah rendah dan menengah yang mendapat keputusan terbaik dalam UPSR, SPM dan STPM. Di universiti, kita akan melihat hal yang sama berlaku. Tapi, dengan ilmu mereka, apakah masyarakat berubah menjadi baik?

Inilah madrasah tarbiyyah peninggalan Rasulullah s.a.w yang diwarisi al-Banna dan al-Maududi. Misalkan Gua Hira’ adalah ‘universiti’ terpencil tempat baginda berkhalwat dan bersuluk hingga didatangi mahaguru Jibril a.s yang menyampaikan wahyu pertama.

Sesudah itu baginda turun daripada gua untuk menyebarkan dakwah dan risalah kebenaran. Dan kaedah inilah yang cuba diterapkan oleh al-Banna di mana usrah menjadi tempat berhimpunnya para sahabat untuk mengkaji al-Qur’an untuk disebar kepada keluarga dan masyarakat sekitar.

Usrah itu medan akliah, lapangan akademik yang bertenaga memancarkan sinar pencerahan ke atas masyarakat sekitar. Sememangnya, begitulah cara sinar-sinar kebenaran itu terhimpun dan terkumpul di suatu tempat, lalu limpahan sinar itu tercurah ke lembah gelap yang lain pula.

Sudah berapa banyak sekolah didirikan? Sudah berapa banyak ‘universiti dhirar’ dibina? Tapi, ada berapa banyak kes jenayah diselesaikan? Musa Hassan datang berceramah tentang jenayah di USM pun cuma untuk menyindir Kelantan banyak jenayah, apa kes? Patutlah jenayah makin teruk menjadi-jadi. Dua SB dihantar untuk merakam (menyembelih?) ucapan NC USM, apa kes?

Tepatlah, universiti sekarang sudah berubah menjadi ‘rumah penyembelihan’. Sekolah-sekolah, universiti-universiti tidak lagi berperanan sebagai Gua Hira’ tempat Nabi Muhammad bertemu mahagurunya; Jibril a.s dan tidak seperti Buddha menerima pencerahan di bawah pokok Bodhi.

Tidak ramai pelajar bertindak sebagai nabi-nabi

Sudah tidak ramai lagi kaum terpelajar yang bersikap bagai nabi-nabi, rasul-rasul dan wali-wali yang menyendiri, bersuluk, berkhalwat di sebuah tempat yang sunyi. Dan, akhirnya setelah dia mencapai pencerahan atau menerima wahyu daripada ‘universiti’, mereka keluar menyebarkan risalah agama. Selepas berijazah, mereka mencari kerja dan bernikah. Itu saja.

Alangkah mulia dan keramatnya seorang kanak-kanak tadika, Pasti dan Taski yang belajar doa makan dan minum daripada ustazahnya. Dan, apabila makan minum bersama keluarga, anak itu akan menegur ayah dan ibunya: “Kenapa abi dan umi tidak baca doa dulu sebelum makan?”

Jikalau al-Maududi masih hidup, tentu beliau berkata lebih kurang begini: “Yang belum menjadi ‘rumah penyembelihan’, hanya tadika, Pasti dan Taski dan kindergarten sahaja.”

Dalam tradisi pendidikan Islam warisan Hujjatul Islam Imam Abu Hamid al-Ghazali, antara peranan ilmu ialah mendidik jiwa agar lunak dan patuh kepada Allah. Tetapi, menurut al-Ghazali, dalam proses didikan itu, apabila sampai waktunya, guru perlu meninggalkan sang murid kerana hati murid itu sudah tidak dapat lagi dirawat.

Dalam suasana masyarakat hari ini, mahasiswa, rakyat atau golongan bawahan kita masih lagi boleh dirawat kerana dalam hati mereka sentiasa ada sikap merendah diri dan ingin bertaubat apabila dirundung masalah. Kita hanya berdepan dengan masalah orang atasan. Buktinya, walaupun kalah dalam pilihan raya, mereka masih belum berubah dan angkuh mempertahankan kuasa sehingga sanggup menderhaka kepada sultan. Mereka ini tidak boleh dirawat lagi.

Bak kata Fansuri, “Melentur buluh biar daripada rebungnya. Nanti apabila jadi buluh, dia boleh berkata kepada musuhnya, sekarang bertemulah buku dengan ruas. Atau, bolehlah dibuat rakit untuk berkelana dan mengembara mencari pengetahuan. Tapi, kalau buluh itu tidak kuat juga, barulah ‘disembelih’ untuk diisikan pulut dibuat lemang pada akhirnya.”

Time Kasih kepada :

6:13 pagi, 26 Mac 2008
Sekolah Pemikiran Kg Baru.

Pindaan Auku, mahasiswa ajak KPT berdebat!

Pindaan Auku, mahasiswa ajak KPT berdebat!

Khamis 27 Mac 2008 | 19 Rabi’ul Awal 1429 Hijrah

Sebagaimana yang diucapkan Menteri Pengajian Tinggi, pindaan Auku adalah bertujuan memberikan kebebasan kepada mahasiswa di universiti. Kenyataan ini mengundang satu pertanyaan lain, “Jadi, selama ini mahasiswa universiti tidak bebaskah?”

Pertanyaan itu akan melahirkan berpuluh-puluh lagi jawapan di pihak Aspirasi yang sukar menunjukkan pendirian mereka secara bebas termasuklah para pensyarah Umno. Di pihak mahasiswa dan pensyarah yang berhaluan kiri, akan lebih banyak ulasannya yang bermacam-macam pula.

Apa pun, rumusan yang boleh kita sepakati ialah ketika semua akta, undang-undang yang cuba dipinda dan digubal mengikut selera menteri saja, maka beginilah jadinya. Menteri yang baru ini mungkin menganggap pelaksanaan Auku di zaman Mustapha Mohamed dan sebelumnya Dr Shafie Salleh lebih ketat berbanding pada zamannya.

Bagi pihak Presiden Penaja Parti Mahasiswa Negara (PMN) Azlan Zainal, kenyataan Khaled melahirkan keraguan tersendiri yang sememangnya berakar daripada sejarah pengalaman lalu.

“Walaupun dinyatakan niat pindaan tersebut demi memberi kebebasan kepada mahasiswa dan autonomi kampus, tapi kami melihat tindak-tanduk itu adalah bersifat politikal saja.

“Sebelum ini, Dato’ Dr Shafie Salleh dan Dato’ Mustapha Muhammad menyatakan hasrat sedemikian. Tapi, kita boleh buat kesimpulan mudah mengenai tujuan sebenar kedua-dua bekas menteri KPT tersebut,” kata beliau dalam suatu kenyataan kepada Harakahdaily.

PMN mengesyaki apakah niat KPT itu benar-benar mahu memberi kebebasan mahasiswa dan autonomi kampus; atau sebenarnya ada tujuan lain yang mendorong pindaan akta ini?

Pada Julai 2006, suatu pertemuan antara pimpinan pelajar haluan kiri bersama pimpinan parti alternatif telah dipengerusikan oleh Presiden KeADILan Datin Seri Wan Azizah di Parlimen untuk membincangkan pindaan Auku tersebut.

Pertemuan itu dibuat ekoran kenyataan Dato’ Mustapha Mohamed yang ingin meminda Auku sehingga mengundang reaksi positif sesama mereka. Bagaimanapun, tidak diketahui apakah memorandum berhubung pindaan itu telah direstui Mustapha?

Pengucap pertama ialah saudari Soh Sook Hwa yang dengan tegas meminta supaya Auku tidak lagi dipinda, malah sepatutnya ia dimansuhkan terus. Turut menyetujui pandangan beliau itu adalah saya sendiri.

Dalam majlis itu, mantan aktivis mahasiswa Hishamudin Rais berkata, pelajar jangan tertipu dengan pindaan yang bertujuan ingin mengetatkan mereka dan bukannya bertujuan untuk melonggarkan.

“Kalau dipinda, mereka akan meminda mengikut apa yang mereka suka dan bukan pinda mengikut desakan kita,” katanya. Atas alasan itu, ramai yang meminta ia dimansuhkan.

Dr Syed Husin Ali yang hadir dalam majlis itu menokok beberapa kenyataan Hishamudin ketika membentangkan fakta sejarah penubuhan Auku.

Menurut kedua-dua bekas siswa dan pensyarah UM ini, peraturan kejam itu telah digubal oleh mantan Menteri Pelajaran, Dr Mahathir dan mantan NC UM Prof Diraja Ungku Aziz bagi tujuan mengekang keterlibatan pelajar dalam arus politik perdana tanahair.

Jadi, apakah Khaled Nordin akan hanya meminggirkan buah fikiran atau beliau akan turut melibatkan kedua-dua pihak ini untuk membuat pindaan Auku yang berikutnya?

Di pihak mahasiswa, wujud dua aliran yang melihat sisi gelap Auku. Sisi putih Auku bagi mereka ditenggelamkan oleh sisi gelap Auku tadi. Kelompok pertama melihat Auku perlu dipinda. Sementara aliran kedua melihat ia perlu dimansuhkan segera.

Apa pun yang berlaku, sama ada Auku perlu dipinda atau mansuhkan, ia tetap membawa kepercayaan yang sama, iaitu Auku memang bermasalah. Cuma, cara menyelesaikan masalah saja yang berbeza. Satu pihak mendesak ia dimansuhkan dan pihak yang lain pula menuntut agar Auku dipinda.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) contohnya di dalam 13 Tuntutan Pelajar berhubung pilihan raya umum ke-12 telah mendesak agar Auku dipinda. Tuntutan itu telah dihebahkan beberapa minggu sebelum pilihan raya umum.

“Jika tuntutan ini tak dipenuhi, kami akan bertindak lebih agresif,” kata Presiden PKPIM Mohd Hilmi Ramli. Sejauhmanakah badan pertubuhan pelajar berdaftar tertua itu mahu bersikap agresif, tidaklah dapat dijangkakan lagi sehingga kini.

Andaian awal pindaan Auku

Apabila Khaled mahu meminda Auku, kenyataan itu mengundang beberapa andaian awal di pihak PMN. Pertamanya, parti yang belum didaftarkan itu menyifatkan hal pindaan itu tidak lebih daripada lipstik kosmetik propaganda murahan kerajaan.

Kedua, PMN menyifatkan kenyataan itu bertujuan mendorong pelajar kembali berurusan dalam kampus sahaja dan bukan lagi berpencak silat dalam gelanggang arus politik perdana negara.

Ketiga, niat meminda itu dilakukan kerana Auku secara tidak langsung menjadi halangan kepada Umno-BN untuk mendekati mahasiswa di universiti.

“Umno mahu buktikan bahawa mereka bersedia berubah dan cuba mendapatkan semula kepercayaan rakyat selepas parti-parti alternatif berhasil menakluk lima buah negeri di Malaysia. Sebab itu mereka sengaja mewarwarkan propaganda melalui responden menerusi undian SMS di Buletin Utama TV3 baru-baru ini.

“Sebenarnya, mereka tak perlu berbuat demikian kerana Auku telah lama ditentang oleh pelajar. Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) sebelum ini juga telah menghantar risalah lengkap berhubung hal pemansuhan Auku tersebut,” kata beliau.

Tambah beliau, Jawatankuasa Penasihat untuk Mereputasi Universiti-Universiti Malaysia juga telah menyatakan hasrat mereka secara akademik, supaya undang-undang Auku ini dimansuhkan terus.

“Ada kemungkinan juga KPT risau dengan perkembangan PMN dalam pilihan raya terbaru. Ia ketara apabila mereka yang anti SMM sebelum ini kerana badan itu menyeru ke arah demokrasi kampus yang adil dan bebas; hari ini telah menegaskan bahawa pilihan raya kampis (PRK) adalah pentas terbaik untuk kaum pelajar itu berpolitik.

“Kenapakah mereka menyatakan hal itu? Adakah mereka mahu membuat ‘reverse psychology’ kepada kami dalam pilihan raya lepas?” soal beliau sambil mengandaikan motif kerajaan itu adalah bertujuan menyekat kehadiran pelajar dalam bentuk politik kepartian.

Mahasiswa cabar KPT berdebat berhubung isu pindaan Auku

Tambah Azlan, pindaan Auku juga mungkin menyebabkan Umno lebih mudah masuk ke dalam universiti sekali gus bertujuan menyekat pengaruh parti pembangkang di kampus-kampus.

“Kami rasa jika Auku digubal pada kali ini, tujuan sebenarnya ialah cuma untuk memudahkan Umno menyebarkan pengaruhnya ke atas kaum pelajar. Atau, setidak-tidaknya bertujuan menafikan hak parti pembangkang atau pertubuhan haluan kiri daripada mendekati mahasiswa di universiti.

“Jadi, kami mengajak KPT berdebat secara terbuka berhubung isu ini. Kami sedia berdepan dengan kerajaan secara sopan dan rasional. Biarlah pelajar berfikir dengan bebas mengenai asas-asas yang sama-sama kita perdebatkan,” kata beliau.

Tambahnya, jika parti pemerintah tidak berani berdebat secara sopan dan rasional dengan pelajar, maka semua pertubuhan pelajar yang bebas akan mengisytiharkan bahawa Umno dan BN kini cuma bersandiwara tentang hasrat mereka ingin meminda Auku tersebut.

Pinda Auku, jangan hanya janji manis – Gamis

Pinda Auku, jangan hanya janji manis – Gamis

Wed | Mar 26, 08

Mahasiswa tidak mahu kerajaan terus menabur janji untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 yang sebelum ini diperjuangkan mereka agar ia dimansuhkan.

Setiausaha Agung Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Syaari Abdul Rahman berkata, usaha Menteri Pengajian Tinggi yang baru, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin yang mahu meminda akta tersebut disambut baik oleh Gamis memandangkan kesannya telah diketahui tidak memberi kebaikan kepada banyak pihak.

“Cuma kami tidak mahu kecewa lagi selepas ini sebagaimana ia pernah disebut sebelum ini, harapnya ia bukan lagi berbentuk janji-janji manis semata-mata,”katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau juga tidak jelas mengenai kenyataan Mohamed Khalid yang menyatakan tujuan utama pindaan tersebut adaah untuk memberi pelajar dan universiti lebih kebebasan.

“Saya tidak pasti apakah yang dimaksudkan beliau, apa pun Gamis mengharapkan perbincangan mengenai perlaksanaan hal tersebut hendaklah dibuat dengan lebih cepat,”tambahnya.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan proses perbincangan untuk mengkaji cadangan pindaan akta ini bersama semua pihak berkaitan, termasuk tokoh akademik, pengamal industri dan wakil pelajar hendaklah dibuat dengan lebih telus dan seimbang.

Syaari mengakui imej dan kedudukan universiti yang telah menurun sejak kebelakangan ini adalah berpunca daripada kongkongan Auku.

“Mahasiswa dan ahli akademik menjadi lesu dan bersikap tidak mengambil tahu perkembangan sekeliling sebagai anggota masyarakat sekaligus menghapuskan sifat kreatif dan kritis yang menjadi budaya keilmuan mereka,”jelasnya.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa Auku diwujudkan bagi memastikan kesemua pihak menumpukan perhatian kepada bidang tugas masing-masing serta bertujuan untuk menjaga keharmonian suasana di dalam kampus yang boleh menjejaskan institusi pengajian tinggi itu.

Sementara itu, keputusan undian SMS Buletin Utama TV3 malam tadi membuktikan penonton menolak Auku dengan 91 peratus undian menyatakan sokongan supaya akta yang menyekat kebebasan mahasiswa ini dimansuhkan.

Terdahulu, Menteri Pengajian Tinggi yang baru, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kerajaan akan meminda Auku bagi memberi pelajar dan universiti lebih kebebasan.

Beliau berkata, kajian awal mendapati beberapa peraturan dalam Auku menyekat kreativiti pelajar dan pihak pengurusan universiti untuk mencapai tahap kecemerlangan di peringkat global.

Sehubungan itu, katanya, pihak pengurusan universiti akan diberi kuasa autonomi secara berperingkat mengikut kesesuaian masa dan keperluan sebaik AUKU dipinda bagi memastikan tugas mentadbir berjalan lancar.

Katanya, pihak pengurusan universiti memerlukan perubahan dan kini sudah tiba masanya akta berkenaan dikaji semula dalam usaha melahirkan intelektual generasi kedua yang lebih berdaya saing serta mempunyai daya tahan yang tinggi.

“Pihak pengurusan universiti memerlukan kuasa autonomi yang lebih bagi membolehkan mereka bebas membuat keputusan penting untuk kebaikan semua pihak, sedangkan kini keputusan tertakluk kepada ketetapan kementerian.

“Kuasa yang terhad menyebabkan masing-masing kurang kreatif dalam usaha melonjakkan kecemerlangan pendidikan.

“Malah, pemberian kuasa autonomi memberi peluang pihak pengurusan lebih bertanggungjawab dalam keputusan yang dibuat,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan tugas oleh bekas Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mustapa Mohamed baru-baru ini.

Mohamed Khaled berkata, kementerian akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkaitan, termasuk tokoh akademik, pengamal industri dan wakil pelajar berhubung cadangan meminda Auku.

91% penonton Buletin Utama sokong mansuhkan AUKU!

91% penonton Buletin Utama sokong mansuhkan AUKU!

Posted on Wednesday, March 26

 Takbir, beberapa minit lalu keputusan undian sms buletin utama TV3 membuktikan rakyat malaysia sebulat jari menaip sms menolak akta universiti dan kolej universiti, dengan 91% undian menyatakan sokongan supaya akta yang menyekat kebebasan mahasiswa ini dimansuhkan. nampaknya sistem perundangan negara kita akan lebih telus, dengan sebelum ini zaid berahim dengan perut yang penuh keberanian meminta kerajaan memohon maaf kepada beberapa orang yang menjadi mangsa kepada ketidakadilan kerajaan BN, yang sy kenal seorang saja, tun salleh abbas.

dan maka, jika akta auku ini dengan secara jayanya dimansuhkan, tidak lagi sy akan keseorangan menaiki bas menuju ke kuala lumpur menghadiri perhimpunan (cth BERSIH) atau apa² program bersifat politik (kerana rakan seperjuangan yang lain bimbang muka masuk tv, dicam oleh pihak pentadbiran, hahaha).

ceramah anwar ibrahim juga boleh sy hadiri tanpa perlu terlebih dahulu membuang sticker ipt pada motosikal.

dan sy bolehlah kiranya selepas ini bersoal jawap dengan beberapa orang pensyarah yang selama ini kuat berkempen dalam kuliah.

sekian terima kasih.

maaf jika tulisan ini bersifat kebudak²an, sebab mmg sy masih budak hingusan. bye

TAkbir!!!!!! Allahuakbar!!!!

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 35 other followers